قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

14 Okt 2012

Remaja Dan Realiti


Jika diawal permulaan islam, golongan remaja dan pemuda merupakan golongan yang sangat berwawasan, berani dan bermatlamat. golongan ini adalah antara penggerak utama gerakan Islam. Saidina Ali antara contoh terbaik kepada para-para remaja Islam. Pemikiran Saidina Ali yang kritis dan matang menjadi simbol kehebatan remaja Islam dizamannya. Pernah ditanya kepada Saidina Ali, kenapa memeluk agama Islam tanpa lebih dahulu mendapat izin ayahnya,

Saidina Ali menjawab, “apa perlunya aku bermesyuwarah (berbincang) dengan ayahku, demi untuk mengabdi kepada Allah.”

Remaja merupakan satu golongan yang boleh diumpamakan seperti gunung berapi yang bila-bila masa akan meletus laharnya. Ini kerana golongan remaja sukar di duga dan sukar dikawal. Realitinya sekarang ramai remaja hanyut, umpama hanyut di tengah lautan tanpa mempunyai arah tujuan yang jelas. Mereka hidup kerana untuk keseronokan dan untuk berfoya-foya dengan kemewahan harta benda. Hidup mereka tanpa memikirkan tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan mereka sebagai remaja Islam. 

Para pemuda Islam pada hari ini seperti langit dan bumi jurang perbezaannya dengan pemuda dizaman kegemilangan Islam. Mungkin tidak terlintas di dalam fikiran seorang pemuda Islam hari ini untuk mendapatkan bidadari secantik Ainul Mardhiah, ataupun bidadari daripada bidadari syurga. Rasulullah pernah memberi targhib (berita-berita gembira untuk menguatkan semangat) kepada sahabat, sesiapa yang keluar ke jalan Allah, maka ia akan di anugerahkan seorang bidadari syurga.

Ibrah Dari Cerita Ainul Mardhiah,

 Al-kisah, Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari yang lain di syurga. Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya, siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari di syurga.

 Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut. Tetapi dia malu untuk bertanyakan kepada nabi serta juga malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah sorang yang akan keluar/pergi berperang. Sebelum Zohor sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah) maka sahabat yang muda turut bersama jemaah tadi turut serta tidur bersama-sama.

 Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya, dimanakah dia? Lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lantas dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah. Maka ditunjuknya di suatu arah dan berjalanlah dia.

Di satu pohon, beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu, dan tak pernah dilihat di dunia ini. Lalu diberinya salam dan dia bertanya kepada wanita tersebut,
           
            Assalamualaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya khadamnya, Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana,” jawab wanita tersebut.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata perhiasan di dalam mahligai. Juga diberi salam dan di tanya lagi, adakah dia Ainul Mardiah kepada wanita itu,

Assalamulaikum, adakah anda Ainul Mardhiah?

            “Eh tidak! Saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana.” Balas wanita di dalam mahliga itu.

Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikkannya sungguh mengkagumkan. Dan dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua.  Tak pernah dia lihat di dunia, lalu wanita itu berkata,

“Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu, dan kamu diciptakan untuk aku.” 

Bila lelaki itu mendekatinya, lantas wanita itu menjawab,

“nanti!! kamu belum syahid lagi..”

 Tersentak pemuda itu dan terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi Muhammad SAW. Tapi sekiranya dia mati syahid barulah ceritakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah mati syahid. Petang itu, ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi).

 Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Rasulullah SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang syahid tadi. Dalam menceritakan itu, nabi menjawab, “benar...benar...benar...” dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Rasulullah SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga.

Subhanallah! Jika semua pemuda berlumba-lumba untuk syahid di jalan Allah, pasti umat Islam tidak akan menjadi lemah seperti hari ini. Pasti umat Islam tidak ditindas di dunia ini.

Kesimpulannya,

Tuntasnya, remaja islam mestilah menyediakan diri mereka untuk berkhidmat kepada agama, negara dan bangsa. Merekalah yang bertanggungjawab terhadap agama dan negara pada masa hadapan. Justeru, para remaja wajib melengkapi diri mereka dengan ilmu, kerana hanya dngan ilmulah manusia dapat mengenal pencipta, dapat beribadat dengan betul dan dapat bermuamalat dengan betul. Hanya dengan ilmu darjat manusia dinaikkan. Para remaja haruslah sedar realiti sebenar kehidupan ini, kerana realiti sebenar mengajak remaja untuk berkorban. Berkorban untuk segala-galanya.

Ditulis oleh,
Mohd Asyraf Che Ibrahim
Tahun 1, Universiti Al Al-Bayt.
Mafraq, Jordan.

13 Okt 2012

Fikirkan Kesan dan Akibat!


Alhamdulilah selepas seusainya solat jumaat tadi, sempat saya mengajak ustaz Shahrul Ifwat, pelajar Master Universiti Al Al-Bayt datang ke rumah. Pelbagai cerita di kongsi dan tajuk di diskusi, ada isu semasa, politik, agama, dan keadaan persatuan mahupun pelajar di bumi Mafraq yang tercinta ini turut juga diperkatakan.

Apa yang nak dikongsi pula disini, iaitu satu point yang dibincangkan tadi, berkenaan "kesan dan akibat." Jadi marilah kita singkap, bagaimana yang dikatakan? Sebelum kita melakukan sesuatu mesti memikirkan kesan dan akibatnya. Lantaran itu, semuanya sudah dijelaskan ustaz Shahrul Ifwat semasa bersembang dengannya selepas jumaat tadi.

Sikap Kita Sering Terleka,

Sebagai manusia, melakukan kerja tanpa memikirkan kesan itu dianggap perkara biasa. Kerana lumrah manusia, sifat terlekanya kita, menyebabkan otak kita hanya berfikir kesan untuk jangka masa yang singkat sahaja, tanpa memikirkan kesan dan akibat bagi jangka masa yang panjang. Malahan juga, ada yang tidak memikirkan kesan dan akibat langsung, itu sangat teruk!

Ini kerana, terlekanya kita atau lebih mudah difahami, iaitu lupa merupakan satu sifat semula jadi yang berlaku secara langsung mahupun tidak langsung. Penyakit lupa inilah yang menyebabkan kelemahan kita dalam memikirkan kesan dan akibat, sebelum kita melakukan. Dan juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kita kurang memikir, terutama dalam memikir kesan serta akibat.

Jika kita perasan, bahawa terlupanya kita dalam memikirkan kesan dan akibat menyebabkan ianya bergantung kepada nasib diatas ketentuan Allah SWT, misalnya kita memandu kereta dengan lajunya sekali. Difikirkan kesan dan akibat memanglah akan menyebabkan boleh berlaku kecelakaan, tetapi akhirnya kesan dan akibatnya selamat tanpa berlaku kecelakaan sekalipun. Maka itu semuanya diatas takdir Allah SWT.

Tetapi kebanyakkan selalunya kita melakukan kerja tanpa memikirkan kesan dan akibat, menyebabkan kita akan gagal dan terkandas, samalah seperti memandu kereta dengan lajunya sekali, menyebabkan kebarangkalian berlaku kecelakaan lebih mudah, berbanding kita memikirkan diawal lagi kesan dan akibat menyebabkan kita akan lebih berhati-hati. Dan kebarangkalian berlakunya kecelakaan susah.

Saya juga tidak dinafikan, apa yang kita lakukan semuanya ditentukan oleh Allah SWT, cumanya tidak akan berlakunya sesuatu itu tanpa ada sebab-sebab tertentu. Ibaratnya pokok tidak akan bergoyang jika tidak ditiup angin. Kemalangan takkan berlaku jika kita tidak memandu dengan laju. Jadi memikirkan kesan dan akibat ini seharusnya perlu diawalnya lagi.

Bagaimana Untuk Memikirkan Kesan dan Akibat?

Caranya mudah, apa yang difahami akan kata ustaz Shahrul Ifwat tadi, mulanya pastikan kita melihat keadaan sekeliling kita dahulu! Itu yang perlu dipastikan betul-betul. Sebelum melakukan sesuatu itu, fikirkan kesan dan akibat dengan melihatkan keadaan disekeliling kita dahulu, dan menilaikan sejauh mana kesan dan akibat ini akan berlaku.

Misalnya juga, kita memandu kereta dengan lajunya sekali, pasti kita fikirkan. Jika kita memandu kereta dengan laju sekali, pertama adakah kawan ataupun keluarga di dalam kereta naik bersama kita akan suka atau benci? Dan adakah mereka akan hidup ataupun mati? Itu perlunya difikirkan keadaan sekeliling sebelum memikirkan diri sendiri.

Jadi sekiranya kita melihat keadaan sekeliling kita, ianya lebih membuka mata dan minda, untuk kita mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesan dan akibat yang akan terjadi. Justeru apabila kita faham, kita akan lebih berhati-hati, dan orang disekeliling juga akan menyukai. Perkara ini juga perlu sentiasa di ingati, agar kita tahu berbudi apabila ditempat orang nanti.

Selain itu, jangan tergesa-gesa dalam memikirkan kesan demi jangka masa yang pendek sahaja, perkara ini selalunya manusia akan cepat melatah dari menilai semua aspek, terutamanya wanita yang selalu melakukannya. Seharusnya, kita perlu bertenang dalam meletakkan keputusan untuk mencapai kesan dan akibat yang baik untuk jangka masa yang panjang. Serta memberi manfaat kepada semua orang.

Penutup Bicara,

Kesan dan akibat itu penting untuk di nilai sebelum kita melakukan, jika kesannya memberi manfaat dan kebaikkan maka selayaknya diteruskan, jika tiada maka perlulah berhati-hati. Yang pasti, kita perlu bijak mengatur strategi dalam memikirkan satu kerja yang dilakukan pasti ianya akan menjadi mudah. Jika kita melakukan kerja cacar merba menyebabkan kerosakkan akan berlipat ganda.

Selain itu, kesan dan akibat semestinya di nilai dari sudut positif mahupun negatif, kerana disetiap kelebihan pasti ada kekurangan, dan disetiap kebaikkan pasti ada keburukkan. Begitulah juga sebaliknya, maka dengan itu, kesan dan akibat perlu dilihat dengan penilaian yang padat, untuk mendapat kesan dan akibat yang tepat.

AshrafHadi
13.10.2012
Mafraq, Jordan. 

6 Okt 2012

Melayu Sepakat Islam Berdaulat??

Kredit Pic: addinlove.blogspot.com 

Sebenarnya slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" sudah lama diperkatakan. Cumanya baru-baru ini terjadinya "peristiwa manis" yang membuat minda ku ingin berbicara. Terdiam sekian lama, tetapi kali ini bagaikan orang terjaga dari lena, yang terjaga kerana kejutan yang tak disangka. Menjadi kaku memikirkan, apakan relevannya akan kenyataan atau slogan yang diperkatakan. Mari kita singkap dan ungkap, jelaskah? dan relevankah? dengan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" .

Mengapa Slogan Begitu?

Saya tertanya, kenapa slogan itu dilaungkan sebegitu? Dengan menunjukkan kesepakatan melayu untuk membuktikan kedaulatan islam. Dan slogan itu pula berbunyi selepas kekalahan teruk pihak kerajaan dengan pembangkang yang dapat menawan lima buah negeri sekaligus, menyebabkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, kerajaan mengajak parti melayu dari pembangkang untuk bersatu.

Tetapi parti melayu dari pembangkang berprinsip dengan menolak penyatuan yang diajak oleh pihak kerajaan, kerana mereka menilai dari pelbagai sudut, selain melihat kembali pengalaman penyatuan yang sebelum ini diadakan. Memikirkan kesan dan akibat menyebabkan mereka menolak sepenuhnya penyatuan itu. Maka selepas daripada itu, slogan ini pun diperkatakan, dengan sebab demi "ketuanan melayu" haruslah dipertahankan.
 
Saya berpendapat, jika sebelum PRU 2008 slogan itu dilaungkan tidak menjadi kepelikan, tetapi dilaungkan selepas PRU 2008 menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah sepakatnya melayu, menyebabkan Islam berdaulat?

Apakah Sentimen Perkauman?

Melihat kembali kehidupan masyarakat Malaysia yang hidup berbilang bangsa, timbul juga persoalan saya, apakah slogan yang dilaungkan juga menjadi aspirasi sentimen perkauman di Malaysia? Kaum yang bukan bumiputera juga akan terasa sedemikian. Iaitu dengan menanggap bahawa adanya jurang antara, melayu, cina dan india. 

Secara logiknya, akta 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak yang terkandung, 
1) Perkhidmatan awam: Perkara 153 (2,3 dan 4). 
2) Ekonomi: Perkara 153 (6). 
3) Pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4). 
4) Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukkan Perkara 89 dan 90 -        berhubung dengan tanah rizab Melayu. 
5) Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Ini Menyebabkan, kedudukan orang melayu menjadi kukuh dan relevan, kemudian pula di parlimen golongan cina dan india hanya minoriti berbanding melayu, bumiputera yang majoriti. Tidak relevanlah jika di katakan, tidak sepakatnya melayu sesama melayu, islam akan terancam. Mengapa? Kerana sudah termaktub juga dalam perlembagaan bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi, yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan, walhal juga islam selamanya tetap berdaulat.

Saya berpendapat, kedudukan melayu sangat kukuh dan relevan. Dan juga agar sukar untuk bersatu jika fikrah pejuangan dan idealisme yang dibawa berbeza untuk diperjuangkan. Slogan itu hanya menjadi sentimen untuk mengukuhkan kuasa di sebalik tabir yang berperanan untuk mengekalkan kuasa mereka, demi meraut segala keuntungan dan kelebihan tanpa adil dan saksama.

Solusi Yang Perlu Dibawa,

Saya melihat kembali slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" seharusnya ditukarkan kepada "Muslim Sepakat Islam Berdaulat." Kerana jika melayu yang sepakat belum tentu lagi islam akan kuat,  walaupun islam telah berdaulat. Tetapi jika muslim sesama muslim bersepakat, islam pasti akan berdaulat, serta kuat. Kemudian terjaga semua perkara, dan masalah dalaman mahupun luaran pun akan selesai. 

Islam menjadi solusi yang terbaik dalam menyelesaikan perkara ini, dengan melihat kembali bahawa, jika melayu tidak sepakat pun, islam tetap berdaulat. Tetapi jika islam diperalat demi mengukuhkan kuasa, ianya sudah tidak berguna. Islam yang dibawa pada zaman Nabi Muhammad SAW, dengan kita mengambil ibrah, bagaimana  islam itu syumul yang menyeluruh dalam semua perkara.

Di Madinah ketika itu, semua kaum dan bangsa terjaga, juga terbela, dengan kedatangan Baginda Rasulullah SAW, yang mentadbir secara islam dengan sempurna. Menunjukkan bukti yang kukuh bahawa islam adalah penyelesaian terbaik. Bukan penyatuan bangsa memberi jaminan dapat menyelamat islam dan semua perkara, ianya belum tentu lagi. Islam sudah berdaulat sekian lama, cumanya kita bangsa masih lagi tidur lena. 

Masalah yang perlu diselesaikan, untuk menyelamatkan islam dan semua umat bangsa di Malaysia. Iaitu dengan menjaga keadilan yang saksama, memberi hak yang sepatutnya, sifarkan rasuah dan kuropsi yang bermaharaja lela, menghidupkan suasana masyarakat berilmu dan berminda kelas pertama, disamping melihat kembali anak muda yang tenat untuk menarik mereka kembali bertaubat. Itu lebih penting dari kita menyatakan bersatu tetapi ianya tidak bermutu.

Akhir kata, 

Ini adalah pandangan saya secara peribadi, tentang slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat." Bilanya saya menyatakan tidak bersetuju bukan bererti saya juga tak bersetuju melayu bersatu. Sesungguhnya saya bersetuju, tetapi yang membezakan kita akan fikrah perjuangan, bukan ukhwah hubungan. Dan sebagai umat islam terutamanya melayu kita ada saudara. Sebagaimana juga firman Allah, "Sesungguhnya Mukmin Itu Bersaudara" (Surah Al Hujuraat:10).

Biarlah kita berbeza idealogi dan idealisme perjuangan sekalipun, tetapi sama-samalah kita bergerak dengan pelbagai medium yang ada, untuk julangkan dan jayakan islam agar diangkat dengan penuh martabat, disanjung, dan disukai dari semua golongan dalam dunia ini. Daripada kita terkinja-kinja di konsert "K-POP" akhirnya bangsa dan orang lain yang "mantop."

AshrafHadi
7.Oktober.2012
Mafraq, Jordan.

26 Sep 2012

Mengapa Umat Islam Diserang Dari Segenap Penjuru?


Baru-baru ini umat islam diseluruh dunia mengencam dan mengutuk atas tindakan penerbitan filem Innocence Of Muslims, yang menghina Nabi Muhammad SAW. Pelbagai tindakan dilakukan, hattakan sehingganya berlaku penyerangan ke atas kedutaan Amerika Syarikat di negara timur tengah, misalnya di yaman. Sehingga berlaku kematian, keatas kakitangan kedutaan disana. Juga tidak terlepas di Malaysia yang melakukan demontrasi membantah filem tersebut di hadapan kedutaan Amerika Syarikat.

Selain itu, kes yang baru diperkatakan lagi, seorang bangsa india yang bernama Gopinath Jayaratnam yang menghina Allah dan Rasulullah di lama muka bukunya. Dia sudah menafikan dengan menyatakan dia terlupa daftar keluar semasa melayari di siber kafe, sehingga facebooknya di hack oleh orang lain untuk menghina Allah dan Rasul.

Dan juga semalam rumahnya diserang, akibat kemarahan orang ramai berkenaan penghinaan tersebut. Saya tidak mahu mengulas panjang, kerana kes ini dalam siasatan, benar atau salah semuanya terserah kepada pihak berkenaan.

Dari kes yang saya nyatakan tadi, mari kita fikirkan! Mengapa umat islam diserang dari segenap penjuru? Dan apakah semenjak baru-baru sahaja ini kita diserang? Persoalan yang timbul di minda saya ini dan sering tertanya-tanya, juga memikirkan untuk mencari konkulsi yang betul.

Mengapa umat islam diserang dari segenap penjuru?

Perkara ini selalu saya bertanya kepada diri saya sendiri, agama islam adalah agama yang suci dan murni. Juga agama yang membawa keharmonian di dalam hidup. Islam tidak mengajar umatnya berlaku zalim dan sebagainya, malahan islam menekankan umatnya berakhlak mulia dengan menuruti teladan Nabi Muhammad SAW. Tetapi mengapa umat islam diserang dari segenap penjuru dunia?

Persoalan yang dinyatakan itu, saya melihat kembali umat islam pada hari ini. Benar, agama islam itu agama yang suci dan murni, agama yang membawa keharmonian juga agama yang di redhai oleh Allah SWT. Dengan jelas firman Allah SWT,

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ‌ۗ
Sesungguhnya agama yang (benar dan diredhai ) disisi Allah ialah islam. (Ali-Imran 19)
Serta agama yang melarang umatnya berlaku zalim dan melakukan kerosakkan, serta mengajak umatnya untuk berakhlak mulia. Tetapi apakah umat islam hari ini mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasul? Sebab itu apabila melihat kembali umat islam pada hari ini, perasan geram berbaur sedih juga terasa. 

Hari ini kita lihat kembali, kelalaian kita semakin tinggi dengan dunia. Merebak dengan pantas sekali, mengejar harta sehingga lupa untuk beribadat kepada Allah SWT. Malahan itu juga, kemaksiatan bermaharaja lela, kes penzinaan juga melambung tinggi pada saban hari, paling menyedihkan kebanyakkan umat islam dan berbangsa melayu yang melakukan sedemikian. 

Juga seperti dinegara Arab sekalipun, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana sikap orang Arab yang mereka terlalu jauh ketinggalan, mereka masih di awan-awangan, sikap tidak perduli kepada persekitara mereka menyebabkan negara mereka mundur, serta akhlak yang teruk  juga teruk semakin serasi mereka lakukan. 

Walaupun tidak semua orang arab mahupun melayu melakukan begitu. Tetapi saya juga tetap merasa geram berbaur sedih. Kesian melihat umat islam hari ini, kemudian melihat diri saya sendiri yang masih mentah, banyak lagi yang perlu saya perlajari. Disamping musuh-musuh islam tidak jemu menyerang umat islam disegenap penjuru. Yang pasti mereka mahu melihat kehancuran umat islam diatas muka bumi ini.

Maka dengan itu saya tidak hairan jika kita mudah diserang, kerana sikap umat islam sendiri yang jauh meninggalkan seruan Allah dan mengerjakan larangan Allah tanpa merasa malu dengan-Nya kerana hak milik bumi ini adalah Allah SWT. Kita angkuh dan takabur, pemimpin islam yang kuropsi pun semakin menjadi-jadi, ianya menambah lagi ketenatkan umat islam pada hari ini. 

Apakah umat islam diserang hanya baru-baru ini?

Sebenarnya umat islam diserang, dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Pelbagai peperangan terjadi antara orang kafir dengan orang islam pada zaman Rasulullah. Pada zaman itu juga, zaman untuk bermulanya menegakkan agama islam. Para sahabat berjuang mati-matian untuk melihat kemenangan umat islam sehingga tertegaknya sampai kehari ini. 

Juga tidak terlepas umat islam diserang pada zaman khulafa' Al Rashidin, serta zaman khalifah selepasnya, umat islam tidak henti-henti diserang dari segenap penjuru. Sehinggakan sekarang negara Palastien pun dijajah oleh mereka yang sudah lama bertahun lalu. Baik diserang secara peperangan  juga secara pemikiran, semuanya umat islam diserang dengan musuh melihat pelbagai ruang dan peluang. 

Di zaman Rasulullah pun umat islam sudah diserang, apatah pula pada zaman globalisasi ini. Dengan pelbagai tipu helah musuh memperdaya umat islam, atas sebab kelemahan diri kita sendiri. Hormatnya musuh-musuh islam pada zaman Rasulullah sudah tentu ada, dan gerun dengan umat islam juga pasti ada, tetapi agaknya sekarang, bagaimana tanggapan musuh-musuh islam kepada kita? Tepuk dada tanya iman!

Apa yang perlu kita lakukan?

Tertanya-tanya di dalam diri, apa yang perlu kita lakukan? Jawapanya mudah, iaitu dengan kita memperbetulkan diri kita dahulu, sebelum kita memperbetulkan umat islam disekeliling kita. Bagaimana? Dengan menekan kefahaman dan ajaran islam yang sebenarnya di dalam diri sendiri, bergerak dengan bidang-bidang masing, tidak perlu memakai jubah ataupun serban baru nak bergerak memperbetulkan.

Cukuplah kita berdiri atas bidang kita, dan kemampuan kita dengan memperbetulkan diri kita, untuk kembali kepada islam dengan sebenar-benar. Secara itu ianya akan merebak sedikit demi sedikit sehinggalah terbentuknya masyarakat yang berilmu, juga negara yang maju, dan islam lebih dihormati.

Ada orang kata, nak pulihkan semula ketenatan umat islam ini dengan berjuang menaikkan sistem khalifah. Iaitu dengan meletakkan seorang pemerintah seperti zaman sebelum ini dan mengawal sepenuh negara-negara islam yang lain. Saya setuju, tetapi saya melihatkan, sekarang ini belum sesuai, sempat saya berdiskusi dengan teman-teman disini. Menyatakan bahawa sistem khalifah itu bagus, tetapi perlu juga melihat keadaan sekarang.

Umat islam sekarang bukanlah sekuat umat islam terdahulu, yang ada pun tidak ramai seperti zaman terdahulu. Justeru itu pembinaan generasi berilmu itu perlu terlebih dahulu, apabila kita kembali dalam keadaan kuat dan stabil barulah kita berjuang. Biar kita lakukan satu persatu dari kita terus melonjak naik akhirnya hasilnya tidak lama. Kerana perlu di ingat wahai umat islam, musuh-musuh islam ini mereka tidak lena. 

Akhir kata dari saya,

Sedikit ulasan saya ingin berikan, terutama berkenaan bantahan tentang filem Inoncence Of Muslims, apabila melihat kembali bagaimana umat islam membantah sampai terlibatnya kematian di kedutaan Amerika di timur tengah ini, saya merasa sedih diatas tindakan sedemikian. Sememangnya benar, apabila kita diperangi maka wajib semula kita berperang mempertahankan. 

Cumanya perlu di ingat itu kita diperangi secara psikologi, jadi umat islam juga perlu memerangi semula dengan cara psikologi, misalnya membuat video semula menunjukkan dan menceritakan keperibadian Nabi Muhammad SAW, supaya masyarakat diseluruh dunia dapat berfikir dan membezakan. Bagi saya pula, buatlah sesuatu yang perlu dalam membantah itu, asalkan bagilah nampak berilmu. 

Jika nak mengadakan demontrasi pun, silakan! Asalkan kita jaga adab dan akhlak, tunjukkan contoh islam yang terbaik, barulah umat islam lebih dihormati dan disegani. Ini hanyalah ulasan saya yang tak seberapa, mungkin ramai diluar sana yang mampu bergerak membuka mata dunia, dengan berjuang untuk memberi kemenangan kepada islam. Jadi sama-sama kita bergerak mengikut posisi, janji islam disanjungi dan di hormati.

AshrafHadi
Mafraq, Jordan
26.Sept.2012

2 Sep 2012

Dakwah Itu Seni, Pendakwah Itu Penyeri


Sebagai manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, menyebabkan kita merasai diri tidak diperlukan. Walhal sebagai manusia yang beragama islam, dipenuhi dengan iman, sepatutnya tidak boleh merasai demikian. Kerana berputus asa di dalam diri adalah sifat syaitan. Sebab itu berputus asa wajar dijauhkan. Terutama pendakwah yang menarik minat manusia ke jalan tuhan.

Hari ini, sebahagian pendakwah merasakan diri mereka disisihkan. Mengajak manusia ke jalan tuhan sudah tiada sambutan. Tetapi sebenarnya untuk menyeru manusia melakukan "amal makruf, nahi mungkar" bukanlah dengan melihat sambutan yang menggalakkan. Tetapi perlu dilihat sifat yang berterusan juga istiqamah di dalam perjuangan.

Mengambil Ibrah Dari Sirah Nabi,

Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita perlu mencontohi bagaimana dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berdakwah dari Mekah hingga ke Madinah membentuk manusia, untuk menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT. Bertahun-tahun lamanya Nabi Muhammad berdakwah barulah manusia pulih sepenuhnya. Membentuk umat islam yang kuat dan utuh, disamping pengabdian kepada Allah SWT.

Dakwah yang dimulakan pula bukan mengambil masa sehari atau dua hari. Bermulanya dakwah secara sembunyi, kemudian secara terangan. Tetapi pada ketika itu umat islam hebat ditentang. Akhirnya baru umat islam memperoleh kemenangan. Begitu juga pendakwah sekalian, masa untuk membentuk manusia bukannya singkat, ianya lama dan perlu mempunyai proses yang bertingkat-tingkat.

Bagaimana strategi dakwah baginda yang mula  secara sembunyi, tetapi akhirnya di terangkan untuk menegakkan syiar islam. Jadi berperingkat-peringkat dalam berdakwah perlu ada, jangan tergopoh gapah dalam usaha memperbaiki manusia dan diri sendiri juga.

Kerana mengambil ibrah dari sirah nabi sendiri yang berdakwah bertahun-tahun. Menunjukkan kesabaran di dalam dakwah itu perlu tinggi, untuk pendaie' tempuhi. Selain itu, menyusun strategi dengan mantap, memberi implikasi dalam diri untuk mengenal pasti sasaran sebenar pendakwah perlu tujui.

Dakwah Itu Seni,

Seni adalah satu bentuk subjektif, sebagaimana juga dakwah. Dengan dakwah perlukah menyangka bahawa, hanya berceramah sahaja? Sememangnya tidak! Justeru itu, dakwah yang dikatakan itu banyak cabangnya. Bukan hanya bercakap sahaja, dakwah juga boleh digunakan dengan pelbagai cara.

Misalnya, berdakwah dengan nyanyian, penulisan, perfileman, ataupun dengan akhlak yang baik, dan lain-lain lagi. Yang penting semuanya menjurus kita supaya kembali kepada islam. Segala apa kebaikkan yang dilakukan semuanya dikirakan dakwah, yang penting dasarnya kembali kepada islam.

Jadi janganlah kita, melihat dakwah itu dengan skop yang kecil. Teliti dan perhalusi, dalam usaha membentuk manusia bukannya dengan berbicara, tatkala dengan akhlak juga menyebabkan orang tertarik dengan islam.
Islam yang indah, di make up pulak dengan dakwah yang kreatif menampakkan lagi, keindahan islam yang sebenar dan suci.

Pendakwah Itu Penyeri,

Setiap manusia yang menjadi pendakwah, walaupun berbeza agama. Biarpun dikata, yang berdakwah ustaz/ustazah, dan bagi agama lain pula tok sami, ataupun paderi. Semuanya membawa mesej dan imej agama masing-masing.

Islam adalah agama yang menyeluruh, tidak mengira siapa kita. Jika melakukkan kebaikkan akan diberi ganjaran pahala, dan memperoleh syurga. Islam agama yang mengajak manusia bertuhankan satu, hanya Allah SWT yang layak disembah, oleh itu pendakwah islam yang dahulunya sehingga sekarang. Mereka membawa imej islam dengan sebaiknya untuk menjaga kesucian dan kebenaran islam.

Oleh itu, pendakwah yang berdakwah ini semestinya menjadi penyeri. Untuk menyantuni manusia mengajak kejalan kebenaran, iaitu jalan menuju tuhan yang satu. Bersikap kreatif dalam menyerikan dapat menyumbangkan idea pembentukkan sahsiah di dalam diri manusia.

Selain itu, pendakwah yang menjadi pernyeri perlu memecah tradisi, dengan melemparkan segala kejumudan yang ada, melihat dengan penuh kondisi dan sisi. Bagi mencari ruang yang ada untuk memenuhi hati manusia mengajak kembali kepada tuhan yang maha esa. Jangan kejumudan yang ada tanpa melihat uslub dakwah yang betul, dan waqi'.

Menyebabkan manusia yang mahu berjinak-jinak kembali dengan islam, ataupun yang mahu mencari kebenaran islam. Akan memandangan serong pada sesetengah pendakwah yang syadid pada tempat yang tidak sepatutnya. Kata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan Muslimin, "kita adalah pendakwah bukan penghukum!"

Jadi marilah kita koreksi kembali, pendakwah yang berstyle perlu ada, untuk kita menyerikan dakwah yang sediakala. Kreatifviti dalam berdakwah dapat menarik minat manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Serta dengan menggunakan medium yang ada untuk mengubah padangan manusia terhadap agama.

Siapa Pendakwah?

Tertanya-tanya di dalam diri, siapa sebenarnya pendakwah? Adakah ulama? Adakah ustaz ataupun ustazah. Lantas tercari-cari siapa? Akhirnya terjumpa satu ayat yang menjadi jawapan yang tersimpul di dalam benak pemikiran.

"Sesiapa yang mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah, dan dia adalah daie'"

Jadi daripada ayat ini, menunjukkan setiap muslim itu adalah pendakwah, yang mengajak manusia menyeru mengerjakan kebaikkan dan menyeru meninggalkan larangan Allah SWT. Kemudian tertanya pula bagaimana dengan diri yang tidak sempurna? Akhirnya minda berkata, jika mahu tunggu sempurna sampai bila?

Lantaran itu, untuk berdakwah jangan tunggu sempurna. Teruskan usaha, kerana merasai diri ini penuh dengan noda dosa menyebabkan kita akan berkerjaran melakukan amal kebaikkan. Demi mendapat gajaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Usah peduli apa yang dikata, janji kita mencari keredhaan Allah SWT.

AshrafHadi
2.September.2012
Mafraq, Jordan.

27 Ogo 2012

Umrah, Ramadan & Raya


Alhamdulilah bersyukur kepada Allah SWT, kerana di beri peluang dan kesempatan menjadi tetamu-Nya pada 10 terakhir ramadan yang lalu. Merasai Allah SWT masih sayangkan hamba-Nya yang lemah dan daif ini untuk dijemput menjadi tetamu-Nya. Kecintaan dan kesayangan Allah kepada hamba-Nya sangat tinggi dan agung. Kerana kita yang penuh dinodai dosa dan maksiat pun dipilih oleh Allah SWT untuk mengerjakan umrah buat pertama kalinya. Oleh itu, saya coretkan sedikit pengalaman saya semasa berada disana, untuk dikongsi bersama.

Malam bertolak,

Pada malam ke 21 ramadan bersamaan 9 Ogos 2012 hari khamis, saya bersama teman yang lain berkumpul di rumah Fakhrulhadi menunggu ketibaan bas dari Amman. Ketibaan bas disambut dengan gembira oleh semua orang. Apabila bas berhenti, berpusu-pusu teman memasukkan beg masing-masing. Selepas selesai semuanya, pemergian kami diiringi  dengan bersamalan dengan sahabat-sahabat yang berada di Mafraq.

Seterusnya, perjalanan bas menuju ke Irbid pula, untuk mengambil pelajar disana yang turut serta bersama kami pergi menunaikan umrah. Apabila sampai di Irbid, pelajar disana sudah menanti, lalu apabila bas berhenti mereka memasukkan beg masing-masing. Setelah selesai semuanya, maka bas pun bertolak ke haramain.

Perjalanan kami diketuai oleh Ustaz Hasibullah, pelajar tahun akhir di universiti Al Al-Bayt. Perjalanan yang akan memakan masa selama 30 jam untuk sampai ke tanah haram (Mekah) dari Jordan itu dilimpahi dengan cahaya bulan yang memancar ke bumi. Melihat wajah keriangan sahabat di dalam bas, menyebabkan di dalam hati tidak sabar menjadi tetamu Ilahi.

Miqat di Zulhulaifah & Niat Ihram,

Setelah 30 jam perjalanan, kami dengan selamatnya sampai ke tempat miqat di Masjid Bar Ali. Ramai jemaah dari serata dunia bermiqat disitu. Masjid yang tersergam indah, dipenuhi dengan ribuan manusia yang bersiap-siap untuk membersihkan diri serta memakai ihram lantas niat ihram untuk menunaikan ibadah umrah.

Peruntukkan masa selama dua jam disitu, kami mengambil peluang untuk bersiap diri. Kali pertama memakai ihram, berasa amat janggal serta susah untuk memakainya. Ustaz Hasibullah lantas menunjukkan cara pemakaian ihram dengan betul. Lalu kami yang pertama kalinya pergi itu pun menyusuli cara pemakaian ihram dengan betul.

Ihram yang tanpa jahitan, di pakai dengan kemas dan kuat, di ikat dengan tali pinggang supaya lebih ketat agar tidak longgar. Sedang aku tengah memakai ihram, terdetik pula di dalam hatiku,

"kenapa perlu memakai ihram? Kalau pakai jubah sahaja tak boleh ka?" Soalku sendirian di dalam hati.

Namun persoalan itu lenyap, apabila semua teman-temanku telah bersiap sedia untuk bergerak ke bas. Dan bas pula akan menuju ke destinasi seterusnya. Dalam bas kelihatan semuanya putih dan bersih, bau badan serta keletihan di dalam bas selama perjalanan 30 jam berlalu pergi. Melihat senyuman yang terukir di wajah teman-teman seperti tidak sabar melepaskan rindu kepada Kaabah.

Apabila bas menyusur pergi meninggalkan tempat miqat, Ustaz Hasibullah pun menyuruh semua niat ihram. Dengan lafaz kata dimulut, serta niat di dalam hati semuanya tenang berniat. Lantara itu seruan "labaikaallah humalabai" di bacakan di dalam bas selama beberapa minit. Perjalanan menuju ke Mekah dari tempat miqat memakan masa selama 6 jam.

Bumi Haramain,

Pertama kalinya sampai di bumi haramain, bas bergerak laju ke hotel. Bacaan seruan "Labaikallah hummalabai" dibaca dengan nyaring di dalam bas. Melihat menara jam yang tersegam indah, diantara menara jam yang tertinggi di dunia.

Anak mata bulat memerhati dengan kagum, mulut pula nyaring bertasbih. Serta hati pula berkata,
"ku lihat hijau," sambil mata kepala melihat menara jam yang tersegam indah itu. Apabila bas sampai di hotel. Kami semua terus mengeluarkan beg masing-masing. Ustaz Hasibullah pula sibuk membahagikan bilangan orang untuk bilik hotel. Apabila dapat kunci bilik, terus aku bersama sahabat yang lain masuk ke bilik hotel.

Selepas selesai meletakkan barang, lalu kami turun ke bawah solat subuh. Selepas solat subuh terus bergerak dengan koster (bas mini) ke Masjidil Haram. Pertama kalinya kaki berpijak di Masjidil Haram, bagaikan malu menampar muka. Selangkah dua lagi, aku akan berjumpa dengan Kaabah, adakah layak diriku ini? Persoalan yang timbul.

Apabila sampai di hadapan Kaabah, "Masya-Allah" itulah lafaz yang pertama keluar dari mulutku. Pertama kali melihat secara live di depan mata, bagaikan tidak percaya. kaget, tergamam semuanya ada, betapa besarnya Kaabah itu, bila melihat di dalam kaca tv kecil sahaja. Tetapi bila di depan mata, Masya-Allah. Lalu Fadlan mengajak aku bertawaf, kerana tawaf adalah syarat untuk umrah selain miqat, sa'ie dan tahalul.

Selesai tawaf sebanyak tujuh pusingan, lalu aku keluar ke tangga menuju ke tempat sa'ie, yang bermula dari Safa ke Marwah. Betapa ramainya umat islam ketika itu, diwaktu pagi selepas subuh sememang penuh dengan orang mengerjakan tawaf dan sa'ie, kerana dibulan ramadan malam dan selepas subuh selalunya ramai orang.

Semasa mengerjakan sa'ie, apabila sampai ke garisan hijau yang ditetapkan. Disunatkan berlari anak disitu, lalu ku berlari anak sehingga tamat garisan hijau yang ditetapkan. Selesai sahaja sa'ie di Marwah selepas tujuh kali berjalan dan berlari anak, maka sa'ie pun selesai. Latas seorang budak bangla memanggil aku, lalu dia pun menguntingkan rambut aku tiga helai untuk tahalul. Lebih afdhalnya jika kita bercukur.

Selasai sahaja dia menguntingkan tiga helai rambutku, lalu dia meminta kepadaku 50 Riyal, betapa terkejutnya aku, lalu aku berkata "mafi" iaitu tiada. Si budak itu berkeras, dengan tegas aku berkata "WalAllahi mafi ya syabab"lalu aku berlalu pergi dengan muka yang tidak berpuas hati.

Hatiku panas membara, kerana mereka mengambil kesempatan, walhal guting pun bukan seteruk mana. Jika bercukur pun baru 15 Riyal. Aku biarkan kepanasan itu lenyap di dalam hati, dan aku kembali reda apabila melihat kaabah semula. Diriku masih tidak percaya, bahawa dapat jugaku tatap Kaabah di depan mata. Jadi selesailah umrah pertama ku.

Peristiwa pelik yang tak disangka,

Pada malam itu, aku bercadang untuk mengerjakan umrah kedua, dengan niat untuk lakukan kepada tok nek sebelah ayah. Lalu selesai sahaja solat isya' aku bergegas pergi ke stesen bas yang berdekatan dengan Masjidil Haram untuk pergi ke Tanaim kerana disitu ada sebuah masjid yang bernama Masjid Aisyah, yang terletak betul-betul dengan sempadan tanah haram.

Jutaan umat islam yang mengerjakan solat terawih, aku terpaksa berhimpit serta menyelit dengan memakai    siap ihram, untuk pergi ke stesen bas. Tengah asyik berjalan, tiba-tiba aku terpadang seorang nenek tua yang wajahnya serupa wajah nenek ku sebelah ayah. Hatiku berdebar-debar, mataku ligat memerhatinya tanpa berkelip sekalipun.

Tiada beza langsung wajahnya dengan wajah nenekku. Hidung, mata, mulut dan dahi serta bulu kening sama, serupa dan seiras. Aku asyik memerhatinya, lantas mulutku mengukir senyuman dari jauh. Ku lihat nenek tua itu berjalan berlalu pergi, dan aku pun terus berjalan menuju ke stesen bas untuk pergi ke Tanaim, Masjid Aisyah.

Dalam hati berkata, mungkin Allah nak tunjukkan kepada ku supaya dapat aku melepaskan rindu, dan berkemungkinan juga pelanduk dua serupa.

Seterusnya peristiwa pelik bagiku lagi, apabila aku suka memerhati budak-budak kecil. Pasti akan aku bermain pipi atau pun mengusap pipi si budak kecil, terutamanya si budak arab. Tetapi, aku sering melihat si budak kecil selalu mengorek hidung mereka. Mulutku senyum tak terkata melihat gelagat itu, dan di dalam hati kecil ku geli sendirian sambil berkata, "adik tu, korek hidungnya."

Selama dua minggu, semua aku lihat budak kecil yang mengorek hidung pasti aku senyum sendirian sambil melihat gelagat mereka dan dalam hati berkata ayat yang sama. Dipendekkan cerita, di pagi raya, aku mengambil kesempatan untuk bergambar dengan dua orang budak arab yang comel. Setelah meminta izin, ayahnya membenarkan untuk bergambar.

Alangkah terkejutnya aku, apabila melihat gambar yang ditangkap oleh Afifi, seorang budak kecil disebelah kanan ku mengorek hidung tanpa ku sedari dan Afifi pun tidak perasan. Nah! Allah tunjukkan kepadaku, apabila sering terdetik di dalam hati yang bukan-bukan, menyebabkan di dalam gambar pun Allah tunjukkan lagi.

Ini gambarnya,


Lantasku terfikir, bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Walaupun kita bersendirian dan berbisik di dalam hati, tetap juga Allah tahu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, dia yang menentukan segalanya. Daripada tu aku pelajari dari dua peristiwa yang pelik dalam kamus kehidupan aku.

Pengalaman Ramadan & Raya,

Diakhir 10 ramadan, jutaan umat islam dari pelusuk dunia membanjiri. Kepadatan umat islam tidak mampu ditampung di dalam Masjidil Haram, sehingga umat manusia melimpah di jalan untuk beribadat kepada Allah SWT. Pengalaman solat terawih disini sangat seronok, dengan aluran suara imam yang mengasyikkan menyebabkan fokus beribadah lebih tertumpu.

Palingnya aku suka, apabila malam 27 ramadan, kerana mengikut adat sesetengah orang arab menyatkan bahawa malam itu, malam lailatu qadar. Imam besar Masjidil Haram, Dr Syeikh Abdul Rahman Sudais, mengimami solat qiammullail. Pada malam itu, penuh kepadatan orang yang bersolat, babak paling terharu mendengar tagisan orang-orang arab yang hiba mendengar bacaan dan doa qunut yang dibaca oleh imam besar Masjidil Haram semasa melakukan qiammullail.

Suasana raya, aku bersama Afifi teman sebilik hotel terus beraya bersama sahabat-sahabat yang lain. Dan ada juga orang arab yang datang bersalam. Selepas solat hari raya serta habis membaca khutbah raya. Orang ramai berpusu-pusu keluar. Tidak kurang juga, yang berangkat pulang ke negara masing-masing. Selepas berjumpa bersama teman-teman yang lain. Aku bersama Afifi pulang ke hotel, berbekalkan keropok pedas dan air zam-zam itulah menu kuih raya kami.

Madinah dan bertolak pulang,

Pada raya kedua, kami bersiap-siap keluar dari hotel. Selepas sahaja solat subuh, aku bersama teman sebilik hotel terus melakukan tawaf. Haikal, Abe dan Afifi juga aku terus melakukan tawaf wida'. Serius, pada waktu melakukan tawaf wida' hatiku betul-betul tersentuh. Selama hampir dua minggu dibumi Mekah, kini kami semua akan bertolak ke Madinah sebelum bertolak pulang ke Jordan.

Ku menyusuni langkah perlahan-lahan, berjalan keluar. Mataku sayu memerhati Kaabah yang tersegam indah dan gah. Lalu aku bersama Haikal terus keluar meninggalkan Masjidil Haram pulang ke hotel. Kami bersiap-siap, dan pagi itu dalam pukul 12 lebih kami bertolak ke Madinah.

Perjalanan hampir 7 jam ke Madinah, kami sampai di hotel disana selepas Asar. Di waktu Marghib di dalam Masjid Nabawi tersegam dengan keunikkan islam yang tinggi. Aku duduk beriktikaf di dalam masjid selepas solat marghib, apabila azan berkumandang menunjukkan masuk waktu solat isya' kami bersolat berjemaah beramai-ramai.

Selesai solat isya' aku menzairahi maqam Nabi Muhammad SAW dan disebelahnya pula maqam Saidina Abu Bakar, dan Amirul Mukminin Saidina Umar. Sampai sahaja dihadapan maqam, lantas ku berkata, "Assalamualaika ya Rasulullah" dan juga kepada Saidina Abu Bakar, dan Umar. Lalu ku pulang ke hotel untuk merehatkan diri.

Sebelum azan subuh berkumandang, aku keluar seawalnya. Duduk beriktikaf di dalam Masjdi Nabawi, sehingga azan subuh dan terus menunaikan solat subuh secara jemaah. Selepas solat subuh, aku ingin masuk ke Raudah, iaitu tempat yang mana dikatakan sebagai taman syurga. Orang ramai berebut bermati-matian.

Aku membatalkan niat, dan bersiar-siar disekitar Masjid Nabawi. Tepat pukul 8 pagi aku pergi semua ke Raudah yang bersebelahan dengan maqam nabi. Orang masih lagi ramai, dan aku tekad juga akan memasuki. Alhamdulilah, dengan kesabaran menanti dan menahan sabar dengan karenah orang yang berebut-rebut. Akhirnya aku dapat juga peluang untuk solat di kawasan Raudah.

Di Madinah kami hanya duduk semalaman sahaja, lalu dalam pukul 10 pagi semua orang bersiap-siap untuk pulang ke Jordan. Bas pun tiba, dan semua orang berkumpul di bawah, memasukkan semua barang ke dalam perut bas. Penuh dengan air zam-zam, dan barang-barang yang dibeli oleh sahabat untuk dibawa pulang.

Perjalanan memakan masa selama 30 jam juga, dan Alhamdulilah segala urusan di sempadan Jordan-Arab Saudi dipermudahkan. Setibanya kami di bumi Mafraq pada pukul 10 pagi pada raya ke-empat. Bersyukur kepada Allah, perjalanan pergi dan balik dengan selamatnya. Kemudian aku dan sahabat yang lain amat berpuas hati dengan perkhidmatan Ustaz Hasibullah yang mengawal selia perjalanan umrah kali ini atas nama travel Al Buntali.

Semoga Allah memberi peluang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk menjadi tetamu-Nya pula. Dan aku pun berdoa, mudah-mudahkan dapat ku menjadi tetamu-Nya lagi dimasa hari. Akhirnya juga persoalan aku mengenai ihram juga terjawab, apabila aku bertanya kepada Abe, seorang pelajar Master Universiti Of Jordan. Dia berkata, kita berihram ibarat kita memakai kain kapan yang putih, kita meninggalkan segalanya dan berserah kepada Allah seperti di dalam kubur.

AshrafHadi
27.Ogos.2012
Mafraq Jordan.

5 Ogo 2012

Oh! Sekadar Bertanya

Pertamanya, nk ucapkan tahniah kepada Dato Lee Chong Wei (LCW). Walaupun hanya memenangi tempat kedua berlawan dengan Lin Dan dari China di Sukan Olimpik London, tetapi anda sudah menjadi jaguh Malaysia yang mengharumkan nama Malaysia untuk melangkah ke final. Semangat  Dato LCW sangat dipuji dengan menunjukkan taraf kualiti sukan badminton Malaysia dimata dunia.

Tetapi hari ini saya ingin membincangkan, berkenaan konsep kita bertanya. Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) ada menyebut, "kita masyarakat Malaysia selalu menyakat apa yang ditanya, hattakan seorang kanak-kanak pun bertanya." Jadi bila saya teringat akan statement Ustaz Hasrizal, yang saya dengar dari sahabat saya disini. Lantas saya cuba bertanya untuk melihat perbezaan antara benda yang kita minat dan suka itu, dikritik supaya nampak seperti tidak suka.

Jadi beginilah...


Pada awalnya komen saya ditanya adakah saya seronok akan kemenangan pingat emas oleh negara sendiri, lalu saya berkata seronok. Dan pula saya bertanya apakah itu hanya keseronokkan yang kita dapat?Tetapi sebenarnya pointnya disini, saya bertanya manfaat dan adakah kita akan dapat seperti sejuta yang akan Dato LCW dapat, jika menang pingat emas?

Tidak dinafikan ada sedikit tomahan, tetapi saya berpuas hati apabila, sebenarnya hak itu bergantung kepada individu sendiri. Yang dijawabnya ialah senior saya di Al-Maad dulu. Ditambahi oleh komen sahabat saya di akhir sekali, menampakkan lagi manfaat itu jelas. Jadi saya memuji kedua orang ini kerana menjawab persoalan yang saya timbulkan walaupun nampak status saya  itu sedikit pertikaian.

Memahami dan meraikan dalam bertanya,

Pernah diceritakan, seorang ustaz kepada saya dengan berkata. "Hidup ini, jika kita bertanya dapat memberikan seribu persoalan dan melahirkan sejuta jawapan." Menunjukkan bahawa pelbagai pemikiran yang ada dan jawapan yang tersendiri dengan pelbagai sistuasi dan keadaan. 

Misalnya kita melihat pantai, sesetengah orang menyatakan di pantai atau di dalam laut itu tempat untuk berehat, dengan skuba mahupun berjemur di tepi pantai. Tetapi sesetengah orang pula menyatakan di dalam laut pantai itu dapat mencari ikan dengan menjadi nelayan, jadi dapat menjual ikan. Berbeza pula dengan yang lain melihat pantai itu adanya petroleum boleh dimanfaatkan untuk dijadikan minyak, dan keuntungan berlipat ganda.

Jadi menunjukkan bahawa, setiap apa yang difikirkan, kadang-kadang itu berbeza. Tetapi kita sebagai muslim melihat perkara ini dengan pelbagai sisi, untuk kita mengenal pasti. Kita jangan merasai seolah-olah yang ditanya itu tidak perlu, adapun dengan soalan yang bukan-bukan, seperti mempertikai dimana tuhan, seperti atheis yang tidak jemu-jemu menafikan kebenaran dan kewujudan tuhan.

Tetapi jika kita memahami dan meraikan apa yang ditanyakan, menyebabkan kita memberi jawapan disamping kita berkongsi. Jelaslah bahawa apa yang dikatakan oleh ustaz saya untuk kita memahami dan meraikan, dapat menambah ilmu yang diketahui. Dengan mulakan bertanya, timbulkan persoalan akan dapat sejuta jawapan.

Akhir sekali,

Saya berterima kasih kepada yang komen, dan saya tegaskan ini hanya sekadar pertanyaan di laman maya. Jika ada salah silap saya memohon maaf, dan bukan bererti saya menjadi talam dua muka, hakikatnya sememangnya niat diawal lagi saya hanya sekadar untuk mengetahui. Kemudian saya memohon izin dari sahabat-sahabat yang berkomen tadi untuk saya printscreen komen disini. Hanya sekadar rujukkan umum. 

Saya juga menyokong penuh Dato LCW, dan status saya di dalam facebook hanya sekadar mengkaji dan mengetahui pada niat asalnya, bukan niat untuk memperlekehkan orang yang menyokong. Saya juga tertarik dengan status seorang ustaz sepengajian universiti, iaitu Ustaz Hafiz Dasar, MA Universiti Al Al-Bayt dengan berkata di wall facebooknya,

Untuk menjadi seorang atlet yg mengungguli emas dalam olimpik perlukan sstu usaha melebihi dari usaha atlet lain, begitu juga seorang ugamawan, seribu alasan utk tidak mencari ilmu sudah ckup utk diri anda dinobatkan sbgai ugamawan kangkung!

4 Ogo 2012

Al Imam Abu Hanifah dan Atheis



Soalan Pertama

“Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

“Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”

Soalan Kedua

“ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :

“ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya”

Soalan Ketiga

“ Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?"

Al-Imam Abu Hanifah menjawab :

“ Kamu pandai mengira?”

Kelompok Atheis itu menjawab :

“ Tentu sekali kami pandai mengira”

Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:

“Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”

Mereka menjawab : “ Nombor 3”

Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”

Mereka menjawab : “Nombor 2”

Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”

Mereka menjawab : “Nombor 1”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”

Mereka menjawab : “Tiada”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :

“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.

Persoalan diteruskan.

Soalan Keempat

“Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

Soalan Kelima

“Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?"

Al-Imam sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh Sang Anak Muda.

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Mereka menjawab : “ Tentu sekali”

Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Mereka tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheis tersebut bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.

Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”

Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

“ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?"

Mereka menjawab : “ Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini”

Soalan Ketujuh

“ Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.

Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah , kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”

Soalan Kelapan

“ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”

Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.

Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
*******

Ada juga kisah yang saya dengar bahawa soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka al-Imam menjawab dengan tenang.

“ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di atas mengambil alih tempatmu”

Athies itu lalu bersetuju dengan cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bilamana al-Imam sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah)

28 Jul 2012

Janji Ditepati: Kontroversi atau Transformasi?


Terhenti daripada menulis, kerana kesibukkan imtihan yang sudah dilalui. Menyapa pula kali ini untuk menulis, secebis rasa yang terlintas di minda. Memandangkan bulan Ogos nanti adalah bulan kemerdekaan bagi negara kita yang tercinta. Suasana bahang kehangatan untuk sambutan bulan kemerdekaan semakin terasa. Tambahan pula dibulan puasa, dengan tema JANJI DITEPATI pada tahun ini, adakah menjadi satu tema yang membawa kontroversi atau transformasi?

Mengapa Kontroversi?

"Usah bicara jika berdusta, negara ini negara kita bukan harta pusaka mereka," 

Kata-kata keramat inilah, yang membawa semangat untuk saya menulis apa yang ingin dikata. Serta meluahkan apa yang dirasa, untuk bumi Malaysia yang tercinta. Mengapa tema menjadi kontroversi? Sudah di lihat, dengan pemilihan tema "janji ditepati" ini seolah-olah tertumpu kepada sebelah pihak sahaja. Kemudian mengapa pula kerajaan tidak memilih tema yang merangkumi semua rakyat?

Kerana dalam kata nama "kerajaan," tidak ditumpu kepada satu pihak sahaja. Ianya meliputi semua lapisan masyarakat, tidak mengira rakyat yang menyokong mahupun membangkang. Semua rakyat diberi hak sama rata oleh kerajaan. Kerana kerajaan yang mentadbir sekarang semuanya hasil dari rakyat yang membayar cukai, dan juga membayar segala cas yang dikena, tanpa tidak mengira dari aliran parti mana pun.

Justeru itu, kerajaan tiada hak untuk menumpu kepada sebelah pihak yang menyokong sahaja, kerana keseluruhan rakyat yang lain juga ada hak untuk mereka. Jadi peranan kerajaan adalah keseluruhan, maka temanya juga mesti nampak keseluruhan. Bukannya tema yang nampak berat sebelah. Sepatutnya tema semestinya mempunyai nilai patriotik yang tinggi dalam menyemai sifat nasionalisme di dalam diri.

Saya tertanya-tanya, mengapa pasti "janji ditepati," dan apa kaitannya dengan kemerdekaan negara kita pada kali ini?. Persoalan ini timbul apabila terfikir akan tema yang diberi. Ianya seolah-olah melihat bahawa "janji ditepati" ini menunjukkan peranan dan sikap kerajaan yang optimum dalam memberi kepada rakyat.

Sebenarnya, menjaga keamanan, ekonomi, sosial budaya dan kebajikan rakyat adalah sememangnya peranan kerajaan. Walaupun tidak berjanji sekalipun, kerajaan wajib menjaganya. Bukan dikira "janji ditepati" lagi, kerana itu ada amanah dan tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Jika mengatakan "janji ditepati," ianya seolah-olah bahawa kerajaan berperlu berjanji baru hendak memberi.

Transformasi Dengan Janji Ditepati,

Selaras dengan tema yang dibawa untuk sambutan kemerdekaan pada kali. Sebenarnya juga, ianya membawa transformasi kepada rakyat dan negara. Supaya berfikir dengan matang menilai dengan transformasi yang perlu dilakukan, demi kebaikkan negara yang tercinta.

Sebagai anak muda yang berbicara, saya meletakkan transformasi di dalam tema "janji ditepati" ini seharusnya menghapuskan korupsi dan rasuah pada kali ini. Ianya perlu dinilai, mengapa perlunya sifarkan kuropsi dan rasuah semperna kemerdekaan kali ini. Kerana, janji ditepati untuk mengurangkan kuropsi sangat diperlukan, bagi memajukan sesebuah negara.

Jika adanya kuropsi dan rasuah, menyebabkan proses kemajuan negara juga terbantut. Dalam usaha memajukan negara, janji ditepati ini amatlah penting kerana menjaga kebajikan rakyat dan dapat mengurangkan keciciran wang negara yang semakin tiris. Maka dengan itu, membawa transformasi dengan selaras tema "janji ditepati" perlunya kerajaan mengosongkan kuropsi dan rasuah yang semakin menjadi-jadi.

Selain itu, membawa transformasi lagi dengan tema "janji ditepati," kerajaan perlu mengalas amanah dengan penuh karisma. Amanah yang diberi oleh rakyat kepada kerajaan yang dipilih seharusnya dijaga dengan teliti, bukan membuat seperti hak diri sendiri. Kerana jika kerajaan buat seperti hak diri sendiri, menyebabkan kerajaan akan tercuai dan terleka dengan bisikan dunia, sehingga hak rakyat tidak terjaga.

Menjaga kebajikan rakyat penting dengan penuh amanah, supaya kehidupan rakyat terjamin dengan baik di dunia mahupun di akhirat. Jika kerajaan memikul amanah dengan penuh hemah serta karisma, ianya membawa satu transformasi yang menjanjikan kemenangan kerajaan dengan selesa.Tetapi jika tidak dijaga dengan sempurna menyebabkan kerajaan akan kurang mendapat sokongan, kerana kerajaan nampak hanya menjaga kroninya sahaja.

Justeru itu, transformasi ini penting untuk kerajaan nilai selaras dengan tema kemerdekaan pada kali ini. Untuk memajukan agama, bangsa dan negara mengikut dengan konsep 1 Malaysia. Peranan transformasi ini menyebabkan kerajaan akan lebih didekati oleh rakyat, tanpa perlu menabur janji di awal Pilihanraya Umum Ke 13 nanti.

Kerana, takut jika ditaburi janji ianya tidak dapat dipenuhi menyebabkan janji hanya tinggal janji. Kemudian keadaan mendesak menyebabkan tema pun seolah untuk memancing undi. Oleh hal itu, kerajaan perlu transformasi dengan sifarkan kuropsi, rasuah serta amanah tanpa mengira kroni untuk menarik lebih minat rakyat kepada kerajaan.

Jadi sebenarnya, janji ditepati yang dibawa oleh kerajaan dalam tema kali ini sepatutnya mengeluarkan janji untuk sifarkan kuropsi serta menjaga amanah lebih memukau dan menarik untuk menumpukan kebajikan rakyat yang semakin matang dalam menilai. Rakyat yang dipertengahan lebih memerhati tanpa menyokong secara membuta tuli. Juga ada muda seperti saya ini dalam usaha membawa kemajuan kepada negara.

Kalam Terakhir Untuk Mereka,

Saya anak muda yang mentah berbicara, tetapi saya mempunya perasaan cinta dan sayang kepada negara. Saya malu melihat negara saya berada dalam keadaan terdesak sehingga peranan kerajaan tidak terjaga. Jadi tema kemerdekaan kali ini sebenarnya mencetus pelbagai pertanyaan yang membawa kepada tanda tanya yang tiada jawapannya.

Sebab itulah saya menyatakan bahawa, dengan "janji ditepai" sebenarnya membawa kepada kontroversi dan transformasi untuk rakyat menilai apa yang sepatutnya perlu "janji ditepati" pada kali ini. Apakah "janji ditepati" hanya untuk memancing undi? Atau untuk menyemai sifat nasionalisme di dalam diri. Jika tema sesuai, insyaAllah tiada yang akan berbunyi. Tetapi jika tidak sesuai, sampai bila kita mahu begini?

Saya juga memahami semesti ada yang setuju mahupun tidak setuju dengan artikel kali ini. Tetapi demi perasaan saya cinta akan negara, terpaksa juga saya berkata untuk kita berfikir dan menilai dengan lebih matang dan rasional. Demi kesejahteraan negara, bukan bererti dengan pena penulisan ini saya tidak suka kerajaan, ianya tidak sama sekali. Cuma apa yang tidak betul itu perlu diperbaiki!

AshrafHadi
28/7/2012
Irbid Jordan.

14 Jul 2012

Ramadan Semakin Tiba


Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabilanya tiba di awal ramadan diwajibkan semua umat islam supaya berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa pula ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa? Serta kelebihan dan fadhilat dibulan ramadan.

Mengapa perlu berpuasa?,

Persoalan ini selalunya bermain di mindaku, jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa islam pula tidak boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu dimana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.

Pelbagai persoalan timbul menyebabkan ku mencari jawapannya tersendiri, diselak satu persatu artikel dan kitab mengenai puasa untuk mencari jawapan yang bermain diminda. Apabila selesai pencarian maka aku ingin aku kongsikan. Berbalik kepada tajuknya mengapa perlu berpuasa?

Firman Allah SWT,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)

Jelaslah menunjukkan bahawa dengan firman Allah SWT ini diwajibkan umat islam berpuasa, kerana Allah menyeru orang-orang yang beriman, jadi siapa lagi kalau bukan umat orang islam. Selain itu puasa menjadi salah satu rukun islam yang terkandung di dalamnya lima rukun. Jadi sebagai muslim ianya perlu dan wajib berpuasa kerana itu adalah rukun islam.

Selain itu, perlunya berpuasa ini kerana orang-orang terdahulu sepertimana pada zaman nabi-nabi lain mereka juga diwajibkan berpuasa. Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa merupakan rentetan dari kewajipan puasa yang diwajibkan pada umat Nabi Muhammad SAW, seperti dalam surah (Al-Baqarah: 183) 

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan cikal bakal puasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Selain itu, perlunya berpuasa ini, sebagai tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT. Diakhir surah (Al-Baqarah: 183) menyebut "supaya kamu bertaqwa" melihatkan bahawa puasa ini menguji akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh itu, menjawab segala persoalan yang timbulnya tadi, seperti mengapa puasa disiang hari? Dan kenapa puasa tidak boleh makan dan minum disiang hari? Ialah untuk menguji kita sebagai umat islam akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Pernah diceritakan seorang ustaz kepada saya, mengapa kita perlu tahan lapar dan dahaga di bulan puasa? Kerana apabila kita menahan lapar dan dahaga, menyebabkan keseimbangan badan akan terkawal. Selain itu sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya direhatkan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.

Kelebihan Di Bulan Ramadan,

Kelebihan bulan ramadan, antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala jika kita melakukan amal ibadat kepada-NYA. Selain itu di bulan ramadan juga terkandungnya pelbagai keistimewaan, antaranya Al-quran di turunkan serta terjadi malam Lailatul qadar, yang menjadi malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Selain itu, pada bulan ramadan syaitan akan dibelenggu di neraka sepanjang ramadan yang mulia ini, kemudian pula pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya. Malahan itu juga, penghuni neraka pun tidak diseksa pada bulan ramadan. Ini menujukkan bulan ramadan menjadi satu bulan yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Malahan itu juga, bulan ramadan menjadi bulan tarbiyah kejatian keimanan manusia kepada Allah SWT. Sepanjang bulan umat islam sentiasa sibuk berlumba-lumba melakukan amal ibadat serta mencari secekupnya, untuk dibawa bekalan ke akhirat kelak. Kerana setiap amal ibadat dikerjakan semuanya dengan senang dilakukan tanpa ada ganguan dari syaitan, hanya manusia (islam) dengan Allah SWT sahaja dan nafus di dalam diri.

Persediaan Menghadapi Ramadan,

Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya akibat dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT menjadi ramadan ini satu bulan untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita.

Berazam tingkatkan amal ibadat, seharusnya itu penting di dalam bulan ramadan ini, untuk diri kita semua meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. Disamping itu, keazaman juga dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesihatan tubuh badan, perlunya juga di ingatkan terutama kesihatan fizikal dan mental ianya amatlah penting. Jika menghadapi ramadan dalam keadaan diri tidak sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan supaya kita menghadapi ramadan dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan mengerjakan amal ibadat di dalam bulan ramadan.

Bersederhana dalam semua perkara. Hal ini amatlah penting dalam menghadapi ramadan kali ini, kesederhanaan menghadapi ramadan kali ini perlu di titik beratkan. Sebagai contoh selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka, sehingga tak habis di makannya, menyebabkan berlakunya pembaziran.

Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak dan berlebihan menyebabkan apabila waktu berbuka tidak dapat dihabiskan. Disitunya pembaziran yang menyebabkan kerugian akan berlaku.

Firman Allah SWT,

 إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا 
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Al Isra: 27)

Dengan dalil itu menunjukkan bahawa pembaziran boleh menyebabkan kita menjadi saudara syaitan, perkara ini selalunya orang terlupa dan tertinggal. Jadi di ingatkan, pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendak bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Jadi sederhana itu penting dalam menghadapi ramadan kali ini supaya dapat mengawal nafsu di dalam diri.

Ramadan Semakin Tiba,

Terasa keharuman ramadan ini semakin tiba, dan ditanya dalam diri ini, adakah ramadan ini dapat ku hadapi? Jika diberi peluang akan digunakan sebaiknya, tetapi jika tidak diberi kesempatan bagaimanakah nasib kita? Ramadan yang lalu bagaimana persiapan kita? Adakah ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?

Ramadan yang dirindui akan tiba, tetapi jika persiapan tidak terjaga bagaimana nasib kita? Jangan difikirkan apa yang hendak makan bila berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan apabila ramadan tiba. Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan. Perlukah kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanya imam!

Jika kita sebagai hamba yang beriman, kedatangan ramadan kali ini disambut dengan transformasi di dalam diri. Perubahan yang sedikit juga memberi kesan yang besar kepada diri kita. Walapun ianya tidak dirasa tetapi Allah SWT adil melihatnya. Ramadan yang dilihat sebagai bulan tarbiyah bagi umat islam menjadikan medium kepada kita, untuk berpentas menunjukkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Moga ramadan kali ini menjadi latihan transformasi di dalam diri, serta kita menghadapi dengan penuh mujadah dan istiqamah supaya amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan ramadan akan diteruskan di bulan-bulan yang lain secara berterusan. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan ramadan sahaja.

Akhir kata,

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada mak ayah serta adik beradik keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan yang berada di Malaysia mahupun di Jordan. Serta adik beradik PRISMA sekalian. Semoga ramadan kali ini menjadi ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. InsyaAllah! Ku mohon ampun dan maaf..

Ashrafhadi
14.7.2012
Mafraq, Jordan.