قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

12 Jan 2012

Bersangka baik dengan Allah

(Gambar Hiasan)
Seandainya diri kita ini lemah jangan kita merasa hina, sesungguhnya Allah tetap bersama kita. Realiti masyarakat kita hari ini memang mudah merasa lemah dan tidak kuat apabila di landa sesuatu musibah, kita juga merasa semua perkara di dalam dunia ini tidak adil, merasakan bahawa hidup di dunia ini penuh dengan kesusahan.
Tidak dapat tidak perkara ini sering kali berlaku dalam diri kita, malahan beranggapan bahawa Allah s.w.t ini tidak berlaku adil dalam semua perkara, tetapi kita lupa sebenarnya Allah s.w.t itu Maha Adil, buktinya Allah berfirman di dalam ayat Al-Quran,
                                                    يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمۡ‌ۚ وَخُلِقَ ٱلۡإِنسَـٰنُ ضَعِيفً۬ا
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (An-Nisa:28).

jadi ayat ini menegaskan bahawa Allah s.w.t. berlaku adil dengan hamba-Nya kerana Allah juga memberi ujian mengikut kemampuan hamba-Nya, keadilan itu dapat di lihat kerana Allah tidak memberi ujian dengan berat kepada hamba-Nya yang lemah, melainkan sesetengah hamba-Nya yang kuat keimanan maka ujian yang di hadapinya juga kuat, tetapi itu semua kita jangan takut, kerana hamba yang bertaqwa di sisi Allah akan kental dan tabah dalam menghadapi ujian.

Mengapa kita merasa lemah

Kita merasa diri ini lemah kerana kita tidak mampu untuk menghadapi ujian yang di berikan oleh Allah kepada kita, malahan kita akan lebih menyalahi orang lain dari menyalahi diri kita. Sebenarnya padahal ujian yang di berikan oleh Allah kepada kita setimpal dengan diri kita, mengapa kita lemah juga? itu satu persoalan yang timbul di dalam diri kita, jawapan itu sebenarnya terletak dalam diri kita, mengapa aku berkata begitu, kerana itu semua bergantung atas diri individu seseorang, sesungguhnya untuk menjadi manusia yang kental dan kuat menghadapi ujian yang Allah berikan kita perlu ubah diri sendiri, firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".
Surah Ar-Ra’d (ayat 11).

Daripada ayat di atas dapat kita lihat bahawa, untuk mengubah diri kita ini bukan bergantung kepada sesiapa semuanya terletak dalam diri kita sendiri. 
Selain itu, kita akan merasa lemah dalam diri ini apabila hubungan kita dengan Allah semakin jauh, hal ini terjadi apabila kita menyangka sesuatu perkara itu terlalu zalim dalam diri ini, contohnya aku hendak ceritakan ada  sepasang suami isteri yang baharu berkahwin juga baru mendapat seorang anak yang comel, di takdirkan Allah anak mereka meninggal, maka si isteri tidak dapat menerima akan kematian anaknya, menyatakan bahawa Allah s.w.t tidak adil, zalim dan sebagainya kerana mengambil nyawa anaknya yang masih kecil lagi, yang tiada dosa, jadi mengapa Allah mengambil nyawa anaknya itu, dari cerita ini sebenarnya si isteri tidak boleh terima hakikat, dan tidak boleh menerima takdir yang di tentukan oleh Allah s.w.t. Persoalanya sebab mengapa si isteri menjadi begitu, jawapanya kerana tiada perhubungan dengan Allah, jika si isteri tadi menjaga hubungan dengan Allah, semestinya si isteri akan menerima hakikat dan takdir yang di tentukan oleh Allah.


Resolusi 

Jalan penyelesaian sangat banyak yang boleh diguna pakai dalam diri ini untuk menjadi manusia yang kental dan bertaqwa di sisi Allah s.w.t. tetapi di sini aku ingin berkongsi serba sedikit yang aku tahu, antaranya ialah dengan bersabar di dalam diri. Sabar itu penting dalam menghadapi ujian, kerana kesabaran yang tinggi membuatkan diri kita lebih yakin dengan Allah s.w.t. selain dapat meingkatkan keimanan kita, buktinya hadis Nabi yang bermaksud,


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud) ...


Selain itu bersangka baik dengan Allah s.w.t. kaedahnya mudah, berkaitan dengan cerita si isteri tadi, jika dia bersangka baik dengan Allah, maka dia akan lebih menerima dan yakin ada hikmah disebalik kejadian itu, mungkin Allah mahu menggantikan anak yang lebih baik daripada itu, jadi perkara itu tidak mustahil, maka di sini kita bersangka baik dengan Allah dan menyatakan setiap kejadian ada hikmahnya. Sesungguhnya kita hidup di atas muka bumi ini di tentukan oleh Allah s.w.t. Malahan juga kita dapat mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. selain menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. 


Akhir kata

Setiap manusia tidak dapat tidak bukan mudah untuk menerima hakikat di sebalik kejadian yang buruk berlaku dalam diri ini, termasuk diri aku juga, tetapi marilah kita sama-sama untuk memperbaiki diri ini supaya menjadi seorang hamba yang bersabar dan bersangka baik dalam menghadapi ujian yang Allah berikan kepada kita, sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Insyirah dari ayat 5-6.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرً
Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, 
dan Allah tegaskan lagi di ayat yang ke 6,
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.

inilah janji Allah kepada manusia yang berada dalam kesusahan, seharusnya kita beringat bahawa dalam kesulitan itu,  Allah juga akan bagi kemudahan dan kemanisan di sebalik kesusahan yang diberikan kepada kita, jika kita sabar dan bersangka baik kepada Allah sesungguhya kitalah manusia dan hamba yang beruntung di sisi Allah s.w.t.

 Ashraf Hadi
11.Jan.2011
Mafraq, Jordan.



0 comments:

Catat Ulasan