قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

18 Nov 2012

Kebebasan Agama Atau Murtad?


Kelmarin berlangsungnya perbincangan ilmiah dan perjumpaan sesama ahli Kelab Oratorian Prisma, Mafraq Jordan. Dimulakan dengan pengenalan kelab dan sebagainya. Apa yang menariknya, semasa perbincangan ilmiah di buka untuk di bincangkan. Saudara Abdullah Suady memulakan dengan memetik isu Nurul Izzah, MP Lembah Pantai,  yang sedang hangat diperkatakan.

Lantaran itu dia berkata secara peribadi. Dia amat bersetuju jika seseorang warganegara, yang  beragama dengan tidak meletakkan status agama dalam kad pengenalannya secara formal sebelum berusia 18 tahun.  Hingga berumur 18 tahun, mereka diberi pilihan untuk menganut agama yang dipilih. Tetapi dengan syarat diperkuatkan dengan pendidikan.



***
Bukan kenyataan Saudara Abdullah Suady yang saya mahu bincangkan, cumanya saya memetik untuk dijadikan bebanan soalan kepada pembaca supaya memikirkan apakah adanya pro dan kontra dalam kenyataan tersebut?. Saya tinggalkan kepada pembaca sekalian, cumanya sekarang mari kita fokuskan tentang tajuk yang hendak diperkatakan, mari selami dan fahami intisari yang hendak diperkatakan ini.

Tiada Paksaan Dalam Agama,

Istilah tiada paksaan dalam agama ini begitu sinonim diperkatakan, semua memahami bahawa islam tiada paksaan. Berdasarkan ayat dalam surah Al Baqarah ayat 256,

                                                              لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ
                                       ( Maksudnya: Tiada ada paksaan di dalam agama)

Malahan itu, merujuk ayat sedemikian ada yang menyatakan bahawa islam tiada memaksa juga "penganutnya" untuk memilih agama yang lain. Dalam kontesk bahawa ini adalah kebebasan beragama. Juga melihat bagaimana, jika melayu yang baru sahaja lahir secara tidak dapat tidak mesti menganut agama islam.

Walhal dalam agama islam ianya tiada paksaan sekalipun untuk menganut agamanya, lebih mudah memahami bahawa kita orang melayu hanya menjadi agama islam sebagai agama keturunan yang terus mengikut. Justeru jika kita memberi kebebasan agama untuk kita memilih agama barulah selaras apa yang di firmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 256. 

Pada saya, ini adalah salah sama sekali dalam mentafsirkan ayat di dalam surah Al -Baqarah 256, mereka yang menyatakan dengan ayat ini menunjukkan islam tidak memaksa umat manusia untuk menganut agamanya, serta pengikut agama islam juga boleh memilih agama yang disukai. Ini adalah tafsiran yang salah sama sekali. 

Sebelum memahami ayat tiada paksaan di dalam agama, mari rujuk dahulu akan kitab tafsir yang lain juga menceritakan ayat dengan melihat nuzul ayat dan syarahnya.

Diantara sebab nuzul ayat.

وروى الواحدي عن مجاهد، قال: نزلت هذه الآية في رجل من الأنصار، كان له غلام أسود، يقال له: صبيح، وكان يكرهه على الإسلام.
Diriwayatkan dari al-Wahidi dari Mujahid dia berkata: Ayat ini diturunkan kepada seorang lelaki dari kalangan Ansar, dia memiliki seorang budak yang hitam kulitnya dan dia memaksa budak tersebut memeluk Islam.
Dan juga Ibn Katsir juga menyebut,
 إن ابن كثير ذكر في "تفسيره" أن الآية، وإن كانت قد نزلت في قوم من الأنصار، إلا أن حكمها عامٌّ. وما ذكره ابن كثير موافق لقاعدة: العبرة بعموم اللفظ، لا بخصوص السبب.

Sesungguhnya Ibn Katsir menyebut di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azhim: Sekalipun ayat ini turun pada kalangan kaum Ansar, namun hukumnya bersifat umum. Dan apa yang dinyatakan oleh Ibn Katsir bertepatan dengan kaedah: Di ambil ibrah dengan umumnya lafaz, tidak dengan khususnya sebab.

(Ayat al-Wahidi dalam Tafsir al-Wahidi. Ayat Ibn Katsir dalam Tafsir al-Quran al-Azhim.)

Justeru itu, dua penghuraian dan syarah yang diberikan, maka disimpulkan bahawa. Tidak boleh sama sekali, untuk kita memaksa orang kafir memeluk agama islam. Dan jika ditafsirkan untuk dikatakan sebagai kebebasan beragama oleh penganut agama islam itu sendiri sebenarnya salah!

Ayat ini diguna pakai pada orang yang kafir untuk tidak memaksanya sama sekali menariknya supaya memeluk islam. Sebagaimana juga, di dalam sirah menyatakan bagaimana islam berperang dan menang menawan musuh. Tawanan diberi pilihan samada memeluk agama islam, atau membayar cukai yang dikenakan. Itu barulah menunjukkan bahawa tiada paksaan di dalam agama. Dan inilah contoh yang Rasulullah SAW tunjukkan tanpa memaksa tawanan memeluk agama islam. 

Bagaimana Pula Dengan Melayu Islam?,

"Kami tidak pernah terlintas untuk memeluk agama islam pun!"

"Sedar-sedar, tertulis di I/C kami melayu beragama islam."

Antara dailog yang akan diperkatakan, bilamana dikatakan melayu islam hanya keturunan dan bukan kerelaan dengan sepenuh hati. Apabila mak ayah melayu, maka secara automatik si anak menjadi melayu dan islam. Mengapa?

Merujuk kepada Artikel 160 Perlembagaan Malaysia, mentakrifkan bahawa pelbagai istilah diguna pakai 
dalam perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Itu takrifan menurut perlembagaan berdasarkan Perkara 160 (2), yang menunjukkan bahawa melayu islam keturunan yang dikatakan ialah mesti beragama islam. Jika melayu yang keluar dari agama islam, maka terbatallah melayunya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Inilah satu syarat yang positif dalam menilai mengapa melayu mesti islam.

Jika orang melayu yang memohon untuk keluar dari islam, maka akan terbatal melayunya kemudian bukan mudah untuk menerima pakai pemohonan seseorang yang ingin keluar dari agama islam, terutamanya dalam kalangan masyarakat melayu. Kaedah kaunseling yang diberikan kepada golongan murtad juga untuk menarik minat kembali, kepada yang ingin menukar agama supaya kembali kepada islam yang sebenarnya.

Justeru, bukan terus menghukum kepada si murtad itu ataupun mudah menerima penukaran agama islam dari agama lain. Melainkan si murtad itu tukar secara senyap sepi tanpa meminta mana-mana pihak menukar agamanya ianya tiada langkah susulan yang diambil dari pihak yang berwajib. 

Maka dengan itu, tidak dapat tidak melayu yang dikatakan islam hanya mengikut keturunan itu bukanlah secara paksa dan sebagainya. Ini kerana peruntukkan Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia pun sendiri menyatakan melayu mestilah beragama islam. Justeru menyelamatkan kemurtadan dalam kalangan orang melayu. Dan juga bukan dikatakan sebagai islam secara keturunan dan terpaksa.  

Kebebasan Agama,

Mahukan kebebasan agama itu, islam meraikan dengan menyatakan bahawa agama lain boleh berjalan seperti biasa. Boleh juga mengamalkanya seperti biasa. Tetapi jika ianya akan berlaku terancam kepada umat islam terutamanya, maka dengan cepat islam akan menyakatnya. Agama lain bebas menganuti agama masing-masing dengan syarat di mengacam agama yang lain , juga islam. 

Firman Allah SWT,

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya...
(Al Khaf:29...)

Ayat ini jelas menunjukkan kebebasan agama yang dianjurkan dengan tidak memerangi orang yang tidak mahu menganut agama islam. Kesopanan islam dan hikmahnya dengan meraikan agama yang lain ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebagainya dengan mengizinkan orang kafir untuk tinggal di Madinah, melainkan mereka mengacam keselamatan umat islam di Madinah menyebabkan mereka diusir keluar.

Menunjukkan juga, bahawa kebebasan agama itu ada dengan meraikan orang agama yang lain menganuti agamanya. Tetapi jika kebebasan agama itu dikira dan dinilai bahawa penganut agama islam bebas menganuti agama yang lain itu adalah salah! Kerana  islam bukanlah agama yang seperti lampin pakai buang. 
Bukan suka-suka untuk masuk kerana kepentingan sahaja, tetapi ianya islam yang masuk dengan kerelaan tanpa memaksa.

Akhir Kalam Dan Kesimpulan, 

Sebenarnya, kebebasan agama dan murtad ini adalah satu perkara yang berbeza. Islam menjaga umatnya dengan memberi ruang dalam menilai pelbagai aspek disetiap posisi. Islam tidak mudah-mudah melepaskan umatnya dari terpesong jauh. Melainkan jika umat islam itu keluar secara senyap dan tidak mengancam yang lain, itu mungkin akan tidak diketahui, tetapi percayalah! Allah Maha Mengetahui!

Tidak boleh sama sekali kita menggunakan alasan tiada paksaan di dalam agama, menyebabkan kita meninggalkan kewajipan yang dituntut dalam islam. Juga memilih untuk menukar agama yang lain, melainkan ayat itu hanya dituju khas kepada golongan kafir dengan menunjukkan bahawa islam itu fleksibel dalam meraika agama yang lain. 

Justeru itu, menyelamatkan akidah umat islam yang terpesong juga perlu dengan lebih kuat dan semangat, kerana keadaan masyarakat Malaysia yang sekarang ini semakin tenat. Disamping itu, jika kita menyebut untuk menyelamatkan akidah islam, jangan lupa juga untuk kita menyelamatkan Malaysia bebas dari kuropsi, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah yang tidak berlaku adil kepada rakyat.

Oleh itu, jika kedua-duanya selamat barulah masalah yang menjadi barah dalam masyarakat dapat diubati dalam usaha melahirkan, masyarakat yang maju dan berilmu. Serta dapat mengurangkan segala kekusutan yang dialami di dalam negara Malaysia tercinta.

AshrafHadi
18.11.2012
Mafraq Jordan.

0 comments:

Catat Ulasan