قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

16 Jun 2012

Progresikan Dunia dengan Idea


‘IDEA is a carefully considered thought about something’

Suatu idea yang hebat tidaklah wujud dalam bentuk hasil, kerangka ataupun proses yang tertentu tapi ia wujud hanya sebagai satu pengenalan kepada kewujudan sebuah kerangka atau proses. Oleh kerana itulah, perlunya kita melihat sebuah idea itu dalam bentuk yang lebih abstrak dan menganalisis strukturnya serta menilainya secara kritikal, barulah kita mampu menghargai sesuatu idea itu serta hasilnya sekali. Justeru, idea yang saya sebutkan di sini bukanlah idea yang hanya buah fikiran semata, tapi juga meta-ideanya sekali.

Dunia tidak perlukan idea yang hanya menjadi buah fikiran lalu dicetak ke dalam kutub dan ia terus dan terus kekal begitu, lalu jika habis mereput kutub itu, hilanglah idea itu. Itu dasar idea kosong! Kerna sedarkah kita, bahawa dunia memerlukan idea yang dijana karakternya untuk dibuat implementasi terhadap realiti dunia. Logiknya, apabila begini situasinya, tidak boleh tidak proses ini turut memerlukan kolaborasi modal insan untuk tujuan tersebut demi menyelesaikan masalah manusia, membina peluang untuk mereka juga untuk meneroka dan terus meneroka. Ini asasnya.

Usah dilihat idea sebagai suatu yang ringkas, juga usah dipertikai potensi idea yang bagus, kerna revolusi di Mesir berjaya dijalankan hanya kerna sebuah idea. Ya, ia tercetus dengan idea. Lalu hasilnya, tamatlah sudah pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, tamat juga fenomena para ulama dipanggang di penjara di bawah panas padang pasir serta berkubur juga kezaliman dan ketidakadilan yang telah bermaharajalela sejak 30 tahun lepas. Namun, perlaksanaannya sangat rumit kerna bukan sedikit gula-gula yang ditaburkan kepada rakyat Mesir untuk berundur pulang ke rumah, malah bukan sedikit juga pengorbanan yang terpaksa dilakukan, juga bukan seorang dua nyawa sahaja yang melayang. Mahalnya harga sebuah revolusi yang tercambah dari implementasi  sebuah idea. Sedikit gambaran progresi peradaban dunia.

Dalam masa yang sama, saya tidak mahu jelmakan idea sebagai malaikat di sini, kerna kita hidup dengan manusia,yang kadangkala ada juga yang kelihatan seperti manusia namun ia hanya topeng yang menutup kejelekan seekor syaitan. Satu masa dahulu, idea pernah menjahanamkan manusia tidak kira bangsa, ini termasuklah idea keparat Mustafa Kemal Ataturk iaitu idea pembubaran sistem khilafah Islam. Ingat lagi rentetan peristiwa daripada idea ini? Memilukan bukan? Mustafa Kemal naik menjadi penguasa dan menghancurkan seluruh kehidupan beragama di Turki dan menggantinya dengan fahaman sekular. Antaranya, larangan azan dalam Bahasa Arab dan menukarkannya ke dalam Bahasa Turki, menghapuskan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta melarang orang Islam mengerjakan Haji dan banyak lagi. Ini pula, contoh idea yang mencalarkan peradaban hidup orang muslim khususnya.

Saya datangkan dua contoh mega untuk menjentik sikit para pembaca agar jangan bergantung harap pada kuasa sebuah idea kerna idea hanya jelmaan kosong  jika tanpa pelaksanaan serta hanya akan menemui kemurkaan Tuhan jika Allah tidak dijadikan tujuan. Hidup kita hanya sekali, justeru biarlah kita lakukan pengabdian kepada Allah tanpa penat tanpa henti.

Saya hadirkan pula seorang tokoh Islam yang sangat saya sanjungi, tokoh yang menukil karya agung Tafsir Rasa’il al-Nur, tokoh yang tidak pernah bertolak ansur dengan kebatilan, juga tokoh bagi sebuah reformasi pendidikan. Saya penakan sedikit kisahnya di sini, buat ibrah kita bersama.

Rentetan daripada pembubaran sistem khilafah, umat Islam berpecah belah. Kemudiannya hal keagamaan terus diketepikan daripada hal keduniaan. Bertitik-tolak daripada sinilah, Nursi telah memikirkan kaedah yang terbaik bagi mengangkat kembali kekuatan dan kehebatan umat Islam dengan mengadakan reformasi terhadap sistem pendidikan Islam yang bersifat komprehensif dan kontemporari. Baginya, ia perlu digiatusahakan selari dengan keadaan dunia yang semakin mencabar. Lalu, idea reformasinya direalisasikan oleh beliau dan hal ini, ada beliau nyatakan dalam kitab Lama’at, dalam Risalah Al-Hijab, katanya:

sesungguhnya penyelesaian ampuh untuk menjaga tabiat mulia yang menjaga fitrah mereka daripada kerosakan adalah mendidik mereka dengan pendidikan Islam yang komprehensif”

Idea beliau yang sangat hebat berjaya membawa progresi terhadap dunia. Beliau sangat tabah dan kuat untuk melakukan implementasi idea nya tanpa mengenal apa itu maksud diracun, diseksa dan dizalimi. Beliau sangat berani dan hari ini, umat manusia sedang mengagumi keberanian beliau dan mereka sedang menuntun jejak langkah beliau. Kita pula? Bila lagi? Usah bertangguh kerna jika kita berhenti, tentera Allah tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kita di belakang.

Justeru, implementasi idea bukan suatu yang mudah, kerna sebelum itu ia memerlukan banyak proses termasuklah penjanaan idea, kemudian lontaran idea ke medan realiti untuk diperdebatkan, diperbahaskan, ditimbang-turas baik buruknya. Lalu apabila suatu kesepakatan terbentuk, proses perlaksanaan pula berjalan. Ia akan mengalami kritikan demi kritikan, lalu di sinilah kekuatan seorang invensi  bakal dipertikaikan. Proses ini tidak mudah kerana ia memerlukan kemahiran si pencipta idea untuk menghadam sesebuah kritikan menjadi suatu nasihat. Tiada istilah ‘usah jaga tepi kain orang lain kalau kain sendiri koyak rabak’ di sini, kerna kita sememangnya memerlukan penambahbaikan dalam idea kita agar idea itu mampu digunapakai demi sebuah progresi dunia serta peradaban penduduknya.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang progresi dunia serta sudut-sudut utama dan cabang-cabangnya. Namun saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan progresi sosial secara amnya. Ini termasuklah, progresi  peradaban manusia di dunia. Perasan atau tidak, sejarah pemikiran serta penjanaan idea-idea para tokoh silam sering sahaja mencetuskan nilai tamadun yang tersendiri. Buktinya, perkembangan bidang-bidang ilmu yang banyak dan pelbagai, penciptaan alatan kehidupan sehingga berkembang menjadi gadjet-gadjet canggih pada hari ini dan banyak lagi.

Namun progresi ini tidak berlaku secara selari. Hal ini kerana, perbezaan antara kemajuan dan keterbelakangan akan terus-menerus terjadi ,saling berkejaran dan saling memenuhi. Yang lebih maju akan memimpin yang tidak maju dan yang tidak maju akan belajar untuk maju. Tapi progresi pasti sahaja sentiasa berlaku melalui gerak kerja implementasi serta penambahbaikan idea yang sudi dilakukan manusia.

Saya akhiri artikel kali ini dengan satu konklusi yang membentangkan cebisan permasalahan berkenaan dengan nilai juga kualiti modal insan yang diperlukan dunia untuk membawa kepada sebuah progresi.

Manusia memang ada yang melihat peluang namun lebih ramai yang sering mengintai kegagalan’

Antara yang paling ketara adalah koleksi modal insan yang penakut. Takut untuk menjana idea, takut juga untuk melontar ideanya, serta takut menerima kritikan terhadap idea yang dilontarkannya. Come onlah! Jika unsur penakut+tidak yakin+tidak mampu bertolak ansur+kedekut masih ada dalam diri anda, silakanlah untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan yang digelar modal insan yang lebih suka melihat sahaja dunia ini mengalami progresi dengan sendiri.

Usah biarkan manusia-manusia hebat sahaja membuat kerja berat ini bersendirian kerana kita mahu produce manusia-manusia yang hebat yang lebih dan lebih banyak untuk menghuni dunia.Tidak bertujuan membuat sebarang provokasi tapi saya hanya hendak menerangkan kepada manusia yang peluang masih ada. Jangan takut walau untuk bermain dengan risiko.

Tidak mengapa jika gagal atau salah

Its okay to fail!

Kamu pasti akan belajar sesuatu daripada kesalahan itu. Usah dikejar sangat kesempurnaan. Bayangkan jika ahli pemikir silam sombong dan hanya mahu mendabik dada mengagungkan sebuah kesempurnaan yang bersifat individualistik semata, dapatkah kamu bayangkan dunia ini akan hancur?

“Hidup bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya tapi untuk memberi sebanyak-banyaknya”-Filem Laskar Pelangi-

Jangan takut untuk utarakan apa yang kamu fikir baik untuk kemaslahatan sejagat, jangan takut untuk jalankan idea itu, jangan takut juga untuk menerima kritikan dan teguran, jangan takut untuk buat sedikit perubahan daripada teguran yang membina itu. Jangan takut dan jangan sesekali takut. Beranikan diri kamu.

 Bediuzzaman Said Nursi ada berkata:

“Seseorang yang melihat kebaikan dalam berbagai hal bererti dia memiliki fikiran yang baik. Dan seseorang yang memiliki fikiran yang baik mendapatkan kenikmatan daripada hidup”


Selamat mencerna!

0 comments:

Catat Ulasan