قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

28 Apr 2013

PRU 13: Antara Harapan Baru


Jika di Malaysia sekarang ini pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk mengundi, apatah pula sekarang ini dalam fatrah Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU 13). Warna-warni bendera kian giat dipasang. bermacam-macam ada. Tidak terlepas juga di Jordan, ramai rakan-rakan yang keluar mengundi pada hari ini di Kedutaan Besar Malaysia, Amman Jordan. Mengundi di luar negara melalui undi POS. Alhamdulilah setidak-tidaknya warga Malaysia yang berada diluar negara tidak terlepas dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebenarnya, secara peribadi saya melihat dalam kerangka masyarakat yang cakna. Saya merasakan bahawa sekarang ini adalah satu-satunya PRU yang mana terlalu meriah dan sengit. Mengapa? Kerana pada kali ini satu-satunya PRU yang saya rasakan dan nampak parti pembangkang terlalu yakin mereka akan menang serta tawan Putrajaya untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Parti Pembangkang,

Sebelum ini, dapat kita lihat bagaimana parti pembangkang hanya sekadar ini mengukuhkan kerusi pembangkang di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja. Tetapi selepas tsunami politik pada PRU 12, tahun 2008 bilamana parti pembangkang berjaya mengekalkan Kelantan, dan menawan lagi 4 buah negeri untuk jatuh ke tangan mereka. Iaitu Selangor, Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

Mereka menjadi yakin dengan sekuatnya menyatakan mereka mampu untuk tawan pentadbiran pusat di Putrajaya pula pada PRU 13 ini. Jelas menunjukkan dari hasil kemenangan 5 buah negeri menjadikan sebagai batu loncatan untuk mereka menawan Putrajaya.

Parti Kerajaan,

Parti yang memerintah sebelum ini menjadi kerajaan, sinonimnya dipanggil sebagai parti kerajaan. Walhal mereka hanya parti yang bertanding. Manakala kerajaan selepas dibubarkan sudah tiada dari wakil parti mana-mana sekalipun. Jika sebelum ini kita dapat lihat jika kerajaan diwakili oleh Barisan Nasional (BN), tetapi selepas dibubarkan untuk PRU ianya sudah tidak diwakili oleh mana-mana parti.

Untuk PRU kali ini saya melihat bahawa parti kerajaan merasakan kurang keyakinan untuk menang besar pada kali ini. Mengapa? Rentetan dari apa yang saya baca dan lihat. Ketika mana berkenaan pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri, ianya mengambil masa yang terlalu lama sehingga rakyat tak sabar menanti keputusan bila dibubarkan.

Tertarik dengan alasan yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang menyokong parti kerajaan. Katanya mengapa perlu mengambil masa yang lama dalam membubarkan Parlimen ini kerana kerajaan ingin memastikan semua peruntukkan untuk bantuan rakyat seperti BR1M dan sebagainya diagihkan kepada semua sebelum PRU tiba.

Pada saya sendiri merasakan, semestinya juga parti pembangkang juga tidak turut lena dalam berkempen. Lagi lama masa diambil lagi banyak mereka kempen untuk memenangkan mereka. Dengan pelbagai isu dan masalah yang dibangkit. Membuatkan rakyat lebih mengetahui pelbagai masalah dan isu yang diketengahkan. Jelas menunjukkan kelebihan dan kekurangan jika mengambil masa yang terlalu lama dalam membubarkan Parlimen.

Antara Harapan Baru,

Untuk kali ini, saya merasakan perlunya kita ke arah politik yang lebih matang. Bukan lagi politik yang bertunjangkan kepada fitnah-memfitnah, samseng, politik lucah dan sebagainya. Itu adalah satu sikap yang langsung tidak matang. Malah, ianya memburukkan lagi suasana politik di Malaysia.

Malahan itu juga, jika parti yang bertanding yakin mereka boleh membawa kebajikan pada rakyat. Saya sarankan perlunya polisi lawan polisi serta idea lawan idea dalam menunjukkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya. Bukan idea lawan samseng, atau idea lawan fitnah. Kerana takut apabila berkuasa, hak rakyat diabaikan hak kroni dipertingkatkan. Perkara ini sememangnya memalukan apatah pula Malaysia merupa negara yang gah dimata dunia.

Selain itu, hentikan politik samseng dan lucah. Hairan dan pelik, dalam suasana negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi apabila rakyat bangkit bersuara ada pula samseng-samseng yang berani melawan, memukul, jerkah dan sebagainya. Tambahan pula pelbagai klip video lucah dikeluarkan. Perkara ini tidak dinafikan tujuannya hanya untuk mengaibkan serta bertindak jahat dalam menjatuhkan lawan.

Secara peribadinya saya menyatakan kalau kita menjatuhkan pihak lawan dengan idea dan polisi kebajikan untuk rakyat. Rasanya tidak langsung masalah, malah bersaing dalam memberi kebajikan yang terbaik untuk rakyat sangat diperlukan. Dari kita melarang, menegah dan sebagai untuk rakyat melakukan. Sedangkan rakyat adalah tuan kepada kerajaan yang dipilih.

Pada saya sendiri tidak melihat pada mana-mana parti pun. Tetapi saya melihat kepada individu yang ingin dibawa untuk kebajikan rakyat. Jika melihat hanya sekadar kepada parti. Misalnya parti A, saya yakin dan percaya bukan semua di dalam parti A itu baik serta bagus, kononnya parti A yang ingin membawa pelbagai perubahan tetapi orang di dalamnya sedikit kekurangan, ianya menyebabkan sekadar kelebihan parti sajalah, bukan kepada calon yang bertanding.

Oleh itu, perlunya rakyat berfikiran terbuka serta kritis dalam memilih calon untuk dijadikan wakil. Ingat, jika dasar yang dibawa itu bagus semestinya pastikan juga orang yang membawa itu bagus. Jika tidak bagus ianya perlu ditolak sama sekali. Semuanya ini tidak lain tidak bukan hanya untuk menjaga kemaslahatan semua pihak.

Akhir kata,

Pada saya sendiri sebagai rakyat Malaysia yang belajar di luar bumi yang tercinta sentiasa inginkan kebaikan untuk negara dan juga rakyat. Saya sedih jika negara kita dikawal selia oleh orang yang tiada wawasan dan wibawa, takut-takut ianya membawa kepada kehancuran negara yang tercinta.

Secara peribadi saya impikan rakyat yang matang dan pandai dalam memilih kerajaan. Biarkan parti pembangkang mahupun parti kerajaan tidak berasa selesa kononnya merekalah yang akan kekal memerintah selama-lamanya. Jadi rakyat ada kuasa untuk menaikkan serta menurunkan kerajaan yang tidak menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Misalnya jika parti A naik, kemudian dia tak jaga kepentingan serta kebajikan rakyat, maka rakyat perlu turunkan parti A dan naikkan parti B. Apabila naiknya parti B tetapi juga sama. Maka rakyat tukar ke sebaliknya. Apa yang penting kebajikan dan hak kepentingan rakyat terjaga. Tetapi ada yang kata,

"jika main ubah-ubah nampaknya ekonomi kita tak akan maju."

Saya membalasnya mustahil tak maju, kerana apabila dengan naik turunnya kerajaan. Mesti parti sesama parti mereka bersaing untuk menunjukkan kebajikan yang terbaik kepada rakyat. Katakan parti A naik, parti B mesti fikir yang terbaik untuk diberi kepada rakyat bagi mengalahkan parti A. Sebaliknya jika parti B naik pun parti A juga sebegitu bagi menawan hati rakyat dalam usaha untuk memilih mereka.

Jadi sapa yang untung sekarang?

Fikir-fikirkan, renung-renungkan...

AshrafHadi
28.4.2013
Mafraq, Jordan. 

0 comments:

Catat Ulasan