قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

14 Jul 2012

Ramadan Semakin Tiba


Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabilanya tiba di awal ramadan diwajibkan semua umat islam supaya berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa pula ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa? Serta kelebihan dan fadhilat dibulan ramadan.

Mengapa perlu berpuasa?,

Persoalan ini selalunya bermain di mindaku, jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa islam pula tidak boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu dimana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.

Pelbagai persoalan timbul menyebabkan ku mencari jawapannya tersendiri, diselak satu persatu artikel dan kitab mengenai puasa untuk mencari jawapan yang bermain diminda. Apabila selesai pencarian maka aku ingin aku kongsikan. Berbalik kepada tajuknya mengapa perlu berpuasa?

Firman Allah SWT,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)

Jelaslah menunjukkan bahawa dengan firman Allah SWT ini diwajibkan umat islam berpuasa, kerana Allah menyeru orang-orang yang beriman, jadi siapa lagi kalau bukan umat orang islam. Selain itu puasa menjadi salah satu rukun islam yang terkandung di dalamnya lima rukun. Jadi sebagai muslim ianya perlu dan wajib berpuasa kerana itu adalah rukun islam.

Selain itu, perlunya berpuasa ini kerana orang-orang terdahulu sepertimana pada zaman nabi-nabi lain mereka juga diwajibkan berpuasa. Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa merupakan rentetan dari kewajipan puasa yang diwajibkan pada umat Nabi Muhammad SAW, seperti dalam surah (Al-Baqarah: 183) 

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan cikal bakal puasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Selain itu, perlunya berpuasa ini, sebagai tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT. Diakhir surah (Al-Baqarah: 183) menyebut "supaya kamu bertaqwa" melihatkan bahawa puasa ini menguji akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh itu, menjawab segala persoalan yang timbulnya tadi, seperti mengapa puasa disiang hari? Dan kenapa puasa tidak boleh makan dan minum disiang hari? Ialah untuk menguji kita sebagai umat islam akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Pernah diceritakan seorang ustaz kepada saya, mengapa kita perlu tahan lapar dan dahaga di bulan puasa? Kerana apabila kita menahan lapar dan dahaga, menyebabkan keseimbangan badan akan terkawal. Selain itu sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya direhatkan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.

Kelebihan Di Bulan Ramadan,

Kelebihan bulan ramadan, antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala jika kita melakukan amal ibadat kepada-NYA. Selain itu di bulan ramadan juga terkandungnya pelbagai keistimewaan, antaranya Al-quran di turunkan serta terjadi malam Lailatul qadar, yang menjadi malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Selain itu, pada bulan ramadan syaitan akan dibelenggu di neraka sepanjang ramadan yang mulia ini, kemudian pula pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya. Malahan itu juga, penghuni neraka pun tidak diseksa pada bulan ramadan. Ini menujukkan bulan ramadan menjadi satu bulan yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Malahan itu juga, bulan ramadan menjadi bulan tarbiyah kejatian keimanan manusia kepada Allah SWT. Sepanjang bulan umat islam sentiasa sibuk berlumba-lumba melakukan amal ibadat serta mencari secekupnya, untuk dibawa bekalan ke akhirat kelak. Kerana setiap amal ibadat dikerjakan semuanya dengan senang dilakukan tanpa ada ganguan dari syaitan, hanya manusia (islam) dengan Allah SWT sahaja dan nafus di dalam diri.

Persediaan Menghadapi Ramadan,

Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya akibat dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT menjadi ramadan ini satu bulan untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita.

Berazam tingkatkan amal ibadat, seharusnya itu penting di dalam bulan ramadan ini, untuk diri kita semua meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. Disamping itu, keazaman juga dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesihatan tubuh badan, perlunya juga di ingatkan terutama kesihatan fizikal dan mental ianya amatlah penting. Jika menghadapi ramadan dalam keadaan diri tidak sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan supaya kita menghadapi ramadan dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan mengerjakan amal ibadat di dalam bulan ramadan.

Bersederhana dalam semua perkara. Hal ini amatlah penting dalam menghadapi ramadan kali ini, kesederhanaan menghadapi ramadan kali ini perlu di titik beratkan. Sebagai contoh selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka, sehingga tak habis di makannya, menyebabkan berlakunya pembaziran.

Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak dan berlebihan menyebabkan apabila waktu berbuka tidak dapat dihabiskan. Disitunya pembaziran yang menyebabkan kerugian akan berlaku.

Firman Allah SWT,

 إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا 
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Al Isra: 27)

Dengan dalil itu menunjukkan bahawa pembaziran boleh menyebabkan kita menjadi saudara syaitan, perkara ini selalunya orang terlupa dan tertinggal. Jadi di ingatkan, pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendak bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Jadi sederhana itu penting dalam menghadapi ramadan kali ini supaya dapat mengawal nafsu di dalam diri.

Ramadan Semakin Tiba,

Terasa keharuman ramadan ini semakin tiba, dan ditanya dalam diri ini, adakah ramadan ini dapat ku hadapi? Jika diberi peluang akan digunakan sebaiknya, tetapi jika tidak diberi kesempatan bagaimanakah nasib kita? Ramadan yang lalu bagaimana persiapan kita? Adakah ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?

Ramadan yang dirindui akan tiba, tetapi jika persiapan tidak terjaga bagaimana nasib kita? Jangan difikirkan apa yang hendak makan bila berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan apabila ramadan tiba. Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan. Perlukah kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanya imam!

Jika kita sebagai hamba yang beriman, kedatangan ramadan kali ini disambut dengan transformasi di dalam diri. Perubahan yang sedikit juga memberi kesan yang besar kepada diri kita. Walapun ianya tidak dirasa tetapi Allah SWT adil melihatnya. Ramadan yang dilihat sebagai bulan tarbiyah bagi umat islam menjadikan medium kepada kita, untuk berpentas menunjukkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Moga ramadan kali ini menjadi latihan transformasi di dalam diri, serta kita menghadapi dengan penuh mujadah dan istiqamah supaya amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan ramadan akan diteruskan di bulan-bulan yang lain secara berterusan. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan ramadan sahaja.

Akhir kata,

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada mak ayah serta adik beradik keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan yang berada di Malaysia mahupun di Jordan. Serta adik beradik PRISMA sekalian. Semoga ramadan kali ini menjadi ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. InsyaAllah! Ku mohon ampun dan maaf..

Ashrafhadi
14.7.2012
Mafraq, Jordan.   

2 ulasan: