قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

28 Jun 2012

Mentaliti Kita Sejauh Mana?


Sukanya saya memetik ungkapan kata dari mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi berkata, "infrastruktur kita di kelas pertama tetapi mentaliti kita pula di kelas ketiga." Itulah antara ungkapan yang membuatkan saya terfikir adakah benar apa yang dikatakan? Menjadi pelbagai persoalan timbul dalam diri ini untuk mencari sejauh mana kebenaran ungkapan yang melibatkan tentang mentaliti masyarakat kita pada hari ini, terutamanya bangsa melayu.

Lantaran itu, diselak satu persatu sejak dari awal sejarah kemerdekaan negara kita sampai sekarang ini, untuk kita menilai sejauh mana mentaliti bangsa kita yang tampak akhir-akhir ini ada sedikit kekurangan yang sering dihidangkan di media massa. Mentaliti yang dikatakan ada sedikit kekurangan mengapa? Kerana pernah diungkapkan juga untuk Tun Dr Mahathir Mohamad didalam perhimpunan agung Umno menyatakan bahawa "melayu mudah lupa."

Dahulunya melayu hidup susah, tetapi apabila senang ia lupakan segala kesusahan yang ditanggung orang dahulu sehingga kita leka akan kemewahan negara, tetapi akhirnya mentaliti kita pula tidak terjaga. Hari ini jelas apabila mentaliti bangsa melayu terutamanya, dari segi politik, budaya, dan  masyarakat melayu, sering menimbulkan masalah sesama sendiri.

Contoh yang jelas,

Dari segi politik melayu yang terbesar diwakili dua buah parti yang satu memperjuangkan nasionalis dan satu lagi memperjuangkan islam. Hari ini kita melihat masing-masing berpendirian teguh sesama idealisme yang diperjuangkan, tetapi kita melihat pula bagaimana setiap penyokong-penyokong idealisme itu membawa mesej pejuangan mereka. Apabila dikatakan sistem demokrasi kenapa hak rakyat tidak terjaga, kemudian ketaksuban menyebabkan kita melihat satu pihak saja. 

Inilah sikap mentaliti kita, misalnya lagi apabila pembangkang menganjurkan ceramah ianya juga dianjurkan oleh pihak kerajaan secara berdekatan. Kemudian timbullah perbalahan antara si pihak kerajaan dan si pihak pembangkang di dalam ceramah tersebut, sehingga batu dibalingkan menyebabkan seorang warga emas bergelumuran darah akibat terkena balingan batu tersebut. Jadi dimanakah mentaliti kita sebagai bangsa melayu yang sebenar?

Tak cukup dengan itu, selepas anjuran BERSIH 3.0 duduk dan bantah, yang dipengerusikan bersama oleh A.Samad Said, tetapi hakikatnya pula pengerusi BERSIH 2.0 pula yang mendapat tohmahan, serta tayangan perdana "senaman punggung" yang dilakukan oleh orang-orang melayu dihadapan rumah Ambiga tersebut.

Saya seikhlasnya bukan mahu bercakap untuk membela Ambiga, tetapi saya ingin menyatakan serendah itulah mentaliti kita sehingga perlu melakukan tindakan sedemikian. Antara yang terbarunya soal pehimpunan Royalti di kelantan yang mana ada peserta yang cedara akibat bergaduh dengan satu pertubuhan NGO diberi nama sebagai TUKAR, yang mendesak agak kelantan ditukar pemerintah kepada UMNO. Mengapa sedemikian rupa berlaku? Apakah budaya samseng sesama bangsa itu budaya amalan hidup bangsa melayu?

Selain itu juga, mentaliti pemikiran kita yang hanya terkatup dan tidak terbuka menyebab keculasan untuk untuk kita membuka minda melihat pelbagai kemaslahatan itu akan terbantut. Kataya negara demokrasi tetapi mengapa jadi begini? Misalnya jika mentaliti kita terbuka untuk memikirkan sebegitu cara. Tetapi lain pula pada kita, hanya ketaksuban sesuatu pihak sahaja yang menyebabkan kita ibarat seperti "lembu yang dicucuk hidungnya," hanya makan apa yang disuap dan telan apa yang diberi.

Dari segi budaya pula, hari ini dapat kita lihat sendiri apabila masyarakat kita lebih mengutamakan adat dari ajaran agama yang sebenar. Sebagai contoh seperti wang hantaran yang terlalu mahal, sebenarnya ianya berlaku dari mentaliti kita yang mementingkan adat, sehingga untuk melangsungkan satu perkahwinan pun menelan belanja yang tinggi. Walhal dalam agama langsung tidak mengajar sedemikian, sekadar yang termampu sahaja sudah memadai untuk berkahwin. 

Tetapi mengapa berlaku sedemikian? Kerana silapnya pemikiran bangsa melayu yang mengutamakan adat dari ajaran agama sehingga menyebabkan budaya keislaman melayu yang penuh dengan adat resam yang tidak menyusahkan tetapi disusahkan oleh masyarakat melayu sendiri. Akibat dari contoh yang diberikan tadi menyebabkan pelbagai masalah timbul, akibat dari tidak dapat berkahwin awal mahupun cepat, kadar penzinaan semakin meningkat. Jadi sampai bila mentaliti kita sebegini?

Dari segi budaya, dalam kalangan masyarakat melayu sendiri amatlah sedih dihati. Kerana perkara itu amat sukar untuk diubati, masyarakat kita lebih mempercayai karut-marut khurafat yang dari dahulunya sehingga sekarang masih ada yang melakukan. Sebagai contoh jika kita merasa dengki dan tidak berpuas hati, teruslah kita menyerangnya secara halus seperti menggunakan jin ataupun bomoh untuk menjatuhkan orang yang kita dengki. Mengapa bersikap sedemikian?

Pemikiran kita juga beranggapan seperti tidak mempercayai tuhan, kerana apabila melakukan perbuatan sedemikian, sesungguhnya kita melakukan syirik kepada Allah SWT. Itulah yang dapat kita lihat sekarang ini, mentaliti kita masih lagi kebawah dan tidak seperti negara-negara maju di eropah yang tampak jauh meninggalkan kita. Walaupun demikian, kita berbangga dengan prasarana pembangunan di negara kita tetapi perlu di ingat dengan mentaliti kita juga.

Akhir kata,

Melayu oh melayu, sampai bila kita mahu mentaliti kita layu. Berfikiran kusut yang menyebabkan idea kita pun semput, untuk memikirkan satu benda yang baru dalam mengubah persepsi diri terhadap sesuatu. Rupanya ketaksuban dan mereka apa yang dilakukan kita itu betul yang menyebabkan menjadi punca untuk mentaliti kita tidak ubah sehingga hari ini. Tetapi tidak diakui bukan semuanya bangsa melayu sebegini cumanya kita bertanya kepada diri kita sejauh mana mentaliti kita hari ini?

AshrafHadi
28.6.2012
Mafraq Jordan.

16 Jun 2012

Progresikan Dunia dengan Idea


‘IDEA is a carefully considered thought about something’

Suatu idea yang hebat tidaklah wujud dalam bentuk hasil, kerangka ataupun proses yang tertentu tapi ia wujud hanya sebagai satu pengenalan kepada kewujudan sebuah kerangka atau proses. Oleh kerana itulah, perlunya kita melihat sebuah idea itu dalam bentuk yang lebih abstrak dan menganalisis strukturnya serta menilainya secara kritikal, barulah kita mampu menghargai sesuatu idea itu serta hasilnya sekali. Justeru, idea yang saya sebutkan di sini bukanlah idea yang hanya buah fikiran semata, tapi juga meta-ideanya sekali.

Dunia tidak perlukan idea yang hanya menjadi buah fikiran lalu dicetak ke dalam kutub dan ia terus dan terus kekal begitu, lalu jika habis mereput kutub itu, hilanglah idea itu. Itu dasar idea kosong! Kerna sedarkah kita, bahawa dunia memerlukan idea yang dijana karakternya untuk dibuat implementasi terhadap realiti dunia. Logiknya, apabila begini situasinya, tidak boleh tidak proses ini turut memerlukan kolaborasi modal insan untuk tujuan tersebut demi menyelesaikan masalah manusia, membina peluang untuk mereka juga untuk meneroka dan terus meneroka. Ini asasnya.

Usah dilihat idea sebagai suatu yang ringkas, juga usah dipertikai potensi idea yang bagus, kerna revolusi di Mesir berjaya dijalankan hanya kerna sebuah idea. Ya, ia tercetus dengan idea. Lalu hasilnya, tamatlah sudah pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, tamat juga fenomena para ulama dipanggang di penjara di bawah panas padang pasir serta berkubur juga kezaliman dan ketidakadilan yang telah bermaharajalela sejak 30 tahun lepas. Namun, perlaksanaannya sangat rumit kerna bukan sedikit gula-gula yang ditaburkan kepada rakyat Mesir untuk berundur pulang ke rumah, malah bukan sedikit juga pengorbanan yang terpaksa dilakukan, juga bukan seorang dua nyawa sahaja yang melayang. Mahalnya harga sebuah revolusi yang tercambah dari implementasi  sebuah idea. Sedikit gambaran progresi peradaban dunia.

Dalam masa yang sama, saya tidak mahu jelmakan idea sebagai malaikat di sini, kerna kita hidup dengan manusia,yang kadangkala ada juga yang kelihatan seperti manusia namun ia hanya topeng yang menutup kejelekan seekor syaitan. Satu masa dahulu, idea pernah menjahanamkan manusia tidak kira bangsa, ini termasuklah idea keparat Mustafa Kemal Ataturk iaitu idea pembubaran sistem khilafah Islam. Ingat lagi rentetan peristiwa daripada idea ini? Memilukan bukan? Mustafa Kemal naik menjadi penguasa dan menghancurkan seluruh kehidupan beragama di Turki dan menggantinya dengan fahaman sekular. Antaranya, larangan azan dalam Bahasa Arab dan menukarkannya ke dalam Bahasa Turki, menghapuskan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta melarang orang Islam mengerjakan Haji dan banyak lagi. Ini pula, contoh idea yang mencalarkan peradaban hidup orang muslim khususnya.

Saya datangkan dua contoh mega untuk menjentik sikit para pembaca agar jangan bergantung harap pada kuasa sebuah idea kerna idea hanya jelmaan kosong  jika tanpa pelaksanaan serta hanya akan menemui kemurkaan Tuhan jika Allah tidak dijadikan tujuan. Hidup kita hanya sekali, justeru biarlah kita lakukan pengabdian kepada Allah tanpa penat tanpa henti.

Saya hadirkan pula seorang tokoh Islam yang sangat saya sanjungi, tokoh yang menukil karya agung Tafsir Rasa’il al-Nur, tokoh yang tidak pernah bertolak ansur dengan kebatilan, juga tokoh bagi sebuah reformasi pendidikan. Saya penakan sedikit kisahnya di sini, buat ibrah kita bersama.

Rentetan daripada pembubaran sistem khilafah, umat Islam berpecah belah. Kemudiannya hal keagamaan terus diketepikan daripada hal keduniaan. Bertitik-tolak daripada sinilah, Nursi telah memikirkan kaedah yang terbaik bagi mengangkat kembali kekuatan dan kehebatan umat Islam dengan mengadakan reformasi terhadap sistem pendidikan Islam yang bersifat komprehensif dan kontemporari. Baginya, ia perlu digiatusahakan selari dengan keadaan dunia yang semakin mencabar. Lalu, idea reformasinya direalisasikan oleh beliau dan hal ini, ada beliau nyatakan dalam kitab Lama’at, dalam Risalah Al-Hijab, katanya:

sesungguhnya penyelesaian ampuh untuk menjaga tabiat mulia yang menjaga fitrah mereka daripada kerosakan adalah mendidik mereka dengan pendidikan Islam yang komprehensif”

Idea beliau yang sangat hebat berjaya membawa progresi terhadap dunia. Beliau sangat tabah dan kuat untuk melakukan implementasi idea nya tanpa mengenal apa itu maksud diracun, diseksa dan dizalimi. Beliau sangat berani dan hari ini, umat manusia sedang mengagumi keberanian beliau dan mereka sedang menuntun jejak langkah beliau. Kita pula? Bila lagi? Usah bertangguh kerna jika kita berhenti, tentera Allah tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kita di belakang.

Justeru, implementasi idea bukan suatu yang mudah, kerna sebelum itu ia memerlukan banyak proses termasuklah penjanaan idea, kemudian lontaran idea ke medan realiti untuk diperdebatkan, diperbahaskan, ditimbang-turas baik buruknya. Lalu apabila suatu kesepakatan terbentuk, proses perlaksanaan pula berjalan. Ia akan mengalami kritikan demi kritikan, lalu di sinilah kekuatan seorang invensi  bakal dipertikaikan. Proses ini tidak mudah kerana ia memerlukan kemahiran si pencipta idea untuk menghadam sesebuah kritikan menjadi suatu nasihat. Tiada istilah ‘usah jaga tepi kain orang lain kalau kain sendiri koyak rabak’ di sini, kerna kita sememangnya memerlukan penambahbaikan dalam idea kita agar idea itu mampu digunapakai demi sebuah progresi dunia serta peradaban penduduknya.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang progresi dunia serta sudut-sudut utama dan cabang-cabangnya. Namun saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan progresi sosial secara amnya. Ini termasuklah, progresi  peradaban manusia di dunia. Perasan atau tidak, sejarah pemikiran serta penjanaan idea-idea para tokoh silam sering sahaja mencetuskan nilai tamadun yang tersendiri. Buktinya, perkembangan bidang-bidang ilmu yang banyak dan pelbagai, penciptaan alatan kehidupan sehingga berkembang menjadi gadjet-gadjet canggih pada hari ini dan banyak lagi.

Namun progresi ini tidak berlaku secara selari. Hal ini kerana, perbezaan antara kemajuan dan keterbelakangan akan terus-menerus terjadi ,saling berkejaran dan saling memenuhi. Yang lebih maju akan memimpin yang tidak maju dan yang tidak maju akan belajar untuk maju. Tapi progresi pasti sahaja sentiasa berlaku melalui gerak kerja implementasi serta penambahbaikan idea yang sudi dilakukan manusia.

Saya akhiri artikel kali ini dengan satu konklusi yang membentangkan cebisan permasalahan berkenaan dengan nilai juga kualiti modal insan yang diperlukan dunia untuk membawa kepada sebuah progresi.

Manusia memang ada yang melihat peluang namun lebih ramai yang sering mengintai kegagalan’

Antara yang paling ketara adalah koleksi modal insan yang penakut. Takut untuk menjana idea, takut juga untuk melontar ideanya, serta takut menerima kritikan terhadap idea yang dilontarkannya. Come onlah! Jika unsur penakut+tidak yakin+tidak mampu bertolak ansur+kedekut masih ada dalam diri anda, silakanlah untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan yang digelar modal insan yang lebih suka melihat sahaja dunia ini mengalami progresi dengan sendiri.

Usah biarkan manusia-manusia hebat sahaja membuat kerja berat ini bersendirian kerana kita mahu produce manusia-manusia yang hebat yang lebih dan lebih banyak untuk menghuni dunia.Tidak bertujuan membuat sebarang provokasi tapi saya hanya hendak menerangkan kepada manusia yang peluang masih ada. Jangan takut walau untuk bermain dengan risiko.

Tidak mengapa jika gagal atau salah

Its okay to fail!

Kamu pasti akan belajar sesuatu daripada kesalahan itu. Usah dikejar sangat kesempurnaan. Bayangkan jika ahli pemikir silam sombong dan hanya mahu mendabik dada mengagungkan sebuah kesempurnaan yang bersifat individualistik semata, dapatkah kamu bayangkan dunia ini akan hancur?

“Hidup bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya tapi untuk memberi sebanyak-banyaknya”-Filem Laskar Pelangi-

Jangan takut untuk utarakan apa yang kamu fikir baik untuk kemaslahatan sejagat, jangan takut untuk jalankan idea itu, jangan takut juga untuk menerima kritikan dan teguran, jangan takut untuk buat sedikit perubahan daripada teguran yang membina itu. Jangan takut dan jangan sesekali takut. Beranikan diri kamu.

 Bediuzzaman Said Nursi ada berkata:

“Seseorang yang melihat kebaikan dalam berbagai hal bererti dia memiliki fikiran yang baik. Dan seseorang yang memiliki fikiran yang baik mendapatkan kenikmatan daripada hidup”


Selamat mencerna!

9 Jun 2012

Diratah mentaliti berdarah


Wahai bangsa ku,
janganlah kita alpa dan leka,
dek kerana kita lupa siapa kita,
disaat dahulunya kita susah,
merasa bahawa kita sudah mewah,
hakikatnya sekarang kita semakin parah.

Diparah dengan mentaliti berdarah,
mendengar suara terik jauh meredah,
hanya berlaung dengan semangat "haram jadah"
di impi dunia langsung tiada nyawa,
di impi nyata lantas berdusta,

Kini kita rebah, dengan sikap kita,
yang dikatakan bahawa sudah aman sentosa,
tetapi sebenarnya sakit derita,
dikiritik, ditegur tak usah dikata,
kerana kita ego semata-mata,
menyebabkan kita lupa siapa Sang Pencipta.

Kita yang tenat,
dihidangkan dengan hiburan yang menyengat,
sopan santun tinggi hilang melantun,
didikkan barat kita menjunjung,
akhirnya nilai timur jauh melambung,
tinggallah bangsa yang terapung-apung.

Wahai bangsaku,
Jangan kita merasa bangga,
atas sebab perbuatan kita,
kini orang mula bersuara,
itu tanda mahukan mentaliti dijaga.
bukan dinilai dengan harta,
tetapi dinilai siapa yang pejuangkan bangsa.

#Teringat akan kata Tun Abdullah Badawi berkata " infrastruktur dikelas pertama tetapi mentaliti kita dikelas ketiga." Fikir-fikirkan!! renung-renungkan!!

AshrafHadi
9.6.2012
Mafraq Jordan.