قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

10 Dis 2012

Tiga Perkara Yang Perlu Ada!


Kehidupan manusia ini penuh dengan ranjau dan onak duri. Pelbagai ujian dan rintangan akan sentiasa dihadapi. Setiap hari pasti akan ada bebanan yang menimpa diri, samada sedar mahupun tidak sedar. Tetapi bila bercakap soal manusia, berbagai fe'el iaitu perbuatan pula ada. Bak kata pepatah, banyak orang banyak ragam. Dalam banyak-banyak orang, seharusnya manusia perlu sedar, sepatutnya tiga perkara yang perlu ada kepada manusia di simpan smart di dalam hati.

Apakah tiga perkara itu?,

Pertamanya ilmu, mengapa? Kerana kehidupan manusia semestinya dengan berpandukan ilmu. Orang yang tiada ilmu hanyalah orang yang jahil. Mustahil di dunia ini majoriti tiada ilmu, hanya yang gila sahaja layaknya untuk dikatakan tidak berilmu. Malahan hari ini pelbagai ilmu muncul, dari ilmu duniawi hatta ukhrawi, juga ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah. 

          Pelbagai jenis ilmu yang ada, tetapi wajib dipelajari iaitu ilmu fardu ain, kerana ilmu fardu ain adalah batu asas dalam usaha kita mempelajari ilmu. Mengapa perlu menuntut ilmu? Kerana untuk kita memecah tradisi kejahilan dalam diri kita, dari tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, sehingga kita dapat bezakannya. 

          Surah pertama yang diturunkan  Al-Iqra' yang bererti "Bacalah!" menunjukkan kepentingan ilmu itu sendiri untuk dicari dan dipelajari. Jika meneliti dari awal hingga akhir surah, ianya dapat diklasfikasikan bahawa seharusnya manusia perlu menuntut ilmu. Apabila manusia itu berilmu, secara tidak langsung manusia itu akan dihormati dan disegani oleh semua orang. 

          Akan tetapi, tidak dinafikan ilmu ini banyak yang boleh dipelajari, tetapi perlu juga berhati-hati akan ilmu yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Ilmu sebegitu yang jauh menyimpang dari syariat, bak kata orang "ilmu hitam" yang di belakangnya penuh dengan helah tipu daya syaitan. Di sini amat berbahaya, kerana manusia akan mudah terlupa dan leka dengan keseronokan yang hanya sementara.

          Sampai bila perlu menuntut ilmu? Sebenarnya tiada noktah yang dititikkan kepada penuntut ilmu. Hingga dia sudah mencapai PhD sekalipun, belum tentu dapat memadam noktah sebagai penuntut ilmu. Sampailah masa meninggal dunia barulah terpadam akan istilah penuntut ilmu kepada seseorang itu. Jadi ibrahnya ilmu ini penting yang perlu manusia pelajari. 

Hadis Nabi S.a.w,

 طلب العلم فريضة على كل مسلم
(Menuntut Ilmu Wajib Ke Atas Setiap Muslim)
Riwayat: al-Hakim, Ibn Abdil Barr al-Andalusi, Al Baihaqi dalam al-Jami' Li Syu'ab al-Iman, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn 'Asakir, dan at-Thabrani.
-Hadis Sahih Lighairih-

Nah! Apabila dikatakan wajib, maka selayaknya sebagai muslim perlu menuntut ilmu, jangan kira usia yang sudah lanjut atau umur seusia jagung. Bukan alasan bagi kita untuk tidak mahu menuntut ilmu. Yang penting ilmu perlu di cari dan bukan di datangi. 

Kedua: Pengalaman,

Pernahkah kita mendengar istilah? iaitu, "belajar dari pengalaman." Semestinya pernah mendengarnya. Tertanya juga, apa yang dikatakan belajar dari pengalaman itu?. Bila diteliti rupanya, iaitu mempelajari dari pengalaman yang sudah lepas dilakukan, untuk menambah kebaikan bagi ke masa hadapan. Akhirnya menunjukkan pengalaman itu penting dalam mendewasakan manusia. 

          Pengalaman bukan boleh dicipta dengan semudah rupa, ianya pengalaman seharusnya dirasa. Samada dengan tindakan mahupun apa jua cara, yang pastinya akan membuatkan manusia itu terasa di dalam benak jiwanya. Pengalaman juga berlalu dengan frasa demi frasa, dari usia muda hingga ke usia tua, semuanya pengalaman akan dilalui dalam hidup manusia untuk menghiasi warna-warni kehidupan manusia. 

          Kepentingan pengalaman ini bukan boleh dipandang remeh temeh, kerana tanpa pengalaman manusia tidak akan mengetahuinya. Sebagai contoh, kita berpengalaman sebagai seorang budak yang nakal, akhirnya dengan pengalaman kenakalan itulah yang mengajak diri kita berubah ke arah kebaikan tanpa kembali kepada sifat kenakalan semula, setelah kita betul-betul berubah.

          Jadi di situ menampakkan pengalaman itu penting, dan pengalaman juga mematangkan manusia dari segi berfikir dan bertindak, apabila sudah melakukan kesilapan di hari yang lepas, dengan pengalaman kesilapan itulah manusia akan lebih berhati-hati berfikir dan bertindak, demi menjaga kemaslahatan bersama. Menunjukkan juga fikiran manusia untuk berubah ke arah kebaikan, tanpa mengulangi kesilapan. 

Ketiga: Rangkaian Hubungan,

Apabila sudah mempunyai ilmu dan pengalaman, jangan dilupakan pula kepada rangkaian kita dalam perhubungan. Seharusnya manusia perlu menjaga rangkaian hubungan itu dengan elok dan sempurna, supaya nampak okey. Kerana kehidupan bermasyarakat inilah menentukan pentas kita berinteraksi dan berkomunikasi dengan rangkaian hubungan yang sedia ada disekeliling kita. 

          Menjaga hubungan dengan ahli keluarga terdekat itu penting, tetapi yang peliknya juga apabila ada manusia yang selesa dengan orang luar, tetapi dengan orang dalam keluarga sendiri di tolak ke tepi. Itulah silapnya kita yang bernama manusia, selalu nampak kuman yang jauh di laut, tetapi gajah di hadapan mata tidak di nampaknya. Sangatlah mendukacitakan, jika kita berlakuan sedemikian rupanya.

          Biarlah apa terjadi, tetapi hubungan sesama ahli keluarga jangan terputus. Berebut harta pusaka sekalipun biarlah secara elok dan sebagainya, jangan kerana sebidang tanah manusia putus rangkaian hubungan sesama ahli keluarga terdekat. Sangatlah pelik jika ada manusia begitu! 

          Sebagai manusia kita perlu jaga ke semua rangkaian hubungan kita, agar kita disukai dan disegani oleh semua orang, apatah lagi agar tidak di nampak sombong! Jika kita sombong, bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita ini. Yang seharusnya perlu untuk kita muhasabah kembali menilai dan perhalusi akan diri kita ini. 

Kesimpulan dari tiga perkara,

Kepentingan ilmu, pengalaman, dan rangkaian hubungan sangatlah penting. Jika ilmu banyak tetapi pengalaman tiada, dikatakan juga masih kurang sempurna, juga begitulah jika pengalaman ada tetapi ilmu tiada pun tidak guna juga. Mahupun juga jika ada ilmu dan pengalaman, tetapi rangkaian hubungan sesama manusia jika tiada akhirnya juga tetap tidak berguna juga bagi kita yang bergelar manusia.

          Sebenarnya kombinasi ketiga-tiga itu penting untuk kita garapkan dalam jiwa kita supaya kita menjadi manusia yang berjaya di dunia mahupun akhirat. Sejajar dengan diri kita untuk menjadi muslim yang berkualiti, dalam teras mengharungi dunia masakini, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

AshrafHadi
10.12.2012
Mafraq Jordan. 

0 comments:

Catat Ulasan