قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

10 Jan 2012

Hidup ini satu kembara


Sekian lama aku menyepi dan kini aku kembali, untuk melontarkan satu pandangan ilmiah yang di rasai sesuatu yang baharu dalam diri ini, tatkala memandang masa yang jauh pergi meninggalkan aku, kini aku melangkah ke tahun 2012 dengan satu keazaman yang baharu dalam diri ini, tahun 2011 pula pergi meninggalkan aku dengan penuh suka duka dalam diri ini, aku biarkan tahun  2011 pergi dengan seribu erti. Sekarang aku perlu menempuhi tahun 2012 dengan seadanya dalam diri ini. Hari ini aku ingin berkongsi bagaimana yang di katakan hidup manusia ini adalah satu kembara, sukanya aku menyatakan bahawa, kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini merasai sesuatu kehidupan ini bagaikan kembara.

Apa erti kehidupan?

Kehidupan adalah satu peluang yang diberikan oleh Allah s.w.t diatas muka bumi ini untuk manusia terutamanya selain makhluk yang lain untuk menjalankan ibadah dan taat kepada-Nya. Kehidupan yang dikatakan itu telah Allah firman dalam Al-Quran yang berbunyi,


                                                        وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
 Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.(QS. Adz –Dzariyat: 56 )

begitulah gambaran yang Allah nyatakan kepada kita kehidupan diatas muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadah kepadanya. Jadi seharusnya kita manusia semestinya memahami akan kehidupan diatas muka bumi ini dengan sebenarnya. Sebaliknya kita memahami apa erti kehidupan yang sebenar, untuk kita menjadi insan yang lebih berjaya diatas muka bumi ini.

Kehidupan ini adalah satu kembara

Perjalanan hidup kini bagaikan satu kembara dalam menempuhi pelbagai halangan dan ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Tujuan ini untuk Allah menguji setakat mana kemampuan hamba-Nya dalam menempuhi kehidupan di atas muka bumi ini disamping  untuk menaikkan darjat seseorang hamba-Nya.
Ini adalah merupakan satu kembara kepada manusia di atas muka bumi ini untuk mencari bekalan dan di bawa pulang ke alam akhirat kelak, dan bekalan itu akan di hitung oleh neraca al mizan di hadapan Allah s.w.t. yang akan menentukan sama ada beratnya ke syurga atau neraka.

Sebenarnya dalam kembara kehidupan ini, Allah telah meninggalkan buku panduan untuk kita dengan Allah menurunkan secara berperingkat-peringkat melalui Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Al-Quran kepada manusia untuk dijadikan panduan yang jelas dan nyata supaya kembara manusia ini tidak akan tersesat. Ini mengambarkan bahawa Allah sangat kasih dan sayang kepada hamba-Nya dengan menyediakan mukjizat yang paling besar kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk panduan umatnya. Tidak cukup dengan itu Allah juga mengutuskan kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. kepada umat manusia dalam membantu kembara manusia ini agar tidak tersesat dari landasan yang sebenar. Buktinya Allah telah berfirman,              
                             لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu Uswatun Hasanah (contoh teladan yang baik) bagimu, yaitu bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” ( Al-Ahzab: 21)

daripada ayat tersebut kita dapat menilai bahawa Rasulullah adalah ikutan yang terbaik dalam diri kita untuk membimbing kita yang sedang dalam perjalanan kembara menuju Ilahi. Sebaliknya itu seharusnya manusia menerima hakikat tanpa Al-Quran dan As-sunnah kembara manusia ini akan terpesong jauh dari perjalanan yang sebenar dalam hidup ini. Agama Islam ada satu-satunya agama yang menekan pelbagai aspek kepada umatnya dalam misi kembara menuju Ilahi agar umatnya tidak terpesong jauh.


Hidup ini penuh dengan ujian

Misi kembara kita tidak berlalu begitu sahaja, sedang asyik kita mencari bekalan di dunia ini untuk di bawa balik ke alam akhirat, Allah s.w.t. juga menguji kita dengan pelbagai ujian, buktinya Allah s.w.t berfirman 
 أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢)وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui Nya tentang orang-orang yang berdusta. (3) ( Al-Ankabut: 2-3 )


tujuan utamanya adalah untuk menguji kita setakat mana iman dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t, selain itu juga Allah menguji kita kerana untuk mengangkat darjat manusia di sisi Allah s.w.t, maka tidak hairanlah jika kita di uji oleh Allah s.w.t kerana setiap ujian yang di berikan oleh Allah s.w.t kepada manusia ada mengikut kemampuan dan keupayaan kita dalam menempuhi ujian tersebut, Allah s.w.t berfirman
                                                         لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ
           "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 
             [Surah Al-Baqarah, 2: 286].

Maka jelaslah bahawa ujian dalam kembara kita ini bergantung kepada keimanan dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. untuk kita menempuhinya. Jika kekuatan keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. utuh dan tebal maka ujian yang kita lalui akan selamat, jika kekuatan keimanan dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. kita nipis dan lembut maka seharusnya kita memperbaikinya takut kita tidak dapat menerima ujian yang di berikan oleh Allah s.w.t. kepada kita. 

Penutup 

Akhir kata sekarang manusia seharusnya beringat bahawa sekarang kita berada di 'misi kembara' untuk kita mencari bekalan untuk kehidupan kita selepas mati, itu amatlah penting sekali supaya kita dapat menikmati kesenangan di akhirat kelak, bak kata pepatah "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian", menunjukkan bahawa dalam kehidupan diatas muka bumi ini amatlah susah untuk menghadapi segala ujian dan rintangan yang melanda, tetapi semua itu kita boleh tangkis dengan hanya kita menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t. Selain itu juga kita sebagai manusia yang daif dan hina ini seharusnya berpegang kepada dua perkara yang di tinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya iaitu "kitabullah wa sunati" iaitu kitab Al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. untuk di jadikan panduan kepada kita semua yang daif dan hina ini, supaya kembara kita sentiasa diberkati.

Ashraf Hadi
10.Jan.2012 
Mafraq, Jordan.








2 ulasan:

  1. yeaa..hdup d dunia ne umpama pentas lakonan..manusia adlh pelakonya~skrip adlh Al-Quran & As-sunnah~jurukamera plak adlh para malaikat n the ending story is hari Kiamat :)

    BalasPadam