قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

26 Nov 2012

Mangsa Persatuan




“sepanjang ana jadi ALT, 3 subjek ana rasib”
“anta dah jadi mangsa akhowat ”
“tu la, aktif sangat sampai tak tidur malam”


Konsep persatuan mengikut kertas sangat menguntungkan seseorang. Kemahiran insaniah, pengalaman, kepimpinan, berinteraksi dengan orang lain. Namun itu semua berdasarkan kertas kerja MBO dan pendapat mereka yang sangat mencintai persatuan, namun bagaimana pula dengan hakikat sebenar dan apa pula kata mereka yang anti persatuan?

Gadaikan Akademik?

Inilah teori popular di kalangan pelajar Mu’tah apabila ditanya mengapa tidak berminat dengan persatuan. Teori itu semakin terbukti benar apabila dipraktikan pula oleh sebilangan orang dalam persatuan sendiri. Mana tidaknya, siang hari sibuk dengan urusan belajar, malam mesyuarat sampai larut, kemudian menerima dan membuat panggilan mengalahkan wakil rakyat, dan keadaan semakin teruk apabila terbawa-bawa ke dalam kelas.

Jika melibatkan pihak atasan terpaksa ponteng kelas namun diringankan atas istilah ‘urusan kerja’. Lebih parah lagi jikalau seseorang itu memegang terlampau banyak jawatan. PZ pun dia BKAN pun dia MPPM pun muka dia. Maka, dirinya akan diperhati oleh orang yang anti-persatuan untuk melengkapkan statistik mereka agar teori mangsa persatuan akan diiktiraf oleh pelajar lain.

Tiket Sosial.

Ini juga satu perkara yang menarik. Berpersatuan dianggap peluang untuk berkenal-kenalan dengan akhawat dalam suasana masyarakat di sini yang dikatakan ‘shadid’. Hanya orang persatuan sahaja yang boleh datang ke rumah akhawat atas alasan mesyuarat, untuk muraqib perempuan pun dia sebab lebih dikenali berbanding orang lain.

Sedar tak sedar, cemburulah orang di luar persatuan. Mereka pun hendak berkenalan dengan kaum berlainan jantina namun agak terbatas disebabkan tiada urusan. Maka, urusan persatuan itulah yang dikatakan tiket untuk bersosial berlainan jantina.

Membazir atau menyumbang?

Ini pun antara teori yang menarik untuk menghentam persatuan dan ahlinya. Kisah ini bermula apabila orang yang berpersatuan ingin meminjam duit dari mereka yang anti- persatuan, namun terus dihentamnya.

"tu la kau, mak ayah bagi duit untuk belajar, nape guna untuk orang lain?".

Mana tidaknya, hendak sediakan minit mesyuarat, surat jemputan, kertas kerja, tambang, makanan, kredit semuanya terpaksa didahulukan dengan duit sendiri. Bagi orang yang berjiwa persatuan ini, terasa tidak sanggup untuk menuntutnya daripada bendahari.

Kebaikan yang dibisukan.

Tidak dapat dipastikan samada mereka yang anti dengan persatuan itu apakah kehendak mereka. Samada secara peribadi ataupun memang satu kajian yang telah diadakan bersungguh-sungguh demi membuktikan persatuan itu membawa masalah. Ataupun mereka ingin mewujudkan sebuah persatuan alternatif mereka sendiri.

Sekiranya dinilai, ada benar juga teori mereka walaupun ada yang tidak tepat. Namun, mengapakah kebaikan itu dibisukan dan mengapakah keburukan itu dilaung-laungkan, mengapa tidak ‘ditaslih’ kan sahaja kekurangan tersebut dengan penyertaan mereka? Akhirnya fahamlah saya, kita sebenarnya berhadapan dengan makhluk yang silap sekiranya ingin kebaikan kita disebut atau dihargai.

Terima kasih bagi yang memahami.

Namun, janganlah pula lupa dibelakang kita masih ramai lagi rakan-rakan yang memahami akan hakikat perjuangan ini. Masih ramai yang menghargai. Mereka sering berdiri teguh dan kadang-kadang melemparkan kritikan. Namun, kritikan tersebut lebih bermakna apabila mereka sendiri yang membaikinya agar kelihatan lebih cantik.

Orang-orang sebeginilah yang amat diperlukan tidak kira di sini ataupun apabila pulang nanti.Tidak kiralah walaupun hanya sekadar AJK kecil ataupun sebesar-besar pemimpin kita bukan melakukan sesuatu yang sia-sia, namun untuk mendapatkan sesuatu, kadang-kadang kita terpaksa berkorban atau kita kehilangan sesuatu. Pimpinan akan silih berganti, dasar juga akan sentiasa berubah. cuma matlamat sahaja yang akan tetap centric.

Artikel ditulis oleh:-
Ustaz Shahrul Ifwat, semasa di tahun 2 Universiti Mu'tah.
Bekas Ketua Biro Akademik PERMATA 07/08.
Bekas Timb. Presiden MPPM.
Sekarang calon Master Universiti Al al-Bayt,
Mafraq Jordan. 

23 Nov 2012

Laman Sosial: Lidah Kedua Manusia!


Sebut saja facebook ataupun twitter mesti semua orang sedia maklum, dikirakan hampir keseluruhan manusia di dunia ini pasti akan mengenalinya. Laman sosial yang menjadi kegilaan dalam semua lapisan masyarakat di dunia. Bahkan di Malaysia juga tidak terlepas untuk menggunakannya. Laman sosial ini menjadi medium kepada manusia untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Tetapi tanpa kita sedari bahawa laman sosial ini juga sebenarnya menjadi lidah kedua bagi manusia.

Sharing Is Caring,

Dilaman sosial ini sebenarnya pelbagai perkongsian di kongsikan. Samada satu benda yang baik mahupun buruk. Tetapi apa saja bentuk rupa mahupun gambaran ianya akan dikongsikan di laman sosial masing-masing. Untuk menceritakan ataupun menyalurkan maklumat.

Tidak salah sama sekali, untuk kita berkongsi di laman sosial sendiri, cumanya di ingatkan mungkin kadang-kadang juga sepatutnya ada benda yang tidak perlu kita kongsi di laman sosial sendiri, mengapa? Kerana untuk menjaga maruah diri sendiri agar kita tidak membuka aib sesiapa pada orang ramai.

Justeru itu, memahami istilah berkongsi itu lebih penting, bukan semua benda perlu dikongsikan sebenarnya, misalnya masalah rumah tangga dan sebagainya. Kerana ianya akan lebih membuka aib diri sendiri kepada orang ramai. Manakala orang ramai pula akan menilai kita dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

Peluang Menggunakan Laman Sosial Sebaiknya,

Medium komunikasi yang baik dengan kecanggihan teknologi maklumat ini jika digunakan pada tempatnya tidak salah, bahkan akan mendatangkan kebaikkan dan faedah yang lebih tinggi. Tetapi ianya akan menjadi padah apabila cara menggunakannya juga tidak tepat sama sekali. 

Dunia tanpa sempadan yang dikatakan ini, amatlah meruncingkan kerana ketiadaan sempadan itulah menyebabkan pelbagai web site mahupun di laman sosial sendiri disalahgunakan. Lantaran itu peluang menggunakan laman sosial ini perlu dengan sebaiknya.

Antaranya dengan mencari kenalan yang lama sudah terpisah untuk kita hubunginya, selain itu dengan menyampaikan dakwah dan mesej-mesej yang bermanfaat kepada orang ramai di dalam laman sosial sendiri. Tetapi jannganlah kita salah faham dalam memberi takrifan kepada laman sosial.

Tidak semestinya menyebut laman sosial ianya satu perkara yang teruk dan boleh lakukan apa sahaja, malah dihujahkan pula bahawa sosial, ialah bebas melakukan apa saja seperti orang bersosial diluar sana. Itu sebenarnya adalah takrifan dan anggapan yang salah untuk laman sosial.

Kerana laman sosial bukanlah satu benda yang teruk, tetapi "sosial" yang dikatakan juga mempunyai nilai kebaikkan yang mana kita mengenalinya dengan memandangan secara positif. Jika kita betul menggunakan maka akan eloklah laman sosial kita. Ibaratnya seperti rumah, jika baik kita menjaganya maka cantiklah rumah kita.

Lidah Kedua Manusia!,

Tidak dapat tidak, laman sosial sekarang ini menjadi lidah kedua manusia. Mereka bebas berkata, malah juga bebas melakukan apa saja. Ada yang sindir dan perli, ada juga yang puji, bagaikan lidah yang berkata-kata mengeluarkan perkataan yang dikarangkannya.

Semua orang akan membaca dan memahami apa yang dikata. Cumanya apabila dikatakan lidah kedua manusia seharusnya perlu di ingat antara teka-teki Imam Ghazali kepada anak muridnya,

     "Wahai anak muridku, apa yang paling tajam di dunia ini?" Tanya Imam Ghazali.

     "Pedang!" Serentak anak muridnya menjawab.

    "Benar, tetapi yang paling tajam di dunia ini adalah lidah manusia, kerana melalui lidah manusia ianya dapat  menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri" Balas Imam Ghazali pula. 

Justeru itu, dengan lidah inilah sebenarnya perlu dijaga, juga dengan kata-kata inilah perlu berhati-hati. Kerana tanpa kita sedari kita tidak apa tidak juga telah membuatlkan saudara mahupun sahabat kita terasa hati. Terutamanya di laman sosial sendiri

Tidak salah untuk kita tidak bersetuju dalam sesuatu perkara, malahan hak kita untuk mengkritik sesuatu yang tidak dipersetujui. Tetapi biarlah kita mengkritik atau menunjukkan tidak bersetujunya itu dengan ilmiah dan beradab. Akhlak dan adab menjadi tunjang kepada kita dalam menguruskan sesuatu perkara itu, berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Akhir kata,

Apabila laman sosial menjadi lidah kedua manusia, maka perlu berhati-hati menjaganya. Kerana terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya. Kita hidup dalam budaya yang harmoni dan ilmiah. Saling tegur menegur antara satu sama lain.

Juster menggunakan laman sosial dengan sebaiknya menjadi saham dan modal kepada kita untuk dibawa pulang ke negara akhirat sana. Di dunia ini hanya sementara yang penting di akhirat sana. Saya juga sedar siapalah saya yang ingin berbicara sedemikian rupa. Maka dengan itu saya tegur juga kepada diri ini supaya dapat menggunakan kecanggihan teknologi masakini dengan sebaiknya.

Menggunakan medium komunikasi ini dengan jelas dan betul, agar sama-sama kita mendapat keredhaan dari Allah SWT dalam melakukan semua perkara termasuklah menggunakan laman sosial sendiri. Dari terhindar menyebabkan finah dan sebagainya.

AshrafHadi
23.11.2012
Mafraq Jordan. 

18 Nov 2012

Kebebasan Agama Atau Murtad?


Kelmarin berlangsungnya perbincangan ilmiah dan perjumpaan sesama ahli Kelab Oratorian Prisma, Mafraq Jordan. Dimulakan dengan pengenalan kelab dan sebagainya. Apa yang menariknya, semasa perbincangan ilmiah di buka untuk di bincangkan. Saudara Abdullah Suady memulakan dengan memetik isu Nurul Izzah, MP Lembah Pantai,  yang sedang hangat diperkatakan.

Lantaran itu dia berkata secara peribadi. Dia amat bersetuju jika seseorang warganegara, yang  beragama dengan tidak meletakkan status agama dalam kad pengenalannya secara formal sebelum berusia 18 tahun.  Hingga berumur 18 tahun, mereka diberi pilihan untuk menganut agama yang dipilih. Tetapi dengan syarat diperkuatkan dengan pendidikan.



***
Bukan kenyataan Saudara Abdullah Suady yang saya mahu bincangkan, cumanya saya memetik untuk dijadikan bebanan soalan kepada pembaca supaya memikirkan apakah adanya pro dan kontra dalam kenyataan tersebut?. Saya tinggalkan kepada pembaca sekalian, cumanya sekarang mari kita fokuskan tentang tajuk yang hendak diperkatakan, mari selami dan fahami intisari yang hendak diperkatakan ini.

Tiada Paksaan Dalam Agama,

Istilah tiada paksaan dalam agama ini begitu sinonim diperkatakan, semua memahami bahawa islam tiada paksaan. Berdasarkan ayat dalam surah Al Baqarah ayat 256,

                                                              لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ
                                       ( Maksudnya: Tiada ada paksaan di dalam agama)

Malahan itu, merujuk ayat sedemikian ada yang menyatakan bahawa islam tiada memaksa juga "penganutnya" untuk memilih agama yang lain. Dalam kontesk bahawa ini adalah kebebasan beragama. Juga melihat bagaimana, jika melayu yang baru sahaja lahir secara tidak dapat tidak mesti menganut agama islam.

Walhal dalam agama islam ianya tiada paksaan sekalipun untuk menganut agamanya, lebih mudah memahami bahawa kita orang melayu hanya menjadi agama islam sebagai agama keturunan yang terus mengikut. Justeru jika kita memberi kebebasan agama untuk kita memilih agama barulah selaras apa yang di firmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 256. 

Pada saya, ini adalah salah sama sekali dalam mentafsirkan ayat di dalam surah Al -Baqarah 256, mereka yang menyatakan dengan ayat ini menunjukkan islam tidak memaksa umat manusia untuk menganut agamanya, serta pengikut agama islam juga boleh memilih agama yang disukai. Ini adalah tafsiran yang salah sama sekali. 

Sebelum memahami ayat tiada paksaan di dalam agama, mari rujuk dahulu akan kitab tafsir yang lain juga menceritakan ayat dengan melihat nuzul ayat dan syarahnya.

Diantara sebab nuzul ayat.

وروى الواحدي عن مجاهد، قال: نزلت هذه الآية في رجل من الأنصار، كان له غلام أسود، يقال له: صبيح، وكان يكرهه على الإسلام.
Diriwayatkan dari al-Wahidi dari Mujahid dia berkata: Ayat ini diturunkan kepada seorang lelaki dari kalangan Ansar, dia memiliki seorang budak yang hitam kulitnya dan dia memaksa budak tersebut memeluk Islam.
Dan juga Ibn Katsir juga menyebut,
 إن ابن كثير ذكر في "تفسيره" أن الآية، وإن كانت قد نزلت في قوم من الأنصار، إلا أن حكمها عامٌّ. وما ذكره ابن كثير موافق لقاعدة: العبرة بعموم اللفظ، لا بخصوص السبب.

Sesungguhnya Ibn Katsir menyebut di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azhim: Sekalipun ayat ini turun pada kalangan kaum Ansar, namun hukumnya bersifat umum. Dan apa yang dinyatakan oleh Ibn Katsir bertepatan dengan kaedah: Di ambil ibrah dengan umumnya lafaz, tidak dengan khususnya sebab.

(Ayat al-Wahidi dalam Tafsir al-Wahidi. Ayat Ibn Katsir dalam Tafsir al-Quran al-Azhim.)

Justeru itu, dua penghuraian dan syarah yang diberikan, maka disimpulkan bahawa. Tidak boleh sama sekali, untuk kita memaksa orang kafir memeluk agama islam. Dan jika ditafsirkan untuk dikatakan sebagai kebebasan beragama oleh penganut agama islam itu sendiri sebenarnya salah!

Ayat ini diguna pakai pada orang yang kafir untuk tidak memaksanya sama sekali menariknya supaya memeluk islam. Sebagaimana juga, di dalam sirah menyatakan bagaimana islam berperang dan menang menawan musuh. Tawanan diberi pilihan samada memeluk agama islam, atau membayar cukai yang dikenakan. Itu barulah menunjukkan bahawa tiada paksaan di dalam agama. Dan inilah contoh yang Rasulullah SAW tunjukkan tanpa memaksa tawanan memeluk agama islam. 

Bagaimana Pula Dengan Melayu Islam?,

"Kami tidak pernah terlintas untuk memeluk agama islam pun!"

"Sedar-sedar, tertulis di I/C kami melayu beragama islam."

Antara dailog yang akan diperkatakan, bilamana dikatakan melayu islam hanya keturunan dan bukan kerelaan dengan sepenuh hati. Apabila mak ayah melayu, maka secara automatik si anak menjadi melayu dan islam. Mengapa?

Merujuk kepada Artikel 160 Perlembagaan Malaysia, mentakrifkan bahawa pelbagai istilah diguna pakai 
dalam perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Itu takrifan menurut perlembagaan berdasarkan Perkara 160 (2), yang menunjukkan bahawa melayu islam keturunan yang dikatakan ialah mesti beragama islam. Jika melayu yang keluar dari agama islam, maka terbatallah melayunya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Inilah satu syarat yang positif dalam menilai mengapa melayu mesti islam.

Jika orang melayu yang memohon untuk keluar dari islam, maka akan terbatal melayunya kemudian bukan mudah untuk menerima pakai pemohonan seseorang yang ingin keluar dari agama islam, terutamanya dalam kalangan masyarakat melayu. Kaedah kaunseling yang diberikan kepada golongan murtad juga untuk menarik minat kembali, kepada yang ingin menukar agama supaya kembali kepada islam yang sebenarnya.

Justeru, bukan terus menghukum kepada si murtad itu ataupun mudah menerima penukaran agama islam dari agama lain. Melainkan si murtad itu tukar secara senyap sepi tanpa meminta mana-mana pihak menukar agamanya ianya tiada langkah susulan yang diambil dari pihak yang berwajib. 

Maka dengan itu, tidak dapat tidak melayu yang dikatakan islam hanya mengikut keturunan itu bukanlah secara paksa dan sebagainya. Ini kerana peruntukkan Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia pun sendiri menyatakan melayu mestilah beragama islam. Justeru menyelamatkan kemurtadan dalam kalangan orang melayu. Dan juga bukan dikatakan sebagai islam secara keturunan dan terpaksa.  

Kebebasan Agama,

Mahukan kebebasan agama itu, islam meraikan dengan menyatakan bahawa agama lain boleh berjalan seperti biasa. Boleh juga mengamalkanya seperti biasa. Tetapi jika ianya akan berlaku terancam kepada umat islam terutamanya, maka dengan cepat islam akan menyakatnya. Agama lain bebas menganuti agama masing-masing dengan syarat di mengacam agama yang lain , juga islam. 

Firman Allah SWT,

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya...
(Al Khaf:29...)

Ayat ini jelas menunjukkan kebebasan agama yang dianjurkan dengan tidak memerangi orang yang tidak mahu menganut agama islam. Kesopanan islam dan hikmahnya dengan meraikan agama yang lain ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebagainya dengan mengizinkan orang kafir untuk tinggal di Madinah, melainkan mereka mengacam keselamatan umat islam di Madinah menyebabkan mereka diusir keluar.

Menunjukkan juga, bahawa kebebasan agama itu ada dengan meraikan orang agama yang lain menganuti agamanya. Tetapi jika kebebasan agama itu dikira dan dinilai bahawa penganut agama islam bebas menganuti agama yang lain itu adalah salah! Kerana  islam bukanlah agama yang seperti lampin pakai buang. 
Bukan suka-suka untuk masuk kerana kepentingan sahaja, tetapi ianya islam yang masuk dengan kerelaan tanpa memaksa.

Akhir Kalam Dan Kesimpulan, 

Sebenarnya, kebebasan agama dan murtad ini adalah satu perkara yang berbeza. Islam menjaga umatnya dengan memberi ruang dalam menilai pelbagai aspek disetiap posisi. Islam tidak mudah-mudah melepaskan umatnya dari terpesong jauh. Melainkan jika umat islam itu keluar secara senyap dan tidak mengancam yang lain, itu mungkin akan tidak diketahui, tetapi percayalah! Allah Maha Mengetahui!

Tidak boleh sama sekali kita menggunakan alasan tiada paksaan di dalam agama, menyebabkan kita meninggalkan kewajipan yang dituntut dalam islam. Juga memilih untuk menukar agama yang lain, melainkan ayat itu hanya dituju khas kepada golongan kafir dengan menunjukkan bahawa islam itu fleksibel dalam meraika agama yang lain. 

Justeru itu, menyelamatkan akidah umat islam yang terpesong juga perlu dengan lebih kuat dan semangat, kerana keadaan masyarakat Malaysia yang sekarang ini semakin tenat. Disamping itu, jika kita menyebut untuk menyelamatkan akidah islam, jangan lupa juga untuk kita menyelamatkan Malaysia bebas dari kuropsi, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah yang tidak berlaku adil kepada rakyat.

Oleh itu, jika kedua-duanya selamat barulah masalah yang menjadi barah dalam masyarakat dapat diubati dalam usaha melahirkan, masyarakat yang maju dan berilmu. Serta dapat mengurangkan segala kekusutan yang dialami di dalam negara Malaysia tercinta.

AshrafHadi
18.11.2012
Mafraq Jordan.

13 Nov 2012

Jordan: Ku Sambut Lambaianmu!



Sungguh pun diriku tak terduga, bagaikan mimpi berada di alam yang fana. Mata memandang tanpa berkelipan, melihat padang pasir yang luas terbentang. Tanggal 21 Ogos 2011 menjadi sejarah dan tuah, kerana berjaya juga ku jejak kaki di bumi yang penuh barakah, serta dengan sirah nabawiyah. Terkaku sebentar melayan fikiranku ini, bagaikan tidak percaya layakkah aku berada disini? Mengapa ku katakan begitu? Mari kita menyelami dengan rasa hati, akan coretanku ini.

Sebelum Ke Jordan,

“Betul ke nak pergi Jordan?”

Itulah ungkapan yang sering ditanya oleh semua orang kepadaku, samada sahabat, mahupun keluarga yang terdekat. Mereka bagaikan tidak percaya, apakah aku sudah melakukan kerja gila? Mengapa? Kerana bagi mereka. mungkin Jordan itu hanya untuk orang yang benar-benar layak sahaja. Jika nak dibandingkan dengan diriku memang jauh membatu, pada andaian mereka itu.

Bagi mereka lagi, mungkin kerana masa lampau ku penuh dengan kisah yang kurang enak diceritakan, menyebakan mereka bertambah lagi kurang keyakinan. Tetapi waktu itu hanya aku mampu tersenyum. Apa yang ditanya semuanya aku menjawabnya. Aku begitu semangat untuk menjejak kaki disini. Semuanya aku anggap sebagai cabaran dan rintangan kepada ku yang perlu ku tempuhi.

Diatas kesabaran dan kesungguhan yang aku tonjolkan, akhirnya keluargaku merelakan pemergianku, paling banyak yang membantu ialah ibuku. Seorang yang tua, tetapi mempunyai hati yang sangat memahami. Pernah dia berkata kepadaku sebelum ku sampai disini,

“Ashraf, hang saja sorang anak mak yang mengaji agama, abang dan kakak hang dah tak ambik dah bidang agama, harap sangat-sangat jika mak mati pun ada juga anak mak yang dapat imamkan dan baca talkin untuk mak. Jangan peduli orang lain, kalau orang lain boleh buat, awat pulak hang tak boleh buat?”

Nasihat si emak tua yang usianya 62 tahun lamanya, berbagai rintangan dia lalui dalam menjaga tujuh orang adik beradik kami. Alhamdulilah kesemua adik beradik ku sudah berjaya dalam berlari mengejar cita-cita. Sehingga berjaya mengubah nasib keluarga, tetapi berbeza pula aku ini, sifatku juga kadang-kadang yang banyak berbeza dari mereka.

Ku sedar aku tidak sehebat seperti orang lain, tidak sehebat abang ku yang mampu mengubah nasib keluarga, juga tidak hebat seperti kakak ku yang mampu menjadi guru cemerlang yang berjaya, tetapi aku? Aku? Aku? Itu persoalan yang sering dipertikaikan. Akhirnya tekad ku untuk ke sini sudah hampir berjaya ketika itu. Segala jeritan sinis yang dilontarkan, ku ambil jadikan sebagai sandaran untuk ku sahutkan cabaran.


Lambaian Bumi Syam,

Semakin dekat semakin berdebar-debar ku rasa, 8 jam perjalanan menaiki kapal terbang membuka mata dan minda. Ketika mana ku melangkah keluar ke balai ketibaan Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan. Diriku bagaikan tidak percaya, “Eh! betul ka aku di Jordan?” Tanya aku kepada diriku sendiri.

Mana tidaknya, budak yang tidak skema, tidak soleh, tidak itu dan tidak ini, rupanya berjaya juga menjejakkan kaki disini. Tetapi ku datang sini membawa misi dan visi, yang penting aku sudah bertekad untuk ubah diriku ini. Ubah segalanya, dari jahat ke baik, dari buruk ke cantik. Aku sedar jika aku masih di tapuk yang lama ianya tidak akan membawa aku kemana-mana.

Alhamdulilah lambaian bumi syam sudah ku sambut, setahun juga ku sudah menjejakkan kaki disini. Peluang belajar di universiti aku gunakan sebaiknya. Suara manja yang sinis sudah diam menyepi, dan sekarang aku giat berlari. Mengejar cita-cita yang di impikan oleh setiap insan yang bernama manusia.

Setahun Sudah Berlalu,

Bagaikan baru bagun dari terlena, sedar-sedar sudah setahun berlalunya. Bagaikan tidak percaya, tetapi inilah hakikatnya. Pernah juga ditanya kepada ku. Mengapa memilih Jordan sebagai tempat untuk menimba ilmu? Bagiku Jordan mempunyai keunikan sendiri. Selepas setahun aku berada disini baru ku dapat mengenali dan memberi jawapan apa yang ditanya.

Jika dahulu orang tanya begitu, pasti aku memberi jawapan bahawa ingin belajar bahasa arab, ingin menimba ilmu agama. Tetapi jawapan itu bagiku mudah dipatahkan kerana mengapa tidak ke negara-negara timur tengah yang lain? Disana juga boleh belajar ilmu agama dan juga bahasa arab. Oleh sebab itu selepas setahun berlalu baru kutemui jawapan yang sebenarnya.

Iaitu Jordan merupakan sebuah negara yang rakyatnya hidup dalam kapasiti yang sedikit berbanding mesir, kemudiannya pula kedudukan ibu negara Jordan iaitu Amman, tidak strategik malah kedudukan jauh dari persisiran pantai. Menyebabkan ketandusan sumber air selalunya terjadi.

Dua masalah yang dinyatakan, menyebabkan aku terfikir bahawa. Kehidupan rakyatnya yang susah, menyebabkan tekanan yang berat kepada rakyat, tetapi sampai sekarang mengapa masih belum berlaku muzaharat dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan. Seperti negara timur tengah yang lain. Kerana bagiku, masalah sedemikian sebenarnya melatih rakyat dan pelajar ajnabi hidup dengan penuh berdikari.

Bayangkan kita terpaksa berjimat cermat, menyebabkan setimba air jika dicurahkan terasa sangat kerugian. Disamping itu juga matawang dinar yang mahal daripada ringgit menyebabkan bertambah perit lagi. Tetapi itu kita jadikan cabaran untuk kita hidup dengan penuh berdikari, dan juga kita hidup bertoleransi antara satu sama lain.

Selain itu, Jordan mengamalkan sifat keterbukaan, bagaimana kita diajar menerima pelbagai pandangan, sehinggakan pandangan syiah sekalipun diguna pakai di Universiti Al Al-Bayt ini, ternyata lagi terbukti apabila kitab mereka (syiah) masih tersedia di perpustakaan universiti ini. Dan jika pelajar master, tidak dapat tidak mesti juga ambil satu pendapat dari syiah bagi tugasan tesis mereka. Jelas menunjukkan terbukanya Jordan menyebabkan pelajarnya lebih bersifat matang dan progresif.

Itulah antaranya yang menjadi sebab bagiku mengapa memilih Jordan. Kehidupan rakyat disini walaupun susah, dan payah tetapi mereka mempunya nilai dan prinsip sendiri. Bagaimana ku lihat mereka muliakan pelajar melayu seperti kita, menyebabkan jalinan erat antara masyarakat dengan pelajar luar semakin kuat.

Pengalaman setahun disini melatihku hidup sentiasa berdikari, tetapi sebenarnya kesukaan dan minatnya kita itu adalah subjektif. Sesetengah orang menyangka Jordan ini biasa, tetapi bagi aku ianya unik. Yang kadang-kadang kira rasa teruk dan sukar, rupanya ada disebalik itu, satu pengajaran dan iktibar yang besar.

Harapan dan Impian,

Mudah dan senang, impian ku ingin menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat, bukan menjadi binatang yang tiada akal untuk memikir. Jordan sebagai wasilah untuk ku menuntut ilmu dan menimba pengalaman, tetapi untuk melatih diri ini, semuanya atas diri sendiri.

Bukan perkara yang boleh kita tetapkan, seperti meletakkan sesuatu benda ditempatnya, ianya semua bergantung kepada diri sendiri. Sejauh mana tekad untuk menjadi orang, dan sejauh mana usaha yang dilakukan, itu perlu dipersoalkan. Jangan mudah mengatakan kita sudah menjadi manusia jika usaha dan keyakinan kita tiada.

Jadi perkara ini tidak sama dan serupa. Menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat bukanlah satu benda yang mudah. Ianya perlu dengan pengorbanan dan istiqamah yang berpanjangan. Keazaman yang tinggi demi mencapai cita-cita yang kita hajati. Cumanya satu, setinggi mana kita pergi jangan sesekali kita lupa pada ilahi.

“Dari Kedah kita datang kemari,
Dengan membawa harapan misi dan visi,
Negara Jordan menjadi pilihan dihati,
Semoga kehidupan disini sentiasa diberkati.”

AshrafHadi
13.11.2012
Mafraq, Jordan. 

7 Nov 2012

Wanita Itu Rumit Dan Unik (2)


Artikel tajuk sama yang lepas menceritakan, tentang keunikkan wanita itu dengan melihat kerumitan mereka. Disamping pelbagai persoalan terjawab dengan meneliti dimana keunikkan dan kerumitan yang ada pada wanita. Akhir sekali ku timbulkan persoalan, jika lelaki yang soleh akan dapat bidadari di syugra, dan jika wanita solehah pula akan dapat apa? Jadi kesinambungan inilah akan ku coretkan sedikit cita dan rasa terhadap wanita untuk dikongsi. Justeru mari kita koreksi dan selami, sejauh mana kondisi yang perlu di nilai pada si wanita.

Sifat Wanita Tegas!..

Pernah tak kita mendengar ayat sebegini? 

"Syadid gila perempuan tu," 
"Sighah nya perempuan tu,"

Mesti pernahkan? Terutamanya mahasiswa yang belajar jurusan agama seperti ku. Dengan suasana masyarakat disini yang terdiri  hanya pelajar melayu lelaki dan wanita sahaja, yang lain dikelilingi oleh bangsa arab ke semuanya. Sebenarnya ungkapan ini melambangkan kepribadian seseorang wanita itu melalui pemerhatian orang disekelilingnya.

Cuba kita bertanya kepada si wanita yang dicop sedemikian, mesti dia menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia adalah bukan sebegitu. Tetapi penilaian manusia ini berbeza, dan berbentuk subjektif. Tidak dapat tidak si wanita tidak boleh lari dari tanggapan sedemikian rupa. Bagi lelaki perkara ini biasa, tetapi bagi wanita ianya berlainan pula.

Wanita merasa dia perlu bersifat tegas dan sebagainya, demi menjaga maruah dan kehormatan dirinya, sebagai insan yang bergelar wanita. Ya, tidak dinafikan ketegasan wanita itu perlu dan dapat menjaga semua perkara. Ku amat bersetuju dengan perkara sedemikian itu. Tetapi permasalahanya pula timbul apabila wanita selalunya tidak meletakkan ketegasan itu pada tempatnya.

Sebagai contoh, wanita itu bertegas dalam setiap apa jua perkara. Misalnya, jika hendak dipilihnya sebagai moderator forum pun susah, pelbagai alasan diberikan, katanya suara itu aurat dan sebagainya. Itu menampakkan wanita sedemikian tidak meletakkan ketegasannya dengan betul. Ini sekadar contoh sahaja.

Selain itu, jika dengan lelaki lain dia bertegas dan berkeras, tetapi dengan lelaki dia sukai, boleh pula berlemah lembut. Juga menampakkan disitu dia meletakkan ketegasannya itu secara tidak betul sama sekali. Wanita yang bertegas adalah satu sifat yang baik, tetapi ketegasan itu perlu dilihat dimana yang sesuai. Agar ianya lebih fleksibel dan bersikap profesional. 

Tetapi wanita yang langsung tiada ketegasan, malah langsung tidak peduli, biarkan diri mereka diratah oleh lelaki yang bernafsu serakah, itu lebih teruk dan amatlah sadis sekali. Sebenarnya, kebanyakkan wanita yang langsung tiada ketegasan ini banyak berlaku sekarang. Tidak hairanlah jika peningkatan masalah pergaulan bebas semakin meningkat dan meruncingkan.

Wanita Terlebih Fikir,

Sebenarnya, andaian yang banyak dilakukan kebanyakkan dari kalangan wanita. Mengapa? Jika lelaki selalunya akan sentiasa memikir mudah dalam beberapa perkara, tidak seperti wanita yang akan tidak mengambil mudah pada beberapa perkara. Kerana kelebihan mereka berfikir dengan terlalu jauh sehingga dikatakan untuk mendapat kualiti yang terbaik. 

Tetapi pula, terlebihnya fikir inilah menyebabkan kesusahan bagi wanita pula, mengapa? Mudah sahaja, ku mulakan dengan contoh. Jika suami pulang kerumah, kemudian menyuruh si isteri masak ikan masak merah, mesti isteri tanya, "abang nak ikan merah pedas ke atau tidak?" "abang nak rasa masam ke masin?" "abang nak masak merah cili padi atau sos cili?". Menunjukkan bahawa pelbagai andaian akan keluar dengan pelbagai pertanyaan. 

Jika dia ikut terus, tanpa mengeluarkan andaian dan lontaran pertanyaan. Mesti tidak merumitkan, tetapi takut juga bila si isteri masak, si suami pula mengomennya terlalu banyak. Maka tidak dapat tidak kedua-duanya tidak akan selesai. Cumanya disini menunjukkan sifat wanita yang kebanyakkan selalu terlebih fikir. Bagus sebenarnya sifat terlebih fikir ini, cumanya janganlah sampai merumitkan si wanita itu sendiri.

Hakikat yang sebenarnya, walaupun wanita ini kebanyakkan terlebih fikir. Tetapi mereka juga sukar membuat keputusan. Terutama disaat yang genting mereka akan lebih berfikir mudah tanpa melihat kesan dan akibat, mengapa? Kerana psikologi menceritakan bahawa wanita ini lebih berfikiran singkat berbanding lelaki, terutama dalam membuat keputusan disaat yang terdesak.

Bukannya singkatnya mereka berfikir itu, wanita dianggap bodoh. Ianya tidak sama sekali, dan dinafikan sekeras-kerasnya. Cumanya sesetengah perkara yang sepatutnya perlu difikir dengan lebih jauh, disingkatkan dengan kepuasan hati mereka yang hanya bersifat sementara. Tetapi berbanding lelaki yang suka berfikiran jauh, dan memikir dengan kesan dan akibat. Serta tidak melulu dalam meletakkan keputusan. 

Selain itu, fikiran wanita sukar untuk masuk lekat di dalam kepala, berbanding lelaki yang cepat melekat dan menghafal di dalam kepala. Dimudahkan untuk fahami, iaitu lelaki cepat "pick up" dari wanita. Ini adalah fakta, psikologi yang berbicara, buka kata-kata lelaki yang jeles terhadap wanita. 

Pemanis kata cita dan rasa,

Sebenarnya dua sifat yang diceritakan tidak semua wanita menghadapinya. Tetapi majoritinya ada, ianya satu lumrah dalam kehidupan duniawi ini. Menafikan sama sekali amat tidak boleh lagi. Disebabkan dua sifat inilah menunjukkan keunikkan wanita itu, berbanding lelaki. Jika dilihat dan diceritakan seperti merumitkan sifat wanita ini, walhal sebenarnya uniknya mereka itu ada. 

Jikalaulah wanita tidak tegas, dan tidak terlebih fikir, agak-agaknya dimana kelebihan keunikkan mereka berbanding lelaki?. Jika ada banyak perbezaan sekalipun, inilah sifat yang menjadi lambang keunikkan wanita yang dirasakan rumit tetapi sebenarnya tidak. 

Wanita yang solehah akan berusaha menjadi lebih unik untuk mencari keredhaan Allah, tetapi wanita yang lain akan berusaha menjadi unik demi mencari perhatian si manusia yang nafsu serakah. Ingatlah wahai wanita, apa yang dikatakan diatas hanya berdasarkan coretan cita dan rasa. Apa yang diperhatikan itu yang diceritakan. Sepentingnya wanita ini, tidak dinamakan pasangan (berkahwin) jika tiada manusia yang dikata si wanita.

AshrafHadi
7.11.2012
Mafraq, Jordan.