قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)
Memaparkan catatan dengan label AGAMA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AGAMA. Papar semua catatan

18 Nov 2012

Kebebasan Agama Atau Murtad?


Kelmarin berlangsungnya perbincangan ilmiah dan perjumpaan sesama ahli Kelab Oratorian Prisma, Mafraq Jordan. Dimulakan dengan pengenalan kelab dan sebagainya. Apa yang menariknya, semasa perbincangan ilmiah di buka untuk di bincangkan. Saudara Abdullah Suady memulakan dengan memetik isu Nurul Izzah, MP Lembah Pantai,  yang sedang hangat diperkatakan.

Lantaran itu dia berkata secara peribadi. Dia amat bersetuju jika seseorang warganegara, yang  beragama dengan tidak meletakkan status agama dalam kad pengenalannya secara formal sebelum berusia 18 tahun.  Hingga berumur 18 tahun, mereka diberi pilihan untuk menganut agama yang dipilih. Tetapi dengan syarat diperkuatkan dengan pendidikan.



***
Bukan kenyataan Saudara Abdullah Suady yang saya mahu bincangkan, cumanya saya memetik untuk dijadikan bebanan soalan kepada pembaca supaya memikirkan apakah adanya pro dan kontra dalam kenyataan tersebut?. Saya tinggalkan kepada pembaca sekalian, cumanya sekarang mari kita fokuskan tentang tajuk yang hendak diperkatakan, mari selami dan fahami intisari yang hendak diperkatakan ini.

Tiada Paksaan Dalam Agama,

Istilah tiada paksaan dalam agama ini begitu sinonim diperkatakan, semua memahami bahawa islam tiada paksaan. Berdasarkan ayat dalam surah Al Baqarah ayat 256,

                                                              لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ
                                       ( Maksudnya: Tiada ada paksaan di dalam agama)

Malahan itu, merujuk ayat sedemikian ada yang menyatakan bahawa islam tiada memaksa juga "penganutnya" untuk memilih agama yang lain. Dalam kontesk bahawa ini adalah kebebasan beragama. Juga melihat bagaimana, jika melayu yang baru sahaja lahir secara tidak dapat tidak mesti menganut agama islam.

Walhal dalam agama islam ianya tiada paksaan sekalipun untuk menganut agamanya, lebih mudah memahami bahawa kita orang melayu hanya menjadi agama islam sebagai agama keturunan yang terus mengikut. Justeru jika kita memberi kebebasan agama untuk kita memilih agama barulah selaras apa yang di firmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 256. 

Pada saya, ini adalah salah sama sekali dalam mentafsirkan ayat di dalam surah Al -Baqarah 256, mereka yang menyatakan dengan ayat ini menunjukkan islam tidak memaksa umat manusia untuk menganut agamanya, serta pengikut agama islam juga boleh memilih agama yang disukai. Ini adalah tafsiran yang salah sama sekali. 

Sebelum memahami ayat tiada paksaan di dalam agama, mari rujuk dahulu akan kitab tafsir yang lain juga menceritakan ayat dengan melihat nuzul ayat dan syarahnya.

Diantara sebab nuzul ayat.

وروى الواحدي عن مجاهد، قال: نزلت هذه الآية في رجل من الأنصار، كان له غلام أسود، يقال له: صبيح، وكان يكرهه على الإسلام.
Diriwayatkan dari al-Wahidi dari Mujahid dia berkata: Ayat ini diturunkan kepada seorang lelaki dari kalangan Ansar, dia memiliki seorang budak yang hitam kulitnya dan dia memaksa budak tersebut memeluk Islam.
Dan juga Ibn Katsir juga menyebut,
 إن ابن كثير ذكر في "تفسيره" أن الآية، وإن كانت قد نزلت في قوم من الأنصار، إلا أن حكمها عامٌّ. وما ذكره ابن كثير موافق لقاعدة: العبرة بعموم اللفظ، لا بخصوص السبب.

Sesungguhnya Ibn Katsir menyebut di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azhim: Sekalipun ayat ini turun pada kalangan kaum Ansar, namun hukumnya bersifat umum. Dan apa yang dinyatakan oleh Ibn Katsir bertepatan dengan kaedah: Di ambil ibrah dengan umumnya lafaz, tidak dengan khususnya sebab.

(Ayat al-Wahidi dalam Tafsir al-Wahidi. Ayat Ibn Katsir dalam Tafsir al-Quran al-Azhim.)

Justeru itu, dua penghuraian dan syarah yang diberikan, maka disimpulkan bahawa. Tidak boleh sama sekali, untuk kita memaksa orang kafir memeluk agama islam. Dan jika ditafsirkan untuk dikatakan sebagai kebebasan beragama oleh penganut agama islam itu sendiri sebenarnya salah!

Ayat ini diguna pakai pada orang yang kafir untuk tidak memaksanya sama sekali menariknya supaya memeluk islam. Sebagaimana juga, di dalam sirah menyatakan bagaimana islam berperang dan menang menawan musuh. Tawanan diberi pilihan samada memeluk agama islam, atau membayar cukai yang dikenakan. Itu barulah menunjukkan bahawa tiada paksaan di dalam agama. Dan inilah contoh yang Rasulullah SAW tunjukkan tanpa memaksa tawanan memeluk agama islam. 

Bagaimana Pula Dengan Melayu Islam?,

"Kami tidak pernah terlintas untuk memeluk agama islam pun!"

"Sedar-sedar, tertulis di I/C kami melayu beragama islam."

Antara dailog yang akan diperkatakan, bilamana dikatakan melayu islam hanya keturunan dan bukan kerelaan dengan sepenuh hati. Apabila mak ayah melayu, maka secara automatik si anak menjadi melayu dan islam. Mengapa?

Merujuk kepada Artikel 160 Perlembagaan Malaysia, mentakrifkan bahawa pelbagai istilah diguna pakai 
dalam perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Itu takrifan menurut perlembagaan berdasarkan Perkara 160 (2), yang menunjukkan bahawa melayu islam keturunan yang dikatakan ialah mesti beragama islam. Jika melayu yang keluar dari agama islam, maka terbatallah melayunya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Inilah satu syarat yang positif dalam menilai mengapa melayu mesti islam.

Jika orang melayu yang memohon untuk keluar dari islam, maka akan terbatal melayunya kemudian bukan mudah untuk menerima pakai pemohonan seseorang yang ingin keluar dari agama islam, terutamanya dalam kalangan masyarakat melayu. Kaedah kaunseling yang diberikan kepada golongan murtad juga untuk menarik minat kembali, kepada yang ingin menukar agama supaya kembali kepada islam yang sebenarnya.

Justeru, bukan terus menghukum kepada si murtad itu ataupun mudah menerima penukaran agama islam dari agama lain. Melainkan si murtad itu tukar secara senyap sepi tanpa meminta mana-mana pihak menukar agamanya ianya tiada langkah susulan yang diambil dari pihak yang berwajib. 

Maka dengan itu, tidak dapat tidak melayu yang dikatakan islam hanya mengikut keturunan itu bukanlah secara paksa dan sebagainya. Ini kerana peruntukkan Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia pun sendiri menyatakan melayu mestilah beragama islam. Justeru menyelamatkan kemurtadan dalam kalangan orang melayu. Dan juga bukan dikatakan sebagai islam secara keturunan dan terpaksa.  

Kebebasan Agama,

Mahukan kebebasan agama itu, islam meraikan dengan menyatakan bahawa agama lain boleh berjalan seperti biasa. Boleh juga mengamalkanya seperti biasa. Tetapi jika ianya akan berlaku terancam kepada umat islam terutamanya, maka dengan cepat islam akan menyakatnya. Agama lain bebas menganuti agama masing-masing dengan syarat di mengacam agama yang lain , juga islam. 

Firman Allah SWT,

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya...
(Al Khaf:29...)

Ayat ini jelas menunjukkan kebebasan agama yang dianjurkan dengan tidak memerangi orang yang tidak mahu menganut agama islam. Kesopanan islam dan hikmahnya dengan meraikan agama yang lain ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebagainya dengan mengizinkan orang kafir untuk tinggal di Madinah, melainkan mereka mengacam keselamatan umat islam di Madinah menyebabkan mereka diusir keluar.

Menunjukkan juga, bahawa kebebasan agama itu ada dengan meraikan orang agama yang lain menganuti agamanya. Tetapi jika kebebasan agama itu dikira dan dinilai bahawa penganut agama islam bebas menganuti agama yang lain itu adalah salah! Kerana  islam bukanlah agama yang seperti lampin pakai buang. 
Bukan suka-suka untuk masuk kerana kepentingan sahaja, tetapi ianya islam yang masuk dengan kerelaan tanpa memaksa.

Akhir Kalam Dan Kesimpulan, 

Sebenarnya, kebebasan agama dan murtad ini adalah satu perkara yang berbeza. Islam menjaga umatnya dengan memberi ruang dalam menilai pelbagai aspek disetiap posisi. Islam tidak mudah-mudah melepaskan umatnya dari terpesong jauh. Melainkan jika umat islam itu keluar secara senyap dan tidak mengancam yang lain, itu mungkin akan tidak diketahui, tetapi percayalah! Allah Maha Mengetahui!

Tidak boleh sama sekali kita menggunakan alasan tiada paksaan di dalam agama, menyebabkan kita meninggalkan kewajipan yang dituntut dalam islam. Juga memilih untuk menukar agama yang lain, melainkan ayat itu hanya dituju khas kepada golongan kafir dengan menunjukkan bahawa islam itu fleksibel dalam meraika agama yang lain. 

Justeru itu, menyelamatkan akidah umat islam yang terpesong juga perlu dengan lebih kuat dan semangat, kerana keadaan masyarakat Malaysia yang sekarang ini semakin tenat. Disamping itu, jika kita menyebut untuk menyelamatkan akidah islam, jangan lupa juga untuk kita menyelamatkan Malaysia bebas dari kuropsi, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah yang tidak berlaku adil kepada rakyat.

Oleh itu, jika kedua-duanya selamat barulah masalah yang menjadi barah dalam masyarakat dapat diubati dalam usaha melahirkan, masyarakat yang maju dan berilmu. Serta dapat mengurangkan segala kekusutan yang dialami di dalam negara Malaysia tercinta.

AshrafHadi
18.11.2012
Mafraq Jordan.

4 Ogo 2012

Al Imam Abu Hanifah dan Atheis



Soalan Pertama

“Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

“Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”

Soalan Kedua

“ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :

“ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya”

Soalan Ketiga

“ Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?"

Al-Imam Abu Hanifah menjawab :

“ Kamu pandai mengira?”

Kelompok Atheis itu menjawab :

“ Tentu sekali kami pandai mengira”

Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:

“Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”

Mereka menjawab : “ Nombor 3”

Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”

Mereka menjawab : “Nombor 2”

Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”

Mereka menjawab : “Nombor 1”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”

Mereka menjawab : “Tiada”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :

“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.

Persoalan diteruskan.

Soalan Keempat

“Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

Soalan Kelima

“Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?"

Al-Imam sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh Sang Anak Muda.

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Mereka menjawab : “ Tentu sekali”

Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Mereka tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheis tersebut bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.

Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”

Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

“ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?"

Mereka menjawab : “ Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini”

Soalan Ketujuh

“ Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.

Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah , kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”

Soalan Kelapan

“ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”

Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.

Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
*******

Ada juga kisah yang saya dengar bahawa soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka al-Imam menjawab dengan tenang.

“ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di atas mengambil alih tempatmu”

Athies itu lalu bersetuju dengan cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bilamana al-Imam sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah)

14 Jul 2012

Ramadan Semakin Tiba


Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabilanya tiba di awal ramadan diwajibkan semua umat islam supaya berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa pula ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa? Serta kelebihan dan fadhilat dibulan ramadan.

Mengapa perlu berpuasa?,

Persoalan ini selalunya bermain di mindaku, jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa islam pula tidak boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu dimana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.

Pelbagai persoalan timbul menyebabkan ku mencari jawapannya tersendiri, diselak satu persatu artikel dan kitab mengenai puasa untuk mencari jawapan yang bermain diminda. Apabila selesai pencarian maka aku ingin aku kongsikan. Berbalik kepada tajuknya mengapa perlu berpuasa?

Firman Allah SWT,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)

Jelaslah menunjukkan bahawa dengan firman Allah SWT ini diwajibkan umat islam berpuasa, kerana Allah menyeru orang-orang yang beriman, jadi siapa lagi kalau bukan umat orang islam. Selain itu puasa menjadi salah satu rukun islam yang terkandung di dalamnya lima rukun. Jadi sebagai muslim ianya perlu dan wajib berpuasa kerana itu adalah rukun islam.

Selain itu, perlunya berpuasa ini kerana orang-orang terdahulu sepertimana pada zaman nabi-nabi lain mereka juga diwajibkan berpuasa. Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa merupakan rentetan dari kewajipan puasa yang diwajibkan pada umat Nabi Muhammad SAW, seperti dalam surah (Al-Baqarah: 183) 

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan cikal bakal puasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Selain itu, perlunya berpuasa ini, sebagai tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT. Diakhir surah (Al-Baqarah: 183) menyebut "supaya kamu bertaqwa" melihatkan bahawa puasa ini menguji akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh itu, menjawab segala persoalan yang timbulnya tadi, seperti mengapa puasa disiang hari? Dan kenapa puasa tidak boleh makan dan minum disiang hari? Ialah untuk menguji kita sebagai umat islam akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Pernah diceritakan seorang ustaz kepada saya, mengapa kita perlu tahan lapar dan dahaga di bulan puasa? Kerana apabila kita menahan lapar dan dahaga, menyebabkan keseimbangan badan akan terkawal. Selain itu sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya direhatkan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.

Kelebihan Di Bulan Ramadan,

Kelebihan bulan ramadan, antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala jika kita melakukan amal ibadat kepada-NYA. Selain itu di bulan ramadan juga terkandungnya pelbagai keistimewaan, antaranya Al-quran di turunkan serta terjadi malam Lailatul qadar, yang menjadi malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Selain itu, pada bulan ramadan syaitan akan dibelenggu di neraka sepanjang ramadan yang mulia ini, kemudian pula pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya. Malahan itu juga, penghuni neraka pun tidak diseksa pada bulan ramadan. Ini menujukkan bulan ramadan menjadi satu bulan yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Malahan itu juga, bulan ramadan menjadi bulan tarbiyah kejatian keimanan manusia kepada Allah SWT. Sepanjang bulan umat islam sentiasa sibuk berlumba-lumba melakukan amal ibadat serta mencari secekupnya, untuk dibawa bekalan ke akhirat kelak. Kerana setiap amal ibadat dikerjakan semuanya dengan senang dilakukan tanpa ada ganguan dari syaitan, hanya manusia (islam) dengan Allah SWT sahaja dan nafus di dalam diri.

Persediaan Menghadapi Ramadan,

Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya akibat dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT menjadi ramadan ini satu bulan untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita.

Berazam tingkatkan amal ibadat, seharusnya itu penting di dalam bulan ramadan ini, untuk diri kita semua meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. Disamping itu, keazaman juga dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesihatan tubuh badan, perlunya juga di ingatkan terutama kesihatan fizikal dan mental ianya amatlah penting. Jika menghadapi ramadan dalam keadaan diri tidak sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan supaya kita menghadapi ramadan dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan mengerjakan amal ibadat di dalam bulan ramadan.

Bersederhana dalam semua perkara. Hal ini amatlah penting dalam menghadapi ramadan kali ini, kesederhanaan menghadapi ramadan kali ini perlu di titik beratkan. Sebagai contoh selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka, sehingga tak habis di makannya, menyebabkan berlakunya pembaziran.

Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak dan berlebihan menyebabkan apabila waktu berbuka tidak dapat dihabiskan. Disitunya pembaziran yang menyebabkan kerugian akan berlaku.

Firman Allah SWT,

 إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا 
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Al Isra: 27)

Dengan dalil itu menunjukkan bahawa pembaziran boleh menyebabkan kita menjadi saudara syaitan, perkara ini selalunya orang terlupa dan tertinggal. Jadi di ingatkan, pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendak bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Jadi sederhana itu penting dalam menghadapi ramadan kali ini supaya dapat mengawal nafsu di dalam diri.

Ramadan Semakin Tiba,

Terasa keharuman ramadan ini semakin tiba, dan ditanya dalam diri ini, adakah ramadan ini dapat ku hadapi? Jika diberi peluang akan digunakan sebaiknya, tetapi jika tidak diberi kesempatan bagaimanakah nasib kita? Ramadan yang lalu bagaimana persiapan kita? Adakah ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?

Ramadan yang dirindui akan tiba, tetapi jika persiapan tidak terjaga bagaimana nasib kita? Jangan difikirkan apa yang hendak makan bila berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan apabila ramadan tiba. Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan. Perlukah kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanya imam!

Jika kita sebagai hamba yang beriman, kedatangan ramadan kali ini disambut dengan transformasi di dalam diri. Perubahan yang sedikit juga memberi kesan yang besar kepada diri kita. Walapun ianya tidak dirasa tetapi Allah SWT adil melihatnya. Ramadan yang dilihat sebagai bulan tarbiyah bagi umat islam menjadikan medium kepada kita, untuk berpentas menunjukkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Moga ramadan kali ini menjadi latihan transformasi di dalam diri, serta kita menghadapi dengan penuh mujadah dan istiqamah supaya amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan ramadan akan diteruskan di bulan-bulan yang lain secara berterusan. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan ramadan sahaja.

Akhir kata,

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada mak ayah serta adik beradik keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan yang berada di Malaysia mahupun di Jordan. Serta adik beradik PRISMA sekalian. Semoga ramadan kali ini menjadi ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. InsyaAllah! Ku mohon ampun dan maaf..

Ashrafhadi
14.7.2012
Mafraq, Jordan.   

7 Mac 2012

Jangan Letakkan Islam Sebagai Market



Sekilas masa berlalu mencari erti kehidupan di duniawi ini. Selebar senyuman di lontarkan dalam diri ini apabila melihat pelbagai ragam manusia dalam lumrah kehidupan. Kehidupan yang seakan-akan mahu mencari keduniaan menyebabkan agama digunakan untuk kepentingan sendiri. Sesungguhnya Islam sebagai agama yang suci dan murni yang patut di jagai.

Hari ini ramai orang bercakap atas fakta ataupun auta, demi kerana untuk kepentingan diri sahaja. Agama di pertaruhkan bukan dijadikan sebagai pegangan dalam kehidupan, menyebabkan kehidupan ini merasa seolah-olah meletakkan agama sebagai market kepada kita. Walhal agama adalah ikutan pegangan dan syariat kita dalam diri ini iaitu islam. Tetapi malangnya berasa sedih sekali apabila terjadinya sebegitu, daripada itu timbulnya persoalan oleh sebab apa jadinya begitu? dan adakah mungkin kerana mereka lupa atau sebaliknya?. Mari kita singkap dan ungkap bersama dalam memahami sebenarnya.

Erti kehidupan

Kehidupan sebenar kita di duniawi ini adalah semata-mata kerana Allah S.W.T dalam mencari bekalan di dunia untuk di bawah pulang ke akhirat nanti. Sebagaimana Allah S.W.T berfirman,
                 
                             وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
 Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.(QS. Adz –Dzariyat: 56 )

Maka jelaslah gambaran bahawa kita sebagai hamba Allah S.W.T yang daif dan hina ini perlu sentiasa beribadah di dalam kehidupan. Selain itu ibadah ini bukan hanya tumpu kepada solat sahaja, tetapi ianya juga tertumpu kepada semua  perkara kebaikkan yang di kira sebagai ibadah. Contohnya bersedekah kepada faqih miskin, itu juga di namakan sebagai satu ibadah.

Islam sebagai Market

Market berasal dari perkataan Inggeris dan di terjemahkan dalam bahasa melayu ialah pasar. Tetapi saya lebih suka menggunakan perkataan market yang tampak lagi menarik dan cantik. Sebenarnya apabila dikatakan islam itu, adalah bermaksud sempurna  dan sejahtera dalam segi bahasa. Tetapi dalam segi istilah pula ialah bermaksud menyerah diri dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

Berbalik kepada tajuknya, islam sebagai market, kenapa saya katakana begitu? Kerana secara pribadinya saya melihat ramai orang meletakkan agama ini sebagai market untuk kepentingan diri sendiri, lebih kepada bahasa yang mudah untuk difahami iaitu menjual agama.

Mengapa? kerana bagi saya mungkin mereka tidak tahu kefahaman islam yang lebih mendalam, ataupun mungkin juga kerana sebab-sebab tertentu. Menjual agama ini untuk kepentingan peribadi amatlah keji, kerana islam adalah agama yang syumul iaitu menyeluruh dan sempurna, yang menjadi pegangan kepada semua penganutnya.

Tetapi apabila adanya segelintir manusia sebegitu menyebabkan tujuannya itu lebih kepada keduniaan dan keuntungan, tanpa memikirkan ganjaran pahala di sisi Allah.Sebenarnya dalam hal ini, seeloknya matlamat yang jelas dan niat yang betul dapat menyelamatkan dari perkara ini, tetapi kita seharusnya sentiasa beringat sama sekali, kerana syaitan lebih bijak dari kita dalam menyesatkan umat manusia dan syaitan tidak akan berputus asa.

Justeru itu, sebagai langkah berhati-hati kita juga harus memahami islam dengan sebaiknya dan tidak meletakkannya islam itu sebagai market dalam diri kita, jika kita meletakkan islam sebagai market maka kita akan lebih kepada keduniaan dan keuntungan tanpa memikirkan ganjaran pahala disisi Allah. Sebagai contoh saya berikan, sekarang ini filem cinta islami sangat diterima oleh masyarakat, katakan saya sebagai pengarah filem membuat filem cinta yang berunsurkan islami, tetapi sebelum itu saya perlu tanya kepada diri saya sendiri, adakah aku meletakkan islam ini sebagai market atau sebaliknya?..

Adakah pula aku membuat filem ini kerana keuntungan atau kerana berdakwah? Seharusnya itu, pelbagai persoalan timbul agar kita tidak meletakkan islam ini sebagai  market dalam diri kita, tetapi pula kita meletakkan islam sebagai agama yang suci lagi sempurna maka matlamat dan tujuan sebenar kita tidak akan lari sama sekali dari niat yang asal iaitu untuk kepentingan umat dan berdakwah.     

Sepotos Hadis Maksudnya:

Rasulullah saw. bersabda maksudnya:  “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari 
keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”.
(Daripada Abu Hurairah r.a – Riwayat Tarmizi).

Maka dengan itu terbuktilah apa yang dikatakan dalam hadis diatas, jangalah kita meletakkan agama sebagai market untuk kepentingan diri kita sendiri, seharusnya kita meletakkan agama islam ini yang tinggi  dalam kehidupan kita, dan menjadi panduan untuk kita, sebagaimana kita ketahui sesungguhnya Al-quran adalah panduan hidup kita, dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W sebagai ikutan kita.

Jika keduanya selari dalam diri nescaya pasti tidak akan tersesat kehidupan kita di sini. Islam adalah agama yang harmoni dan terpelihara janganlah kita mengadainya demi kepentingan kita. Jika timbulnya permasalahan agama, maka ulama lah tempat rujukan kita untuk kita memahami islam dengan sempurna.

Penutup bicara

Secara jelasnya di sini saya ingin menyatakan bahawa janganlah sama sekali kita meletakkan agama sebagai alat kepentingan dalam diri, sebaliknya kita letakkan agama untuk kita memahami dan menerangi kejahilan dalam hidup kita ini.

Niat itu penting sama sekali sebelum melakukan sesuatu perkara, semuanya bergantung kepada niat dan matlamat yang jelas agar kita menjadi manusia yang berprinsip dengan agama islam yang sebenar.
Seandainya kita tidak meletakkan islam ini secara total dalam diri, maka kitalah manusia yang rugi dari segalanya, kerana yang pasti islamlah yang dapat memberi kesempurnaan dalam diri. Maka dengan itu marilah kita bersama-sama berusaha ke arah kebaikan diri.

AshrafHadi
7.MARCH.2012
Mafraq, Jordan.

27 Jan 2012

Oh! cintanya

Gambar Hiasan


"Terbang jauh si burung merpati,
Hinggap di dahan pokok jati,
Lumrah naluri ingin di kasihi,
Untuk mencari cinta hakiki".

Serangkap pantun sebagai pembuka kata untuk aku melabuhkan bicara, sukanya aku kali ini terpanggil untuk menulis mengenai cinta. Sebenarnya dalam diri ini aku ikhlas berkata, aku langsung tidak tahu apa itu cinta?, malahan maksud sebenarnya cinta juga kurang aku memahaminya, orang kata cinta itu buta, tetapi aku tidak nampak pula dimana matanya?. Hal ini jelas sekali terasa apabila cinta yang dikatakan itu pula dikata dusta, oh! di mana pula silapnya cinta? sehingga dikatakan dusta belaka. Pelbagai persoalan timbul di dalam benar fikiranku, sehingga aku tertanya-tanya, apa itu cinta? apakah maksud sebenarnya cinta? betulkah cinta itu buta dan dusta? oh! terasa berat sekali aku memikirkannya.

Apa itu cinta?

Jika ayat ini ditanya kepadaku, nescaya pasti aku akan terpinga-pinga, tetapi kali ini marilah sama-sama  kita singkap dan ungkap apa itu cinta?. Selalunya cinta mesti di kaitkan dengan perasaan kasih sayang antara dua pihak. Sinonimnya hari ini, tidak dapat tidak cinta akan di takrif kan sedemikian rupa. Mungkin juga cinta dikatakan sebagai satu perkataan di dalam bahasa melayu untuk menjadi kata spesifik dalam maksud kasih sayang, secara zahir dan logiknya aku menerima apa dikatakan. Tetapi timbulnya persoalan apa itu cinta? sesuatu yang perlu di jawab dengan teliti dan mendalaminya secara halus.

Merujuk kamus dewan edisi ke-empat, pertama cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada (negara, ibu bapa, kebebasa, dll). Kedua cinta bermaksud perasaan atau berperasaan berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan wanita. secara ringkasnya cinta itu terbahagi kepada kasih sayang dan berahi, di dalam konsep yang mudah dikatakan ialah cinta itu perasaan atau berperasaan. 

Mengikut kata Ustaz Kazim bin Elias seorang penceramah yang tersohor di Malaysia pada waktu sekarang, dijawabnya apabila dia di tanya tentang apa itu cinta?, dia berkata "maksud cinta dua hati menjadi satu". Tambahannya lagi cinta juga bukan mengira sesiapa, samada tua ataupun muda, masing-masing mesti ada perasaan cinta. Kemudiannya yang di katakan cinta itu pula katanya lagi, jika kita hendak menghalang cinta itu mungkin susah. Tetapi seharusnya kita perlu bimbing supaya menjadi elok, supaya cinta "dua hati menjadi satu" itu di akhiri di alam perkahwinan.

Ustaz Kazim pula berkata lagi, tidak semestinya cinta itu juga di akhiri di alam perkahwinan, kerana contoh yang diberikannya, jika seseorang lelaki itu tidak menikahi kekasihnya akibat tidak mendapat restu dari ibu bapa kedua belah pihak, maka si lelaki itu tidak sama sekali akan berkahwin dengan wanita tersebut, kerana cintakan perempuan itu, takut jika dia berkeras mahukan berkahwin juga, berkemungkinan akan berlaku permasalahan di alam rumah tangga. Jadi demi kebahagian bersama dan cintanya, maka si lelaki itu tidak menjadi untuk menikahi wanita tersebut, dan itulah yang dinamakan cinta.

Daripada apa yang di lihat, kefahaman yang mudah merujuk kamus dewan edisi ke-empat kepada dua pengertian cinta bererti perasaan atau berperasaan. Kemudian dua kefahaman yang dapat di fahami dengan lebih mudah tentang apa itu cinta? yang cuba di sampaikan pula oleh Ustaz Kazim ialah kasih sayang antara satu sama lain dan juga pengorbanan. Jika kasih sayang dan pengorbanan yang dikatakan oleh Ustaz Kazim itu baru ertinya cinta maka jelaslah bahawa apa itu cinta? di tambah pula sifat perasaan yang di nyatakan oleh kamus dewan edisi ke-empat. Tidak dapat tidak, dua pengertian ini saling menyatakan ialah cinta itu perasaan dan di tambah satu lagi ialah pengorbanan.

Maksud sebenarnya cinta

Ramai orang beranggapan cinta itu mesti tidak dapat tidak perasaan kasih sayang antara lelaki dan wanita, jika di tanya kepada orang ramai sekalipun, semestinya akan dijawabnya begitu. Itu adalah selaras dengan erti cinta di dalam kamus dewan edisi ke-empat huraian yang kedua. Pada apa yang difahamkan apa itu cinta? cinta itu ialah perasan dan pengorbanan. Mustahil cinta itu hanya wujud kepada kekasih hati sahaja, semestinya cinta itu juga wujud kepada ibu bapa, guru-guru, sahabat dan lain-lain lagi. Selaras dengan erti cinta di dalam kamus dewan edisi ke-empat huraian yang pertama.

Secara luasnya kita memandang cinta ini banyak maksud yang tersendiri. Takrif cinta itupun di pelbagaikan, sememangnya cinta itu penuh dengan maksud yang tersendiri. Secara jujurnya aku mengakui bahawa cinta itu ada perasaan, tanpa ada perasaan maka tiada wujudnya cinta, disamping itu pula di selitkan dengan pengorbanan.  Mungkin juga ramai orang ada maksud tersendiri tentang cinta yang jauh lebih hebat dari aku, tidak di nafikan semua itu. Tetapi adalah suka untuk ku sendiri ingin mencurahkan sedikit pengertian apa maksud cinta sebenar.

Dalam maksud sebenarnya, cinta itu ialah perasaan dan pengorbanan, kenapa aku berkata demikian? kerana jika di teliti secara halusnya maksud sebenar cinta, seseorang individu tidak akan cinta jika tiada perasaan atau berperasaan. Mustahil tanpa ada perasaan tiba-tiba jatuh cinta, oh! sungguh pelik manusia begitu. Kita lihat perasaan sepasang kekasih, jika keduanya tiada tindak balas perasaan di dalam hati, maka cinta itu tidak akan wujud, begitu juga cinta seorang hamba kepada tuhan, perasan kasih sayang kepada Allah lahir daripada perasaan hamba-Nya itu sendiri, dan sifat perasaan itu ada anugerah yang di berikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Begitu juga perasaan cinta sesama sahabat, jika tiadanya perasaan itu maka wujudnya sifat tidak peduli dan seumpamanya.

Pengorbanan dalam erti cinta, tidak akan cukup lengkap perasaan itu jika tiada istilah pengorbanan. Misalnya perasaan itu wujud, tetapi pengorbanan itu tiada maka itu bukanlah dikatakan sebagi cinta yang sebenar. Kerana secara halusnya jika di lihat, sebagai contoh hamba dan tuhan, jika seseorang hamba cintakan tuhan maka perasaan takut untuk melakukan kemungkaran akan ada dalam diri, di tambahnya pula jika dia berkorban dirinya kepada Allah, seperti korban harta dan tenaga ke jalan Allah, maka itulah yang dinamakan cinta.

Contohnya lagi ialah sahabat, jika seorang sahabat ada perasaan cinta kepada sahabatnya yang lain, maka sahabat itu sanggup berkorban apa sahaja untuk sahabatnya. Tambahan pula bila kita berada di sini, yang jauh beribu batu dengan ibu ayah, jadi hanya sahabatlah yang kita harapkan. Sesungguhnya pegorbanan itu penting sekali untuk membina cinta.

Boleh ke bercinta?

Wah! satu pertanyaan yang menarik. Boleh tidak menjadi masalah, sekarang ini cuba kita bercinta dengan sahabat kita di sekeliling, kita pasti akan melahirkan perasaan sayang dengan sahabat kita di sekiling, pasti tidak dapat tidak akan melahirkan sifat kasih sayang, tambahan pula jika kita jauh dengan ibu bapa jadi sahabatlah ibu dan sahabatlah ayah untuk kita berkongsi masalah dan gelak tawa.

Firman Allah: "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10) 
dan hadis Nabi s.a.w. bersabda. "Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya
sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kedua dalil tadi menunjukkan bahawa kasih sayang cinta itu di benarkan selagi tidak melanggar syara'. Bagaimana pula dengan cinta yang melanggar syara'? sebelum itu, molek benar jika ku selitkan sedikit jawapan yang diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus. Dia berkata cinta itu boleh jika niat mahu jadikan isteri atau suami. Jadi adakah cinta itu dibolehkan? bertenang dahulu, cinta yang di maksudkan oleh Ustaz Azhar Idrus jika sepasang itu benar-benar kemampuan untuk berkahwin, tetapi apa kejadahnya jika usia baru seusia jagung itu bercinta, bercinta boleh jika niatnya jadikan isteri, tetapi SPM tak lepas lagi, PMR belum keluar keputusan lagi adakah logiknya mereka itu bercinta untuk di jadikan suami atau isteri?.

Sungguh terasa amat hairan sekali, lainlah jika mereka sudah melangkah kaki ke universiti, di mana masing-masing boleh berfikir sendiri, tetapi itu pun masih terikat dengan batas-batas pergaulan supaya perkara yang tidak di ingini terjadi. Stastitik menunjukkan bahawa kelahiran anak luar nikah dari tahun ke tahun lain semakin meningkat, akibat punca salah satunya ialah cinta antara dua hati yang belum lagi tumbuh gigi. Perkara ini amat sukar di bendung, pelbagai solusi di berikan cuma yang pasti jawapan Ustaz Azhar Idrus harus kita fahami.

Akhir kata

Natijahnya disini maksud cinta itu sebenarnya luas, dan meliputi semua perkara. Janganlah kita menyatakan cinta itu hanya untuk sepasang kekasih sahaja, tidak sama sekali perlu kita berkata begitu kerana cinta ini boleh dilahirkan kepada sesiapa sahaja. Jika cinta hakiki yang sebenarnya ianya terus kepada Ilahi, tetapi sifat manusia sukanya di kasihi, maka sahabat disekiling menjadi cinta kita kepadanya. Tidak dapat tidak juga cinta kepada kekasih kita, itu seharusnya di teliti sebaiknya agar kita tidak menjerumus ke lembah yang hina, bak kata orang bercinta biar sampai ke syurga, tetapi syurga itu janganlah syurga dunia sahaja, takut nanti di akhirat kita terseksa. Semesti kita perlu di dunia bahagia di akhirat selesa.

Cinta akan lahir bila kita ada perasaan dan berperasaan sedemikian, tetapi seharus kita perlu guna sebaiknya, pengorbanan juga penting sama sekali, cinta yang baik ialah cinta yang sanggup berkorban. Jika kita lihat sahabat kita susah, maka demi kecintaan kita kepadanya bantulah dia, tambahan pula kita di sini jauh dengan ibu bapa hanya sahabat yang kita harapkan. Akhir kata dari diri yang hina ini, sesungguhnya kita ini bersaudara, yang sujud di kiblat sama, maka jalinlah ukhwah bersama demi agama, ku mohon ampun dan maaf andainya penulisan ini tidak seberapa.

"Kasih naluri sudah dicari,
cinta hakiki juga sudah di jumpai,
hanya yang pasti kasih kepada Ilahi,
untuk menjadi insan duniawi dan ukhrawi".


AshrafHadi
26.1.2012
Mafraq, Jordan.

12 Nov 2011

Hamba dan Tuan

Ramai orang tertanya-tanya siapakah dirinya yang sebenar, termasuklah aku bertanya kepada diri aku sendiri. Siapakah aku?  jawapannya itu hanya ada pada diri kita sahaja. Nama diberi oleh ibu bapa kepada setiap orang anak yang baru di lahir kan. Kerana setiap nama itu yang diberi akan di panggil pada hari pembalasan nanti. Wahai manusia, siapakah kita? ramai berkata aku ialah sipulan bin sipulan, tetapi mengapa kita tidak berkata, kita ialah hamba Allah yang hina di sisi NYA. Persoalannya, kita ini hamba Allah ke? jika kita hamba Allah berapa banyak masa kita mengabdikan diri kita kepada Allah? berapa banyak kita keluarkan tenaga dan harta untuk agama Allah jika kita ini seorang Hamba Allah. Berapa banyak kita beribadah kepada Allah? berapa banyak kita taat kepada perintah Allah?. Itu yang menjadi persoalan di dalam benak pemikiran aku, sejauh mana diri kita ini yang di katakan sebagai hamba. Syukur tidak terhingga kerana Allah memberi rahmat sekalian alam kepada kita untuk kita terus hidup di dalam dunia ini, tetapi apabila Tuan memberi gaji kepada Hamba, kenapa Hamba perlu melawan Tuan, itu satu persoalan yang ringkas. Sebenarnya kita ini manusia layak di katakan makhluk yang di beri kelebihan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini, tetapi kita perlu ingat bahawa kita ini sebagai hamba, dan ada lagi Tuan yang sedang mengatur dan memerhati kan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat dan Maha Berkuasa, tetapi kita sebagai hamba seharusnya merasa kerdil dalam diri ini, supaya kita beringat bahawa kita ini hamba yang hina. Kasih sayang Tuhan kepada kita tidak berbelah bagi, segalanya di perkenankan jika doa kita di maqbulkan, itulah Tuan yang sebenar-benar Tuan, kasih dan cinta kepada hamba tidak berbelah bagi, tetapi jika di dunia ini tuan hanya bayar gaji yang di tetap kan tetapi Allah pula sebagai Tuan kepada hamba memberi segala-galanya malah menjanjikan syurga lagi untuk kita. Apa lagi yang kita mahukan segalanya Allah berikan. Kita layak di gelar hamba Allah jika kita sanggup berkorban demi Agama. Kita menyerah diri kita kepada Allah dan beristiqamah kepada-Nya. Natijahnya, kita ibarat seperti hamba abdi yang bekerja semata-mata untuk Tuannya sahaja. Kita tidak perlu pertikai apa yang diberikan oleh Tuan kerana kita ini hamba. Seharusnya kita perlu taat setia kepada-Nya untuk kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba. 

16 Okt 2011

Mana Manusia Sempurna Semuanya

Kasih diduga oleh cinta yang hakiki-Nya, mencari persoalan yang bermain di benak minda. Melihat sikap manusia yang pelbagai ragamnya dalam kehidupan. Membuat hati ini tersentap, dan mulut mengukir senyuman sendirian, di samping akal penat memikirkan pelbagai persoalan yang bermain di akal fikiran. Terlintas aku menaip kan satu curahan rasa di laman blog ini, untuk berkongsi sedikit yang ada pada fikiran aku demi manfaat kita bersama. Sedasarwasa ini sering kali di ketengahkan oleh masyarakat tentang ketidak sempurnaan setiap manusia. Betul dan setuju sikap manusia ini memang tidak semua sempurna, hatta kan Nabi Muhammad sendiri pun di beri gelaran 'maksum' oleh Allah SWT. Tetapi hari ini sikap diskrimidasi manusia yang mana melihat semua manusia ini tidak sempurna, dan seolah-olah dia sahaja yang sempurna. Itu kesilapan yang paling besar sekali yang manusia lakukan tanpa disedari. Jelasnya apabila masing-masing menunding jari antara satu sama lain, mempertahan kan hujah masing-masing, sikap ini jelas terpampang dalam kalangan masyarakat. Masing-masing mencari kesalahan orang hingga untuk kepentingan diri sendiri mahupun sebagainya. Amat malang sekali, kerana kita terlupa bahawa di dalam dunia ini mana ada manusia yang tidak pernah buat silap, semua manusia buat silap, tiada manusia yang sempurna. Setiap orang pernah melakukan kesilapan. Seandainya begitu sikap kita terap kan dan kita semai kan dalam diri kita, maka kita sudah berpaling diri titian ajaran islam yang sebenar.


 Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani..


Lihat firman Allah yang bermaksud 'dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang'. Ramai ulama mentafsirkan ayat itu antaranya:-


Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: wala tajassasu bermaksud: jangan kamu mencari keaiban dan keburukan kaum muslimin. Jangan kamu singkap apa yang mereka cuba tutupi dan kamu cuba melihat rahsia-rahsia mereka”. Beliau juga menyebut: “Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”.( Al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir, 255, 263/26, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir 1991).


Jadi sikap sedemikian seharusnya di ketepikan di dalam diri kita ini. Kerana memang setiap manusia tidak sempurna, dan kita pula jangan sesuka menunding jari dan mencari kesalahan orang lain. Sebaliknya apa yang perlu ada dalam diri kita ialah yang pertamanya sikap permaaf dalam diri ini, amat susah juga untuk mempraktikan sikap sedemikian, tetapi sekurangnya kita mencuba perlahan-lahan untuk memaafkan orang lain,..


dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (QS. An Nuur, 24:22).


jadi sahabat di luar sana, jika kita mencari kesalahan orang memang kita akan jumpa, tetapi kita perlu ingat bahawa di dalam dunia ini tidak semua manusia sempurna, tetapi sebaliknya mereka berusaha untuk menjadi yang terbaik di antara satu sama lain. Semaikan rasa rendah diri kita kepada Allah dan seluruh sekelian makhluk dan alam agar kita menjadi insan yang bermujahadah di dalam agama dan sentiasa beristiqamah, sesunguhnya setiap manusia boleh melakukan tanpa ada keraguan dalam diri, hanya dengan sikap permaaf dan rendah diri juga dapat kita melihat seindahnya rupa kita yang sebenarnya. Orang yang melihat semua manusia salah tetapi tidak pernah menuding jari kepada diri sendiri di kira orang yang gagal. Kerana saya tegas bahawa manusia semuanya tidak sempurna. Sebaliknya mereka berusaha menjadi sempurna. 

29 Jun 2011

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj
   
Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i.      Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii.     Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.    Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§       Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


§       Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


§       Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


§       Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


§       Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.


§       Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.


§       Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§       Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


§       Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


§       Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.


§       Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


§       Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua. 
§       Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i.    Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii.    Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii.   Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv.
   Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S. 
v.   Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi.   Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
vii.    Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
viii.   Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix.   Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
 x.     Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T     :       Ya Muhammad. 
Rasulullah        :       Labbaika.  

Allah S.W.T     :       Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah        :       Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. 

Allah S.W.T     :       Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. 

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

  Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, 

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).