قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

16 Mei 2013

Kerja Guru Memang Teruk!


Jika dahulu tugas guru hanya mengajar, tapi sekarang tugas guru dialah kerani untuk kira-kira, dialah juru sukan untuk melatih, dialah segalanya. Masuk 7 pagi balik 4 petang. Itu biasa, ditambahkan pula mengajar dalam satu kelas yang dipenuhi oleh 40 orang murid sekaligus. Di situ dialah pula menjadi bapa atau ibu, dan ditambahkan dengan mata pelajaran yang diajar menyebabkan rasa bukan hanya sekadar mengajar malah lebih pada itu.

"Jadi? Ya, kerja guru memang teruk!"

"Benar? Tidak! Bukan teruk."

"Mengapa? Walhal ada ja guru yang komplain selama ini."

"Tak semua guru macam tu, maybe suku dari keseluruhan, kerana..."

Teruk bagi mata orang yang melihat diluar. Tetapi cinta bagi mereka yang mendidik. Biarpun dilanda pelbagai halangan dan rintangan, untuk mendidik anak bangsa ianya langsung tidak mematahkan semangat mereka. Bayangkan tugas guru bukannya mudah, tetapi demi melihat anak bangsa berjaya mereka sanggup berkorban apa sahaja. Baik dari segi harta, masa dan tenaga. 

Guru Oh Guru,

Jika ditanya siapa guru? Mesti ada yang berkata. Guru yang mengajar di sekolah! Benar ianya tidak dinafikan sama sekali, tetapi sebelum nak bertanya lagi. Elok kita faham apa itu guru. Secara ringkasnya guru dinamakan sebagai pendidik atau pengajar. Apabila dikatakan 'pendidik,' bermakna di rumah ibu bapa juga merupakan sebagai guru kepada kita. Setuju?

Jadi bermakna guru yang paling awal dalam hidup kita ialah ibu bapa kita sendiri, selepas itu barulah guru di sekolah, kuliah atau di mana-mana sahaja. Dalam kiraan hidup ini, sebenarnya masa kita lebih kepada guru diluar berbanding guru di dalam rumah. Secara formalnya masa guru di sekolah lebih banyak diguna pakai. Jadi guru di sekolah boleh dikatakan sebagai ibu atau ayah yang kedua bagi diri kita sendiri. 

Malahan, jika seorang pelajar yang menginap di asrama, itu lagilah dikatakan masa lebih banyak kepada guru, kerana hampir dua minggu tinggal bersama guru yang menjadi warden asrama, untuk menjaga mereka. Jadi secara tidak dapat tidak, guru merupakan penjaga kita selepas ibu dan ayah kandung kita sendiri. Ini bermakna tugasan guru yang dikatakan teruk itu sebenarnya adalah mulia.

Mulianya Tugas Seorang Guru, 

Guru yang memberi ilmu merupakan lilin yang menerangi kegelapan. Ilmu yang dicurahkan memberi panduan kepada seorang pelajar dalam membawa arus kehidupan. Bak kata Usman Awang, di dalam sajaknya,

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, 
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

menunjukkan peranan guru sangatlah mulia dalam mendidik siapa sahaja di atas muka bumi ini. Perit, penat lelah mereka hanya akan hilang apabila melihat anak muridnya menjadi orang. Yang berguna untuk agama, nusa dan bangsa. 

Pengalaman Sendiri, 

Secara peribadinya diriku bukanlah seorang pelajar yang skema semasa di bangku sekolah menengah. Tapi tak jahat, cuma nakal sahaja bak kata orang. Alkisah ada sekali tu, aku kantoi ponteng kelas. Terus dipanggil masuk bilik disiplin. Maklum sahaja bilik disiplin merupakan bilik kedua aku selepas bilik darjah. Tanpa berkata apa penampar dulu baham ke muka. Tersipu aku dibuatnya, menahan kesakitan. Suasana diam seketika, 

"Betul kamu ponteng kelas?" Suara cikgu disiplin bertanya memecah kesunyian seketika.

Tanpa fikir panjang lalu aku mengaku sahaja, pelbagai leteran diberikan kepada ku. Paling aku tersentap dengan ayat yang cikgu disiplin kata,

"Kamu sebenarnya bukan tak cerdik, cuma kamu tu malas. Jika malas tu kamu buang insyaAllah berjaya."

Sebelum ini secara jujurnya memang kedudukan markah aku antara yang tercorot di sekolah, atas sedikit usaha yang aku tonjolkan selepas kejadian, Alhamdulilah akhir berjaya juga aku terbang untuk belajar di negara orang. Jadi inilah yang aku rasa pengalaman yang amat berharga, penampar sedas di muka dan nasihat sepukul kata. Membuatkan aku berubah sedikit demi sedikit.

Akhir Kata,  

Apakah kerja guru memang teruk? Pada diriku sendiri tidak dinafikan ada teruknya juga. Tetapi teruk yang dikatakan itu rasanya akan hilang apabila melihat anak didiknya berjaya. Rasa lelah, penat, letih dalam mendidik dapat dilangsaikan dengan melihat anak muridnya menjadi seorang yang berjaya. 

Bukan hanya berjaya dari segi pelajaran tapi berjaya dari segi akhlak dan sahsiah. Itu lebih penting dan digalakkan. Tak guna jadi murid yang cerdik pandai tapi kurang adab dengan guru. Amatlah rugi sekali jika kita tergolong dalam sikap sebegitu. 

Untuk itu, saya dengan rendah dirinya nak ucapkan selamat hari guru kepada semua pendidik di tanah air, doakan kejayaan saya disini. Andai ada salah dan silap saya mohon ampun dan maaf. 

AshrafHadi
16.MEI.2013
Mafraq, Jordan. 

2 ulasan: