قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

27 Jan 2012

Oh! cintanya

Gambar Hiasan


"Terbang jauh si burung merpati,
Hinggap di dahan pokok jati,
Lumrah naluri ingin di kasihi,
Untuk mencari cinta hakiki".

Serangkap pantun sebagai pembuka kata untuk aku melabuhkan bicara, sukanya aku kali ini terpanggil untuk menulis mengenai cinta. Sebenarnya dalam diri ini aku ikhlas berkata, aku langsung tidak tahu apa itu cinta?, malahan maksud sebenarnya cinta juga kurang aku memahaminya, orang kata cinta itu buta, tetapi aku tidak nampak pula dimana matanya?. Hal ini jelas sekali terasa apabila cinta yang dikatakan itu pula dikata dusta, oh! di mana pula silapnya cinta? sehingga dikatakan dusta belaka. Pelbagai persoalan timbul di dalam benar fikiranku, sehingga aku tertanya-tanya, apa itu cinta? apakah maksud sebenarnya cinta? betulkah cinta itu buta dan dusta? oh! terasa berat sekali aku memikirkannya.

Apa itu cinta?

Jika ayat ini ditanya kepadaku, nescaya pasti aku akan terpinga-pinga, tetapi kali ini marilah sama-sama  kita singkap dan ungkap apa itu cinta?. Selalunya cinta mesti di kaitkan dengan perasaan kasih sayang antara dua pihak. Sinonimnya hari ini, tidak dapat tidak cinta akan di takrif kan sedemikian rupa. Mungkin juga cinta dikatakan sebagai satu perkataan di dalam bahasa melayu untuk menjadi kata spesifik dalam maksud kasih sayang, secara zahir dan logiknya aku menerima apa dikatakan. Tetapi timbulnya persoalan apa itu cinta? sesuatu yang perlu di jawab dengan teliti dan mendalaminya secara halus.

Merujuk kamus dewan edisi ke-empat, pertama cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada (negara, ibu bapa, kebebasa, dll). Kedua cinta bermaksud perasaan atau berperasaan berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan wanita. secara ringkasnya cinta itu terbahagi kepada kasih sayang dan berahi, di dalam konsep yang mudah dikatakan ialah cinta itu perasaan atau berperasaan. 

Mengikut kata Ustaz Kazim bin Elias seorang penceramah yang tersohor di Malaysia pada waktu sekarang, dijawabnya apabila dia di tanya tentang apa itu cinta?, dia berkata "maksud cinta dua hati menjadi satu". Tambahannya lagi cinta juga bukan mengira sesiapa, samada tua ataupun muda, masing-masing mesti ada perasaan cinta. Kemudiannya yang di katakan cinta itu pula katanya lagi, jika kita hendak menghalang cinta itu mungkin susah. Tetapi seharusnya kita perlu bimbing supaya menjadi elok, supaya cinta "dua hati menjadi satu" itu di akhiri di alam perkahwinan.

Ustaz Kazim pula berkata lagi, tidak semestinya cinta itu juga di akhiri di alam perkahwinan, kerana contoh yang diberikannya, jika seseorang lelaki itu tidak menikahi kekasihnya akibat tidak mendapat restu dari ibu bapa kedua belah pihak, maka si lelaki itu tidak sama sekali akan berkahwin dengan wanita tersebut, kerana cintakan perempuan itu, takut jika dia berkeras mahukan berkahwin juga, berkemungkinan akan berlaku permasalahan di alam rumah tangga. Jadi demi kebahagian bersama dan cintanya, maka si lelaki itu tidak menjadi untuk menikahi wanita tersebut, dan itulah yang dinamakan cinta.

Daripada apa yang di lihat, kefahaman yang mudah merujuk kamus dewan edisi ke-empat kepada dua pengertian cinta bererti perasaan atau berperasaan. Kemudian dua kefahaman yang dapat di fahami dengan lebih mudah tentang apa itu cinta? yang cuba di sampaikan pula oleh Ustaz Kazim ialah kasih sayang antara satu sama lain dan juga pengorbanan. Jika kasih sayang dan pengorbanan yang dikatakan oleh Ustaz Kazim itu baru ertinya cinta maka jelaslah bahawa apa itu cinta? di tambah pula sifat perasaan yang di nyatakan oleh kamus dewan edisi ke-empat. Tidak dapat tidak, dua pengertian ini saling menyatakan ialah cinta itu perasaan dan di tambah satu lagi ialah pengorbanan.

Maksud sebenarnya cinta

Ramai orang beranggapan cinta itu mesti tidak dapat tidak perasaan kasih sayang antara lelaki dan wanita, jika di tanya kepada orang ramai sekalipun, semestinya akan dijawabnya begitu. Itu adalah selaras dengan erti cinta di dalam kamus dewan edisi ke-empat huraian yang kedua. Pada apa yang difahamkan apa itu cinta? cinta itu ialah perasan dan pengorbanan. Mustahil cinta itu hanya wujud kepada kekasih hati sahaja, semestinya cinta itu juga wujud kepada ibu bapa, guru-guru, sahabat dan lain-lain lagi. Selaras dengan erti cinta di dalam kamus dewan edisi ke-empat huraian yang pertama.

Secara luasnya kita memandang cinta ini banyak maksud yang tersendiri. Takrif cinta itupun di pelbagaikan, sememangnya cinta itu penuh dengan maksud yang tersendiri. Secara jujurnya aku mengakui bahawa cinta itu ada perasaan, tanpa ada perasaan maka tiada wujudnya cinta, disamping itu pula di selitkan dengan pengorbanan.  Mungkin juga ramai orang ada maksud tersendiri tentang cinta yang jauh lebih hebat dari aku, tidak di nafikan semua itu. Tetapi adalah suka untuk ku sendiri ingin mencurahkan sedikit pengertian apa maksud cinta sebenar.

Dalam maksud sebenarnya, cinta itu ialah perasaan dan pengorbanan, kenapa aku berkata demikian? kerana jika di teliti secara halusnya maksud sebenar cinta, seseorang individu tidak akan cinta jika tiada perasaan atau berperasaan. Mustahil tanpa ada perasaan tiba-tiba jatuh cinta, oh! sungguh pelik manusia begitu. Kita lihat perasaan sepasang kekasih, jika keduanya tiada tindak balas perasaan di dalam hati, maka cinta itu tidak akan wujud, begitu juga cinta seorang hamba kepada tuhan, perasan kasih sayang kepada Allah lahir daripada perasaan hamba-Nya itu sendiri, dan sifat perasaan itu ada anugerah yang di berikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Begitu juga perasaan cinta sesama sahabat, jika tiadanya perasaan itu maka wujudnya sifat tidak peduli dan seumpamanya.

Pengorbanan dalam erti cinta, tidak akan cukup lengkap perasaan itu jika tiada istilah pengorbanan. Misalnya perasaan itu wujud, tetapi pengorbanan itu tiada maka itu bukanlah dikatakan sebagi cinta yang sebenar. Kerana secara halusnya jika di lihat, sebagai contoh hamba dan tuhan, jika seseorang hamba cintakan tuhan maka perasaan takut untuk melakukan kemungkaran akan ada dalam diri, di tambahnya pula jika dia berkorban dirinya kepada Allah, seperti korban harta dan tenaga ke jalan Allah, maka itulah yang dinamakan cinta.

Contohnya lagi ialah sahabat, jika seorang sahabat ada perasaan cinta kepada sahabatnya yang lain, maka sahabat itu sanggup berkorban apa sahaja untuk sahabatnya. Tambahan pula bila kita berada di sini, yang jauh beribu batu dengan ibu ayah, jadi hanya sahabatlah yang kita harapkan. Sesungguhnya pegorbanan itu penting sekali untuk membina cinta.

Boleh ke bercinta?

Wah! satu pertanyaan yang menarik. Boleh tidak menjadi masalah, sekarang ini cuba kita bercinta dengan sahabat kita di sekeliling, kita pasti akan melahirkan perasaan sayang dengan sahabat kita di sekiling, pasti tidak dapat tidak akan melahirkan sifat kasih sayang, tambahan pula jika kita jauh dengan ibu bapa jadi sahabatlah ibu dan sahabatlah ayah untuk kita berkongsi masalah dan gelak tawa.

Firman Allah: "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10) 
dan hadis Nabi s.a.w. bersabda. "Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya
sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kedua dalil tadi menunjukkan bahawa kasih sayang cinta itu di benarkan selagi tidak melanggar syara'. Bagaimana pula dengan cinta yang melanggar syara'? sebelum itu, molek benar jika ku selitkan sedikit jawapan yang diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus. Dia berkata cinta itu boleh jika niat mahu jadikan isteri atau suami. Jadi adakah cinta itu dibolehkan? bertenang dahulu, cinta yang di maksudkan oleh Ustaz Azhar Idrus jika sepasang itu benar-benar kemampuan untuk berkahwin, tetapi apa kejadahnya jika usia baru seusia jagung itu bercinta, bercinta boleh jika niatnya jadikan isteri, tetapi SPM tak lepas lagi, PMR belum keluar keputusan lagi adakah logiknya mereka itu bercinta untuk di jadikan suami atau isteri?.

Sungguh terasa amat hairan sekali, lainlah jika mereka sudah melangkah kaki ke universiti, di mana masing-masing boleh berfikir sendiri, tetapi itu pun masih terikat dengan batas-batas pergaulan supaya perkara yang tidak di ingini terjadi. Stastitik menunjukkan bahawa kelahiran anak luar nikah dari tahun ke tahun lain semakin meningkat, akibat punca salah satunya ialah cinta antara dua hati yang belum lagi tumbuh gigi. Perkara ini amat sukar di bendung, pelbagai solusi di berikan cuma yang pasti jawapan Ustaz Azhar Idrus harus kita fahami.

Akhir kata

Natijahnya disini maksud cinta itu sebenarnya luas, dan meliputi semua perkara. Janganlah kita menyatakan cinta itu hanya untuk sepasang kekasih sahaja, tidak sama sekali perlu kita berkata begitu kerana cinta ini boleh dilahirkan kepada sesiapa sahaja. Jika cinta hakiki yang sebenarnya ianya terus kepada Ilahi, tetapi sifat manusia sukanya di kasihi, maka sahabat disekiling menjadi cinta kita kepadanya. Tidak dapat tidak juga cinta kepada kekasih kita, itu seharusnya di teliti sebaiknya agar kita tidak menjerumus ke lembah yang hina, bak kata orang bercinta biar sampai ke syurga, tetapi syurga itu janganlah syurga dunia sahaja, takut nanti di akhirat kita terseksa. Semesti kita perlu di dunia bahagia di akhirat selesa.

Cinta akan lahir bila kita ada perasaan dan berperasaan sedemikian, tetapi seharus kita perlu guna sebaiknya, pengorbanan juga penting sama sekali, cinta yang baik ialah cinta yang sanggup berkorban. Jika kita lihat sahabat kita susah, maka demi kecintaan kita kepadanya bantulah dia, tambahan pula kita di sini jauh dengan ibu bapa hanya sahabat yang kita harapkan. Akhir kata dari diri yang hina ini, sesungguhnya kita ini bersaudara, yang sujud di kiblat sama, maka jalinlah ukhwah bersama demi agama, ku mohon ampun dan maaf andainya penulisan ini tidak seberapa.

"Kasih naluri sudah dicari,
cinta hakiki juga sudah di jumpai,
hanya yang pasti kasih kepada Ilahi,
untuk menjadi insan duniawi dan ukhrawi".


AshrafHadi
26.1.2012
Mafraq, Jordan.

2 ulasan: