قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

14 Okt 2012

Remaja Dan Realiti


Jika diawal permulaan islam, golongan remaja dan pemuda merupakan golongan yang sangat berwawasan, berani dan bermatlamat. golongan ini adalah antara penggerak utama gerakan Islam. Saidina Ali antara contoh terbaik kepada para-para remaja Islam. Pemikiran Saidina Ali yang kritis dan matang menjadi simbol kehebatan remaja Islam dizamannya. Pernah ditanya kepada Saidina Ali, kenapa memeluk agama Islam tanpa lebih dahulu mendapat izin ayahnya,

Saidina Ali menjawab, “apa perlunya aku bermesyuwarah (berbincang) dengan ayahku, demi untuk mengabdi kepada Allah.”

Remaja merupakan satu golongan yang boleh diumpamakan seperti gunung berapi yang bila-bila masa akan meletus laharnya. Ini kerana golongan remaja sukar di duga dan sukar dikawal. Realitinya sekarang ramai remaja hanyut, umpama hanyut di tengah lautan tanpa mempunyai arah tujuan yang jelas. Mereka hidup kerana untuk keseronokan dan untuk berfoya-foya dengan kemewahan harta benda. Hidup mereka tanpa memikirkan tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan mereka sebagai remaja Islam. 

Para pemuda Islam pada hari ini seperti langit dan bumi jurang perbezaannya dengan pemuda dizaman kegemilangan Islam. Mungkin tidak terlintas di dalam fikiran seorang pemuda Islam hari ini untuk mendapatkan bidadari secantik Ainul Mardhiah, ataupun bidadari daripada bidadari syurga. Rasulullah pernah memberi targhib (berita-berita gembira untuk menguatkan semangat) kepada sahabat, sesiapa yang keluar ke jalan Allah, maka ia akan di anugerahkan seorang bidadari syurga.

Ibrah Dari Cerita Ainul Mardhiah,

 Al-kisah, Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari yang lain di syurga. Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya, siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari di syurga.

 Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut. Tetapi dia malu untuk bertanyakan kepada nabi serta juga malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah sorang yang akan keluar/pergi berperang. Sebelum Zohor sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah) maka sahabat yang muda turut bersama jemaah tadi turut serta tidur bersama-sama.

 Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya, dimanakah dia? Lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lantas dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah. Maka ditunjuknya di suatu arah dan berjalanlah dia.

Di satu pohon, beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu, dan tak pernah dilihat di dunia ini. Lalu diberinya salam dan dia bertanya kepada wanita tersebut,
           
            Assalamualaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya khadamnya, Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana,” jawab wanita tersebut.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata perhiasan di dalam mahligai. Juga diberi salam dan di tanya lagi, adakah dia Ainul Mardiah kepada wanita itu,

Assalamulaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana.” Balas wanita di dalam mahliga itu.

Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikkannya sungguh mengkagumkan. Dan dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua.  Tak pernah dia lihat di dunia, lalu wanita itu berkata,

“Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu, dan kamu diciptakan untuk aku.” 

Bila lelaki itu mendekatinya, lantas wanita itu menjawab,

“nanti!! kamu belum syahid lagi..”

 Tersentak pemuda itu dan terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi Muhammad SAW. Tapi sekiranya dia mati syahid barulah ceritakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah mati syahid. Petang itu, ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi).

 Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Rasulullah SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang syahid tadi. Dalam menceritakan itu, nabi menjawab, “benar...benar...benar...” dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Rasulullah SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga.

Subhanallah! Jika semua pemuda berlumba-lumba untuk syahid di jalan Allah, pasti umat Islam tidak akan menjadi lemah seperti hari ini. Pasti umat Islam tidak ditindas di dunia ini.

Kesimpulannya,

Tuntasnya, remaja islam mestilah menyediakan diri mereka untuk berkhidmat kepada agama, negara dan bangsa. Merekalah yang bertanggungjawab terhadap agama dan negara pada masa hadapan. Justeru, para remaja wajib melengkapi diri mereka dengan ilmu, kerana hanya dngan ilmulah manusia dapat mengenal pencipta, dapat beribadat dengan betul dan dapat bermuamalat dengan betul. Hanya dengan ilmu darjat manusia dinaikkan. Para remaja haruslah sedar realiti sebenar kehidupan ini, kerana realiti sebenar mengajak remaja untuk berkorban. Berkorban untuk segala-galanya.

Ditulis oleh,
Mohd Asyraf Che Ibrahim
Tahun 1, Universiti Al Al-Bayt.
Mafraq, Jordan.

0 comments:

Catat Ulasan