قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Al-An'aam 6:162)

2 Sep 2012

Dakwah Itu Seni, Pendakwah Itu Penyeri


Sebagai manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, menyebabkan kita merasai diri tidak diperlukan. Walhal sebagai manusia yang beragama islam, dipenuhi dengan iman, sepatutnya tidak boleh merasai demikian. Kerana berputus asa di dalam diri adalah sifat syaitan. Sebab itu berputus asa wajar dijauhkan. Terutama pendakwah yang menarik minat manusia ke jalan tuhan.

Hari ini, sebahagian pendakwah merasakan diri mereka disisihkan. Mengajak manusia ke jalan tuhan sudah tiada sambutan. Tetapi sebenarnya untuk menyeru manusia melakukan "amal makruf, nahi mungkar" bukanlah dengan melihat sambutan yang menggalakkan. Tetapi perlu dilihat sifat yang berterusan juga istiqamah di dalam perjuangan.

Mengambil Ibrah Dari Sirah Nabi,

Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita perlu mencontohi bagaimana dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berdakwah dari Mekah hingga ke Madinah membentuk manusia, untuk menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT. Bertahun-tahun lamanya Nabi Muhammad berdakwah barulah manusia pulih sepenuhnya. Membentuk umat islam yang kuat dan utuh, disamping pengabdian kepada Allah SWT.

Dakwah yang dimulakan pula bukan mengambil masa sehari atau dua hari. Bermulanya dakwah secara sembunyi, kemudian secara terangan. Tetapi pada ketika itu umat islam hebat ditentang. Akhirnya baru umat islam memperoleh kemenangan. Begitu juga pendakwah sekalian, masa untuk membentuk manusia bukannya singkat, ianya lama dan perlu mempunyai proses yang bertingkat-tingkat.

Bagaimana strategi dakwah baginda yang mula  secara sembunyi, tetapi akhirnya di terangkan untuk menegakkan syiar islam. Jadi berperingkat-peringkat dalam berdakwah perlu ada, jangan tergopoh gapah dalam usaha memperbaiki manusia dan diri sendiri juga.

Kerana mengambil ibrah dari sirah nabi sendiri yang berdakwah bertahun-tahun. Menunjukkan kesabaran di dalam dakwah itu perlu tinggi, untuk pendaie' tempuhi. Selain itu, menyusun strategi dengan mantap, memberi implikasi dalam diri untuk mengenal pasti sasaran sebenar pendakwah perlu tujui.

Dakwah Itu Seni,

Seni adalah satu bentuk subjektif, sebagaimana juga dakwah. Dengan dakwah perlukah menyangka bahawa, hanya berceramah sahaja? Sememangnya tidak! Justeru itu, dakwah yang dikatakan itu banyak cabangnya. Bukan hanya bercakap sahaja, dakwah juga boleh digunakan dengan pelbagai cara.

Misalnya, berdakwah dengan nyanyian, penulisan, perfileman, ataupun dengan akhlak yang baik, dan lain-lain lagi. Yang penting semuanya menjurus kita supaya kembali kepada islam. Segala apa kebaikkan yang dilakukan semuanya dikirakan dakwah, yang penting dasarnya kembali kepada islam.

Jadi janganlah kita, melihat dakwah itu dengan skop yang kecil. Teliti dan perhalusi, dalam usaha membentuk manusia bukannya dengan berbicara, tatkala dengan akhlak juga menyebabkan orang tertarik dengan islam.
Islam yang indah, di make up pulak dengan dakwah yang kreatif menampakkan lagi, keindahan islam yang sebenar dan suci.

Pendakwah Itu Penyeri,

Setiap manusia yang menjadi pendakwah, walaupun berbeza agama. Biarpun dikata, yang berdakwah ustaz/ustazah, dan bagi agama lain pula tok sami, ataupun paderi. Semuanya membawa mesej dan imej agama masing-masing.

Islam adalah agama yang menyeluruh, tidak mengira siapa kita. Jika melakukkan kebaikkan akan diberi ganjaran pahala, dan memperoleh syurga. Islam agama yang mengajak manusia bertuhankan satu, hanya Allah SWT yang layak disembah, oleh itu pendakwah islam yang dahulunya sehingga sekarang. Mereka membawa imej islam dengan sebaiknya untuk menjaga kesucian dan kebenaran islam.

Oleh itu, pendakwah yang berdakwah ini semestinya menjadi penyeri. Untuk menyantuni manusia mengajak kejalan kebenaran, iaitu jalan menuju tuhan yang satu. Bersikap kreatif dalam menyerikan dapat menyumbangkan idea pembentukkan sahsiah di dalam diri manusia.

Selain itu, pendakwah yang menjadi pernyeri perlu memecah tradisi, dengan melemparkan segala kejumudan yang ada, melihat dengan penuh kondisi dan sisi. Bagi mencari ruang yang ada untuk memenuhi hati manusia mengajak kembali kepada tuhan yang maha esa. Jangan kejumudan yang ada tanpa melihat uslub dakwah yang betul, dan waqi'.

Menyebabkan manusia yang mahu berjinak-jinak kembali dengan islam, ataupun yang mahu mencari kebenaran islam. Akan memandangan serong pada sesetengah pendakwah yang syadid pada tempat yang tidak sepatutnya. Kata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan Muslimin, "kita adalah pendakwah bukan penghukum!"

Jadi marilah kita koreksi kembali, pendakwah yang berstyle perlu ada, untuk kita menyerikan dakwah yang sediakala. Kreatifviti dalam berdakwah dapat menarik minat manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Serta dengan menggunakan medium yang ada untuk mengubah padangan manusia terhadap agama.

Siapa Pendakwah?

Tertanya-tanya di dalam diri, siapa sebenarnya pendakwah? Adakah ulama? Adakah ustaz ataupun ustazah. Lantas tercari-cari siapa? Akhirnya terjumpa satu ayat yang menjadi jawapan yang tersimpul di dalam benak pemikiran.

"Sesiapa yang mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah, dan dia adalah daie'"

Jadi daripada ayat ini, menunjukkan setiap muslim itu adalah pendakwah, yang mengajak manusia menyeru mengerjakan kebaikkan dan menyeru meninggalkan larangan Allah SWT. Kemudian tertanya pula bagaimana dengan diri yang tidak sempurna? Akhirnya minda berkata, jika mahu tunggu sempurna sampai bila?

Lantaran itu, untuk berdakwah jangan tunggu sempurna. Teruskan usaha, kerana merasai diri ini penuh dengan noda dosa menyebabkan kita akan berkerjaran melakukan amal kebaikkan. Demi mendapat gajaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Usah peduli apa yang dikata, janji kita mencari keredhaan Allah SWT.

AshrafHadi
2.September.2012
Mafraq, Jordan.

27 Ogo 2012

Umrah, Ramadan & Raya


Alhamdulilah bersyukur kepada Allah SWT, kerana di beri peluang dan kesempatan menjadi tetamu-Nya pada 10 terakhir ramadan yang lalu. Merasai Allah SWT masih sayangkan hamba-Nya yang lemah dan daif ini untuk dijemput menjadi tetamu-Nya. Kecintaan dan kesayangan Allah kepada hamba-Nya sangat tinggi dan agung. Kerana kita yang penuh dinodai dosa dan maksiat pun dipilih oleh Allah SWT untuk mengerjakan umrah buat pertama kalinya. Oleh itu, saya coretkan sedikit pengalaman saya semasa berada disana, untuk dikongsi bersama.

Malam bertolak,

Pada malam ke 21 ramadan bersamaan 9 Ogos 2012 hari khamis, saya bersama teman yang lain berkumpul di rumah Fakhrulhadi menunggu ketibaan bas dari Amman. Ketibaan bas disambut dengan gembira oleh semua orang. Apabila bas berhenti, berpusu-pusu teman memasukkan beg masing-masing. Selepas selesai semuanya, pemergian kami diiringi  dengan bersamalan dengan sahabat-sahabat yang berada di Mafraq.

Seterusnya, perjalanan bas menuju ke Irbid pula, untuk mengambil pelajar disana yang turut serta bersama kami pergi menunaikan umrah. Apabila sampai di Irbid, pelajar disana sudah menanti, lalu apabila bas berhenti mereka memasukkan beg masing-masing. Setelah selesai semuanya, maka bas pun bertolak ke haramain.

Perjalanan kami diketuai oleh Ustaz Hasibullah, pelajar tahun akhir di universiti Al Al-Bayt. Perjalanan yang akan memakan masa selama 30 jam untuk sampai ke tanah haram (Mekah) dari Jordan itu dilimpahi dengan cahaya bulan yang memancar ke bumi. Melihat wajah keriangan sahabat di dalam bas, menyebabkan di dalam hati tidak sabar menjadi tetamu Ilahi.

Miqat di Zulhulaifah & Niat Ihram,

Setelah 30 jam perjalanan, kami dengan selamatnya sampai ke tempat miqat di Masjid Bar Ali. Ramai jemaah dari serata dunia bermiqat disitu. Masjid yang tersergam indah, dipenuhi dengan ribuan manusia yang bersiap-siap untuk membersihkan diri serta memakai ihram lantas niat ihram untuk menunaikan ibadah umrah.

Peruntukkan masa selama dua jam disitu, kami mengambil peluang untuk bersiap diri. Kali pertama memakai ihram, berasa amat janggal serta susah untuk memakainya. Ustaz Hasibullah lantas menunjukkan cara pemakaian ihram dengan betul. Lalu kami yang pertama kalinya pergi itu pun menyusuli cara pemakaian ihram dengan betul.

Ihram yang tanpa jahitan, di pakai dengan kemas dan kuat, di ikat dengan tali pinggang supaya lebih ketat agar tidak longgar. Sedang aku tengah memakai ihram, terdetik pula di dalam hatiku,

"kenapa perlu memakai ihram? Kalau pakai jubah sahaja tak boleh ka?" Soalku sendirian di dalam hati.

Namun persoalan itu lenyap, apabila semua teman-temanku telah bersiap sedia untuk bergerak ke bas. Dan bas pula akan menuju ke destinasi seterusnya. Dalam bas kelihatan semuanya putih dan bersih, bau badan serta keletihan di dalam bas selama perjalanan 30 jam berlalu pergi. Melihat senyuman yang terukir di wajah teman-teman seperti tidak sabar melepaskan rindu kepada Kaabah.

Apabila bas menyusur pergi meninggalkan tempat miqat, Ustaz Hasibullah pun menyuruh semua niat ihram. Dengan lafaz kata dimulut, serta niat di dalam hati semuanya tenang berniat. Lantara itu seruan "labaikaallah humalabai" di bacakan di dalam bas selama beberapa minit. Perjalanan menuju ke Mekah dari tempat miqat memakan masa selama 6 jam.

Bumi Haramain,

Pertama kalinya sampai di bumi haramain, bas bergerak laju ke hotel. Bacaan seruan "Labaikallah hummalabai" dibaca dengan nyaring di dalam bas. Melihat menara jam yang tersegam indah, diantara menara jam yang tertinggi di dunia.

Anak mata bulat memerhati dengan kagum, mulut pula nyaring bertasbih. Serta hati pula berkata,
"ku lihat hijau," sambil mata kepala melihat menara jam yang tersegam indah itu. Apabila bas sampai di hotel. Kami semua terus mengeluarkan beg masing-masing. Ustaz Hasibullah pula sibuk membahagikan bilangan orang untuk bilik hotel. Apabila dapat kunci bilik, terus aku bersama sahabat yang lain masuk ke bilik hotel.

Selepas selesai meletakkan barang, lalu kami turun ke bawah solat subuh. Selepas solat subuh terus bergerak dengan koster (bas mini) ke Masjidil Haram. Pertama kalinya kaki berpijak di Masjidil Haram, bagaikan malu menampar muka. Selangkah dua lagi, aku akan berjumpa dengan Kaabah, adakah layak diriku ini? Persoalan yang timbul.

Apabila sampai di hadapan Kaabah, "Masya-Allah" itulah lafaz yang pertama keluar dari mulutku. Pertama kali melihat secara live di depan mata, bagaikan tidak percaya. kaget, tergamam semuanya ada, betapa besarnya Kaabah itu, bila melihat di dalam kaca tv kecil sahaja. Tetapi bila di depan mata, Masya-Allah. Lalu Fadlan mengajak aku bertawaf, kerana tawaf adalah syarat untuk umrah selain miqat, sa'ie dan tahalul.

Selesai tawaf sebanyak tujuh pusingan, lalu aku keluar ke tangga menuju ke tempat sa'ie, yang bermula dari Safa ke Marwah. Betapa ramainya umat islam ketika itu, diwaktu pagi selepas subuh sememang penuh dengan orang mengerjakan tawaf dan sa'ie, kerana dibulan ramadan malam dan selepas subuh selalunya ramai orang.

Semasa mengerjakan sa'ie, apabila sampai ke garisan hijau yang ditetapkan. Disunatkan berlari anak disitu, lalu ku berlari anak sehingga tamat garisan hijau yang ditetapkan. Selesai sahaja sa'ie di Marwah selepas tujuh kali berjalan dan berlari anak, maka sa'ie pun selesai. Latas seorang budak bangla memanggil aku, lalu dia pun menguntingkan rambut aku tiga helai untuk tahalul. Lebih afdhalnya jika kita bercukur.

Selasai sahaja dia menguntingkan tiga helai rambutku, lalu dia meminta kepadaku 50 Riyal, betapa terkejutnya aku, lalu aku berkata "mafi" iaitu tiada. Si budak itu berkeras, dengan tegas aku berkata "WalAllahi mafi ya syabab"lalu aku berlalu pergi dengan muka yang tidak berpuas hati.

Hatiku panas membara, kerana mereka mengambil kesempatan, walhal guting pun bukan seteruk mana. Jika bercukur pun baru 15 Riyal. Aku biarkan kepanasan itu lenyap di dalam hati, dan aku kembali reda apabila melihat kaabah semula. Diriku masih tidak percaya, bahawa dapat jugaku tatap Kaabah di depan mata. Jadi selesailah umrah pertama ku.

Peristiwa pelik yang tak disangka,

Pada malam itu, aku bercadang untuk mengerjakan umrah kedua, dengan niat untuk lakukan kepada tok nek sebelah ayah. Lalu selesai sahaja solat isya' aku bergegas pergi ke stesen bas yang berdekatan dengan Masjidil Haram untuk pergi ke Tanaim kerana disitu ada sebuah masjid yang bernama Masjid Aisyah, yang terletak betul-betul dengan sempadan tanah haram.

Jutaan umat islam yang mengerjakan solat terawih, aku terpaksa berhimpit serta menyelit dengan memakai    siap ihram, untuk pergi ke stesen bas. Tengah asyik berjalan, tiba-tiba aku terpadang seorang nenek tua yang wajahnya serupa wajah nenek ku sebelah ayah. Hatiku berdebar-debar, mataku ligat memerhatinya tanpa berkelip sekalipun.

Tiada beza langsung wajahnya dengan wajah nenekku. Hidung, mata, mulut dan dahi serta bulu kening sama, serupa dan seiras. Aku asyik memerhatinya, lantas mulutku mengukir senyuman dari jauh. Ku lihat nenek tua itu berjalan berlalu pergi, dan aku pun terus berjalan menuju ke stesen bas untuk pergi ke Tanaim, Masjid Aisyah.

Dalam hati berkata, mungkin Allah nak tunjukkan kepada ku supaya dapat aku melepaskan rindu, dan berkemungkinan juga pelanduk dua serupa.

Seterusnya peristiwa pelik bagiku lagi, apabila aku suka memerhati budak-budak kecil. Pasti akan aku bermain pipi atau pun mengusap pipi si budak kecil, terutamanya si budak arab. Tetapi, aku sering melihat si budak kecil selalu mengorek hidung mereka. Mulutku senyum tak terkata melihat gelagat itu, dan di dalam hati kecil ku geli sendirian sambil berkata, "adik tu, korek hidungnya."

Selama dua minggu, semua aku lihat budak kecil yang mengorek hidung pasti aku senyum sendirian sambil melihat gelagat mereka dan dalam hati berkata ayat yang sama. Dipendekkan cerita, di pagi raya, aku mengambil kesempatan untuk bergambar dengan dua orang budak arab yang comel. Setelah meminta izin, ayahnya membenarkan untuk bergambar.

Alangkah terkejutnya aku, apabila melihat gambar yang ditangkap oleh Afifi, seorang budak kecil disebelah kanan ku mengorek hidung tanpa ku sedari dan Afifi pun tidak perasan. Nah! Allah tunjukkan kepadaku, apabila sering terdetik di dalam hati yang bukan-bukan, menyebabkan di dalam gambar pun Allah tunjukkan lagi.

Ini gambarnya,


Lantasku terfikir, bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Walaupun kita bersendirian dan berbisik di dalam hati, tetap juga Allah tahu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, dia yang menentukan segalanya. Daripada tu aku pelajari dari dua peristiwa yang pelik dalam kamus kehidupan aku.

Pengalaman Ramadan & Raya,

Diakhir 10 ramadan, jutaan umat islam dari pelusuk dunia membanjiri. Kepadatan umat islam tidak mampu ditampung di dalam Masjidil Haram, sehingga umat manusia melimpah di jalan untuk beribadat kepada Allah SWT. Pengalaman solat terawih disini sangat seronok, dengan aluran suara imam yang mengasyikkan menyebabkan fokus beribadah lebih tertumpu.

Palingnya aku suka, apabila malam 27 ramadan, kerana mengikut adat sesetengah orang arab menyatkan bahawa malam itu, malam lailatu qadar. Imam besar Masjidil Haram, Dr Syeikh Abdul Rahman Sudais, mengimami solat qiammullail. Pada malam itu, penuh kepadatan orang yang bersolat, babak paling terharu mendengar tagisan orang-orang arab yang hiba mendengar bacaan dan doa qunut yang dibaca oleh imam besar Masjidil Haram semasa melakukan qiammullail.

Suasana raya, aku bersama Afifi teman sebilik hotel terus beraya bersama sahabat-sahabat yang lain. Dan ada juga orang arab yang datang bersalam. Selepas solat hari raya serta habis membaca khutbah raya. Orang ramai berpusu-pusu keluar. Tidak kurang juga, yang berangkat pulang ke negara masing-masing. Selepas berjumpa bersama teman-teman yang lain. Aku bersama Afifi pulang ke hotel, berbekalkan keropok pedas dan air zam-zam itulah menu kuih raya kami.

Madinah dan bertolak pulang,

Pada raya kedua, kami bersiap-siap keluar dari hotel. Selepas sahaja solat subuh, aku bersama teman sebilik hotel terus melakukan tawaf. Haikal, Abe dan Afifi juga aku terus melakukan tawaf wida'. Serius, pada waktu melakukan tawaf wida' hatiku betul-betul tersentuh. Selama hampir dua minggu dibumi Mekah, kini kami semua akan bertolak ke Madinah sebelum bertolak pulang ke Jordan.

Ku menyusuni langkah perlahan-lahan, berjalan keluar. Mataku sayu memerhati Kaabah yang tersegam indah dan gah. Lalu aku bersama Haikal terus keluar meninggalkan Masjidil Haram pulang ke hotel. Kami bersiap-siap, dan pagi itu dalam pukul 12 lebih kami bertolak ke Madinah.

Perjalanan hampir 7 jam ke Madinah, kami sampai di hotel disana selepas Asar. Di waktu Marghib di dalam Masjid Nabawi tersegam dengan keunikkan islam yang tinggi. Aku duduk beriktikaf di dalam masjid selepas solat marghib, apabila azan berkumandang menunjukkan masuk waktu solat isya' kami bersolat berjemaah beramai-ramai.

Selesai solat isya' aku menzairahi maqam Nabi Muhammad SAW dan disebelahnya pula maqam Saidina Abu Bakar, dan Amirul Mukminin Saidina Umar. Sampai sahaja dihadapan maqam, lantas ku berkata, "Assalamualaika ya Rasulullah" dan juga kepada Saidina Abu Bakar, dan Umar. Lalu ku pulang ke hotel untuk merehatkan diri.

Sebelum azan subuh berkumandang, aku keluar seawalnya. Duduk beriktikaf di dalam Masjdi Nabawi, sehingga azan subuh dan terus menunaikan solat subuh secara jemaah. Selepas solat subuh, aku ingin masuk ke Raudah, iaitu tempat yang mana dikatakan sebagai taman syurga. Orang ramai berebut bermati-matian.

Aku membatalkan niat, dan bersiar-siar disekitar Masjid Nabawi. Tepat pukul 8 pagi aku pergi semua ke Raudah yang bersebelahan dengan maqam nabi. Orang masih lagi ramai, dan aku tekad juga akan memasuki. Alhamdulilah, dengan kesabaran menanti dan menahan sabar dengan karenah orang yang berebut-rebut. Akhirnya aku dapat juga peluang untuk solat di kawasan Raudah.

Di Madinah kami hanya duduk semalaman sahaja, lalu dalam pukul 10 pagi semua orang bersiap-siap untuk pulang ke Jordan. Bas pun tiba, dan semua orang berkumpul di bawah, memasukkan semua barang ke dalam perut bas. Penuh dengan air zam-zam, dan barang-barang yang dibeli oleh sahabat untuk dibawa pulang.

Perjalanan memakan masa selama 30 jam juga, dan Alhamdulilah segala urusan di sempadan Jordan-Arab Saudi dipermudahkan. Setibanya kami di bumi Mafraq pada pukul 10 pagi pada raya ke-empat. Bersyukur kepada Allah, perjalanan pergi dan balik dengan selamatnya. Kemudian aku dan sahabat yang lain amat berpuas hati dengan perkhidmatan Ustaz Hasibullah yang mengawal selia perjalanan umrah kali ini atas nama travel Al Buntali.

Semoga Allah memberi peluang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk menjadi tetamu-Nya pula. Dan aku pun berdoa, mudah-mudahkan dapat ku menjadi tetamu-Nya lagi dimasa hari. Akhirnya juga persoalan aku mengenai ihram juga terjawab, apabila aku bertanya kepada Abe, seorang pelajar Master Universiti Of Jordan. Dia berkata, kita berihram ibarat kita memakai kain kapan yang putih, kita meninggalkan segalanya dan berserah kepada Allah seperti di dalam kubur.

AshrafHadi
27.Ogos.2012
Mafraq Jordan.

5 Ogo 2012

Oh! Sekadar Bertanya

Pertamanya, nk ucapkan tahniah kepada Dato Lee Chong Wei (LCW). Walaupun hanya memenangi tempat kedua berlawan dengan Lin Dan dari China di Sukan Olimpik London, tetapi anda sudah menjadi jaguh Malaysia yang mengharumkan nama Malaysia untuk melangkah ke final. Semangat  Dato LCW sangat dipuji dengan menunjukkan taraf kualiti sukan badminton Malaysia dimata dunia.

Tetapi hari ini saya ingin membincangkan, berkenaan konsep kita bertanya. Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) ada menyebut, "kita masyarakat Malaysia selalu menyakat apa yang ditanya, hattakan seorang kanak-kanak pun bertanya." Jadi bila saya teringat akan statement Ustaz Hasrizal, yang saya dengar dari sahabat saya disini. Lantas saya cuba bertanya untuk melihat perbezaan antara benda yang kita minat dan suka itu, dikritik supaya nampak seperti tidak suka.

Jadi beginilah...


Pada awalnya komen saya ditanya adakah saya seronok akan kemenangan pingat emas oleh negara sendiri, lalu saya berkata seronok. Dan pula saya bertanya apakah itu hanya keseronokkan yang kita dapat?Tetapi sebenarnya pointnya disini, saya bertanya manfaat dan adakah kita akan dapat seperti sejuta yang akan Dato LCW dapat, jika menang pingat emas?

Tidak dinafikan ada sedikit tomahan, tetapi saya berpuas hati apabila, sebenarnya hak itu bergantung kepada individu sendiri. Yang dijawabnya ialah senior saya di Al-Maad dulu. Ditambahi oleh komen sahabat saya di akhir sekali, menampakkan lagi manfaat itu jelas. Jadi saya memuji kedua orang ini kerana menjawab persoalan yang saya timbulkan walaupun nampak status saya  itu sedikit pertikaian.

Memahami dan meraikan dalam bertanya,

Pernah diceritakan, seorang ustaz kepada saya dengan berkata. "Hidup ini, jika kita bertanya dapat memberikan seribu persoalan dan melahirkan sejuta jawapan." Menunjukkan bahawa pelbagai pemikiran yang ada dan jawapan yang tersendiri dengan pelbagai sistuasi dan keadaan. 

Misalnya kita melihat pantai, sesetengah orang menyatakan di pantai atau di dalam laut itu tempat untuk berehat, dengan skuba mahupun berjemur di tepi pantai. Tetapi sesetengah orang pula menyatakan di dalam laut pantai itu dapat mencari ikan dengan menjadi nelayan, jadi dapat menjual ikan. Berbeza pula dengan yang lain melihat pantai itu adanya petroleum boleh dimanfaatkan untuk dijadikan minyak, dan keuntungan berlipat ganda.

Jadi menunjukkan bahawa, setiap apa yang difikirkan, kadang-kadang itu berbeza. Tetapi kita sebagai muslim melihat perkara ini dengan pelbagai sisi, untuk kita mengenal pasti. Kita jangan merasai seolah-olah yang ditanya itu tidak perlu, adapun dengan soalan yang bukan-bukan, seperti mempertikai dimana tuhan, seperti atheis yang tidak jemu-jemu menafikan kebenaran dan kewujudan tuhan.

Tetapi jika kita memahami dan meraikan apa yang ditanyakan, menyebabkan kita memberi jawapan disamping kita berkongsi. Jelaslah bahawa apa yang dikatakan oleh ustaz saya untuk kita memahami dan meraikan, dapat menambah ilmu yang diketahui. Dengan mulakan bertanya, timbulkan persoalan akan dapat sejuta jawapan.

Akhir sekali,

Saya berterima kasih kepada yang komen, dan saya tegaskan ini hanya sekadar pertanyaan di laman maya. Jika ada salah silap saya memohon maaf, dan bukan bererti saya menjadi talam dua muka, hakikatnya sememangnya niat diawal lagi saya hanya sekadar untuk mengetahui. Kemudian saya memohon izin dari sahabat-sahabat yang berkomen tadi untuk saya printscreen komen disini. Hanya sekadar rujukkan umum. 

Saya juga menyokong penuh Dato LCW, dan status saya di dalam facebook hanya sekadar mengkaji dan mengetahui pada niat asalnya, bukan niat untuk memperlekehkan orang yang menyokong. Saya juga tertarik dengan status seorang ustaz sepengajian universiti, iaitu Ustaz Hafiz Dasar, MA Universiti Al Al-Bayt dengan berkata di wall facebooknya,

Untuk menjadi seorang atlet yg mengungguli emas dalam olimpik perlukan sstu usaha melebihi dari usaha atlet lain, begitu juga seorang ugamawan, seribu alasan utk tidak mencari ilmu sudah ckup utk diri anda dinobatkan sbgai ugamawan kangkung!

4 Ogo 2012

Al Imam Abu Hanifah dan Atheis



Soalan Pertama

“Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

“Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”

Soalan Kedua

“ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :

“ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya”

Soalan Ketiga

“ Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?"

Al-Imam Abu Hanifah menjawab :

“ Kamu pandai mengira?”

Kelompok Atheis itu menjawab :

“ Tentu sekali kami pandai mengira”

Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:

“Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”

Mereka menjawab : “ Nombor 3”

Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”

Mereka menjawab : “Nombor 2”

Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”

Mereka menjawab : “Nombor 1”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”

Mereka menjawab : “Tiada”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :

“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.

Persoalan diteruskan.

Soalan Keempat

“Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Al-Imam Abu Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

Soalan Kelima

“Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?"

Al-Imam sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh Sang Anak Muda.

Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Mereka menjawab : “ Tentu sekali”

Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Mereka tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheis tersebut bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.

Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”

Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam

“ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?"

Mereka menjawab : “ Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini”

Soalan Ketujuh

“ Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.

Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah , kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”

Soalan Kelapan

“ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”

Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.

Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
*******

Ada juga kisah yang saya dengar bahawa soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka al-Imam menjawab dengan tenang.

“ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di atas mengambil alih tempatmu”

Athies itu lalu bersetuju dengan cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bilamana al-Imam sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah)

28 Jul 2012

Janji Ditepati: Kontroversi atau Transformasi?


Terhenti daripada menulis, kerana kesibukkan imtihan yang sudah dilalui. Menyapa pula kali ini untuk menulis, secebis rasa yang terlintas di minda. Memandangkan bulan Ogos nanti adalah bulan kemerdekaan bagi negara kita yang tercinta. Suasana bahang kehangatan untuk sambutan bulan kemerdekaan semakin terasa. Tambahan pula dibulan puasa, dengan tema JANJI DITEPATI pada tahun ini, adakah menjadi satu tema yang membawa kontroversi atau transformasi?

Mengapa Kontroversi?

"Usah bicara jika berdusta, negara ini negara kita bukan harta pusaka mereka," 

Kata-kata keramat inilah, yang membawa semangat untuk saya menulis apa yang ingin dikata. Serta meluahkan apa yang dirasa, untuk bumi Malaysia yang tercinta. Mengapa tema menjadi kontroversi? Sudah di lihat, dengan pemilihan tema "janji ditepati" ini seolah-olah tertumpu kepada sebelah pihak sahaja. Kemudian mengapa pula kerajaan tidak memilih tema yang merangkumi semua rakyat?

Kerana dalam kata nama "kerajaan," tidak ditumpu kepada satu pihak sahaja. Ianya meliputi semua lapisan masyarakat, tidak mengira rakyat yang menyokong mahupun membangkang. Semua rakyat diberi hak sama rata oleh kerajaan. Kerana kerajaan yang mentadbir sekarang semuanya hasil dari rakyat yang membayar cukai, dan juga membayar segala cas yang dikena, tanpa tidak mengira dari aliran parti mana pun.

Justeru itu, kerajaan tiada hak untuk menumpu kepada sebelah pihak yang menyokong sahaja, kerana keseluruhan rakyat yang lain juga ada hak untuk mereka. Jadi peranan kerajaan adalah keseluruhan, maka temanya juga mesti nampak keseluruhan. Bukannya tema yang nampak berat sebelah. Sepatutnya tema semestinya mempunyai nilai patriotik yang tinggi dalam menyemai sifat nasionalisme di dalam diri.

Saya tertanya-tanya, mengapa pasti "janji ditepati," dan apa kaitannya dengan kemerdekaan negara kita pada kali ini?. Persoalan ini timbul apabila terfikir akan tema yang diberi. Ianya seolah-olah melihat bahawa "janji ditepati" ini menunjukkan peranan dan sikap kerajaan yang optimum dalam memberi kepada rakyat.

Sebenarnya, menjaga keamanan, ekonomi, sosial budaya dan kebajikan rakyat adalah sememangnya peranan kerajaan. Walaupun tidak berjanji sekalipun, kerajaan wajib menjaganya. Bukan dikira "janji ditepati" lagi, kerana itu ada amanah dan tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Jika mengatakan "janji ditepati," ianya seolah-olah bahawa kerajaan berperlu berjanji baru hendak memberi.

Transformasi Dengan Janji Ditepati,

Selaras dengan tema yang dibawa untuk sambutan kemerdekaan pada kali. Sebenarnya juga, ianya membawa transformasi kepada rakyat dan negara. Supaya berfikir dengan matang menilai dengan transformasi yang perlu dilakukan, demi kebaikkan negara yang tercinta.

Sebagai anak muda yang berbicara, saya meletakkan transformasi di dalam tema "janji ditepati" ini seharusnya menghapuskan korupsi dan rasuah pada kali ini. Ianya perlu dinilai, mengapa perlunya sifarkan kuropsi dan rasuah semperna kemerdekaan kali ini. Kerana, janji ditepati untuk mengurangkan kuropsi sangat diperlukan, bagi memajukan sesebuah negara.

Jika adanya kuropsi dan rasuah, menyebabkan proses kemajuan negara juga terbantut. Dalam usaha memajukan negara, janji ditepati ini amatlah penting kerana menjaga kebajikan rakyat dan dapat mengurangkan keciciran wang negara yang semakin tiris. Maka dengan itu, membawa transformasi dengan selaras tema "janji ditepati" perlunya kerajaan mengosongkan kuropsi dan rasuah yang semakin menjadi-jadi.

Selain itu, membawa transformasi lagi dengan tema "janji ditepati," kerajaan perlu mengalas amanah dengan penuh karisma. Amanah yang diberi oleh rakyat kepada kerajaan yang dipilih seharusnya dijaga dengan teliti, bukan membuat seperti hak diri sendiri. Kerana jika kerajaan buat seperti hak diri sendiri, menyebabkan kerajaan akan tercuai dan terleka dengan bisikan dunia, sehingga hak rakyat tidak terjaga.

Menjaga kebajikan rakyat penting dengan penuh amanah, supaya kehidupan rakyat terjamin dengan baik di dunia mahupun di akhirat. Jika kerajaan memikul amanah dengan penuh hemah serta karisma, ianya membawa satu transformasi yang menjanjikan kemenangan kerajaan dengan selesa.Tetapi jika tidak dijaga dengan sempurna menyebabkan kerajaan akan kurang mendapat sokongan, kerana kerajaan nampak hanya menjaga kroninya sahaja.

Justeru itu, transformasi ini penting untuk kerajaan nilai selaras dengan tema kemerdekaan pada kali ini. Untuk memajukan agama, bangsa dan negara mengikut dengan konsep 1 Malaysia. Peranan transformasi ini menyebabkan kerajaan akan lebih didekati oleh rakyat, tanpa perlu menabur janji di awal Pilihanraya Umum Ke 13 nanti.

Kerana, takut jika ditaburi janji ianya tidak dapat dipenuhi menyebabkan janji hanya tinggal janji. Kemudian keadaan mendesak menyebabkan tema pun seolah untuk memancing undi. Oleh hal itu, kerajaan perlu transformasi dengan sifarkan kuropsi, rasuah serta amanah tanpa mengira kroni untuk menarik lebih minat rakyat kepada kerajaan.

Jadi sebenarnya, janji ditepati yang dibawa oleh kerajaan dalam tema kali ini sepatutnya mengeluarkan janji untuk sifarkan kuropsi serta menjaga amanah lebih memukau dan menarik untuk menumpukan kebajikan rakyat yang semakin matang dalam menilai. Rakyat yang dipertengahan lebih memerhati tanpa menyokong secara membuta tuli. Juga ada muda seperti saya ini dalam usaha membawa kemajuan kepada negara.

Kalam Terakhir Untuk Mereka,

Saya anak muda yang mentah berbicara, tetapi saya mempunya perasaan cinta dan sayang kepada negara. Saya malu melihat negara saya berada dalam keadaan terdesak sehingga peranan kerajaan tidak terjaga. Jadi tema kemerdekaan kali ini sebenarnya mencetus pelbagai pertanyaan yang membawa kepada tanda tanya yang tiada jawapannya.

Sebab itulah saya menyatakan bahawa, dengan "janji ditepai" sebenarnya membawa kepada kontroversi dan transformasi untuk rakyat menilai apa yang sepatutnya perlu "janji ditepati" pada kali ini. Apakah "janji ditepati" hanya untuk memancing undi? Atau untuk menyemai sifat nasionalisme di dalam diri. Jika tema sesuai, insyaAllah tiada yang akan berbunyi. Tetapi jika tidak sesuai, sampai bila kita mahu begini?

Saya juga memahami semesti ada yang setuju mahupun tidak setuju dengan artikel kali ini. Tetapi demi perasaan saya cinta akan negara, terpaksa juga saya berkata untuk kita berfikir dan menilai dengan lebih matang dan rasional. Demi kesejahteraan negara, bukan bererti dengan pena penulisan ini saya tidak suka kerajaan, ianya tidak sama sekali. Cuma apa yang tidak betul itu perlu diperbaiki!

AshrafHadi
28/7/2012
Irbid Jordan.

14 Jul 2012

Ramadan Semakin Tiba


Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabilanya tiba di awal ramadan diwajibkan semua umat islam supaya berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa pula ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa? Serta kelebihan dan fadhilat dibulan ramadan.

Mengapa perlu berpuasa?,

Persoalan ini selalunya bermain di mindaku, jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa islam pula tidak boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu dimana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.

Pelbagai persoalan timbul menyebabkan ku mencari jawapannya tersendiri, diselak satu persatu artikel dan kitab mengenai puasa untuk mencari jawapan yang bermain diminda. Apabila selesai pencarian maka aku ingin aku kongsikan. Berbalik kepada tajuknya mengapa perlu berpuasa?

Firman Allah SWT,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)

Jelaslah menunjukkan bahawa dengan firman Allah SWT ini diwajibkan umat islam berpuasa, kerana Allah menyeru orang-orang yang beriman, jadi siapa lagi kalau bukan umat orang islam. Selain itu puasa menjadi salah satu rukun islam yang terkandung di dalamnya lima rukun. Jadi sebagai muslim ianya perlu dan wajib berpuasa kerana itu adalah rukun islam.

Selain itu, perlunya berpuasa ini kerana orang-orang terdahulu sepertimana pada zaman nabi-nabi lain mereka juga diwajibkan berpuasa. Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa merupakan rentetan dari kewajipan puasa yang diwajibkan pada umat Nabi Muhammad SAW, seperti dalam surah (Al-Baqarah: 183) 

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan cikal bakal puasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Selain itu, perlunya berpuasa ini, sebagai tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT. Diakhir surah (Al-Baqarah: 183) menyebut "supaya kamu bertaqwa" melihatkan bahawa puasa ini menguji akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh itu, menjawab segala persoalan yang timbulnya tadi, seperti mengapa puasa disiang hari? Dan kenapa puasa tidak boleh makan dan minum disiang hari? Ialah untuk menguji kita sebagai umat islam akan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Pernah diceritakan seorang ustaz kepada saya, mengapa kita perlu tahan lapar dan dahaga di bulan puasa? Kerana apabila kita menahan lapar dan dahaga, menyebabkan keseimbangan badan akan terkawal. Selain itu sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya direhatkan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.

Kelebihan Di Bulan Ramadan,

Kelebihan bulan ramadan, antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala jika kita melakukan amal ibadat kepada-NYA. Selain itu di bulan ramadan juga terkandungnya pelbagai keistimewaan, antaranya Al-quran di turunkan serta terjadi malam Lailatul qadar, yang menjadi malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Selain itu, pada bulan ramadan syaitan akan dibelenggu di neraka sepanjang ramadan yang mulia ini, kemudian pula pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya. Malahan itu juga, penghuni neraka pun tidak diseksa pada bulan ramadan. Ini menujukkan bulan ramadan menjadi satu bulan yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Malahan itu juga, bulan ramadan menjadi bulan tarbiyah kejatian keimanan manusia kepada Allah SWT. Sepanjang bulan umat islam sentiasa sibuk berlumba-lumba melakukan amal ibadat serta mencari secekupnya, untuk dibawa bekalan ke akhirat kelak. Kerana setiap amal ibadat dikerjakan semuanya dengan senang dilakukan tanpa ada ganguan dari syaitan, hanya manusia (islam) dengan Allah SWT sahaja dan nafus di dalam diri.

Persediaan Menghadapi Ramadan,

Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya akibat dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT menjadi ramadan ini satu bulan untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita.

Berazam tingkatkan amal ibadat, seharusnya itu penting di dalam bulan ramadan ini, untuk diri kita semua meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. Disamping itu, keazaman juga dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesihatan tubuh badan, perlunya juga di ingatkan terutama kesihatan fizikal dan mental ianya amatlah penting. Jika menghadapi ramadan dalam keadaan diri tidak sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan supaya kita menghadapi ramadan dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan mengerjakan amal ibadat di dalam bulan ramadan.

Bersederhana dalam semua perkara. Hal ini amatlah penting dalam menghadapi ramadan kali ini, kesederhanaan menghadapi ramadan kali ini perlu di titik beratkan. Sebagai contoh selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka, sehingga tak habis di makannya, menyebabkan berlakunya pembaziran.

Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak dan berlebihan menyebabkan apabila waktu berbuka tidak dapat dihabiskan. Disitunya pembaziran yang menyebabkan kerugian akan berlaku.

Firman Allah SWT,

 إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا 
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Al Isra: 27)

Dengan dalil itu menunjukkan bahawa pembaziran boleh menyebabkan kita menjadi saudara syaitan, perkara ini selalunya orang terlupa dan tertinggal. Jadi di ingatkan, pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendak bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Jadi sederhana itu penting dalam menghadapi ramadan kali ini supaya dapat mengawal nafsu di dalam diri.

Ramadan Semakin Tiba,

Terasa keharuman ramadan ini semakin tiba, dan ditanya dalam diri ini, adakah ramadan ini dapat ku hadapi? Jika diberi peluang akan digunakan sebaiknya, tetapi jika tidak diberi kesempatan bagaimanakah nasib kita? Ramadan yang lalu bagaimana persiapan kita? Adakah ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?

Ramadan yang dirindui akan tiba, tetapi jika persiapan tidak terjaga bagaimana nasib kita? Jangan difikirkan apa yang hendak makan bila berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan apabila ramadan tiba. Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan. Perlukah kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanya imam!

Jika kita sebagai hamba yang beriman, kedatangan ramadan kali ini disambut dengan transformasi di dalam diri. Perubahan yang sedikit juga memberi kesan yang besar kepada diri kita. Walapun ianya tidak dirasa tetapi Allah SWT adil melihatnya. Ramadan yang dilihat sebagai bulan tarbiyah bagi umat islam menjadikan medium kepada kita, untuk berpentas menunjukkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Moga ramadan kali ini menjadi latihan transformasi di dalam diri, serta kita menghadapi dengan penuh mujadah dan istiqamah supaya amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan ramadan akan diteruskan di bulan-bulan yang lain secara berterusan. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan ramadan sahaja.

Akhir kata,

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat islam di seluruh dunia, dan tidak dilupa kepada mak ayah serta adik beradik keluarga yang sentiasa dicintai. Juga tak dilupakan kepada rakan-rakan yang berada di Malaysia mahupun di Jordan. Serta adik beradik PRISMA sekalian. Semoga ramadan kali ini menjadi ramadan yang membawa transformasi di dalam diri ini. InsyaAllah! Ku mohon ampun dan maaf..

Ashrafhadi
14.7.2012
Mafraq, Jordan.   

28 Jun 2012

Mentaliti Kita Sejauh Mana?


Sukanya saya memetik ungkapan kata dari mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi berkata, "infrastruktur kita di kelas pertama tetapi mentaliti kita pula di kelas ketiga." Itulah antara ungkapan yang membuatkan saya terfikir adakah benar apa yang dikatakan? Menjadi pelbagai persoalan timbul dalam diri ini untuk mencari sejauh mana kebenaran ungkapan yang melibatkan tentang mentaliti masyarakat kita pada hari ini, terutamanya bangsa melayu.

Lantaran itu, diselak satu persatu sejak dari awal sejarah kemerdekaan negara kita sampai sekarang ini, untuk kita menilai sejauh mana mentaliti bangsa kita yang tampak akhir-akhir ini ada sedikit kekurangan yang sering dihidangkan di media massa. Mentaliti yang dikatakan ada sedikit kekurangan mengapa? Kerana pernah diungkapkan juga untuk Tun Dr Mahathir Mohamad didalam perhimpunan agung Umno menyatakan bahawa "melayu mudah lupa."

Dahulunya melayu hidup susah, tetapi apabila senang ia lupakan segala kesusahan yang ditanggung orang dahulu sehingga kita leka akan kemewahan negara, tetapi akhirnya mentaliti kita pula tidak terjaga. Hari ini jelas apabila mentaliti bangsa melayu terutamanya, dari segi politik, budaya, dan  masyarakat melayu, sering menimbulkan masalah sesama sendiri.

Contoh yang jelas,

Dari segi politik melayu yang terbesar diwakili dua buah parti yang satu memperjuangkan nasionalis dan satu lagi memperjuangkan islam. Hari ini kita melihat masing-masing berpendirian teguh sesama idealisme yang diperjuangkan, tetapi kita melihat pula bagaimana setiap penyokong-penyokong idealisme itu membawa mesej pejuangan mereka. Apabila dikatakan sistem demokrasi kenapa hak rakyat tidak terjaga, kemudian ketaksuban menyebabkan kita melihat satu pihak saja. 

Inilah sikap mentaliti kita, misalnya lagi apabila pembangkang menganjurkan ceramah ianya juga dianjurkan oleh pihak kerajaan secara berdekatan. Kemudian timbullah perbalahan antara si pihak kerajaan dan si pihak pembangkang di dalam ceramah tersebut, sehingga batu dibalingkan menyebabkan seorang warga emas bergelumuran darah akibat terkena balingan batu tersebut. Jadi dimanakah mentaliti kita sebagai bangsa melayu yang sebenar?

Tak cukup dengan itu, selepas anjuran BERSIH 3.0 duduk dan bantah, yang dipengerusikan bersama oleh A.Samad Said, tetapi hakikatnya pula pengerusi BERSIH 2.0 pula yang mendapat tohmahan, serta tayangan perdana "senaman punggung" yang dilakukan oleh orang-orang melayu dihadapan rumah Ambiga tersebut.

Saya seikhlasnya bukan mahu bercakap untuk membela Ambiga, tetapi saya ingin menyatakan serendah itulah mentaliti kita sehingga perlu melakukan tindakan sedemikian. Antara yang terbarunya soal pehimpunan Royalti di kelantan yang mana ada peserta yang cedara akibat bergaduh dengan satu pertubuhan NGO diberi nama sebagai TUKAR, yang mendesak agak kelantan ditukar pemerintah kepada UMNO. Mengapa sedemikian rupa berlaku? Apakah budaya samseng sesama bangsa itu budaya amalan hidup bangsa melayu?

Selain itu juga, mentaliti pemikiran kita yang hanya terkatup dan tidak terbuka menyebab keculasan untuk untuk kita membuka minda melihat pelbagai kemaslahatan itu akan terbantut. Kataya negara demokrasi tetapi mengapa jadi begini? Misalnya jika mentaliti kita terbuka untuk memikirkan sebegitu cara. Tetapi lain pula pada kita, hanya ketaksuban sesuatu pihak sahaja yang menyebabkan kita ibarat seperti "lembu yang dicucuk hidungnya," hanya makan apa yang disuap dan telan apa yang diberi.

Dari segi budaya pula, hari ini dapat kita lihat sendiri apabila masyarakat kita lebih mengutamakan adat dari ajaran agama yang sebenar. Sebagai contoh seperti wang hantaran yang terlalu mahal, sebenarnya ianya berlaku dari mentaliti kita yang mementingkan adat, sehingga untuk melangsungkan satu perkahwinan pun menelan belanja yang tinggi. Walhal dalam agama langsung tidak mengajar sedemikian, sekadar yang termampu sahaja sudah memadai untuk berkahwin. 

Tetapi mengapa berlaku sedemikian? Kerana silapnya pemikiran bangsa melayu yang mengutamakan adat dari ajaran agama sehingga menyebabkan budaya keislaman melayu yang penuh dengan adat resam yang tidak menyusahkan tetapi disusahkan oleh masyarakat melayu sendiri. Akibat dari contoh yang diberikan tadi menyebabkan pelbagai masalah timbul, akibat dari tidak dapat berkahwin awal mahupun cepat, kadar penzinaan semakin meningkat. Jadi sampai bila mentaliti kita sebegini?

Dari segi budaya, dalam kalangan masyarakat melayu sendiri amatlah sedih dihati. Kerana perkara itu amat sukar untuk diubati, masyarakat kita lebih mempercayai karut-marut khurafat yang dari dahulunya sehingga sekarang masih ada yang melakukan. Sebagai contoh jika kita merasa dengki dan tidak berpuas hati, teruslah kita menyerangnya secara halus seperti menggunakan jin ataupun bomoh untuk menjatuhkan orang yang kita dengki. Mengapa bersikap sedemikian?

Pemikiran kita juga beranggapan seperti tidak mempercayai tuhan, kerana apabila melakukan perbuatan sedemikian, sesungguhnya kita melakukan syirik kepada Allah SWT. Itulah yang dapat kita lihat sekarang ini, mentaliti kita masih lagi kebawah dan tidak seperti negara-negara maju di eropah yang tampak jauh meninggalkan kita. Walaupun demikian, kita berbangga dengan prasarana pembangunan di negara kita tetapi perlu di ingat dengan mentaliti kita juga.

Akhir kata,

Melayu oh melayu, sampai bila kita mahu mentaliti kita layu. Berfikiran kusut yang menyebabkan idea kita pun semput, untuk memikirkan satu benda yang baru dalam mengubah persepsi diri terhadap sesuatu. Rupanya ketaksuban dan mereka apa yang dilakukan kita itu betul yang menyebabkan menjadi punca untuk mentaliti kita tidak ubah sehingga hari ini. Tetapi tidak diakui bukan semuanya bangsa melayu sebegini cumanya kita bertanya kepada diri kita sejauh mana mentaliti kita hari ini?

AshrafHadi
28.6.2012
Mafraq Jordan.

16 Jun 2012

Progresikan Dunia dengan Idea


‘IDEA is a carefully considered thought about something’

Suatu idea yang hebat tidaklah wujud dalam bentuk hasil, kerangka ataupun proses yang tertentu tapi ia wujud hanya sebagai satu pengenalan kepada kewujudan sebuah kerangka atau proses. Oleh kerana itulah, perlunya kita melihat sebuah idea itu dalam bentuk yang lebih abstrak dan menganalisis strukturnya serta menilainya secara kritikal, barulah kita mampu menghargai sesuatu idea itu serta hasilnya sekali. Justeru, idea yang saya sebutkan di sini bukanlah idea yang hanya buah fikiran semata, tapi juga meta-ideanya sekali.

Dunia tidak perlukan idea yang hanya menjadi buah fikiran lalu dicetak ke dalam kutub dan ia terus dan terus kekal begitu, lalu jika habis mereput kutub itu, hilanglah idea itu. Itu dasar idea kosong! Kerna sedarkah kita, bahawa dunia memerlukan idea yang dijana karakternya untuk dibuat implementasi terhadap realiti dunia. Logiknya, apabila begini situasinya, tidak boleh tidak proses ini turut memerlukan kolaborasi modal insan untuk tujuan tersebut demi menyelesaikan masalah manusia, membina peluang untuk mereka juga untuk meneroka dan terus meneroka. Ini asasnya.

Usah dilihat idea sebagai suatu yang ringkas, juga usah dipertikai potensi idea yang bagus, kerna revolusi di Mesir berjaya dijalankan hanya kerna sebuah idea. Ya, ia tercetus dengan idea. Lalu hasilnya, tamatlah sudah pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, tamat juga fenomena para ulama dipanggang di penjara di bawah panas padang pasir serta berkubur juga kezaliman dan ketidakadilan yang telah bermaharajalela sejak 30 tahun lepas. Namun, perlaksanaannya sangat rumit kerna bukan sedikit gula-gula yang ditaburkan kepada rakyat Mesir untuk berundur pulang ke rumah, malah bukan sedikit juga pengorbanan yang terpaksa dilakukan, juga bukan seorang dua nyawa sahaja yang melayang. Mahalnya harga sebuah revolusi yang tercambah dari implementasi  sebuah idea. Sedikit gambaran progresi peradaban dunia.

Dalam masa yang sama, saya tidak mahu jelmakan idea sebagai malaikat di sini, kerna kita hidup dengan manusia,yang kadangkala ada juga yang kelihatan seperti manusia namun ia hanya topeng yang menutup kejelekan seekor syaitan. Satu masa dahulu, idea pernah menjahanamkan manusia tidak kira bangsa, ini termasuklah idea keparat Mustafa Kemal Ataturk iaitu idea pembubaran sistem khilafah Islam. Ingat lagi rentetan peristiwa daripada idea ini? Memilukan bukan? Mustafa Kemal naik menjadi penguasa dan menghancurkan seluruh kehidupan beragama di Turki dan menggantinya dengan fahaman sekular. Antaranya, larangan azan dalam Bahasa Arab dan menukarkannya ke dalam Bahasa Turki, menghapuskan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta melarang orang Islam mengerjakan Haji dan banyak lagi. Ini pula, contoh idea yang mencalarkan peradaban hidup orang muslim khususnya.

Saya datangkan dua contoh mega untuk menjentik sikit para pembaca agar jangan bergantung harap pada kuasa sebuah idea kerna idea hanya jelmaan kosong  jika tanpa pelaksanaan serta hanya akan menemui kemurkaan Tuhan jika Allah tidak dijadikan tujuan. Hidup kita hanya sekali, justeru biarlah kita lakukan pengabdian kepada Allah tanpa penat tanpa henti.

Saya hadirkan pula seorang tokoh Islam yang sangat saya sanjungi, tokoh yang menukil karya agung Tafsir Rasa’il al-Nur, tokoh yang tidak pernah bertolak ansur dengan kebatilan, juga tokoh bagi sebuah reformasi pendidikan. Saya penakan sedikit kisahnya di sini, buat ibrah kita bersama.

Rentetan daripada pembubaran sistem khilafah, umat Islam berpecah belah. Kemudiannya hal keagamaan terus diketepikan daripada hal keduniaan. Bertitik-tolak daripada sinilah, Nursi telah memikirkan kaedah yang terbaik bagi mengangkat kembali kekuatan dan kehebatan umat Islam dengan mengadakan reformasi terhadap sistem pendidikan Islam yang bersifat komprehensif dan kontemporari. Baginya, ia perlu digiatusahakan selari dengan keadaan dunia yang semakin mencabar. Lalu, idea reformasinya direalisasikan oleh beliau dan hal ini, ada beliau nyatakan dalam kitab Lama’at, dalam Risalah Al-Hijab, katanya:

sesungguhnya penyelesaian ampuh untuk menjaga tabiat mulia yang menjaga fitrah mereka daripada kerosakan adalah mendidik mereka dengan pendidikan Islam yang komprehensif”

Idea beliau yang sangat hebat berjaya membawa progresi terhadap dunia. Beliau sangat tabah dan kuat untuk melakukan implementasi idea nya tanpa mengenal apa itu maksud diracun, diseksa dan dizalimi. Beliau sangat berani dan hari ini, umat manusia sedang mengagumi keberanian beliau dan mereka sedang menuntun jejak langkah beliau. Kita pula? Bila lagi? Usah bertangguh kerna jika kita berhenti, tentera Allah tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kita di belakang.

Justeru, implementasi idea bukan suatu yang mudah, kerna sebelum itu ia memerlukan banyak proses termasuklah penjanaan idea, kemudian lontaran idea ke medan realiti untuk diperdebatkan, diperbahaskan, ditimbang-turas baik buruknya. Lalu apabila suatu kesepakatan terbentuk, proses perlaksanaan pula berjalan. Ia akan mengalami kritikan demi kritikan, lalu di sinilah kekuatan seorang invensi  bakal dipertikaikan. Proses ini tidak mudah kerana ia memerlukan kemahiran si pencipta idea untuk menghadam sesebuah kritikan menjadi suatu nasihat. Tiada istilah ‘usah jaga tepi kain orang lain kalau kain sendiri koyak rabak’ di sini, kerna kita sememangnya memerlukan penambahbaikan dalam idea kita agar idea itu mampu digunapakai demi sebuah progresi dunia serta peradaban penduduknya.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang progresi dunia serta sudut-sudut utama dan cabang-cabangnya. Namun saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan progresi sosial secara amnya. Ini termasuklah, progresi  peradaban manusia di dunia. Perasan atau tidak, sejarah pemikiran serta penjanaan idea-idea para tokoh silam sering sahaja mencetuskan nilai tamadun yang tersendiri. Buktinya, perkembangan bidang-bidang ilmu yang banyak dan pelbagai, penciptaan alatan kehidupan sehingga berkembang menjadi gadjet-gadjet canggih pada hari ini dan banyak lagi.

Namun progresi ini tidak berlaku secara selari. Hal ini kerana, perbezaan antara kemajuan dan keterbelakangan akan terus-menerus terjadi ,saling berkejaran dan saling memenuhi. Yang lebih maju akan memimpin yang tidak maju dan yang tidak maju akan belajar untuk maju. Tapi progresi pasti sahaja sentiasa berlaku melalui gerak kerja implementasi serta penambahbaikan idea yang sudi dilakukan manusia.

Saya akhiri artikel kali ini dengan satu konklusi yang membentangkan cebisan permasalahan berkenaan dengan nilai juga kualiti modal insan yang diperlukan dunia untuk membawa kepada sebuah progresi.

Manusia memang ada yang melihat peluang namun lebih ramai yang sering mengintai kegagalan’

Antara yang paling ketara adalah koleksi modal insan yang penakut. Takut untuk menjana idea, takut juga untuk melontar ideanya, serta takut menerima kritikan terhadap idea yang dilontarkannya. Come onlah! Jika unsur penakut+tidak yakin+tidak mampu bertolak ansur+kedekut masih ada dalam diri anda, silakanlah untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan yang digelar modal insan yang lebih suka melihat sahaja dunia ini mengalami progresi dengan sendiri.

Usah biarkan manusia-manusia hebat sahaja membuat kerja berat ini bersendirian kerana kita mahu produce manusia-manusia yang hebat yang lebih dan lebih banyak untuk menghuni dunia.Tidak bertujuan membuat sebarang provokasi tapi saya hanya hendak menerangkan kepada manusia yang peluang masih ada. Jangan takut walau untuk bermain dengan risiko.

Tidak mengapa jika gagal atau salah

Its okay to fail!

Kamu pasti akan belajar sesuatu daripada kesalahan itu. Usah dikejar sangat kesempurnaan. Bayangkan jika ahli pemikir silam sombong dan hanya mahu mendabik dada mengagungkan sebuah kesempurnaan yang bersifat individualistik semata, dapatkah kamu bayangkan dunia ini akan hancur?

“Hidup bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya tapi untuk memberi sebanyak-banyaknya”-Filem Laskar Pelangi-

Jangan takut untuk utarakan apa yang kamu fikir baik untuk kemaslahatan sejagat, jangan takut untuk jalankan idea itu, jangan takut juga untuk menerima kritikan dan teguran, jangan takut untuk buat sedikit perubahan daripada teguran yang membina itu. Jangan takut dan jangan sesekali takut. Beranikan diri kamu.

 Bediuzzaman Said Nursi ada berkata:

“Seseorang yang melihat kebaikan dalam berbagai hal bererti dia memiliki fikiran yang baik. Dan seseorang yang memiliki fikiran yang baik mendapatkan kenikmatan daripada hidup”


Selamat mencerna!

9 Jun 2012

Diratah mentaliti berdarah


Wahai bangsa ku,
janganlah kita alpa dan leka,
dek kerana kita lupa siapa kita,
disaat dahulunya kita susah,
merasa bahawa kita sudah mewah,
hakikatnya sekarang kita semakin parah.

Diparah dengan mentaliti berdarah,
mendengar suara terik jauh meredah,
hanya berlaung dengan semangat "haram jadah"
di impi dunia langsung tiada nyawa,
di impi nyata lantas berdusta,

Kini kita rebah, dengan sikap kita,
yang dikatakan bahawa sudah aman sentosa,
tetapi sebenarnya sakit derita,
dikiritik, ditegur tak usah dikata,
kerana kita ego semata-mata,
menyebabkan kita lupa siapa Sang Pencipta.

Kita yang tenat,
dihidangkan dengan hiburan yang menyengat,
sopan santun tinggi hilang melantun,
didikkan barat kita menjunjung,
akhirnya nilai timur jauh melambung,
tinggallah bangsa yang terapung-apung.

Wahai bangsaku,
Jangan kita merasa bangga,
atas sebab perbuatan kita,
kini orang mula bersuara,
itu tanda mahukan mentaliti dijaga.
bukan dinilai dengan harta,
tetapi dinilai siapa yang pejuangkan bangsa.

#Teringat akan kata Tun Abdullah Badawi berkata " infrastruktur dikelas pertama tetapi mentaliti kita dikelas ketiga." Fikir-fikirkan!! renung-renungkan!!

AshrafHadi
9.6.2012
Mafraq Jordan.