قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

27 Feb 2012

Manusia Lupa Diri

Kesan tinggalan ukiran kaum Tsamud. Gambar di ambil ketika  melawat Petra.

Disaat kenikmatan dan kemewahan yang Allah berikan kepada kita, terutamanya umat manusia di Malaysia. Keriangan jelas terpancar dimuka kerana kita di selimuti pelbagai kemewahan, kemudahan dan kemodenan. Tetapi tidak pula saudara kita di sesetengah negara yang hidupnya entah apa-apa. Mereka bertarung nyawa samada hidup ataupun mati. Kerana kesusahan dan kesengsaraan yang diuji oleh Allah kepada mereka.

Manusia lupa diri

Sebenarnya kita umat manusia tidak sedar bahawa dalam kenikmatan dan kesenangan yang diberikan Allah kepada kita juga adalah satu ujian. Mengapa? Kerana hidup didalam kemewahan dan kesenangan belum tentu kita akan melakukan amalan kebajikan dan juga kebaikkan. Sejarah telah membuktikan kemajuan demi kemajuan yang dilakukan oleh pelbagai tamadun dunia musnah begitu sahaja akibat mereka lupa diri.

Contohnya kaum Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Soleh A.S yang mempunyai kehebatan membina tamadun yang hebat, antaranya mereka bermahir dalam pengukiran dan memahat batu bata, sehinggakan kesan ukiran dan memahat batu bata mereka masih utuh sehingga sekarang, kemudianya pula masih boleh di lihat pada generasi masa kini, dimana tempat yang terletak di Petra, Jordan.

Tetapi malangnya, keangkuhan mereka untuk beriman kepada Allah, menyebabkan tamadun mereka musnah dilanda malapetaka yang dahsyat sebagai azab Allah kepada mereka. Tetapi hari ini, sebagaimana pula diri kita ini, amatlah sedih apabila melihat bangsa sendiri, kebanyakkan yang masih lupa diri, masih terleka dengan bisikkan dunia, yang penuh dengan propaganda dan sandiwara.

Hari ini dapat kita lihat sendiri, berapa banyak umat manusia yang lupa diri, termasuklah diriku yang hina ini. dahulunya kita dijajah oleh penjajah asing hampir 450 tahun, sekarang kita baru merdeka dalam usia baru hendak masuk 55 tahun. Pelbagai kemewahan kita kecapi, tetapi hakikatnya bagaimana pula diri ini. Adakah kita manusia yang beriman? adakah kita manusia yang tawaduk? adakah kita manusia yang baik? tepuk dada tanya iman, tanya hati! terutama untuk diri yang menulis ini. Takut jika sifat kita begini mungkin kemerdekaan kita tidak lama seperti penjajahan.

Sepotong hadis


Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa merasa dirinya besar, atau angkuh dalam berjalan, dia akan berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya.” – (Hadis riwayat Muslim)


Didalam hadis ini menunjukkan bahawa Allah sangat murka kepada hambanya yang sombong diatas muka bumi ini, kerana sifat sombonglah yang menyebabkan kita lupa diri. Dahulunya kita hidup kesusahan dan sekarang kita hidup kemewahan, apabila kemewahan yang diberikan kita lupa diri kepada Allah dan sesama umat manusia menyebabkan kitalah manusia yang hina. 


Tidak dapat tidak sifat sombong dalam diri juga antaranya manusia lupa diri, apabila manusia lupa diri tidak kenal sapa pula tuhan Ilahi sehingga merasa hidup di dunia tidak akan mati. Sesungguhnya kita silap, jika hari ini kita beranggapan begitu maka jelaslah kita manusia yang silap. 


Sebaliknya,


Kita sebagai hamba Allah yang mulia, seharusnya kita sama-sama berjaga dalam diri ini, kerana syaitan sungguh bijak memerangi kita. Andai kita sesama ada tersalah di dalam diri, maka nasihatilah untuk diri di perbaiki. Kerana manusia yang lupa diri dia tidak akan sedar sama sekali, termasuklah diriku ini. Tetapi atas keprihatinan kita sesama manusia, ingat mengingati harus ada pada setiap insan yang bergelar muslim. 


Sesungguhnya kenikmatan itu juga adalah ujian untuk kita, dalam menilai diri kita ini sejauh mana kita hamba yang bijak mentaati perintah Ilahi. Maka sebelum itu, harus kita ingat lima perkara sebelum datang lima perkara kepada kita supaya kita sentiasa beringat dan saling menasihati, iaitu yang pertama muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan akhir sekali hidup sebelum mati. Supaya sama-sama kita menjadi manusia yang tidak lupa diri.


AshrafHadi
27.Feb.2012
Mafraq, Jordan.

22 Feb 2012

Kawan Menjadi Lawan


Kehidupan manusia ini satu lumrah kebiasaanya mempunyai kawan, samada kawan yang baik, yang buruk, yang kecil malah yang besar, semuanya pasti tidak dapat tidak adanya juga kawan. Sinonimnya kawan ini adalah satu perkenalan antara satu sama lain tidak kira samada lelaki ataupun perempuan. Sesungguhnya pula Nabi Muhammad s.a.w. juga mempunyai kawan yang dipanggil sebagai sahabat, seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan ramai lagi, semua juga di panggil golongan sahabat nabi.

Tetapi malangnya apabila kawan bertukar menjadi lawan, ini amatlah sadis jika adanya manusia demikian, kerana kawanku bisa berkata, "aku tidak mahu menjawab di hadapan Allah kenapa aku putus kawan dengan kau"  menyebabkan aku terkesima seketika, jika itu yang dikatakan olehnya maka seharus aku perlu beringat di dalam diri ini, erti persahabatan itu penting dan harus di jaga.

Hakikatnya pula,

Kita berkawan kerana kepentingan peribadi, ini adalah satu sikap yang buruk yang patut dijauhi, kerana jika kita berkawan atas dasar kepentingan peribadi menyebabkan perkenalan kita juga tidak lama. Sebagai contoh yang selalunya berlaku, bila kita kaya ramai kawan rapat dengan kita, tetapi bila kita miskin kawan pula jauh menyendiri dari kita. Itulah dinamakan berkawan atas dasar kepentingan. Ramai pula yang berlaku sekarang menyebabkan menjadi barah dalam masyarakat.

Sebaliknya,

Berkawan biarlah biasa tetapi mesra, walaupun rapat sebaiknya serahlah kepada yang maha Esa. Setiap persahabatan terjalin dengan niat kerana Allah maka kita adalah manusia yang paling mulia. Selalunya orang cakap "nak cari kawan suka-suka ini banyak di tepi jalan, tetapi nak cari kawan menangis dan susah bersama itu payah", maka jadilah seperti kawan yang tahu erti susah senang bersama. 

Perkara ini di anggap remeh temeh, hakikatnya besar di sisi islam, sebagaimana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud,

 "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10) 

Maka apabila kita berkawan maka kita menjalinkan hubungan persaudaraan sesama kita, menyebabkan hubungan silaturahim sesama kita semakin utuh dan kukuh. 

Selain itu, memahami antara satu sama lain juga amat penting dalam aspek komunikasi ataupun interaksi, kerana pelbagai kaedah juga terkandung di dalam perkara tersebut yang lahir dari hati naluri bernama kawan. Kawan yang dapat memahami antara satu sama lain adalah kawan yang bijaksana. Tetapi perkara itu tidak semudah yang disangka untuk melakukan, maka sama-samalah kita berusahanya. 

Maka dengan itu,

Berkawanlah dunia dan akhirat, biar berkawan biasa tetapi mesra. Lebih baik rapat dan mesra kerana Allah s.w.t. Sebagaimana pula Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya"(Hadis Riwayat al-Bukhari) .

maka terbuktilah jika kita berkasih sayang kepada kawan, maka kitalah tergolong dalam orang-orang yang beriman. Jika kita menjadi orang yang beriman maka kitalah manusia yang terhebat di dunia mahupun di akhirat. 

Akhir kata dari insan biasa,

Kepada kawan-kawanku diluar, aku memohon maaf jika ada salah silap sesama kita, biarlah kita berkawan sampai ke akhirat dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim sesama kita. Jika kalian melihat kesalahan ku memang kalian akan jumpa, tetapi jika kalian merindukan persabahatan dan erti kawan, maka kita buang yang keruh ambil yang jernih. Memohon maaf sekali lagi, aku merindui sejuta impian persahatan dari Ilahi.

AshrafHadi
22.Feb.2012
Mafraq, Jordan.  

11 Feb 2012

Bila aku tiba di dunia

I LOVE U MOM

Hari ini ialah hari yang bersejarah untuk ku, ketika mana aku menagis bila keluar dari rahim ibu ku, situ aku sudah tiba di dunia. Disaat itu hanya tangisan yang di dengarkan, tetapi berbeza dengan raut wajah ayahanda ku yang tampak senyuman keriangan menyambut ketibaan aku ke dunia. Kegembiraan juga terukir pada wajah kesayangan ibuanda tercinta. Penat lelah dia bertarung nyawa untuk mengeluarkan aku yang berada di dalam rahimnya. Apabila aku selamat tiba maka kegembiraan pun terasa, dan aku menagis tak terhingga.

Tarikh keramat,

11.Feb.1993 adalah tarikh keramat dalam diriku ini, bersamaan 18 hb sha'ban 1413 hijrah, ini adalah tarikh ketibaan aku di dunia. Pada ketika itu ramai yang gembira menyambut kedatangan ku dengan selamatnya di dunia, sesungguhnya hanya Allah yang menentukan segalanya. Selama sembilan bulan sepuluh hari aku di dalam kandungan ibu ku, di situ aku di heret dan di usung dengan berhati-hati. Sesungguhnya amat besar pengorbanan seorang ibu yang melahirkanku. Kepada mak aku, i love u itulah ungkapan yang hendakku sampaikan.

Tanpa mereka siapalah kita,

Apabila aku telah sampai ke dunia, aku sangat bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan kedatangan ku tiba di sini dengan cukup sempurna, dalam keadaan anggota badan cukup sifat semuanya, dengan pula masalah kesihatan juga tidak menjadi masalah membuatkan mak dan ayah tersenyum bahagia. Tetapi sebaliknya aku harus beringat tanpa mereka siapalah aku. Jika tidak kerana perkahwinan mak dan ayah aku, mungkin aku tidak akan tiba di sini, mungkin aku tidak boleh menjadi manusia.

Tetapi Allah s.w.t. telah atur sebaiknya, dia mengizinkan aku supaya aku tiba di dunia melalui perantaraan kedua mak ayah aku. Sesungguhnya aku amat bertuah sekali kerana menjadi insan yang terpilih untuk sampai ke dunia. Kepada mak dan ayah, Ashraf sayang sangat, tanpa mak ayah Ashraf mungkin tiada di dunia. Syukur Alhamdulilah. Itulah orang kata tanpa mak dan ayah siapalah kita. Tetapi adakah hari ini ada anak yang melupakan mak dan ayah? fikir-fikirkanlah.

Tiga perkara,

Seharusnya aku perlu ingat dalam diri ini supaya beringat kepada tiga perkara yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam diri ini kepada ku, iaitu yang pertama ajal maut, kedua jodoh dan ketiga rezeki. Menjadi fitrah dalam diri ini setiap yang hidup pasti akan mati.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami kematian.”(QS. Ali ‘Imran: 185)

Jadi seharusnya aku perlu beringat di dalam diri di setiap kelahiran di dalam dunia ini PASTI akan merasai kematian yang akan dibawa ke alam akhirat untuk dihitung setiap amalan di dunia. Subahanallah! jika hari ini aku masih lalai maka tiada gunanya aku di dunia ini.

Kedua pula jodoh, jika di izinkan oleh Allah s.w.t. di dalam diri ini untuk berkahwin nescaya dapatlah aku merasai bagaimanakah alam perkahwinan. Jodoh adalah ketentuan dari Allah s.w.t. untuk aku, hanya yang pasti aku perlu mencari dan apabila cukup masa barulah aku boleh disatukan. Ya Allah sesungguhnya aku berserah kepada-MU tidak kira siapa jodohku akan ku terima seadanya atas pilihan-Mu Ya Allah, apabila jodoh dan masa itu tiba, seandaiannya engkau mengizinkan segalanya.

Aku tercari-cari siapakah jodohku ini? yang akan menjadi pendamping dalam kehidupan ku ketika mana  sanggup untuk susah dan senang bersama ku, tetapi itu semua terpulang kepada Yang Maha Esa, Dialah Maha Mengetahui, dan aku tidak perlu memikirkannya lagi. Apabila sampai jodoh dan tiba masa maka itu baru aku bersedia.

Ketiga rezeki, seharusnya aku yakin segalanya rezeki Allah yang berikan. Tanpa permberian daripada-NYA maka aku akan merana, sesungguhnya Allah Maha Kaya dialah yang memberikan rezeki kepada setiap hamba-NYA, hanya yang pasti aku perlu berusaha untuk mendapatkannya, kerana rezeki itu ada di mana-mana dan Allah juga yang menatapkannya.

Akhir kalam,

Umurku sudah meningkat, kubur dan mati pun sudah dekat, jadi janglah tinggalkan solat dan perbanyakkan ibadat. InsyaAllah, hidup akan berkat, dan semoga Allah kurniakan rahmat untuk di dunia dan akhirat. Tidak dilupakan kepada yang mengucapkan ucapan selamat kepada diri ku, semoga Allah s.w.t. merahmati semua. Kepada mak dan ayah ku, insyaAllah Ashraf akan cuba perbaiki diri dari masa ke semasa. I LOVE U  MAK DAN AYAH. Ya Allah kau sahajalah maksudku, dan hanya keredhaan kau yang ku tuntut, TERIMA KASIH ALLAH.

AshrafHadi
11.FEB.2012
12.01 tengah malam
Mafraq Jordan

10 Feb 2012

Rindu Sahabat SKK

Gambar semasa darjah lima, carilah aku kalau jumpa! hehe

Sekilas memandang zaman persekolahan sekolah rendah amat menarik sekali, sehinggakan aku ketawa seorang diri bila memikirkannya. Sungguh unik dan indah sekali, seperti aku mahukan zaman itu kembali. Tetapi semuanya itu berlalu pergi. Aku jadikan sebagai kenangan liku-liku kehidupan, untuk aku celotehkan di dalam penulisan, di jadikan sebagai hiburan untuk kengkawan.

Permulaan darjah satu di SEK.KEB.KODIANG

Pada tarikh 6.1.2000 aku bangun seawal pagi pukul 6.30 pagi, dalam keadaan usiaku masih kecil lagi, aku bersiapkan diri memakai pakaian sekolah yang baru untuk pergi ke sekolah. Tepat pukul 7 pagi dengan muka suram aku menaiki motosikal yang di tunggang oleh ayah  pergi ke sekolah baru ku. Setiba di sekolah baru, perasaan ku lain berbeza, aku melihat ramai orang yang belum aku mengenali. Pada masa itu ayah aku melihat nama aku tersenarai di dalam 1 MELATI,  tidak silap aku hanya ada tiga kelas sahaja, iaitu 1 MELATI, 1 SEROJA, 1 KENANGA. 

Di dalam bilik darjah, nama guru kelas aku jika tidak silap iaitu cikgu Norazihan, orangnya kecil dan lemah lembut tetapi ayu mukanya dan anggun sekali, dia pula ada anak yang bernama Fatihah tua setahun dari aku. Kali terakhir aku hubungi anaknya semasa anaknya selepas spm dan belajar di Kolej Matrikulasi Kedah, sekarang aku sudah lost contact untuk hubunginya lagi, kembali kepada cerita di dalam bilik darjah, aku masih ingat lagi ketika itu aku di berikan buku yang bertajuk bangau minum air dengan batu, jika tidak silap aku, dan duduk di sebelah aku ketika itu ialah Asyraf Hayazi nama seakan nama aku, nasib bukan Ashraf Hadi. 

Kami belajar seperti biasa, dan tiap-tiap hari belajar benda yang baru. Rasa seronok sangat macam nak kembali pada zaman itu, kemudiannya pula di dalam kelas aku ini, ada anak murid kesayangan guru kelas, namanya Albi Rahim orangnya cantik dan ayu sekali, sekali melihat pasti ramai yang suka. Dia bagaikan ratu di dalam kelas aku, seorang yang bijak dan cekal akalnya sehinggakan sentiasa mendapat nombor satu di dalam kelas pada masa itu. Ramai pelajar lelaki sukakan dia. Oh! sungguh bertuah Albi ketika itu.

Selepas lama di kelas 1 Melati ramai kawan yang aku mengenali, terutamanya Ku Amirul Hafizi bin Ku Zainol, dialah kawan ku yang paling aku rapat sekali, badannya besar dan berisi, orangnya kuat bagaikan badang sesiapa bergaduh mesti di bahamnya. Aku suka dengan Amirul sebab dia baik dan dia jenis diktator, semua orang hendak di bulinya, nasib pula aku tidak menjadi mangsanya, mungkin aku baik denganya.
Ada sedikit peristiwa yang aku rasa lucu  sehingga sekarang aku ingatnya, iaitu aku bergaduh dengan Azizi Kamarudin, seorang anak polos di balai polis kodiang, kacak dan hensem orangnya. Begini ceritanya...

Pada masa itu masa kelas pendidikan seni, dia datang ke tempat ku, kemudian dia bertanya tentang kotak pensil warna Luna aku, dan tidak silap aku dia terwarna lukisan aku dengan comot sekali, menyebabkan tiba-tiba perasan berasa diri ini megah aku terus membuat smack down dekatnya sehingga dia marahkan aku kemudian terus dia menangis. Nasib kelas pendidikan seni itu masa terakhir dan guru pun tiada di dalam kelas, lepas aku tengok mukanya menangis aku pun pecut lari dan loceng pulang pun berbunyi.

Pada keesokannya aku di beritahu bapa Azizi mahu berjumpa dengan ku, bukan main kecut perut ku ini, tetapi akhirnya nasib hanya usikkan kawan-kawan sahaja.
Hahahaha... wahai kawan-kawan bila aku ingatkan balik semua ini aku berasa lucu sangat dan aku pun lupa apa yang terjadi seterusnya. Apa kata aku sambung ke darjah dua.

Semasa Darjah Dua,

Seperti biasa permulaan awal tahun 2001 bangun pagi dan bapa aku menghantar seperti biasa, di dalam kelas 2 Melati dan guru kelas juga guru yang sama cuma sekolah sahaja berbeza, kami di pindahkan di sekolah cawangan kebangsaan kodiang dekat dengan Market Kodiang, di situ hanya murid darjah dua dan tiga sahaja. Di situ aktiviti aku agar nakal sedikit dengan Ku Amirul, dan di tambahkan pula dengan geng-geng samseng taik kucing, yang sekepala dengan kami berdua. 

Seperti biasa Albi tetap menjadi pelajar harapan guru kelas, dan bersama dengan beberapa orang rakannya yang lain antaranya Afini Ghazali, Syahidah Syuhaila dan banyak lagi. Tetapi di darjah dua kami menerima pelajar baru namanya Faris Mokhtar, orangnya baik dan tegap. Pada masa itu baru kenal dengan budak kelas lain, seperti Haziq Hassim, Mohd Syahir Kadir, Ismail Johari dan banyak lagi. Paling aku suka sekali Ismail Fatihi sebab ada satu pertandingan nasyid antara kelas, Perrrgh!! suaranya mantap dan sedap sekali. Menyebabkan kelas aku menjadi johan antara kelas yang lain.

Peristiwa yang kurang enak juga berlaku, seperti biasa aku tetap juga bergaduh, kalah menang belakang cerita, bertumbuk dulu beradu kekuatan baru kenal penyesalan, paling menarik sekali bila Albi datang dan berkata, "sudah! sudah! sudah! nanti polis datang, kalau hampa duk bergaduh nie", masa itu aku tengah bergaduh dengan Faris Mokhtar. Alamak! sampai polis datang, itu yang tak tahan, padahal tipu semata-mata. Dalam pada masa itu ada seorang Sir yang bernama Sir Tajol, dia memang best dan dia memang lawak, dan juga dia memang garang. Ramai pelajar sukakan dia, kerana dia mengajar dengan terbaik sekali dalam subjek bahasa Inggeris. Tak lupa juga Ustaz Kassim, anaknya sebaya dengan aku dan belajar di SEK KEB KODIANG juga, nama Fakhira Kassim.

Hahahahaha... Alamak!! aku terlupa pula, setakat itu sahaja yang aku ingat. Aduhai indahnya kenangan bila di ingatkan kembali. hehehe, sekarang aku sambung ke darjah tiga pula ya.

Semasa darjah tiga,

Seperti biasa awal tahun 2002 aku membuat perkara biasa, kemudiannya pula di kelas 3 Melati, ketika itu juga di tempatkan di sekolah cawangan di tepi Market Kodiang, 

Apa yang aku ingat ketika ini ialah, semasa darjah tiga guru kelas Teacher Maznah Hamid, orangnya berkaca mata dan isteri cikgu Majid emak kepada Hilal Anas yang sebaya usia dengan ku, cuma kelas kami sahaja yang berbeza. Dan Teacher Maznah memang baik sangat-sangat dengan semua pelajar dan dia ramai yang suka, seperti biasa pelajar harapan juga kepada Albi Rahim. Tetapi kali ini kami di geruni oleh Cikgu Din dia sorang yang garang dan guru disiplin sekolah, dia mengajar subjek bahasa melayu.

Cubitan dia menjadi sangat padu dan di geruni oleh semua pelajar, bila yang kena pasti jatuh air mata. Aku juga kerap kali kena akan cubitannya, sebab penggunaan bahasa melayu di dalam penulisan banyak yang salah, dan sekarang aku mahu ucapkan terima kasih kepadanya kerana sekarang aku dapat menulis dengan baik, tidak bukan kerana kegarangan Cikgu Din mungkin aku kurang pandai membuat karangan ketika darjah tiga, dan aku ucapkan berbanyak terima kasih, dan Allah jua segalanya yang mengaturkan semua ini.

Di takdirkan pada ketika itu Sir Tajol kembali ke Rahmatullah, selepas habis waktu persekolah aku bersama dengan beberapa orang murid yang lain pergi ke Masjid Jamek Kodiang untuk solat jenazah kepada Sir Tajol, tetapi kami tidak kesampaian untuk solat jenazah sekali kerana apabila kami tiba jenazahnya pun di masukkan ke dalam liang lahad, hanya doa dan al fatihah aku kirimkan ketika itu, dan sekarang mari kita mendoakan rohnya di cucuri rahmat. Itulah hari yang sangat sedih untuk diriku dan yang lain-lain.

Seperti biasa bergaduh tetap ada, Adam dan Man menjadi pengikut kuat geng samseng, tetapi man lebih slow dan baik berbanding yang lain. Tetapi kali ini aku bergaduh dengan Albi, macam mana kaki ku boleh hinggap di dadanya, mungkin kerana mulutnya yang berkata dengan berbisa kepada ku, pada waktu pulang mak Albi menjemput seperti biasa, dan Albi pun tunjukkan aku kepada maknya, aduhai sekali hari itu aku dimarahi dengan mak dia pula. Kecoh satu sekolah, dan aku hanya diam sahaja.

Hahahahaha..... aku rindu semua kawan-kawan sekolah rendah aku, banyak perkara lagi yang hendak di cerita tetapi aku minta maaf sebab aku terlupa. Okey aku sambung ke darjah empat pula.

Semasa darjah empat

seperti biasa permulaan tahun  2003 macam biasa, tiada apa yang berbeza cuma sekolah sahaja di tukar ke sekolah tengah padang yang dikenali sebagai sekolah induk, di situ hidup sebagai murid darjah sedikit berubah kerana di pelajari subjek sains dan kajian tempatan, mungkin ada lagi subjek yang lain di tambah. Permulaan seperti biasa, geng taik kucing juga masih kukuh dan utuh, di ketuai oleh Ku Amirul tetapi kali ini juga nama kelas pun berubah menjadi kelas 4 Utarid.

Pelajar harapan juga tiada di kelas baru ku kerana, Albi and the geng masuk kelas 4 Marikh, iaitu kelas budak-budak pandai. Aku di kelas pertengahan sahaja iaitu Utarid dan akhir sekali kelas Zuhal, tetapi bagi aku semuanya sama sahaja, tak kira di kelas mana pun. Berbalik kepada cerita, pada ketika ini semua pelajar aku kenal, dan pelajar yang top meletup ialah sakinah umar anak cikgu Rozifah di sekolah aku, Ira said anak teacher Hasmah, Rafidah Rosli dan ramai lagi termasuk Albi and the geng dari kelas 4 Marikh.
Tetapi kelas aku biasa sahaja, nakal dan buas tetap serupa tetapi yang menariknya aku mendapat nombor dua di dalam kelas, dan nombor satu aku lupa, kemudian nombor tiga tidak silap aku Ku Amirul, yang hairannya senakal-nakal kami dapat juga nombor di dalam kelas, mungkin kerana budak-budak pandai sudah tiada di dalam kelas itu yang menyebabkan aku boleh mendapat nombor dua. Subjek yang aku benci matematik, selalu aku kena dengan cikgu Asri, dia guru sukan sekolah ketika itu, asyik dia masuk kelas mesti aku kena, asyik aku kena mesti dia masuk kelas. Subjek yang suka sekali ialah sains mulanya cikgu perempuan yang ajar kemudian cikgu sharih, garang dan lawak tetapi misai yang smart.
Sampailah akhir tahun aku dapat nombor dalam kelas.

hahahahhaa.... best juga bila ingatkan balik, apa pun aku nak sambung ke darjah lima. Maaf kawan aku banyak lupa cerita, dan masa darjah lima Najwa Kamarulzaman pindah ke Kelantan. 

Semasa darjah lima,

Seperti biasa permulaan tahun 2004 dan ada sedikit perubahan, aku dengan beberapa geng taik kucing bersama dengan Ku amirul pindah kelas ke 5 Marikh, Wah! mentang-mentang dapat nombor di dalam kelas semasa darjah empat terus dapat naik kelas. Semasa darjah lima banyak perkara aku lupa, tetapi yang paling best main bola dalam bilik darjah, adik wan yang pecahkan cermin tinggap akibat tersepak bola sampai terkena tingkap kaca di dalam bilik darjah. Tunggu apalagi guru besar panggil dia balun serotan dengan geng-geng taik kucing ni. 

Seperkara lagi, ketika itu cikgu Hajah Che Jam PK HEM sekolah pun kurang senang dengan sikap aku, selalu kena marah-marah dengannya. Tetapi jika aku berjumpa dengannya aku nak ucap terima kasih, atas nasihatnya yang pedih telinga aku, membuatkan aku sampai di sini menjadi manusia. Rasanya juga ketika itu ramai guru yang kurang senang dengan ku, atas sikap dan kelakuan ku, sentiasa masuk bilik dia isi borang disiplin, dan guru kelas ketika itu cikgu Haliza, orangnya cantik dan ayu sekali, dialah guru yang terbaik aku suka, sangat cool  dan rileks dalam bilik darjah, dan juga ustazah husni tak silap aku, mereka memang terbaik, di kesempatan ini aku nak ucap TERIMA KASIH KEPADA SEMUA GURU, tanpa didikkan mu siapalah aku.

Berbalik kepada cerita, hendak di katakan tiap-tiap hari mesti bergaduh tak kira sapa, pada masa yang sama budak lelaki top ten pun duduk sekelas dengan ku, seperti Haziq Hassim, Mutadha Faidhi dan sebagainya, semua nya mereka geng-geng baik yang top ten di sekolah. Orang kata budak sukan dan sebagainya. Masa itu aku hanya pengawas pusat sumber saja, guru penasihat cikgu Siti Nor Bayan emak kepada Muna yang sekelas dengan ku semasa darjah lima.  

Semasa itu juga Ammar Fisol pun baru sampai bersama Amin, mereka dua pelajar pintar dan cerdik. Amin sentiasa nombor satu dalam kelas dan nombor satu dalam semua aliran. Aku memuji sikap rendah diri Amin, dia memang budak yang baik dan budak yang cerdik. Ramai orang suka akan sikapnya, tetapi Allah sayangkan dia, dia pergi lebih awal dari aku. Dia pergi kerana di serang penyakit luekimia, masih teringat lagi ketika mana hari anugerah cemerlang dia baru pulang dari hospital dan mengambil hadiah dalam keadaan rambutnya gugur dan dia masih tersenyum dengan kawan-kawan walaupun dia dalam keadaan sakit sebenarnya. Dia meninggal semasa aku tingkatan satu, masa itu aku tinggal di asrama, tak sempat menziarahi jenazahnya. Semoga Rohnya di cucuri rahmat.

Sedih dengan pemergian amin, kita sebagai kawan marilah sedekahkan Al-Fatihah untuk.... Alfatihah...
hahahaha aku pun lupa cerita jadi aku ingat nak masuk ke darjah enam pula.

Semasa Darjah Enam

Seperti biasa, permulaan tahun 2005 seperti biasa, dan tiada perubahan guru kelas juga cikgu Hasniza, tetapi kali ini aku turun ke kelas 6 Utarid mungkin kerana keputusan peperiksaan aku kurang menyerlah untuk aku kekal di 6 Marikh, tahun ini adalah tahun aku mengambil UPSR, jadi aku perlu berkerja keras untuk mendapat cemerlang. Setiap program diadakan, aktiviti motivasi dan sebagainya pakat di jalankan untuk aku dan rakan-rakan yang lain. Paling aku suka sekali ialah program motiavsi di Gua Kerbau, ketika itu semua orang menangis cuma aku dengan Ku Amirul sahaja yang hati keras serupa batu untuk menangis ketika mana motivator penceramah sedang bermain perasaan ketika itu. 

Tetapi aku sangat berterima kasih kepada guru-guru yang bertungkus lumus menjayakan program sedemikian untuk kami semua, kerana program itu amat bermakna untuk diriku. Kemudian pula program kelas tambahan dan sebagainya diadakan, termaksuklah solat hajat dan qiammulail di sekolah, sehinggakan semua murid perlu menginap di sekolah bermalam untuk menjayakan program itu, kedua program itu masih segar dalam ingatan ku. Terima kasih guru.

Ketika itu di gemburkan pula cintan cinton antara Faris dan Sakinah, tetapi itu hanya sandiwara kerana tiada apa-apa hanya mainan sahaja. Maka sebelum tiba waktu peperiksaan ramai murid bertungkus lumus untuk menghadapi UPSR. Yang paling aku suka Teacher Zaleha dia banyak membantu ku, termaksud juga guru yang lain, seperti cikgu Zainab, cikgu Majid dan ramai lagi.

Apabila tiba hari peperiksaan, sebelum masuk ke dewan peperiksaan, semua murid beratur dan berbaris membacakan doa. Selama seminggu peperiksaan berlangsung maka sudah selesai semuanya, maka aktiviti permainan diadakan, ketika itu Sir Roslan sabu mengadakan pertandingan bola sepak, peegrrhhhh!! memang terbaik. Akhirnya persekolahan pun sudah habis.

Hari keputusan keluar pun tiba. Alhamdulilah aku mengambil keputusan ku terus pulang kerumah, dan ketika itu masing-masing semua bersuka ria dan ada yang berduka, tetapi apakan daya semuanya bergantung atas usaha. Selepas dari pada itu masing-masing membawa haluan masing-masing.

Akhir kata

Wahai kawan-kawan itulah cerita aku yang aku ingat serba sedikit dalam ingatan ku, aku sangat merindui zaman ini, bilakah pula kita boleh duduk bersama untuk berkongsi cerita? aku sangat menunggu masa itu, dan aku minta maaf kepada semua jika ada salah silap, "AKU RINDU HAMPA SEMUA" dan kepada guru-guru di SEK KEB KODIANG terima kasih yang tidak terhingga dari diri ku yang daif ini, doakan kejayaan aku di sini. sekian. 

AshrafHadi
10.Feb.2012
Universiti Al Al-bayt
Mafraq, Jordan

7 Feb 2012

Layakkah kita?




آللّهُمَ صَلّیۓِ ۈسَلّمْ عَلۓِ سَيّدنَآ مُحَمّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدنَآ مُحَمَّدٍ

Sungguh terusik dan syahdu lagu ini membuatkan hati ku terasa, siapalah aku? layakkah aku di gelar umat Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan diri ku ini penuh dengan kedosaan yang sering terlalai atas perbuatan diri sendiri, juga termaksud diri kita yang lemah ini. Selawat dan salam keatas jujungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi Nabi untuk umat Akhir zaman.

Tatkala mendengar lagu ini, hatiku juga bertambah sedih jika ada umatnya yang tidak mengenali Nabi Muhammad s.a.w. Amat menghairankan sekali jika keadaan ini berlaku, dan perkara ini tidak mustahil. Kerana ada umatnya yang lupa akan Nabi mereka. Sungguh menyedihkan, tepuk dada tanya iman, bagaimana pula diri kita?. Adakah kita ini juga umat yang menyayangi dan mengasihi Nabi Muhammad s.a.w.

Kenapa adanya manusia begitu?

Hatiku sangat tertanya di dalam diri ini, kenapa adanya manusia yang akhir zaman ini banyak yang terlupa kepada Nabi Muhammad. s.a.w.? Kerana dialah manusia yang paling mulia diatas muka dunia ini membawa rahmat untuk sekalian alam. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan pembawa rahmat ke seluruh alam." - Surah Al-Anbia' Ayat 107.

Sangat menyedihkan apabila perkara ini berlaku, jadi persoalanya kenapa? yang pertama kerana kita jauh daripada mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kedua pula kita terlalai dan alpa dengan duniawi yang penuh dengan kemaksiatan dan sebagainya, membuatkan diri kita ini jauh dari ajaran islam yang sebenar. Sehingga Rasulullah s.a.w. kita melupakan. Nauzubillah' Min Zalik.

Sistuasi ini kita dapat lihat sekarang ini dengan umat akhir zaman, peratusan peningkatan kadar kemungkaran dilakukan sangat tinggi, contohnya kes zina kita dapat lihat indeks peningkatan buang bayi dari tahun ke setahun naik dengan mendadak, Subahanallah... adakah kita ini umat Nabi Muhammad s.a.w.??? Sanggupkah kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaan diri kita yang begini?? tepuk dada tanya iman!!

Teringkat pula sirah yang belajar di sekolah dahulu, katanya pada zaman jahiliah dahulu masyarakat Arab jahiliah akan membunuh anak perempuan kerana menjadi aib jika mereka ada anak perempuan. Disebabkan maruah keluarga maka masyarakat Arab akan membunuh anak perempuan. Itu zaman jahiliah, islam belum datang lagi kepada mereka.

Tetapi sekarang islam sudah datang, lain pula jadinya, jika dahulu masyarakat Arab jahiliah akan membunuh anak perempuan, tetapi masyarakat melayu terutamanya bukannya perempuan, lelaki juga di buangnya. MasyaAllah, kita ini teruk lagi rupanya, sesuaikah jika kita di gelar jahiliah moden? Nauzubillah' Min Zalik, tepuk dada tanya iman!! Buka minda lihatlah seluas-luasnya, fikirkan layakkah kita di gelar umat Nabi Muhammad s.a.w?

Sesungguhnya  Rasulullah s.a.w. pula...

Suatu hari..Rasulullah bertanya:"siapakah hamba Allah yg mulia?"

sahabat menjawab: "para malaikat ya Rasulullah"

sahabat menjawab:"tentulah para nabi, merekalah yg mulia"

Rasulullah tersenyum lalu berkata: "ya, mereka mulia tapi ada yg lebih mulia"

para sahabat terdiam lalu berkata:"adakah kami yg mulia ya Rasulullah?"

Rasulullah berkata;" tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, kalian membantu perjuanganku, tetapi
 

bukan kalian yg aku maksudkan
..
Rasulullah menundukkan wajahnya, baginda menitiskan air mata sehingga membasahi pipi dan janggutnya lalu 

berkata...

"wahai sahabatku, mereka adalah manusia2 yg lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah

& tahu tentang kalian..mereka tak pernah melihatku, mereka hidup tidak dekat denganku seperti kalian tetapi 

mereka sangat rindu kepadaku & saksiknlah wahai sahabatku bahawa AKU SGT RINDU PADA 

MEREKA...MEREKALAH UMATKU!..

Subahanallah, sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w amat menyayangi sehinggakan Baginda wafat pun Baginda menyebut ummati..ummati...ummati.. yang bermaksud umatku..umatku..umatku..betapa sayangnya Baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya sehinggakan dia akan memberikan syafaat kepada kita di akhirat kelak. Itulah Rasulullah s.a.w. tetapi diri kita pula bagaimana? marilah sama-sama kita tepuk dada tanya iman, tanya hati, tanya amalan!!! layakkah kita??.

Akhir kata

Sesungguhnya Rasulullah itu ada manusia yang wajib di sayangi dan di kasihi, Sabda Nabi s.a.w.

(عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ. (البخاري ومسلم
Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."
Hakikat iman seseorang tidak akan sempurna melainkan apabila ia mengutamakan kasihnya kepada Rasulullah s.a.w. Selain itu marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat keatas jujungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti Sunnahnya selepas kitab Al-quran dalam panduan hidup, agar kita menjadi manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat. Firma Allah s.w.t.
                               إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.(Surah al-Ahzaab, 33: 56)


Maka marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikuti contoh Sunnahnya di dalam kehidupan agar kita menjadi manusia yang hebat, walaupun sesiapa kita, maka kita perlu berusaha untuk mengikut Sunnah Nabi s.a.w. supaya kita mendapat syafaatnya di akhirat kelak.
AshrafHadi
7.Feb.2012
Mafraq, Jordan.