قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

26 Apr 2012

Oh! Melayu


Kebejatan tatasusila masyarakat melayu pada hari ini sangat merungsingkan. Apatah lagi melihat gelagat masyarakat melayu yang semakin lama semakin jauh dari nilai ketimuran. Benar kata Tun Dr Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat, menyatakan bahawa "melayu mudah lupa". Ucapan keramat itu memang betul dan benar apa yang dikatakan, melihat sekarang masyarakat melayu yang semakin lama semakin pupus akan nilai-nilai ketimuran kita ditelan dek zaman. Jadi persoalannya kenapa? dan mengapa?, apakah punca yang sebenarnya?.

Melayu dahulu,

Dahulunya bangsa melayu adalah satu bangsa yang sangat tinggi akan kebudayaan, akhlak dan tatasusila. Kemudianya pula bangsa melayu sangat gemilang akan tamadun di Asia Tenggara. Kemunculan Parameswara yang memerintah Melaka ketika itu sangat gemilang akan kerajaannya. Ramai pedagang-pedagang dari China dan India hattakan dari negara Arab masuk berdagang dengan kerajaan Melayu Melaka. Menunjukkan bawa kita adalah satu bangsa yang gemilang suatu tika dahulu.

Melayu yang mementingkan akan budaya, adab dan tatatusila dengan di serikan lagi agama islam menyebabkan kita sangat dikagumi dari pelusuk dunia sehinggakan dari empat penjuru dunia ketika itu. Sejarah membuktikan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka menyebabkan kita disukai ramai bangsa. Kesopanan dengan nilai-nilai ketimuran menyebabkan kita di pandang mulia dan Islam menjadi pegangan agama.

Itu dahulunya kita, yang sangat mementingkan segalanya kebaikan kebudayaan, akhlak dan tatasusila. Menunjukkan bahawa melayu ini adalah satu bangsa yang tinggi akhlaknya, dan sinonimnya jika sebut melayu mesti berkaitan dengan ISLAM. Jadi jelaslah apa yang dikatakan jika melayu secara tidak dapat tidak dikatakan juga islam, dengan itu mari kita singkap dan ungkap apakah benar yang dimaksudkan, dan apakah juga masih sama melayu dahulu dengan melayu sekarang.

Melayu sekarang,

Hari ini melayu kita dapat nilai secara tersendiri, pelbagai sudut dan sektor boleh kita ketengahkan pada hari ini dalam penghuraian yang lebih jelas untuk difahami. Secara indikasinya kita lihat melayu sekarang terbahagi kepada kita faktor yang jelas dan nyata dalam penghuraian berkenaan melayu, iaitu politik, ekonomi, dan sosial. Maka apabila dikatakan melayu sekarang secara tidak dapat tidak mesti berkaitan tiga perkara asas tersebut.

Sekarang untuk melihat kebudayaan, akhlak dan tatasusila dengan kesamaan melayu dahulu dengan melayu sekarang boleh di nilai dalam tiga faktor tersebut secara jelas. Ini kerana dahulunya melayu gemilang dari semua aspek, tetapi adakah sekarang masih gemilang seperti dahulu?. Kita lihat penjajah yang menjajah negara kita selama hampir 450 tahun yang mengaut pelbagai sumber di tanah melayu menyebabkan memberi kesan yang teruk kepada masyarakat melayu.

Tetapi sekarang kita baru memerintah 54 tahun sudah tampak pelbagai kemaslahatan timbul yang menyebakan semakin lama semakin kurang akan kebudayaan, akhlak dan tatasusila masyarakat melayu. Dengan itu mari kita huraikan secara lebih jelas mengikut frasa demi frasa dengan bermulanya politik.

Politik,

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, yang mana ketentuan naik turun kerajaan di pilih oleh rakyat sendiri. Terbinanya juga bagunan parlimen yang melambangkan sistem demokrasi di negara ini. Selain itu, sistem raja perlembagaan juga diadakan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan jemaah menteri kabinet termasuk diperingkat persekutuan mahupun peringkat negeri.

Negeri yang diperintah oleh Sultan melayu dibantu takbir oleh  Menteri Besar serta barisan Exco yang terpilih yang mana mereka juga yang memenangi piliharan raya. Bercakap soal politik melayu pula, dua parti terbesar dalam kalangan melayu ialah United Malays National Organisation (UMNO) dan Parti Islam se-Malaysia (PAS) pada masakini. UMNO sebagai kerajaan dan PAS pula sebagai pembangkang pada masakini.

Kedua-dua parti tersebut memainkan peranan yang penting dalam memajukan orang melayu kursusnya. Tetapi apabila sekarang ini kita melihat kedua-dua parti ini bertelagah, apakah ada keuntungan kepada kita? Hari ini kita lihat pelbagai korupsi dilakukan oleh kerajaan mahupun pembangkang. Kedua-dua parti ini menjadi kompenen penting untuk suara masyarakat melayu kursusnya.

Tetapi sekarang ini pula, masing-masing saling menunding jari. Sehinggakan kita bertelagah sesama sendiri, tanpa kita sedari dimana punca yang patut kita kenali. UMNO sendiri sedia menerima penyatuan dengan PAS, tetapi mengapa ditolak?. Mesti ada sebab yang tertentu menyebabkan PAS menolak ajakan UMNO tersebut untuk bersatu. Sebenarnya dari aspek islam kita sememangnya bersatu, sebagaimana firman Allah yang bermaksud,

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)


menunjukkan bahawa kita sesama mukmin ini bersaudara, dan atas nama islam lah kita sudah bersatu, tetapi dalam politik ianya lebih kepada analogi pemikiran dan perjuangan, maka sebab itu saya tidak langsung hairan jika kedua-dua parti melayu yang terbesar itu tidak bersatu. Jika dikaitkan dengan berkerjasama dengan parti politik kaum lain, sebenarnya kedua-duanya tidak langsung boleh menunding jari, kerana masing-masing berkerjasama dalam parti politik kaum lain, maka disitu nampak kedua parti tersebut menjalinkan kerjasama.


Cuma apabila politik melayu dipermainkan dengan teruk sekali. Secara jelasnya punca adalah disebabkan parti masing-masing, setiap parti politik mesti ada masalah dalaman yang serius mahupun tidak, tetapi bergantung kepada kebijaksanaan parti menyelasainya. Maka tuduh menuduh kedua parti saling mencari punca dan salah pihak lawan itu di anggap perkara biasa. Cuma apabila meratah kuasa sudah menjangkaui kepala, maka di situ politik melayu sudah nampak kecundangnya.


Kerana apabila banyak penyelewengan, korupsi dan sebagainya, itu menunjukkan kepentingan rakyat tidak dijaga menyebabkan kuasa politik melayu terbabas. Saya tidak bermaksud mengata kepada satu politik sahaja, ini saya berkata secara umum. Jelaslah punca disitu dapat kita nilai dan kaji, dengan lebih mendalam melihat sejauh mana kuasa politik melayu yang berdiri utuh dan kukuh, ataupun kuasa politik melayu sangat rapuh.


Ekonomi,


Secara jujurnya saya tidak mahu membicara dengan panjang lebar, ekonomi Malaysia sememangnya sudah dikuasi oleh kaum lain, menunjukkan ekonomi kita hanya sedikit sangat berbanding dengan kaum yang lain. Peratusan kadar ekonomi di Malaysia sendiri pun jelas membuktikan hanya beberapa sahaja syarikat melayu yang berdiri gah dan gagah selebihnya pula kepada kaum lain.

Sememangnya majoritinya adalah bangsa melayu di Malaysia, tetapi ekonominya pula dikuasai oleh kaum lain, kerana sikap bangsa kita sendiri yang boleh dilihat sebagai contoh ,sikap melayu yang apabila berniaga antara satu sama lain, mesti akan ada juga sifat dengki. Walaupun bukan semua tetapi sesetengah itu mesti ada. Mengapa??


Entah mengapa saya tidak pasti akan sifat sedemikian berbanding kaum yang lain yang tampak lebih kehadapan dalam bab ekonomi. Kedengkian sesama melayu akhirnya kerugian melanda kita. Walhal kita boleh melihat bangsa lain yang lebih bekerjasama tanpa ada kedengkian langsung sesama mereka. 


Sosial,


Hal ini menjadi semakin parah berbanding kaum lain. Kesosialan melampau dalam kalangan melayu sangat serius, sehinggakan menjadi barah dalam kalangan masyarakat. Kita boleh lihat secara jelas bagaimana anak bangsa sendiri lari semakin jauh akan budaya dan adab, akhlak dan tatatusila yang jauh menyimpang dari ajaran islam dan adat melayu.


Melayu satu bangsa yang mulia menjadi janggal dan pelik bila bangsanya sendiri yang tidak langsung melambangkan akan kebudian pekerti melayu sendiri. Sungguh menyedihkan apabila kita melihat kesosialan bangsa lain amatlah kurang berbanding melayu. Anak-anak melayu sekarang bebas melakukan perkara keji, mahupun di mana-mana sahaja. Pakaian mereka sudah pun jauh dari pakaian adat resam melayu yang tampak lebih comel dan cantik.


Mengapa? kerana kejahilan kita dalam mengenal adat melayu sudah lama pupus, jikalau tidak percaya. Cuba kita bertanya kepada muda mudi negara kita akan penulisan tulisan jawi yang dahulunya diguna pakai oleh masyarakat melayu. Sesungguhnya sangat menyedihkan jika dikhabarkan, tidak ramai muda mudi kita tahu akan sepenuh berbanding sedikit sahaja yang tahu. Itupun baru segi tulisan, usah dicakap dari segi pakaian, akhlak, adab dan sebagainya. 


Islam dengan melayu sangat cantik bila di gabungkan, lantaran pula Nabi Muhammad SAW diutuskan menjadi rahmat sekelian alam, firman Allah SWT.


Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.”  (Quran s. al- Anbiya : 107)


Contoh dan teladan yang baik menjadi ikutan kepada kita semua yang beragama islam, sememangnya kerahmatan sekelian alam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai contoh yang Allah tampilkan kepada kita, ianya datang bukannya membawa rahmat kepada masyarakat Arab sahaja, tetapi ianya membawa rahmat sekelian alam di atas muka bumi ini.

Tetapi melayu sekarang ini boleh kita nilai dengan mata kepala kita sendiri, melihat satu-satu bangsa yang hanya mahu keseronokan tanpa mengingati tuhan. Jangan di hairan jika peningkatan kemungkaran naik setiap tahun dalam negara, dan pemimpin jangan pening kepala jikalau banyak bangsa melayu yang terlibat sama.

Kerana sebenarnya, kita langsung tidak memberi didikan agama yang sempurna dalam diri, kita kalut mengejar kemajuan tetapi kemajuan dalam diri kita abaikan. Anak bangsa hanya berseronok sahaja, tambahan pula ibu bapa tidak ambil peduli. Lantas itu mencari konklusi sangat diperlukan pada hari ini. Pemahaman tentang islam mesti di titik beratkan lagi agar kita hapuskan sikap bangsa melayu yang tampak layu.

Akhir kata,

Lihatlah bangsa, jikalau mahukan bangsa kita mulia nescaya jadilah islam dengan sepenuhnya sebagai ikutan. Jika mahukan generasi akan datang lebih maju kehadapan maka kita lah perlu tonjolkan. Jika pemimpin berdiam diri, jangan hairan jika anak bangsa hilang budi pekerti. Jika pemimpin niat tulus untuk kembalikan seperti melayu dahulu, nescaya Allah bantukan. 

Melihat bangsa ku semakin lama semakin layu, antaranya dari tiga faktor tersebut, ku suarakan dari tulisan walaupun tidak terkeluar dari ucapan. Kerana saya merasai akan sayangnya melayu ini, agar terpelihara dari segalanya. Jika ada salah dan silap mohon di maafkan, saya budak baru belajar, sama-samalah kita ambik ikhtibar. Benar kata Tun Dr Mahathir Mohamad "melayu mudah lupa".

AshrafHadi
26.April.2012
Mafraq Jordan  

0 comments:

Catat Ulasan