قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

13 Nov 2012

Jordan: Ku Sambut Lambaianmu!



Sungguh pun diriku tak terduga, bagaikan mimpi berada di alam yang fana. Mata memandang tanpa berkelipan, melihat padang pasir yang luas terbentang. Tanggal 21 Ogos 2011 menjadi sejarah dan tuah, kerana berjaya juga ku jejak kaki di bumi yang penuh barakah, serta dengan sirah nabawiyah. Terkaku sebentar melayan fikiranku ini, bagaikan tidak percaya layakkah aku berada disini? Mengapa ku katakan begitu? Mari kita menyelami dengan rasa hati, akan coretanku ini.

Sebelum Ke Jordan,

“Betul ke nak pergi Jordan?”

Itulah ungkapan yang sering ditanya oleh semua orang kepadaku, samada sahabat, mahupun keluarga yang terdekat. Mereka bagaikan tidak percaya, apakah aku sudah melakukan kerja gila? Mengapa? Kerana bagi mereka. mungkin Jordan itu hanya untuk orang yang benar-benar layak sahaja. Jika nak dibandingkan dengan diriku memang jauh membatu, pada andaian mereka itu.

Bagi mereka lagi, mungkin kerana masa lampau ku penuh dengan kisah yang kurang enak diceritakan, menyebakan mereka bertambah lagi kurang keyakinan. Tetapi waktu itu hanya aku mampu tersenyum. Apa yang ditanya semuanya aku menjawabnya. Aku begitu semangat untuk menjejak kaki disini. Semuanya aku anggap sebagai cabaran dan rintangan kepada ku yang perlu ku tempuhi.

Diatas kesabaran dan kesungguhan yang aku tonjolkan, akhirnya keluargaku merelakan pemergianku, paling banyak yang membantu ialah ibuku. Seorang yang tua, tetapi mempunyai hati yang sangat memahami. Pernah dia berkata kepadaku sebelum ku sampai disini,

“Ashraf, hang saja sorang anak mak yang mengaji agama, abang dan kakak hang dah tak ambik dah bidang agama, harap sangat-sangat jika mak mati pun ada juga anak mak yang dapat imamkan dan baca talkin untuk mak. Jangan peduli orang lain, kalau orang lain boleh buat, awat pulak hang tak boleh buat?”

Nasihat si emak tua yang usianya 62 tahun lamanya, berbagai rintangan dia lalui dalam menjaga tujuh orang adik beradik kami. Alhamdulilah kesemua adik beradik ku sudah berjaya dalam berlari mengejar cita-cita. Sehingga berjaya mengubah nasib keluarga, tetapi berbeza pula aku ini, sifatku juga kadang-kadang yang banyak berbeza dari mereka.

Ku sedar aku tidak sehebat seperti orang lain, tidak sehebat abang ku yang mampu mengubah nasib keluarga, juga tidak hebat seperti kakak ku yang mampu menjadi guru cemerlang yang berjaya, tetapi aku? Aku? Aku? Itu persoalan yang sering dipertikaikan. Akhirnya tekad ku untuk ke sini sudah hampir berjaya ketika itu. Segala jeritan sinis yang dilontarkan, ku ambil jadikan sebagai sandaran untuk ku sahutkan cabaran.


Lambaian Bumi Syam,

Semakin dekat semakin berdebar-debar ku rasa, 8 jam perjalanan menaiki kapal terbang membuka mata dan minda. Ketika mana ku melangkah keluar ke balai ketibaan Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan. Diriku bagaikan tidak percaya, “Eh! betul ka aku di Jordan?” Tanya aku kepada diriku sendiri.

Mana tidaknya, budak yang tidak skema, tidak soleh, tidak itu dan tidak ini, rupanya berjaya juga menjejakkan kaki disini. Tetapi ku datang sini membawa misi dan visi, yang penting aku sudah bertekad untuk ubah diriku ini. Ubah segalanya, dari jahat ke baik, dari buruk ke cantik. Aku sedar jika aku masih di tapuk yang lama ianya tidak akan membawa aku kemana-mana.

Alhamdulilah lambaian bumi syam sudah ku sambut, setahun juga ku sudah menjejakkan kaki disini. Peluang belajar di universiti aku gunakan sebaiknya. Suara manja yang sinis sudah diam menyepi, dan sekarang aku giat berlari. Mengejar cita-cita yang di impikan oleh setiap insan yang bernama manusia.

Setahun Sudah Berlalu,

Bagaikan baru bagun dari terlena, sedar-sedar sudah setahun berlalunya. Bagaikan tidak percaya, tetapi inilah hakikatnya. Pernah juga ditanya kepada ku. Mengapa memilih Jordan sebagai tempat untuk menimba ilmu? Bagiku Jordan mempunyai keunikan sendiri. Selepas setahun aku berada disini baru ku dapat mengenali dan memberi jawapan apa yang ditanya.

Jika dahulu orang tanya begitu, pasti aku memberi jawapan bahawa ingin belajar bahasa arab, ingin menimba ilmu agama. Tetapi jawapan itu bagiku mudah dipatahkan kerana mengapa tidak ke negara-negara timur tengah yang lain? Disana juga boleh belajar ilmu agama dan juga bahasa arab. Oleh sebab itu selepas setahun berlalu baru kutemui jawapan yang sebenarnya.

Iaitu Jordan merupakan sebuah negara yang rakyatnya hidup dalam kapasiti yang sedikit berbanding mesir, kemudiannya pula kedudukan ibu negara Jordan iaitu Amman, tidak strategik malah kedudukan jauh dari persisiran pantai. Menyebabkan ketandusan sumber air selalunya terjadi.

Dua masalah yang dinyatakan, menyebabkan aku terfikir bahawa. Kehidupan rakyatnya yang susah, menyebabkan tekanan yang berat kepada rakyat, tetapi sampai sekarang mengapa masih belum berlaku muzaharat dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan. Seperti negara timur tengah yang lain. Kerana bagiku, masalah sedemikian sebenarnya melatih rakyat dan pelajar ajnabi hidup dengan penuh berdikari.

Bayangkan kita terpaksa berjimat cermat, menyebabkan setimba air jika dicurahkan terasa sangat kerugian. Disamping itu juga matawang dinar yang mahal daripada ringgit menyebabkan bertambah perit lagi. Tetapi itu kita jadikan cabaran untuk kita hidup dengan penuh berdikari, dan juga kita hidup bertoleransi antara satu sama lain.

Selain itu, Jordan mengamalkan sifat keterbukaan, bagaimana kita diajar menerima pelbagai pandangan, sehinggakan pandangan syiah sekalipun diguna pakai di Universiti Al Al-Bayt ini, ternyata lagi terbukti apabila kitab mereka (syiah) masih tersedia di perpustakaan universiti ini. Dan jika pelajar master, tidak dapat tidak mesti juga ambil satu pendapat dari syiah bagi tugasan tesis mereka. Jelas menunjukkan terbukanya Jordan menyebabkan pelajarnya lebih bersifat matang dan progresif.

Itulah antaranya yang menjadi sebab bagiku mengapa memilih Jordan. Kehidupan rakyat disini walaupun susah, dan payah tetapi mereka mempunya nilai dan prinsip sendiri. Bagaimana ku lihat mereka muliakan pelajar melayu seperti kita, menyebabkan jalinan erat antara masyarakat dengan pelajar luar semakin kuat.

Pengalaman setahun disini melatihku hidup sentiasa berdikari, tetapi sebenarnya kesukaan dan minatnya kita itu adalah subjektif. Sesetengah orang menyangka Jordan ini biasa, tetapi bagi aku ianya unik. Yang kadang-kadang kira rasa teruk dan sukar, rupanya ada disebalik itu, satu pengajaran dan iktibar yang besar.

Harapan dan Impian,

Mudah dan senang, impian ku ingin menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat, bukan menjadi binatang yang tiada akal untuk memikir. Jordan sebagai wasilah untuk ku menuntut ilmu dan menimba pengalaman, tetapi untuk melatih diri ini, semuanya atas diri sendiri.

Bukan perkara yang boleh kita tetapkan, seperti meletakkan sesuatu benda ditempatnya, ianya semua bergantung kepada diri sendiri. Sejauh mana tekad untuk menjadi orang, dan sejauh mana usaha yang dilakukan, itu perlu dipersoalkan. Jangan mudah mengatakan kita sudah menjadi manusia jika usaha dan keyakinan kita tiada.

Jadi perkara ini tidak sama dan serupa. Menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat bukanlah satu benda yang mudah. Ianya perlu dengan pengorbanan dan istiqamah yang berpanjangan. Keazaman yang tinggi demi mencapai cita-cita yang kita hajati. Cumanya satu, setinggi mana kita pergi jangan sesekali kita lupa pada ilahi.

“Dari Kedah kita datang kemari,
Dengan membawa harapan misi dan visi,
Negara Jordan menjadi pilihan dihati,
Semoga kehidupan disini sentiasa diberkati.”

AshrafHadi
13.11.2012
Mafraq, Jordan. 

8 ulasan:

  1. p la mn pn,,,kna pndai jg diri na..:)

    BalasPadam
  2. Budak skema yg gheti untuk pandang dan fikir akan kebesaran Allah, insyaAllah. Teruskan juang anak muda. Bumi para ambiya menjadi saksi, semangat jihad untuk faham agama dan taat pada Allah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah... Terima kasih tuan SOT, sudi memberi semangar serta doakan saya. Sebenarnya tuan, teringin sangat untuk saya bersembang jauh dengan tuan, setelah saya mengikuti blog tuan. Jika dizinkan, mungkin boleh saya add fb tuan, jika ada. :)

      Padam