قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

28 Apr 2013

PRU 13: Antara Harapan Baru


Jika di Malaysia sekarang ini pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk mengundi, apatah pula sekarang ini dalam fatrah Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU 13). Warna-warni bendera kian giat dipasang. bermacam-macam ada. Tidak terlepas juga di Jordan, ramai rakan-rakan yang keluar mengundi pada hari ini di Kedutaan Besar Malaysia, Amman Jordan. Mengundi di luar negara melalui undi POS. Alhamdulilah setidak-tidaknya warga Malaysia yang berada diluar negara tidak terlepas dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebenarnya, secara peribadi saya melihat dalam kerangka masyarakat yang cakna. Saya merasakan bahawa sekarang ini adalah satu-satunya PRU yang mana terlalu meriah dan sengit. Mengapa? Kerana pada kali ini satu-satunya PRU yang saya rasakan dan nampak parti pembangkang terlalu yakin mereka akan menang serta tawan Putrajaya untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Parti Pembangkang,

Sebelum ini, dapat kita lihat bagaimana parti pembangkang hanya sekadar ini mengukuhkan kerusi pembangkang di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja. Tetapi selepas tsunami politik pada PRU 12, tahun 2008 bilamana parti pembangkang berjaya mengekalkan Kelantan, dan menawan lagi 4 buah negeri untuk jatuh ke tangan mereka. Iaitu Selangor, Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

Mereka menjadi yakin dengan sekuatnya menyatakan mereka mampu untuk tawan pentadbiran pusat di Putrajaya pula pada PRU 13 ini. Jelas menunjukkan dari hasil kemenangan 5 buah negeri menjadikan sebagai batu loncatan untuk mereka menawan Putrajaya.

Parti Kerajaan,

Parti yang memerintah sebelum ini menjadi kerajaan, sinonimnya dipanggil sebagai parti kerajaan. Walhal mereka hanya parti yang bertanding. Manakala kerajaan selepas dibubarkan sudah tiada dari wakil parti mana-mana sekalipun. Jika sebelum ini kita dapat lihat jika kerajaan diwakili oleh Barisan Nasional (BN), tetapi selepas dibubarkan untuk PRU ianya sudah tidak diwakili oleh mana-mana parti.

Untuk PRU kali ini saya melihat bahawa parti kerajaan merasakan kurang keyakinan untuk menang besar pada kali ini. Mengapa? Rentetan dari apa yang saya baca dan lihat. Ketika mana berkenaan pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri, ianya mengambil masa yang terlalu lama sehingga rakyat tak sabar menanti keputusan bila dibubarkan.

Tertarik dengan alasan yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang menyokong parti kerajaan. Katanya mengapa perlu mengambil masa yang lama dalam membubarkan Parlimen ini kerana kerajaan ingin memastikan semua peruntukkan untuk bantuan rakyat seperti BR1M dan sebagainya diagihkan kepada semua sebelum PRU tiba.

Pada saya sendiri merasakan, semestinya juga parti pembangkang juga tidak turut lena dalam berkempen. Lagi lama masa diambil lagi banyak mereka kempen untuk memenangkan mereka. Dengan pelbagai isu dan masalah yang dibangkit. Membuatkan rakyat lebih mengetahui pelbagai masalah dan isu yang diketengahkan. Jelas menunjukkan kelebihan dan kekurangan jika mengambil masa yang terlalu lama dalam membubarkan Parlimen.

Antara Harapan Baru,

Untuk kali ini, saya merasakan perlunya kita ke arah politik yang lebih matang. Bukan lagi politik yang bertunjangkan kepada fitnah-memfitnah, samseng, politik lucah dan sebagainya. Itu adalah satu sikap yang langsung tidak matang. Malah, ianya memburukkan lagi suasana politik di Malaysia.

Malahan itu juga, jika parti yang bertanding yakin mereka boleh membawa kebajikan pada rakyat. Saya sarankan perlunya polisi lawan polisi serta idea lawan idea dalam menunjukkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya. Bukan idea lawan samseng, atau idea lawan fitnah. Kerana takut apabila berkuasa, hak rakyat diabaikan hak kroni dipertingkatkan. Perkara ini sememangnya memalukan apatah pula Malaysia merupa negara yang gah dimata dunia.

Selain itu, hentikan politik samseng dan lucah. Hairan dan pelik, dalam suasana negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi apabila rakyat bangkit bersuara ada pula samseng-samseng yang berani melawan, memukul, jerkah dan sebagainya. Tambahan pula pelbagai klip video lucah dikeluarkan. Perkara ini tidak dinafikan tujuannya hanya untuk mengaibkan serta bertindak jahat dalam menjatuhkan lawan.

Secara peribadinya saya menyatakan kalau kita menjatuhkan pihak lawan dengan idea dan polisi kebajikan untuk rakyat. Rasanya tidak langsung masalah, malah bersaing dalam memberi kebajikan yang terbaik untuk rakyat sangat diperlukan. Dari kita melarang, menegah dan sebagai untuk rakyat melakukan. Sedangkan rakyat adalah tuan kepada kerajaan yang dipilih.

Pada saya sendiri tidak melihat pada mana-mana parti pun. Tetapi saya melihat kepada individu yang ingin dibawa untuk kebajikan rakyat. Jika melihat hanya sekadar kepada parti. Misalnya parti A, saya yakin dan percaya bukan semua di dalam parti A itu baik serta bagus, kononnya parti A yang ingin membawa pelbagai perubahan tetapi orang di dalamnya sedikit kekurangan, ianya menyebabkan sekadar kelebihan parti sajalah, bukan kepada calon yang bertanding.

Oleh itu, perlunya rakyat berfikiran terbuka serta kritis dalam memilih calon untuk dijadikan wakil. Ingat, jika dasar yang dibawa itu bagus semestinya pastikan juga orang yang membawa itu bagus. Jika tidak bagus ianya perlu ditolak sama sekali. Semuanya ini tidak lain tidak bukan hanya untuk menjaga kemaslahatan semua pihak.

Akhir kata,

Pada saya sendiri sebagai rakyat Malaysia yang belajar di luar bumi yang tercinta sentiasa inginkan kebaikan untuk negara dan juga rakyat. Saya sedih jika negara kita dikawal selia oleh orang yang tiada wawasan dan wibawa, takut-takut ianya membawa kepada kehancuran negara yang tercinta.

Secara peribadi saya impikan rakyat yang matang dan pandai dalam memilih kerajaan. Biarkan parti pembangkang mahupun parti kerajaan tidak berasa selesa kononnya merekalah yang akan kekal memerintah selama-lamanya. Jadi rakyat ada kuasa untuk menaikkan serta menurunkan kerajaan yang tidak menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Misalnya jika parti A naik, kemudian dia tak jaga kepentingan serta kebajikan rakyat, maka rakyat perlu turunkan parti A dan naikkan parti B. Apabila naiknya parti B tetapi juga sama. Maka rakyat tukar ke sebaliknya. Apa yang penting kebajikan dan hak kepentingan rakyat terjaga. Tetapi ada yang kata,

"jika main ubah-ubah nampaknya ekonomi kita tak akan maju."

Saya membalasnya mustahil tak maju, kerana apabila dengan naik turunnya kerajaan. Mesti parti sesama parti mereka bersaing untuk menunjukkan kebajikan yang terbaik kepada rakyat. Katakan parti A naik, parti B mesti fikir yang terbaik untuk diberi kepada rakyat bagi mengalahkan parti A. Sebaliknya jika parti B naik pun parti A juga sebegitu bagi menawan hati rakyat dalam usaha untuk memilih mereka.

Jadi sapa yang untung sekarang?

Fikir-fikirkan, renung-renungkan...

AshrafHadi
28.4.2013
Mafraq, Jordan. 

2 Apr 2013

Kembara UK Dan Paris


Pada cuti semester yang lepas, Alhamdulilah aku diberi kesempatan dan peluang oleh Allah SWT untuk pergi ziarah ke UK dan Paris. Sesungguhnya perkara ini tidak terduga sama sekali, apatah pula terfikir untuk pergi ianya langsung tidak terpahat di minda dan hati, tetapi Allah SWT yang maha kuasa, yang menentukan segalanya. Maka dapat jugalah pergi menziarahi bumi Allah yang jauh ke eropah, untuk melihat suasana dan kehidupan orang disana dengan mata kepala sendiri. 

Pertama Kali Di Bumi 'Orang Putih',

"Why you come to London?" Tanya pegawai imigresen Airport Gatwick kepadaku, semasa aku menyerahkan passport kepadanya. 

"Just Vacation," balasku pula.

"How long times you in London?" Tanya pegawai imigresen lagi kepadaku.

"12 days," jawabku lagi. 

"Where you go?" Tanyanya lagi kepadaku.

"London!" Balasku pula.

"Oh yeaahh, okey.." Katanya kepadaku sambil menghulurkan passport semula. 

Lalu aku mengambil passport ditangannya kemudian mengatur langkah keluar dari pintu imigresen Airport Gatwick. Alhamdulilah akhirnya aku berjaya melepasi pintu imigresen dengan mudah, tanpa sebarang masalah. Sebab ada orang kata, susah untuk melepasi pintu imigresen di Gatwick, tetapi aku sebaliknya pula. Semasa di airport aku sempat juga bersuai kenal dengan empat orang kakak yang belajar di UK dalam bidang farmasi. Ke-empat orang mereka belajar di Cardiff dan berada di tahun akhir.

Begitu peramah sekali sikap ke-empat orang mereka, telatah Kak Haslina yang periang, Kak Atiq yang mesra, Kak Izyan yang ceria orangnya, juga Kak Nadiah yang baik hati. Sungguh! Mereka sangat membantu aku semasa mulanya sampai ke UK. Mana tidaknya berjalan seorang diri, lalu istilah "malu bertanya sesat jalan" itulah yang aku gunakan. Maka lantas aku mengambil kesempatan bertanya mereka, untuk permulaan perjalanan aku ke Leicester. Selesai di Airport, terus aku menaiki bas ke Victoria London. 

Perjalanan bas dari Airport Gatwick ke Victoria Station, dan kemudian dari Victoria terus ke Leicester mengambil masa kesemuanya dalam 5 jam. Memandangkan perjalanan bas dalam pukul 8 pagi dari Victoria menyebabkan aku hanya tidur sahaja. Barangkali keletihan sama akibat semalaman dalam kapal terbang. Apabila sedar, akhirnya dah sampai pun ke Leicester, lalu aku menumpang rehat di rumah Nazmi rakan sepengajian di Jordan dan sekarang dia menyambung belajar master di UK.

Semasa di Leicester sempat juga aku menziarahi institut pengajian tinggi islam di UK, iaitu MIHE singkatan dari The Markfield Institute of Higher Education. Institut pengajian ini terkenal dengan pengajian islam. Pelajar Malaysia yang mengambil bidang pengajian islam atan perbankkan juga terdapat di situ. Termasuk juga si Nazmi yang juga menyambung pengajian masternya di MIHE.


Tertarik pabila melihat suasana MIHE ianya bagaikan sebuah institut pengajian dalam taman. Yang mana tempatnya pula seperti di dalam hutan lipur, sunyi sepi. Hanya bunyian burung yang terjah di telinga. Begitu sesuai dalam suasana pembelajaran sebegitu. Tempatnya pula tidaklah sesibuk seperti kota ibu bandaraya. Ianya sebuah kawasan metropolitan yang biasa tetapi suasananya yang tidak kelam kelibut. 

Manchester Dan Liverpool,

Selepas aku berada di Leicester, terus kembaraku menuju ke dua bandar yang gah dengan pasukan bola sepak, iaitu Manchester dan Liverpool. Tak usah berkata panjang, sebut nama sahaja pun orang dah tahu. Ianya merupakan antara destinasi wajib apabila orang yang berziarah ke UK untuk pergi ke sana. Kedua tempat ini popular dengan pasukan bola sepak yang terkenal di seluruh dunia. Terutamanya juga bagi peminat bola sepak antarabangsa.

Perjalanan menaiki train dari Leicester ke Manchester mengambil masa dalam 2 jam 30 minit untuk sampai ke Piccadilly Station. Apabila turun sahaja dari train, aku melihat suasana di Manchester agak laju dengan perjalanan orang yang berpusu-pusu berjalan. Keadaan agak bingit dan bising dengan suara pengumuman dan suara orang yang bercakap tanpa memperdulikan orang yang lain. 

Aku melihat mereka lebih suka membuat kerja masing-masing tanpa memperdulikan orang yang lain. Berkemungkinan itu sikap mereka, jadi mataku lirik memerhati bumi Manchester yang buat pertama kalinya aku sampai. Aku membaca singboard yang tertulis University Of Manchester, serius aku begitu kagum. Terasa untuk juga aku jejak kaki ke sana, tetapi akibat kesuntukkan masa menyebabkan terus aku mengambil metro untuk pergi ke stadium Old Trafford.

Apabila sampai sahaja di stadium Old Trafford bagaikan tidak percaya. Stadium yang begitu gah dan terkenal di seluruh dunia, dapat juga aku melihat secara live di depan mata. Aku sampai dalam keadaan waktu petang dan hujan renyai-renyai. Maklumlah di UK berada dalam waktu musim sejuk serupa juga seperti di Jordan. 

Selesai sahaja melawat di Manchester, juga sempat berjumpa dengan kawan yang belajar disana. Tidak lama selepas itu terus aku pergi ke Liverpool dengan menaiki bas. Perjalanan waktu malam membuatkan mataku terpejam di dalam bas. Masa yang di ambil hanya 45 minit untuk sampai Liverpool dari Manchester. 

Apabila sampai jam menunjukkan pukul 8 malam, keadaan cuaca agak sejuk, manakala darjah kedudukan Liverpool bersebelahan dengan pantai. Maka tidak hairanlah jika cuaca dingin dengan tiupan angin yang kuat. Keesokkannya, di awal pagi. Aku keluar ziarah bersama Abrar, kawanku yang belajar di University Of Liverpool dalam bidang kejuruteraan, juga turut bersama dengan Nazmi. 

Persekitaran di Liverpool begitu baik, dengan melihat kawasannya begitu bersih serta tidak penuh dengan sampah sarap. Tertariknya apabila Abrar memberitahu bahawa ada nama 'melayu' di Liverpool. Mereka antaranya kumpulan yang awal datang ke Liverpool. Waktu itu aku tertanya-tanya, adakah mereka itu pelajar? Ataupun pelancong yang awal datang ke Liverpool? Perasaan ingin tahu ketika itu sangat mebuak-buak.

Akhirnya Abrar membawa aku ke satu persisiran pantai berdekatan dengan Muzium Liverpool. Disitu terdapat satu tugu yang memperingati akan sebuah kapal laut yang karam, jika tak silap aku. Terpahatlah nama-nama anak kapal yang karam itu. Juga terdapat nama melayu disitu. Ini yang aku bangga, melayu bukan hanya di nusantara tetapi melayu di serata dunia. Tugu itu menjadi bukti yang kekalnya terpahat nama orang melayu.
Nama orang melayu yang terpahat di tugu.
Selepas itu terus aku ke stadium Anfield, merupakan stadium bagi pasukan Liverpool. Disana aku tidak lama, kerana memandangkan mengejar masa untuk patah balik ke London. Hanya sekadar tinjau di luar dan bergambar. Stadium Anfield agak biasa dari stadium Old Trafford di Manchester, mungkin stadium itu sudah lama berbanding dengan stadium Old Trafford. Dan apabila memandang diluar pun sudah dijangka kapasiti stadium Anfield agak kecil berbanding Old Trafford. 

Akhir selepas ziarah ke Manchester dan Liverpool aku bergegas pulang London kerana keesokkan harinya aku akan ke Paris, dengan menaiki kapal terbang di Airport Luton. Tiba di London pada waktu malam, keadaan cuacanya agak sejuk dan dingin. Sempat juga berjumpa rakan-rakan di Malaysia Hall dan mengadakan sedikit diskusi disana, Alhamdulilah selesai sudah diskusi, terus menunggu keesokkannya untuk pergi ke Airport Luton dari Victoria Station. 

Peristiwa di Airport Luton

Penantian di Airport Luton sangat membosankan, Nazmi berlepas dengan Syakir ke Berlin. Manakala aku akan ke Paris seorang diri. Menanti di balai perlepasan seorang diri membuatkan aku mati kutu. Tidak tahu apa yang ingin dilakukan, semua orang asyik membaca majalah ataupun mendengar lagu.

Selesai sahaja melepasi pintu keselamatan di Airport Luton terus aku menanti seorang diri di balai perlepasan. Akhirnya pintu gate untuk masuk ke
dalam pesawat yang akan berlepas dari London ke Paris pun dibuka, semua orang bergegas pergi beratur untuk memasuki pintu gate. Kedengaran juga suara di corong pembesar suara memaklumkan akan pesawat yang bakal aku naiki.

Lantas diri ini pun bingkas bangun. Tiba-tiba satu perkara yang tidak di ingini berlaku. Tanpa ku sedari passport dan boarding pass aku hilang entah kemana. Masa lagi setengah jam akan berlepas. Pintu gate sudah pun dibuka. Membuatkan sedikit debaran terasa. Itulah orang kata nyawa untuk aku berjalan ke sana sini. Argh! kemana pergi? Bentak hati kecil sambil mata ligat mencari.

Pada waktu itu perasaan aku hanya Allah yang tahu, walaupun riak muka tidak cemas tetapi di dalam hati penuh dengan doa memohon pertolongan dari Allah, ditambah pula mulut terkumat kamit membaca kalimah suci al-Quran dengan harapan supaya mendapat pertolongan dari Allah. Tengah aku ligat mencari sambil berjalan ditempat aku duduk tadi, tak semena aku disapa,

"This your passport?" Tanya salah seorang pegawai polis sambil menunjukkan passport kepadaku.

"Yeaaah! this is my passport" Tangkas aku menjawabnya.

Lalu dia meneliti gambar yang terdapat dalam passport sambil melihat wajahku.
Kemudian dia menyebut namaku dalam dialek english UK yang ku rasa agak lucu pabila mendengarnya. Akan tetapi aku tunggu sehinggalah dia menyerahkan passport sambil menasihati supaya lebih berhati-hati. Lantas aku pun mengambilnya lalu mengucapkan berbanyak terima kasih. Sambil aku mengalas beg dan mengatur langkah ke pintu gate.

Alhamdulilah ujian dan pengalaman passport hilang seketika membuatkan aku terfikir bagaimana boleh hilang, di dalam pesawat semasa penerbangan langsung aku tidak henti-henti memikirkan dimana salah silapnya, akhirnya aku tidak dapat jumpa jawapan, hingga aku simpulkan mungkin ianya tercicir tanpaku sedari. Ini menjadi pengalaman yang manis dan bahagia buat diriku.

Passport yang hilang seketika membuatkan ianya adalah pengalaman yang bahagia, mati kutu seorang diri tanpa ada orang malaysia yang lain, membuatkan ianya betul-betul mencabar. Katakan jika aku masih tak jumpa membuatkan perjalanan aku untuk ke Paris akan terkandas, juga menyebab beberapa masalah akan timbul. Tetapi pengaturan Allah itu cantik, hilang sekejap sahaja menyebabkan sebagai ingatan untuk aku lebih berhati dan sentiasa beringat di masa hadapan.

Lambaian Paris Kota Idaman Cinta,

Pertama kali sampai ke Paris aku terpinga-pinga. Keluar seorang diri dari pintu imigresen Airport Charles De Gaulle (CDG) terus aku mencari jalan keluar. Lalu aku menyapa seorang lelaki yang duduk di bangku ketibaan di Airport CDG.

"Sorry, can you help me?" 

Wajahnya hanya memerhati kemudian dia buat tak reti, seolah-olah tak dengar apa yang aku kata. Amboi belagaknya, detus di dalam hati kecil aku. Tiba, lantas aku teringat akan nasihat abang aku yang berkata, orang Paris tak suka jika kita bercakap di dalam bahasa inggeris, mereka lebih suka aku bercakap menggunakan bahasa mereka.

Pelik juga, kenapa tak suka? Walhal itu adalah bahasa pengatar dunia. Tetapi bila difikirkan semula ada bagusnya juga, kekalkan bahasa mereka supaya mereka berpegang dengan identiti mereka sendiri. Berbangga dengan bahasa ibunda mereka, manakala kalau di Malaysia pula sangat pelik, bahasa inggeris yang dibanggakan tetapi bahasa melayu dianak tirikan. Sebab itu tidak hairan orang melayu jawab peperiksaan bahasa melayu belum tentu cemerlang!

Argh! Kemudian aku meninggalkan lelaki yang duduk di bangku. Lalu aku pergi ke seorang lelaki yang berdiri pula. Wajahnya agak tua, tetapi badannya agak biasa, tidak gemuk dan tidak pendek. Sekali tengok macam arab pun ada. Lalu aku bertanya pula kepadanya,

"Asif ya ammu, ana fi soal," tanyaku dalam bahasa arab.
(Terjemahan: Maaf wahai pakcik, aku ada soal)

"Aiwah, tafaddol." Balasnya dalam bahasa arab.
(Terjemahan: Ok, silakan)

"Aina hafilah au qitor ila Saint-Lazare?"
(Terjemahan: Dimana bas atau keretapi untuk ke Saint-Lazare?)

"Anta musafir? Hal anta awal mar'ah ila Faransa?"
 (Terjemahan: Kamu musafir? Adakah kamu pertama kali datang ke Perancis?)

"Na'am! Balasku pula
(Terjemahan: Ya!)

Kemudian dia pun membantu aku meunjukkan jalan untuk ke pintu keluar bagi mencari bas ataupun train ke Saint-Lazare. Rupanya di Perancis ini ramai juga orang arab dari Algeria yang datang, memandangkan Algeria hanya bertentangan dengan negara Perancis. Tetapi aku tidak melangkah keluar, cumanya aku menunggu seorang ikhwah pelajar Malaysia iaitu Yaacob yang mana tika itu dia sedang buat praktikal di Paris dalam bidang kejuteraan.

Alhamdulilah perkenalan yang singkat dapat juga aku berjumpa dengannya, dan dialah membawa aku berjalan sekitar Paris dan menemani aku serta menghantar ke Saint-Lazare untuk aku ke Le Havre berjumpa dengan Adam Syafiq, kenalan sepengajian senegeri di Perlis pada peringkat menengah. Sekarang Adam menyambung pengajianya di Perancis dalam bidang ekonomi.

Perjalanan dari Paris ke Le Havre mengambil masa 2 jam dengan menaiki kereta api. Alhamdulilah aku sampai ke Le Havre dalam pukul 11 malam. Waktu itu cuaca agar dingin, manakala Le Havre bandar perlabuhan yang bersebelahan dengan pantai laut yang memisahkan antara London dan Perancis. Le Havre juga jauh ke barat Perancis, hanya tiga orang pelajar Malaysia sahaja di situ. Berbanding di tempat-tempat yang lain.

Melihat bandar perlabuhan ini tidaklah sesesak seperti di Paris. Cumanya ianya penuh dengan kapal-kapal dagang yang berlabuh di pantai dan laut. Seronok tika mana berada di pantai Le Havre, dengan tiupan angin yang sedikit kencang, membuatkan diri ini terpana melihat ciptaan Allah SWT. Akhirnya selesai ziarah Adam di Le Havre selama dua hari, terus aku patah semula ke Paris.

Eiffel Tower,

Pertama kali melihat Eiffel Tower dihadapan mata, sangat tertarik dengan keunikannya. Ianya menjadi satu mercu tanda bagi negara Perancis sendiri. Mengikut sejarah yang diceritakan, menara Eiffel Tower terbina dengan rangkaian 18,083 besi yang dibagunkan sekitar 1887 hingga 1889. Dibina untuk merayakan Seabad Revolusi Perancis,  pada mulanya ianya dikritik hebat oleh rakyat Perancis sendiri, para seniman mempertikai akan kesenian binaan juga termasuk arkitek pada masa itu, yang juga mempersoalkan akan kekukuhannya.

Nah! Sekarang ini Eiffel Tower menjadi satu kebanggaan kepada Perancis, walaupun diawal pembinaan di kecam hebat, tetapi sekarang menjadi salah satu faktor mercu tanda bagi negara Perancis sendiri. Dengan kehadiran pelancong yang melimpah ruah saban tahun. Akan tetapi umat islam pula berbangga dengan Kaabah yang menjadi mercu tanda sebagai kota suci dan rumah Allah. Menunjukkan ianya adil apabila Allah tetapkan sesuatu perkara itu. Mereka berbangga dengan Eiffel Tower, kita berbangga dengan Kaabah.

Arch de Triomphe,


Arch de Triomphe dikatakan sebagai tugu negara bagi Perancis, tetapi entah aku pun tidak pasti. Ianya didirikan oleh Napoleon pada tahun 1806 sebagai simbol kemenangan Perancis, tetapi Napoleon digulingkan sebelum bagunan ukiran ini siap dibagunkan. Oleh sebab keunikkan Arch de Triomphe ini ianya sentiasa dilawati oleh ramai pelancong, serta antara yang menjadi tempat wajib untuk melawat atau bercuti di Paris.

Muzium Du Louvre,


Muzium ini terkenal dengan penyimpanan gambar Mona Lisa yang asli. Tetapi aku pun tidak pasti akan kesahihan gambar Mona Lisa yang popular itu. Kerana banyak riwayat menyatakan ianya sudah di curi, dan ianya bukan berada di muzium tersebut. Jika nak memperbahaskan ianya merugikan masa kerana, bukan bidang aku untuk mempertikaikan. Cukup sekadar mengikut apa yang orang kata, jika itu benar-benar gambar Mona Lisa maka beruntunglah diriku ini iaitu secara live dapat melihat gambar Mona Lisa.

Grande Mosquée de Paris,

Terjemahan bermaksud "Masjid Raya Paris." Adalah sebuah masjid yang terletak di Arondisemen Ve. Masjid ini didirikan setelah Perang Dunia I, sebagai tanda terima kasih Perancis kepada tirailleurs Muslim dari koloni yang turut berperang melawan pasukan Jerman. Masjid ini dibangun mengikuti gaya mudéjarMenaranya memiliki tinggi 33 meter. Masjid ini dirasmikan oleh Presiden Gaston Doumergue pada tanggal 15 Julai 1926. Masjid Raya Paris sekarang ini dipimpin oleh mufti Dalil Boubakeur, yang juga menjawat sebagai presiden Dewan Muslim Perancis yang dibentuk tahun 2002.

Alhamdulilah, sempat juga melawat masjid yang dikatakan masjid yang pertama dibina di Paris, Perancis. Menjadi pusat orang islam berkumpul dan bersolat. Serta dibuka juga untuk orang awam melawat, apabila tiba waktu solat pintu ditutup. Orang bukan islam tak dibenarkan melawat, selepas selesai solat maka ianya dibuka semula.

Ruang Legar Masjid Raya Paris
Terdetik dalam hati perasaan bangga. Kerana masjid ini menjadi institut orang islam di Perancis. Sempat juga bersembang dengan beberapa orang islam yang menjaga masjid tersebut, kebanyakkan mereka orang arab dari Algeria. Maka mudahlah untuk aku berinteraksi dengan mereka. Disitu juga terdapat beberapa kelas agama kepada orang yang ingin mendalami ilmu agama islam dengan lebih mendalam.

Kemesraan orang islam yang menjaga masjid pertama di Paris itu terserlah dengan mereka mempelawa aku dan Yaacob untuk minum kopi arab yang dibawa dari Algeria. Alhamdulilah, sempat bersembang serba sedikit dan bertanya kepada mereka semua. Terlintas dalam kepala akan ayat Allah yang menyatakan, "sesungguhnya orang islam itu bersaudara."

Sacred Heart Church,


Sacred Heart Church adalah gereja yang tertua di Paris. Bentuk binaannya seperti masjid pun ada, jika pada mulanya memandang, tetapi apabila berkali-kali melihat maka dapatlah bezakan ianya ada gereja. Ukiran yang penuh dengan kesenian dan menarik menjadi tarikan kepada pelancong yang berpusu-pusu hadir, tambah pula aku melawat tika itu mereka ada majlis, maka penuhlah orang di dalam dan luar gereja. Sempat juga kaki melangkah masuk ke dalam gereja itu. 

Melihat suasana ukiran dalam dan luar amatlah cantik sekali, tetapi terlintas di dalam hati perasaan kesian dan sedih dengan mereka yang tidak diberikan hidayah oleh Allah. Mereka berada diatas bangku dan dihadapan terlihat seorang sosok tubuh lelaki yang dikira sebagai ketua paderi. Tidak mengapa, wajahku hanya memerhati dan hatiku  merintih kesedihan. Akhirnya aku tidak lama dalam gareja kerana upacara majlis mereka akan bermula tidak lama lagi. Lantas ku melangkah kaki ke pintu keluar.
Patah Balik Ke London,

Alhamdulilah selama 4 hari di Perancis, akhirnya aku patah semula dari Paris ke London. Sampai di London waktu petang, cuaca pun dingin ditambahkan hari pun sudah nak malam. Aku menaiki bas dan turun semula ke Victoria Station, dan mengambil train underground untuk ke Bayswater dan menginap di sana.

Keesokkannya, aku dibawa berjalan pusing sekitar London oleh Aiman, juga merupakan pelajar jurusan akauntan di London. Orangnya mesra dan peramah, merupa sahabat yang juga baru dikenali. Mulanya aku dibawa pergi ke menara jam Big Ben. Sejarah menara jam Big Ben telah dibina dari sebahagian rekaan Charles Barry untuk istana yang baru selepas Istana Westminster lama telah dimusnahkan dalam kebakaran pada malam 16 Oktober 1834. Menara jam Big Ben mula berdetik pada tanggal 13 Mei 1859. 

Dan sekarang Big Ben yang berhadapan dengan sungai Thames juga menjadi kompleks parlimen untuk ahli parlimen bersidang. Menara jam itu menjadi tarikan utama kepada pelancong yang bercuti ke London.

Buckingham Palace,

Buckingham Palace merupakan kediaman rasmi dan tempat kerja utama raja British sejak dari tahun 1837. Terletak di bandar Westminter. Istana ini juga merupakan tempat acara rasmi bagi pihak Diraja British. Jadi jika sebarang urusan rasmi yang melibatkan antara negara dan raja, maka tempat inilah dijadikan medan untuk mereka berjumpa. Protokolnya juga sama seperti di Malaysia, jika tidak di Putrajaya maka di Istana Negara pun dijadikan tempat perjumpaan rasmi. 

Arsenal Dan Tower Bridge,


Sempat juga Aiman membawa aku ke Arsenal. Pasti ramai yang tahu Arsenal, yang mana merupakan pasukan bola sepak yang terkenal di dunia. Pabila sampai sahaja, terkebil juga biji mata melihat stadiumnya yang besar dan baru itu. Belum masuk pun dah tahu mesti besar punya. Nasib baik apabila kami sampai tidak ramai orang yang datang melawat.

Alhamdulilah di Arsenal kami tidak lama, memandangkan waktu kian petang, lantas aku dan Aiman ke Tower Bridge untuk menikmati suasana malam disana pula. Sampai disana waktu kian malam, angin sepoi-sepoi bahasa. Menjadikan suasana romantik, penuh dengan orang berjalan ke hulu ke hilir. Sedikit mengenai Tower Bridge dibina sekitar 1886-1894, merentasi sungai Thames. 

Ini juga merupakan tempat yang menjadi tumpuan untuk dilawati. Juga dikira sebagai mercu tanda bagi London sendiri. Sungguh menarik melihat kecantikkan cahaya lampu yang bersinar-sinar diatas jambatan Tower Bridge membuatkan mata berseri-seri memerhati.

Bertolak Pulang Dan Ibrah,

Selesai sahaja melawat disekitar London, keesokkanya terus aku ke Guildford untuk berjumpa dengan kawan yang belajar di University Of Surrey, juga turut bermalam disana satu hari sementara menunggu keesokkannya untuk bertolak pulang balik ke Jordan. Sangat berterima kasih dengan Shafiqahtul, Anwar, dan Osman serta seorang lagi sahabat mereka.

Mereka sangat baik hati, merasai seolah seperti berada di Jordan pula. Dengan layanan mereka membuatkan naik segan aku dibuatnya. Jadi keesokkanya terus aku ke Airport Gatwick dan bertolak pulang. Inilah pengalaman pertama kali aku sampai ke UK dan Paris yang mana aku rasa adalah anugerah dan hadiah dari Allah, tambahan pula dekat dengan hari kelahiran aku. Perkara yang aku tak sangka akhir jadi dengan nyata.

Ibrah yakni pengajaran yang aku ambil semasa kembara ini, aku sisipkan sebagaimana firma Allah SWT yang bermaksud,

Katakanlah: “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu (Al Ankabut : 20).

Dari ayat inilah aku smartkan dalam diri, berjalan bukan semata-mata kerana keseronokkan sahaja. Tetapi supaya apa yang dilihat akan sentiasa ingat akan kebesaran Allah SWT. Sesungguhnya semua yang ada di bumi ini adalah hak milik-Nya. 

Oleh itu antara ibrah yang menarik aku pelajari, iaitu sikap disiplin orang barat di UK. Mereka sangat disiplin dengan masa terutamanya. Sikap mereka yang boleh ikuti sistem yang diberikan. Sekali pandang macam robot pun ada. Tetapi dengan disiplinnya mereka itu lahirlah satu sistem yang sistematik untuk mereka turuti dan dan mereka berbangga. Maka tidak hairanlah mentaliti mereka jauh terkehadapan dari masyarakat Malaysia sendiri.

Selain itu, budaya membaca. Tertarik aku apabila diberikan senaskah akhbar secara percuma. Apabila aku melihatnya hampir keseluruhan mereka orang barat suka membaca. Baik di mana sahaja mereka berada. Ini adalah nilai yang aku rasa patut disemai dalam diri. Malah sikap positif begini sepatutnya perlu diamalkan. Jika nak di compare kan dengan negara islam terutamanya dengan Jordan, sungguh ianya amat jauh sekali. 

Akhirnya apa yang ingin aku kata, aku melihat sendiri di barat sistem islam diamalkan disana dengan suasana budaya kehidupan mereka yang disiplin dan sistematik, tetapi aku tidak lihat pula di tanah arab. Jadi inilah dikatakan orang bukan islam mengamalkan cara hidup islam, manakala orang islam pula sebaliknya. Oleh itu dengan ini, ayuh kearah mentailiti yang kelas pertama! Semoga kita dapat jadi orang islam yang hidup mengamalkan cara islam. 

AshrafHadi
2.April.2013
Mafraq, Jordan.