قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

28 Jun 2013

Berfikir Tentang Alam Dan Cinta


Apabila bercakap tentang alam dan cinta, ianya merupakan manifestasi manusia dengan alam kehidupan. Setiap manusia yang tiba di atas bumi ini, dikira muncul di alam yang nyata. Baik yang berkulit hitam, putih, coklat dan sebagainya. Juga Melayu, Cina, India dan sebagainya. Tak kira warna kulit dan bangsa, jika di namakan manusia ianya pasti wujud di bumi dan di kira sebagai alam yang nyata.

Manusia yang wujud di bumi ini merupakan anugerah yang Allah SWT berikan kepada setiap manusia. Sifat mengasihani ini, Allah hantarkan manusia di atas muka bumi ini untuk di jadikan sebagai khalifah. Juga untuk memberi tugas supaya memakmurkan bumi Allah SWT. 

Asalnya manusia yang pertama tiba di bumi ini, adalah Nabi Adam AS serta isterinya yang bernama Hawa. Selepas daripada itu, maka wujudlah manusia di bumi ini hasil dari keturunan Nabi Adam AS dan Hawa. Beruntungnya manusia ini adalah dengan Allah SWT menganugerahkan akal untuk manusia itu berfikir. Juga untuk manusia membezakan antara baik dan buruk.

Ini merupakan keistimewaan yang terdapat pada manusia, serta di kira sebagai kelebihan berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. 

Berfikir Dan Belajar Tentang Alam,

Secara mudahnya untuk kita berfikir tentang alam, sebagaimana kita menyaksikan alam ini dengan berfikir bagaimana Allah menciptakan. Sebagai contoh, kita melihat langit. Cuba kita bertanya, bagaimana langit ini mampu berada diatas kepala kita, sedangkan ianya tidak di tiangkan sama sekali. Pelik dan hairan, tetapi sebagai orang islam seharusnya yakin akan kekuasaan Allah SWT. 

Sebagaimana firman Allah SWT,

Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya) dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya) dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.
 (Az-Zumar:5)

Ini merupakan dalil yang jelas bahawa alam yang ada ini semuanya dikawal selia dan dicipta oleh Allah SWT. Jadi apabila kita berfikir tentang alam, secara automatik kita sebenarnya belajar tentang alam. Mengapa pula? Kerana apabila berfikir ini merupakan tindakan untuk kita mengetahui. Bilamana fikir akan alam ini, bererti kita akan mengkaji. Tak semestinya buka buku atau google

Hanya mengkaji dengan minda serta logika yang ada. Demi untuk mencari jawapan sehinggalah kita dapat jawapannya. Nah, ini dikira sebagai kita belajar dengan alam. Iaitu hanya berfikir! Jadi jangan jemu untuk kita berfikir tentang alam, kerana secara tidak dapat tidak sebenarnya kita juga belajar dengan alam. Ini juga dinamakan sebagai interaksi antara manusia dan alam. 

Malangnya Manusia Dengan Alam,

Tidak dinafikan segelintir manusia yang mempunyai sifat rakus dan tamak! Meratah setiap bumi Allah ini dengan penuh bongkak dan angkuh. Mana tidaknya, akibatnya alam ini semakin lama semakin jahanam. Lautan biru pun ada yang di hitamkan, warna hijau di dataran sudah pun ada yang menumbangkan. Terbukti ini merupakan, sifat manusia yang rakus dengan alam. 

Terbaru yang dapat kita hadapi iaitu Jerebu yang melanda, ini juga dikira sebagai perbuatan rakus manusia. Nah, alam ini rosak sebab manusia, bukan sebab kingkong atau dinasour menurut setengah orang yang kata. Tetapi ini semuanya atas perbuatan manusia. Perkara ini Allah SWT peringatkan di dalam al-quran, 

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", ....
(Al-Baqarah: 11)

Bererti Allah SWT pun melarang kita melakukan kerosakan di bumi, tetapi mengapa masih ada yang melakukakan kerosakkan diatas bumi ini? Bererti tidak lain dan tidak bukan, semuanya semata-mata untuk kerasukan manusia mengaut keuntungan dengan penuh tamak haloba menyebabkan bumi ini menjadi binasa. 

Berfikir Tentang Alam Dan Cinta,

Jadi bagi menyelesaikan masalah yang tiada penyudah. Akibat perbuatan manusia itu sendiri, lebih baik dalam hati manusia lahirkan sifat cinta kepada alam. Cinta itu indah sebenarnya, sebagaimana kita menyayangi orang yang kita cintai. Bukannya susah dan payah. Ianya mudah dengan hanya kita menyedari akan sifat peduli terhadap alam. Secara itu ianya membawa kepada kecintaan kita kepada alam.

Apabila kita alam ini dengan rahmat, sebenarnya membolehkan iman kita bertambah, mengapa? Kerana kita yakin bahawa yang alam ini semuanya Allah cipta. Proses kejadian siang malam, menghirup udara yang segar dan dipayungi awan serta tumbuhan hijau membuatkan bahawa ini adalah semua ciptaan Allah SWT. Jadi apabila kita yakin bererti bahawa kita beriman dengan Allah SWT.

Ayuh cinta alam, serta pandang alam dengan penuh rahmat! 

AshrafHadi
29.Jun.2013
Ampang, Kuala Lumpur.