قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

14 Okt 2012

Remaja Dan Realiti


Jika diawal permulaan islam, golongan remaja dan pemuda merupakan golongan yang sangat berwawasan, berani dan bermatlamat. golongan ini adalah antara penggerak utama gerakan Islam. Saidina Ali antara contoh terbaik kepada para-para remaja Islam. Pemikiran Saidina Ali yang kritis dan matang menjadi simbol kehebatan remaja Islam dizamannya. Pernah ditanya kepada Saidina Ali, kenapa memeluk agama Islam tanpa lebih dahulu mendapat izin ayahnya,

Saidina Ali menjawab, “apa perlunya aku bermesyuwarah (berbincang) dengan ayahku, demi untuk mengabdi kepada Allah.”

Remaja merupakan satu golongan yang boleh diumpamakan seperti gunung berapi yang bila-bila masa akan meletus laharnya. Ini kerana golongan remaja sukar di duga dan sukar dikawal. Realitinya sekarang ramai remaja hanyut, umpama hanyut di tengah lautan tanpa mempunyai arah tujuan yang jelas. Mereka hidup kerana untuk keseronokan dan untuk berfoya-foya dengan kemewahan harta benda. Hidup mereka tanpa memikirkan tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan mereka sebagai remaja Islam. 

Para pemuda Islam pada hari ini seperti langit dan bumi jurang perbezaannya dengan pemuda dizaman kegemilangan Islam. Mungkin tidak terlintas di dalam fikiran seorang pemuda Islam hari ini untuk mendapatkan bidadari secantik Ainul Mardhiah, ataupun bidadari daripada bidadari syurga. Rasulullah pernah memberi targhib (berita-berita gembira untuk menguatkan semangat) kepada sahabat, sesiapa yang keluar ke jalan Allah, maka ia akan di anugerahkan seorang bidadari syurga.

Ibrah Dari Cerita Ainul Mardhiah,

 Al-kisah, Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari yang lain di syurga. Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya, siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari di syurga.

 Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut. Tetapi dia malu untuk bertanyakan kepada nabi serta juga malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah sorang yang akan keluar/pergi berperang. Sebelum Zohor sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah) maka sahabat yang muda turut bersama jemaah tadi turut serta tidur bersama-sama.

 Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya, dimanakah dia? Lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lantas dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah. Maka ditunjuknya di suatu arah dan berjalanlah dia.

Di satu pohon, beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu, dan tak pernah dilihat di dunia ini. Lalu diberinya salam dan dia bertanya kepada wanita tersebut,
           
            Assalamualaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya khadamnya, Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana,” jawab wanita tersebut.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata perhiasan di dalam mahligai. Juga diberi salam dan di tanya lagi, adakah dia Ainul Mardiah kepada wanita itu,

Assalamulaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana.” Balas wanita di dalam mahliga itu.

Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikkannya sungguh mengkagumkan. Dan dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua.  Tak pernah dia lihat di dunia, lalu wanita itu berkata,

“Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu, dan kamu diciptakan untuk aku.” 

Bila lelaki itu mendekatinya, lantas wanita itu menjawab,

“nanti!! kamu belum syahid lagi..”

 Tersentak pemuda itu dan terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi Muhammad SAW. Tapi sekiranya dia mati syahid barulah ceritakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah mati syahid. Petang itu, ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi).

 Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Rasulullah SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang syahid tadi. Dalam menceritakan itu, nabi menjawab, “benar...benar...benar...” dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Rasulullah SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga.

Subhanallah! Jika semua pemuda berlumba-lumba untuk syahid di jalan Allah, pasti umat Islam tidak akan menjadi lemah seperti hari ini. Pasti umat Islam tidak ditindas di dunia ini.

Kesimpulannya,

Tuntasnya, remaja islam mestilah menyediakan diri mereka untuk berkhidmat kepada agama, negara dan bangsa. Merekalah yang bertanggungjawab terhadap agama dan negara pada masa hadapan. Justeru, para remaja wajib melengkapi diri mereka dengan ilmu, kerana hanya dngan ilmulah manusia dapat mengenal pencipta, dapat beribadat dengan betul dan dapat bermuamalat dengan betul. Hanya dengan ilmu darjat manusia dinaikkan. Para remaja haruslah sedar realiti sebenar kehidupan ini, kerana realiti sebenar mengajak remaja untuk berkorban. Berkorban untuk segala-galanya.

Ditulis oleh,
Mohd Asyraf Che Ibrahim
Tahun 1, Universiti Al Al-Bayt.
Mafraq, Jordan.

13 Okt 2012

Fikirkan Kesan dan Akibat!


Alhamdulilah selepas seusainya solat jumaat tadi, sempat saya mengajak ustaz Shahrul Ifwat, pelajar Master Universiti Al Al-Bayt datang ke rumah. Pelbagai cerita di kongsi dan tajuk di diskusi, ada isu semasa, politik, agama, dan keadaan persatuan mahupun pelajar di bumi Mafraq yang tercinta ini turut juga diperkatakan.

Apa yang nak dikongsi pula disini, iaitu satu point yang dibincangkan tadi, berkenaan "kesan dan akibat." Jadi marilah kita singkap, bagaimana yang dikatakan? Sebelum kita melakukan sesuatu mesti memikirkan kesan dan akibatnya. Lantaran itu, semuanya sudah dijelaskan ustaz Shahrul Ifwat semasa bersembang dengannya selepas jumaat tadi.

Sikap Kita Sering Terleka,

Sebagai manusia, melakukan kerja tanpa memikirkan kesan itu dianggap perkara biasa. Kerana lumrah manusia, sifat terlekanya kita, menyebabkan otak kita hanya berfikir kesan untuk jangka masa yang singkat sahaja, tanpa memikirkan kesan dan akibat bagi jangka masa yang panjang. Malahan juga, ada yang tidak memikirkan kesan dan akibat langsung, itu sangat teruk!

Ini kerana, terlekanya kita atau lebih mudah difahami, iaitu lupa merupakan satu sifat semula jadi yang berlaku secara langsung mahupun tidak langsung. Penyakit lupa inilah yang menyebabkan kelemahan kita dalam memikirkan kesan dan akibat, sebelum kita melakukan. Dan juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kita kurang memikir, terutama dalam memikir kesan serta akibat.

Jika kita perasan, bahawa terlupanya kita dalam memikirkan kesan dan akibat menyebabkan ianya bergantung kepada nasib diatas ketentuan Allah SWT, misalnya kita memandu kereta dengan lajunya sekali. Difikirkan kesan dan akibat memanglah akan menyebabkan boleh berlaku kecelakaan, tetapi akhirnya kesan dan akibatnya selamat tanpa berlaku kecelakaan sekalipun. Maka itu semuanya diatas takdir Allah SWT.

Tetapi kebanyakkan selalunya kita melakukan kerja tanpa memikirkan kesan dan akibat, menyebabkan kita akan gagal dan terkandas, samalah seperti memandu kereta dengan lajunya sekali, menyebabkan kebarangkalian berlaku kecelakaan lebih mudah, berbanding kita memikirkan diawal lagi kesan dan akibat menyebabkan kita akan lebih berhati-hati. Dan kebarangkalian berlakunya kecelakaan susah.

Saya juga tidak dinafikan, apa yang kita lakukan semuanya ditentukan oleh Allah SWT, cumanya tidak akan berlakunya sesuatu itu tanpa ada sebab-sebab tertentu. Ibaratnya pokok tidak akan bergoyang jika tidak ditiup angin. Kemalangan takkan berlaku jika kita tidak memandu dengan laju. Jadi memikirkan kesan dan akibat ini seharusnya perlu diawalnya lagi.

Bagaimana Untuk Memikirkan Kesan dan Akibat?

Caranya mudah, apa yang difahami akan kata ustaz Shahrul Ifwat tadi, mulanya pastikan kita melihat keadaan sekeliling kita dahulu! Itu yang perlu dipastikan betul-betul. Sebelum melakukan sesuatu itu, fikirkan kesan dan akibat dengan melihatkan keadaan disekeliling kita dahulu, dan menilaikan sejauh mana kesan dan akibat ini akan berlaku.

Misalnya juga, kita memandu kereta dengan lajunya sekali, pasti kita fikirkan. Jika kita memandu kereta dengan laju sekali, pertama adakah kawan ataupun keluarga di dalam kereta naik bersama kita akan suka atau benci? Dan adakah mereka akan hidup ataupun mati? Itu perlunya difikirkan keadaan sekeliling sebelum memikirkan diri sendiri.

Jadi sekiranya kita melihat keadaan sekeliling kita, ianya lebih membuka mata dan minda, untuk kita mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesan dan akibat yang akan terjadi. Justeru apabila kita faham, kita akan lebih berhati-hati, dan orang disekeliling juga akan menyukai. Perkara ini juga perlu sentiasa di ingati, agar kita tahu berbudi apabila ditempat orang nanti.

Selain itu, jangan tergesa-gesa dalam memikirkan kesan demi jangka masa yang pendek sahaja, perkara ini selalunya manusia akan cepat melatah dari menilai semua aspek, terutamanya wanita yang selalu melakukannya. Seharusnya, kita perlu bertenang dalam meletakkan keputusan untuk mencapai kesan dan akibat yang baik untuk jangka masa yang panjang. Serta memberi manfaat kepada semua orang.

Penutup Bicara,

Kesan dan akibat itu penting untuk di nilai sebelum kita melakukan, jika kesannya memberi manfaat dan kebaikkan maka selayaknya diteruskan, jika tiada maka perlulah berhati-hati. Yang pasti, kita perlu bijak mengatur strategi dalam memikirkan satu kerja yang dilakukan pasti ianya akan menjadi mudah. Jika kita melakukan kerja cacar merba menyebabkan kerosakkan akan berlipat ganda.

Selain itu, kesan dan akibat semestinya di nilai dari sudut positif mahupun negatif, kerana disetiap kelebihan pasti ada kekurangan, dan disetiap kebaikkan pasti ada keburukkan. Begitulah juga sebaliknya, maka dengan itu, kesan dan akibat perlu dilihat dengan penilaian yang padat, untuk mendapat kesan dan akibat yang tepat.

AshrafHadi
13.10.2012
Mafraq, Jordan. 

6 Okt 2012

Melayu Sepakat Islam Berdaulat??

Kredit Pic: addinlove.blogspot.com 

Sebenarnya slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" sudah lama diperkatakan. Cumanya baru-baru ini terjadinya "peristiwa manis" yang membuat minda ku ingin berbicara. Terdiam sekian lama, tetapi kali ini bagaikan orang terjaga dari lena, yang terjaga kerana kejutan yang tak disangka. Menjadi kaku memikirkan, apakan relevannya akan kenyataan atau slogan yang diperkatakan. Mari kita singkap dan ungkap, jelaskah? dan relevankah? dengan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" .

Mengapa Slogan Begitu?

Saya tertanya, kenapa slogan itu dilaungkan sebegitu? Dengan menunjukkan kesepakatan melayu untuk membuktikan kedaulatan islam. Dan slogan itu pula berbunyi selepas kekalahan teruk pihak kerajaan dengan pembangkang yang dapat menawan lima buah negeri sekaligus, menyebabkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, kerajaan mengajak parti melayu dari pembangkang untuk bersatu.

Tetapi parti melayu dari pembangkang berprinsip dengan menolak penyatuan yang diajak oleh pihak kerajaan, kerana mereka menilai dari pelbagai sudut, selain melihat kembali pengalaman penyatuan yang sebelum ini diadakan. Memikirkan kesan dan akibat menyebabkan mereka menolak sepenuhnya penyatuan itu. Maka selepas daripada itu, slogan ini pun diperkatakan, dengan sebab demi "ketuanan melayu" haruslah dipertahankan.
 
Saya berpendapat, jika sebelum PRU 2008 slogan itu dilaungkan tidak menjadi kepelikan, tetapi dilaungkan selepas PRU 2008 menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah sepakatnya melayu, menyebabkan Islam berdaulat?

Apakah Sentimen Perkauman?

Melihat kembali kehidupan masyarakat Malaysia yang hidup berbilang bangsa, timbul juga persoalan saya, apakah slogan yang dilaungkan juga menjadi aspirasi sentimen perkauman di Malaysia? Kaum yang bukan bumiputera juga akan terasa sedemikian. Iaitu dengan menanggap bahawa adanya jurang antara, melayu, cina dan india. 

Secara logiknya, akta 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak yang terkandung, 
1) Perkhidmatan awam: Perkara 153 (2,3 dan 4). 
2) Ekonomi: Perkara 153 (6). 
3) Pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4). 
4) Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukkan Perkara 89 dan 90 -        berhubung dengan tanah rizab Melayu. 
5) Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Ini Menyebabkan, kedudukan orang melayu menjadi kukuh dan relevan, kemudian pula di parlimen golongan cina dan india hanya minoriti berbanding melayu, bumiputera yang majoriti. Tidak relevanlah jika di katakan, tidak sepakatnya melayu sesama melayu, islam akan terancam. Mengapa? Kerana sudah termaktub juga dalam perlembagaan bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi, yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan, walhal juga islam selamanya tetap berdaulat.

Saya berpendapat, kedudukan melayu sangat kukuh dan relevan. Dan juga agar sukar untuk bersatu jika fikrah pejuangan dan idealisme yang dibawa berbeza untuk diperjuangkan. Slogan itu hanya menjadi sentimen untuk mengukuhkan kuasa di sebalik tabir yang berperanan untuk mengekalkan kuasa mereka, demi meraut segala keuntungan dan kelebihan tanpa adil dan saksama.

Solusi Yang Perlu Dibawa,

Saya melihat kembali slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" seharusnya ditukarkan kepada "Muslim Sepakat Islam Berdaulat." Kerana jika melayu yang sepakat belum tentu lagi islam akan kuat,  walaupun islam telah berdaulat. Tetapi jika muslim sesama muslim bersepakat, islam pasti akan berdaulat, serta kuat. Kemudian terjaga semua perkara, dan masalah dalaman mahupun luaran pun akan selesai. 

Islam menjadi solusi yang terbaik dalam menyelesaikan perkara ini, dengan melihat kembali bahawa, jika melayu tidak sepakat pun, islam tetap berdaulat. Tetapi jika islam diperalat demi mengukuhkan kuasa, ianya sudah tidak berguna. Islam yang dibawa pada zaman Nabi Muhammad SAW, dengan kita mengambil ibrah, bagaimana  islam itu syumul yang menyeluruh dalam semua perkara.

Di Madinah ketika itu, semua kaum dan bangsa terjaga, juga terbela, dengan kedatangan Baginda Rasulullah SAW, yang mentadbir secara islam dengan sempurna. Menunjukkan bukti yang kukuh bahawa islam adalah penyelesaian terbaik. Bukan penyatuan bangsa memberi jaminan dapat menyelamat islam dan semua perkara, ianya belum tentu lagi. Islam sudah berdaulat sekian lama, cumanya kita bangsa masih lagi tidur lena. 

Masalah yang perlu diselesaikan, untuk menyelamatkan islam dan semua umat bangsa di Malaysia. Iaitu dengan menjaga keadilan yang saksama, memberi hak yang sepatutnya, sifarkan rasuah dan kuropsi yang bermaharaja lela, menghidupkan suasana masyarakat berilmu dan berminda kelas pertama, disamping melihat kembali anak muda yang tenat untuk menarik mereka kembali bertaubat. Itu lebih penting dari kita menyatakan bersatu tetapi ianya tidak bermutu.

Akhir kata, 

Ini adalah pandangan saya secara peribadi, tentang slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat." Bilanya saya menyatakan tidak bersetuju bukan bererti saya juga tak bersetuju melayu bersatu. Sesungguhnya saya bersetuju, tetapi yang membezakan kita akan fikrah perjuangan, bukan ukhwah hubungan. Dan sebagai umat islam terutamanya melayu kita ada saudara. Sebagaimana juga firman Allah, "Sesungguhnya Mukmin Itu Bersaudara" (Surah Al Hujuraat:10).

Biarlah kita berbeza idealogi dan idealisme perjuangan sekalipun, tetapi sama-samalah kita bergerak dengan pelbagai medium yang ada, untuk julangkan dan jayakan islam agar diangkat dengan penuh martabat, disanjung, dan disukai dari semua golongan dalam dunia ini. Daripada kita terkinja-kinja di konsert "K-POP" akhirnya bangsa dan orang lain yang "mantop."

AshrafHadi
7.Oktober.2012
Mafraq, Jordan.