قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

31 Mei 2012

Kepelbagaian Dunia : Introvert vs Extrovert



Istilah introvert dan extrovert merupakan satu kontinum tunggal dan  istilah-istilah ini merupakan istilah Bahasa Melayu yang mempunyai pertalian linguistik dengan Bahasa Inggeris. Secara umumnya, personaliti introvert dan extrovert merupakan dimensi pusat teori personaliti manusia. Namun, saya mempunyai kecenderungan yang lebih untuk berdiskusi melalui abjad, mengenai golongan introvert lantaran golongan ini merupakan golongan majoriti masyarakat dunia dengan peratusan sebanyak 60%.

Secara ringkasnya, introvert merupakan individu yang memperoleh tenaga dengan cara bersendirian yang mana tenaga ini hilang ketika dia berada di sekitar orang ramai. Seperti mana yang diterangkan oleh seorang ahli psikologi Carl Jung, yang menyatakan bahawa introversi ini merujuk kepada pengaliran tenaga keluar dari diri seseorang dan mereka mendapatkan kembali tenaga yang hilang ini melalui dunia dalaman mereka. Berbanding dengan extrovert, mereka memperoleh tenaga dengan berada di sekeliling orang ramai. Golongan ini apabila diberi peluang, mereka lebih suka bercakap dengan orang lain daripada duduk bersendirian.

Justeru, definisi ini menafikan terus persepsi sebahagian masyarakat yang berpendapat bahawa golongan introvert merupakan golongan yang pemalu. Sekalipun rasa malu merupakan salah satu elemen ketika cemas dan takut, tapi sebenarnya rasa malu bukanlah satu permasalahan bagi seorang introvert. Hal ini kerana, ramai sahaja golongan introvert yang mempunyai hubungan sosial yang baik dengan persekitarannya namun terlalu banyak bersosial menyebabkan mereka semakin kekurangan tenaga, itu sahaja.

Golongan introvert apabila hendak bersendirian, tandanya tidak akan datang sendiri, bahkan ia datang melalui satu tanda tekanan atau depression dalam diri seorang introvert. Ini bermaksud mereka memerlukan ruang untuk recharge kembali tenaga mereka ataupun mereka memerlukan masa bersendirian untuk berfikir. Ini kerana mereka merupakan golongan yang lebih suka berfikir dahulu sebelum bercakap.

Lain pula bagi golongan extrovert yang lebih cenderung untuk berfikir sambil bercakap yang mana mereka mampu untuk berfikir dengan baik ketika mereka bercakap. Malah sesuatu isu itu tidak kelihatan pun gambarannya bagi mereka kecuali jika mereka memperkatakannya.
Ini merupakan satu penerangan ringkas dan padat berkenaan dengan golongan introvert dan extrovert. Malah boleh dikatakan sebagai satu kajian permukaan dalam usaha mendalami sistem sosiologi masyarakat melalui ahli-ahli masyarakatnya. Pembacaan ringan seperti ini memerlukan rentetan kajian berlandaskan AlQuran dan Assunnah demi mengelakkan perkembangan peradaban manusia terbejat hanya dek idea-idea serta pemikiran yang statik.

Allah ada berfirman dalam surah AlA’la ayat pertama yakni wahyu pertama kepada Nabi Muhammad yang berbunyi,

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَق
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).

Maksud bacalah di sini, bukanlah suatu sesuatu yang bersifat ‘baca’ semata-mata, bahkan ia membutuhkan proses rentetan seperti yang saya sebutkan tadi yang mana ia meliputi kajian, diskusi dan sebagainya.

Hakikatnya, jika diteliti dengan lebih daqiq, berkenalan dengan seorang introvert mahupun extrovert memberikan ruang yang sangat berharga kepada sebuah jalan dakwah Islamiah yang telah bermula sejak kira-kira 1400 tahun lalu oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini merupakan suatu bonus buat para daie untuk berkenalan dengan para maduu dengan lebih dekat kerana bukankah manusia telah berfalsafah bahawa ‘tidak kenal maka tidak bertaaruf’?

Justeru, mempunyai pengetahuan berkenaan dengan personaliti-personaliti manusia yang kompleks sangat diperlukan oleh para daie kerana secara logiknya, jika kita selaku daie tidak kenal maduu kita, bagaimana kita hendak memperkenalkan Islam kepada mereka? Lalu di sini, kekreatifan para daie mampu sahaja dipertikaikan juga diperdebatkan walaupun ia hanya untuk perkara yang bersifat mikro seperti ini.

Sebagai contoh, seorang introvert umumnya merupakan seorang yang suka berbual berkenaan dengan idea ataupun persepsi dari sesebuah idea dan mereka kurang cenderung untuk berdiskusi atau bercakap sesuatu yang dianggap kurang penting. Melalui situasi ini, mungkin sahaja si daie boleh lebih berhati-hati dalam percakapan mereka dan bersikap lebih fleksible atau ‘mesra alam’ terhadap maduu seperti ini dengan mengutarakan sesuatu yang lebih sesuai atau proper untuk diperkatakan. Begitu juga bagi para maduu yang bersikap extrovert  yang lebih bersikap ‘outgoing’ dengan persekitarannya.

Selain itu, apabila berdiskusi tentang suatu perkara yang bersifat kontinum, pastinya ada sebahagian kita suka mencetuskan persaingan termasuklah juga personaliti golongan introvert dan extrovert.  Sebagai contoh, antara kedua-dua ini mana  satu paling baik, paling ramai yang berjaya, paling senang dapat kerja, paling mudah didekati? Itu semua persoalan yang mempunyai jawapan ‘infiniti’ lantaran manusia itu sendiri yang mentadbir dirinya meskipun ada kajian menunjukkan personaliti introvert dan extrovert ini lebih dipengaruhi oleh unsur biologi berbanding dengan unsur persekitaran. Tidak salah untuk membuat perbandingan, namun kita mesti percaya yang kuasa berubah pastinya ada di tangan kita dengan izin Sang Pencipta.

Ini dapat dibuktikan apabila Jon Mercer, pencipta produk Social Strategies yang merupakan ‘formula’ yang telah membantu mengubah nasibnya selaku introvert yang mempunyai masalah dari sudut sosial yang sangat teruk sedari kecil. Produk ini tercipta melalui usahanya mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dia hadapi dan dia telah berjaya pada hari ini. Sekarang ini, dia sedang berkongsi penyelesaian itu dengan umat manusia. Oleh itu, tiada istilah ‘unlucky’ untuk setiap kejadian yang Allah beri kepada kita jika kita berani berhadapan dengan ujian serta permasalahan untuk diselesaikan. Tiada ujian yang menyusahkan kerana semua itu dari Tuhan.

Ironinya, dunia ini serta isinya sangat kompleks, justeru saya tidak hairan apabila ada ahli bijak pandai berkata alam juga guru kita. Semua orang sama di sisi Tuhan dan segala kelebihan mahupun kekurangan yang Allah beri pada kita hanya membutuhkan sebuah keredhaan atau kesabaran untuk sebuah perhitungan mega di hujung hayat dunia.

Konklusinya, usah dilihat sangat siapa yang lebih baik daripada siapa, namun ayuh kita optimumkan segala kelebihan kita untuk kemajuan peradaban manusia dengan cara yang haq, lalu segala kekurangan pula, kita perbaiki untuk kemaslahatan sejagat. Progresi bakal sahaja berlaku jika kita sanggup membuat kolaborasi antara kita-kita warga dunia. Khas untuk generasi manusia pada masa akan datang. Pengorbanan ini tidak akan pernah mengalami kerugian kerana kita hidup dengan mengutip pahala bukan? melalui kepelbagaian dunia.

Ashrafhadi
Mafraq, Jordan.

0 comments:

Catat Ulasan